Sukan & Hiburan

Mula sebagai pengawal menteri Fasola hingga pengarah filem untung berjuta

Siapa sangka Yusof Haslam dah pun dilantik buat kali kedua untuk menjadi salah seorang ahli Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pertama kalinya dia dilantik pada zaman PM Najib Razak dari Ogos 2016 hingga Ogos 2017.

Buat kali keduanya, ia dilantik bermula 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022. Walaupun datang dari bidang perfileman, pelantikannya itu adalah bagi membantu menangani rasuah bagi semua bidang. Kini usia Yusof Haslam sudah pun 66 tahun, memang banyak cerita pasalnya berkaitan filem ni. Tapi korang mesti tak tahukan bagaimana ia bermula?

Konduktor bas selama 10 bulan sebelum berlakon sebagai pengawal Menteri Fasola

Waktu sekolah dulu, korang pernah ada pengalamankan cikgu tanya, ‘Apa cita-cita anda?’. Macam-macam jawapan hebat dan berwawasan jauh. Tapi, korang mesti terkejut kalau orang jawab, ‘Nak jadi bintang filem.’ Silap hari bulan akan digelakkan. Itulah yang berlaku kepada Yusof Haslam waktu sekolah dulu.

“Masa sekolah dulu bila saya kata nak jadi bintang filem, satu kelas gelakkan saya. Cikgu pun kata cari kerja lain seperti doktor dan sebagainya sebab jadi bintang filem masa depan tidak menentu.” – Yusof Haslam, petikan dari Sinar Harian

Gelak ramai-ramai

Pengalaman begitu tak patahkan semangatnya. Namun, dia bukanlah terus terjun ke dalam dunia lakonan. Lepas habis je belajar, dia bekerja sebagai konduktor bas selama 10 bulan. Dalam diam, dia telah pun menghadiri uji bakat lakonan.

Dia memulakan kerjaya lakonannya sebagai pelakon tambahan dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan P. Ramlee. Watak yang dipegangnya adalah salah seorang pengawal Menteri Fasola. Pada tahun 1975, dia mendapat tawaran berlakon filem di bawah arahan Jamil Sulong bersama pelakon terkenal, Uji Rashid. Waktu tu barulah dia sedar yang dunia lakonan hanya indah khabar dari rupa.

Entah pengawal yang mana satu. Gambar kabur dulu-dulu. Imej dari Youtube

Mula berlakon watak penting sebelum mencipta nama dengan filem Sembilu

Cabaran di dalam dunia lakonan tidak mematahkan semangat Yusof Haslam apabila dirinya terus diiktiraf dan dipilih untuk memegang watak penting di dalam beberapa filem. Antaranya filem-filem yang terkenal suatu masa dulu:

  1. Loceng Maut arahan Nas Achnas
  2. Cinta Dan Lagu arahan Jamil Sulong
  3. Sayang Anakku Sayang arahan Jamil Sulong
  4. Detik 12 Malam arahan S. Sudarmaji
  5. Tiada Esok Bagimu arahan Jins Shamsudin

Kacak lagi segak ye waktu muda. Imej dari Isu Isu Semasa

Watak paling diingati semestinyalah ketika dia berlakon sebagai MM Jaafar Hassan dalam filem Bukit Kepong arahan Jins Shamsudin yang ditayangkan pada tahun 1981. Padu tak padu filem ni, hinggakan ia menjadi filem pecah panggung dengan kutipan RM1.7 juta serta dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-3 pada tahun 1982.

Yusof Haslam beraksi dalam Bukit Kepong. Imej dari Iluminasi

Beberapa tahun kemudian, dia mula berjinak-jinak dengan dunia pengarah filem. Hasil buah tangannya yang pertama adalah melalui filem Bayangan Maut yang bergenre thriller aksi misteri dibintangi Ella pada tahun 1991. Dia terus mengorak langkah dengan filem Pemburu Bayang hinggalah tuah menyebelahinya dengan filem Sembilu pada tahun 1994 sebagai filem Blockbuster terlaris ketika itu.

Filem Sembilu pecahkan rekod 14 tahun kutipan tertinggi filem Adik Manja

Imej dari IMDB

Tahun 2019 adalah tahun sambutan 25 tahun filem Sembilu yang mengharumkan nama Yusof Haslam. Filem itu juga dilaporkan memberi impak besar kepada industri filem tempatan serta mengubah kehidupan peribadinya.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Bayangkan, dari tahun 1980, tiada satu pun filem yang berjaya mengalahkan kutipan filem Adik Manja lebih satu dekad hinggalah muncul filem Sembilu pada tahun 1994. Kutipan filem Adik Manja yang diterbiktan Shaw Brothers adalah berjumlah RM3.5 juta, manakala filem Sembilu pula mengutip RM4.39 juta ketika itu.

“Zaman Sembilu dulu orang beranggapan kalau hasilkan ‘love story’ boleh berjaya, tetapi itu bukan jaminan, sebaliknya bergantung kepada jalan cerita.” -Yusof Haslam, petikan dari Astro Awani

Imej dari tgraph.io

Untuk yang tak pernah tonton, filem Sembilu ