Nak cari kerja atau “upskill” kemahiran? Karnival JaminKerja tawarkan peluang

Semenjak pandemik reda sikit tahun ni, ramai antara kita yang cuba bina balik kehidupan. Yang kehilangan kerja dah mula pergi interview, sama ada kerja gig, kerja ofis, dan sebagainya.

Bagi yang tengah mencari kerja tu, kami nak kongsikan info menarik yang kami dapat daripada Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 yang dianjurkan di Kuala Selangor baru-baru ni. Jom tengok apa yang ada…

Hampir 6,000 peluang pekerjaan ditawarkan dari pelbagai sektor, manakala pencari kerja boleh memohon elaun

Nama saja karnival, jadi dah tentulah meriah. Karnival ini adalah satu inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia untuk menurunkan kadar pengangguran. Ia dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan dianjurkan di kawasan-kawasan tertentu di seluruh Malaysia.

Kalau korang tak sempat join karnival di Kuala Selangor ni, korang boleh semak laman web MYFutureJobs atau laman Facebook mereka untuk karnival kerjaya akan datang.

Para pelajar ILP Kuala Langat yang menghadiri acara tersebut.
Penulis (paling kanan) dan Cilibos (paling kiri) bersama wakil Agensi Pekerjaan HR’s MGMT. Cilibos kami pun dapat tawaran kerja. Mungkin dia nampak macam fresh grad.

Karnival di Kuala Selangor ni menawarkan 5,600 peluang pekerjaan, serta menyediakan Insentif Penggajian untuk majikan berjumlah sehingga RM42,000 bagi pengambilan pekerja daripada golongan sasar termasuklah penganggur, orang kurang upaya (OKU), warga emas, dan wanita yang tidak aktif bekerja. Bagi pencari kerja pula, kerajaan juga bercadang untuk menyediakan bantuan mobiliti sebanyak RM500 secara one-off bagi mereka yang berjaya dapat kerja.

Tapi yang paling menarik, kami dimaklumkan yang pencari kerja boleh memohon Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) daripada PERKESO yang akan membekalkan mereka dengan elaun sebanyak RM300 sebulan untuk 3 bulan. Selain itu, mereka juga akan menerima Elaun Persediaan Bekerja sebanyak RM400 sekiranya berjaya mendapat kerja dalam tempoh 4 bulan dari tarikh permohonan. Program ni masih terbuka sehingga 31 Disember 2022, dan korang boleh dapatkat maklumat lanjut di sini.

Boleh dapat kerja on the spot

Antara syarikat-syarikat besar yang datang tawarkan peluang pekerjaan termasuk Gerbang Alaf Restaurants (McD), Pizza Hut, Nando’s, Epson, Lotus’s, RedOne, dan banyak lagi. Selain itu, Agensi Pekerjaan HR’s Management juga menawarkan penempatan kerja di luar negara, terutamanya di Eropah.

Yang kami boleh lihat, karnival ni memang memudahkan proses mencari kerja. Misalnya, untuk kru Nando’s, pemohon boleh dapat kerja on the spot dan terus mula kalau layak. Bagi jawatan manager Nando’s pula, akan ada proses saringan serta temu bual susulan. Menurut wakil Nando’s, peratusan calon yang dapat kerja on the spot boleh mencapai 10% bergantung kepada lokasi. Setakat ni, mereka juga berjaya merekrut 4 orang OKU dari Karnival JaminKerja.

Para staf di karnival tersebut yang sedia membantu.

Menteri Kewangan kita, YB Datuk Seri Utama Tengku Zafrul, turut hadir untuk memberi ucapan perasmian karnival. Dalam ucapannya, beliau ada menerangkan beberapa inisiatif yang dijalankan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban rakyat iaitu…

Portal MYFutureJobs serta pelbagai insentif & bantuan kewangan

Siap ada Menteri Kewangan lagi, bukan calang-calang majlis.

Menurut Tengku Zafrul, salah satu inisiatif yang telah diperkenalkan adalah Portal Pekerjaan Negara iaitu Portal MYFutureJobs. Laman web yang menyasarkan golongan belia ini dikelolakan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO, dan telah berjaya membantu hampir 653,000 pencari kerja tempatan setakat 14 Oktober 2022.

Disebabkan kejayaan ni, kerajaan ingin turut menumpukan usaha untuk membantu penduduk luar bandar mencari pekerjaan dengan menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs di seluruh negara. Ia bertujuan untuk merapatkan jurang antara kerajaan persekutuan dan penduduk bandar-bandar kecil.

Pusat Satelit MYFutureJobs ni ada juga di dalam IPT seperti di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu. Imej daripada Berita Harian.

Bagi sesiapa yang rasa mereka tak cukup kemahiran pula, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah menubuhkan Upskill Malaysia, sebuah platform yang boleh melatih korang melalui pelbagai program. Kebanyakan kursus yang ditawarkan adalah percuma, dan ada juga kursus yang menawarkan elaun kehadiran.

Nak belajar online pun boleh, sebab diorang ada platform pembelajaran atas talian e-LATiH yang menawarkan kursus secara percuma.

Antara program yang terdapat pada portal e-LATiH. Fuhhh, nak belajar Bahasa Korea pun boleh.

Bagi korang yang bekerja dalam sektor gig, korang pun boleh dapat manfaat iaitu elaun melalui Insentif Kerjaya Gig serta SIP Gig. Golongan usahawan belia juga tidak ketinggalan, sebab Bajet 2023 telah memperuntukkan RM305 juta pinjaman khas dan RM10 juta bagi membiayai anak muda melalui Tekun Belia Mobilepreneur. Bak kata YB sendiri dalam ucapannya: ‘no one gets left behind’.

Malaysia antara negara ASEAN paling cemerlang dalam menangani pengangguran

Di tengah-tengah pelbagai situasi yang agak kelam tahun ini, dengan ekonomi dunia yang terkesan dengan perang dan sebagainya, ada beberapa berita yang bagi kita sinar harapan.

Salah satunya adalah kadar pengangguran di Malaysia yang turun kepada 3.7% setakat Ogos 2022 berbanding 4.5% pada 2021. Malah, kadar Keluaran Dalam Negara (KDNK) juga pernah mencapai 8.9% untuk suku kedua 2022, iaitu lebih tinggi daripada AS (1.6%), Singapura (4.4%), dan China (0.4%).

Mudah-mudahan dengan pelbagai sektor ekonomi yang kembali berkembang, kita akan lihat pelbagai peluang pekerjaan bagi segenap lapisan masyarakat. Malah tak kiralah apa latar belakang pekerja, mereka juga boleh belajar benda baru atau mengasah kemahiran untuk maju dalam karier masing-masing.