- 805Share sekarang!
- Email103
- Facebook702
- Share
(This article is a translation. For the original, please visit our sister site, CILISOS.)
Tahun baru ni semua orang berkobar-kobar dengan semangat baru. Azam baru, hairstyle baru, gambar profile kat Facebook pun baru. Bukan kita rakyat marhein je yang buat benda ni semua, PM kesayangan kita pun sama! Kalau korang perasan, laman rasmi Najib Razak dah kena renovate, korang boleh check sendiri kat NajibRazak.com.
So apa je yang ada kat website ni? Kami tak jumpa pulak sebarang manifesto untuk PRU ke-14 mahupun link untuk apply BR1M. Tapi website ni ada la tunjuk beberapa statistik dan pencapaian kerajaan dalam bentuk graf yang korang boleh klik satu persatu.
Tapi bahagian paling menarik adalah… ‘Fakta’. Istilah Bahasa Inggeris dia lagi dramatik iaitu ‘The Truth’. Bahagian ni mengandungi 22 “jawapan berlandaskan fakta-fakta kepada pelbagai soalan dan isu yang dibangkitkan oleh pihak dengan agenda politik jahat.” Ini termasuklah isu besar seperti 1MDB dan Altantuya! Jadi kalau korang dah cuba tanya Najib tapi dia tak balas WhatsApp, bukak je website ni!
(Nota: Ada 22 tajuk, tapi sampai nombor 13 je yang diterjemah kepada BM. Agaknya translator turun hisap rokok dulu kot.)
1. Najib cakap pasal 1MDB dan Altantuya, tapi hanya berdasarkan sumber dari Malaysia
Mungkin ada yang dah lesu pasal skandal 1MDB, sebab tu la Najib nak ingatkan korang lagi! Mula-mula, siasatan pertama oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Peguam Negara (AG) mendapati yang tiada sebarang salah laku terjadi, dan AG cakap yang kes ni takkan dibuka semula. Tapi seperti yang kami tuliskan sebelum ni, AG tiba-tiba buka semula kes ni sebab dia kata dia tak puas hati dengan sebahagian daripada laporan polis.
Jadi pendirian Najib sekarang ni adalah menunggu laporan siasatan kedua daripada AG.
“Adalah tidak adil bagi sesetengah ahli politik mensabitkan kerajaan dalam mahkamah pendapat awam sebelum fakta sebenar dikemukakan oleh pihak berkuasa yang sah iaitu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang bersifat dwipartisan.” – NajibRazak.com
Dalam hal Altantuya pulak, kes ni dah ditutup pada tahun 2015 lagi, tapi ia bukannya perbicaraan biasa-biasa, sebab ia mengambil 9 tahun untuk ditutup. Sepanjang perbicaraan, ada yang asyik bertukar cerita, ada yang hilang secara tiba-tiba, pastu keluar pulak balik. Najib kata yang kes ni dah ditutup dan pembunuh telah dijatuhkan hukuman. Sampaikan bekas PM sendiri, Pak Lah mengatakan yang Najib tak bersalah.
“…kes ini telah dibicarakan di mahkamah, dengan keputusan yang jelas dan hukuman yang dikenakan. Adakah mereka mempertikaikan sistem kehakiman yang diwujudkan mereka?” – NajibRazak.com
Tapi bagi sesiapa yang ikut isu-isu ni, korang mungkin perasan ada beberapa perkara yang tak disebut. Bukan pihak pembangkang dan portal berita online je yang mengatakan 1MDB satu jenayah, tapi juga beberapa dakwaan daripada Badan Kehakiman Amerika Syarikat, dan beberapa negara-negara lain yang dah mula menyiasat dan menahan pihak yang terlibat.
Dalam hal Altantuya pulak, laman antarabangsa Al Jazeera telah mengetengahkan tuduhan dan bukti bertahun-selepas kes tersebut ditutup, tetapi mahkamah tak ambil apa-apa tindakan pun. Tak lupa jugak, salah seorang daripada pembunuh yang dah disabitkan kesalahan masih lagi ada kat Australia, dan sedang memohon pengampunan diraja.
2. Najib jawab soalan yang kita tak terfikir pun nak tanya
Banyak sangat berita hangat yang keluar kat Malaysia ni, contohnya pasal perkahwinan Fattah Amin dan Fazura. Dengan berita penting macam tu, mungkin ramai yang dah lupa pasal pasal pembelian jet ‘baru’ lebih 2 tahun dulu, sebab tu la Najib nak ingatkan supaya kita tak baca benda lagha semata-mata.
Dulu pihak pembangkang ada mengkritik kerajaan sebab terlebih bayar sebuah jet yang tak diperlukan pun. Tapi Najib kata pihak pembangkang tak sebut pun bahawa pembelian tu adalah untuk menggantikan pesawat berusia 16 tahun yang dah kurang selamat untuk digunakan.
“Kos penyenggaraan pesawat lama adalah tinggi. Oleh itu, pesawat lama akan dilupuskan dan wang yang diperoleh kerajaan daripada penjualannya akan digunakan untuk mengurangkan kos pembayaran pesawat baharu.” – NajibRazak.com
Kata Najib lagi, pesawat tu juga akan digunakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, lagilah sebab kenapa keselamatan perlu diutamakan. Tapi dia tak jawab persoalan yang kerajaan bayar harga lebih tinggi daripada sepatutnya, atau sama ada sah ke tak untuk Perdana Menteri guna jet tersebut untuk percutian peribadi.
Najib turut menjawab kritikan yang mengatakan konsep 1Malaysia sama macam “Malaysian Malaysia” yang dikaitkan dengan Lee Kuan Yew sewaktu Singapura masih lagi sebahagian daripada kita. Malaysian Malaysia digunakan untuk menentang Artikel 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa kepada Bumiputera. Najib kata kalau betullah konsep ni sama, tak mungkin adanya usaha macam TERAJU yang dibangunkan untuk Bumiputera.
Satu lagi, Najib bidas khabar angin yang mengatakan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah meningkatkan kadar jenayah. Dia kata kadar jenayah dah turun ke 12.6%, dan jenayah ganas turun ke 13.4%. Sejuk hati bila dengar, tapi susah nak sahkan maklumat ni sebab statistik jenayah adalah dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi.
3. Najib rasa kita banyak sangat fokus kepada berita-berita buruk
Kadang-kadang bila banyak sangat berita negatif yang keluar pasal Malaysia, memang senang nak terlepas pandang mana yang sahih mana yang tak. Contohnya ada website yang mengatakan Malaysia sebagai negara kedua paling korup kat dunia! Tapi mengikut Transparency International pulak, kedudukan kita adalah di sekitar nombor 50 dari 176 buah negara.
Ada yang kata kerajaan guna GST untuk selamatkan projek-projek gomen yang gagal. Tapi Najib kata jumlah untung daripada GLC sebenarnya meningkat daripada RM9.9 bilion ke RM26.2 bilion dari 2004 ke 2015. Malah GLC20 Malaysia telah memberi pulangan yang lebih besar kepada pemegang saham (12.6%) berbanding pasaran saham KL (12.2%) dari 2004 ke 2015, jadi macam mana pulak projek yang dikatakan gagal ni boleh dapat banyak untung?
PM kata yang banyak penambahbaikan telah dibawa kepada rakyat Malaysia, dan kita mungkin terlepas pandang disebabkan berita-berita seputar alam ni semua. Dorang ada kumpulkan statistik kat bahagian Pencapaian, tapi kami perasan yang ada di antaranya disertakan tanpa konteks mahupun perbandingan. Jadi susahlah nak tau pencapaian tu bagus ke tak. Contohnya, 241,255 unit rumah mampu milik telah dibina sehingga April 2017, tapi nombor untuk tempoh sebelumnya tak disebut.
4. Pak Lah jugak yang jadi perbandingan tentang betapa buruknya keadaan negara dulu
Bila bercakap pasal prestasi sebagai PM, ada beberapa poin di mana Najib menyangkal dakwaan yang dia lebih teruk daripada Pak Lah.
“Dakwaan: “Pencapaian Najib sebagai presiden UMNO lebih buruk berbanding Pak Lah”
“Dakwaan: Apa salahnya meminta PM untuk turun. Dia telah membuat huru-hara yang lebih besar terhadap negara berbanding PM yang sebelumnya.”
Pak Lah jugak yang kena, tersedak-sedak dia. Walaupun tak berapa nampak di mata masyarakat, sebenarnya Pak Lah ada sumbangannya sendiri yang korang boleh baca kat sini.
5. Orang yang Najib paling banyak sebut adalah Tun Dr. Mahathir
Dalam bahagian Fakta ni, ada poin khas untuk menjawab tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Tun Mahathir. Tapi dalam poin-poin yang lain pun, memang nama Tun M yang paling kerap disebut, iaitu sebanyak 23 kali. Kitorang buat word cloud (daripada versi Bahasa Inggeris, sebab versi BM ni translate separuh jalan) dan ini hasilnya:
Kitorang pun kira perkataan untuk setiap isu yang diperkatakan (untuk versi Bahasa Inggeris), dan ini urutannya:
- Tun Mahathir: 1493 perkataan, 23 kali kena sebut
- GST: 942 perkataan, 24 kali kena sebut
- 1MDB: 606 perkataan, 14 kali kena sebut
- BR1M: 560 perkataan, 13 kali kena sebut
- Altantuya: 549 perkataan, 2 kali kena sebut
- Jet: 220 perkataan, 11 kali kena sebut
Tun Mahathir memang lantang bersuara terhadap kerajaan dalam pelbagai isu. Tapi dalam ramai-ramai pengkritik Najib, kerana dia sorang yang je yang kena sebut? Kenapa Najib obses sangat dengan Tun? Mungkin benci tapi masih dekat di hati, mungkin rasa berbulu tapi masih merindu? Apa pun, Najib terangkan kenapa dia kena jelaskan satu-persatu tuduhan ni semua:
“Dia boleh kata dia cuma mengamalkan hak demokratik sebagai seorang rakyat, tapi ini Tun Mahathir. Orang biasanya percaya apa sahaja yang dia kata, walaupun ianya tidak betul-betul tepat. Ia mempunyai kesan yang besar terhadap pandangan am, kerana dia bukanlah seorang rakyat yang biasa.”
Adakah korang rasa Najib betul-betul menjawab semua soalan?
Langkah PM dalam membuat kenyataan rasmi dalam isu-isu ini sememangnya dialu-alukan ke arah ketelusan dan kebertanggungjawaban. Sekurang-kurangnya sekarang kita yakin yang PM kita takdelah senyap je bila isu macam ni disebut-sebut, dan takdelah kita dengar orang-orang bawahan dia je yang tolong jawabkan.
Tapi, adakah korang fikir yang setiap isu ini dijawab sepenuhnya? Najib ada sebut macam mana pihak pembangkang tinggalkan beberapa aspek dalam tuduhan mereka. Tapi bila kami tengok jawapan yang dia bagi, kami pun rasa beberapa aspek masih tertinggal. Contohnya kenapa 1MDB bayar Abu Dhabi kalau takde sebarang salah laku, dan juga kenapa harga pejuang jet tu lebih mahal daripada yang sepatutnya?
Apa korang rasa? Bagitahu kami dan share pendapat korang!
- 805Share sekarang!
- Email103
- Facebook702
- Share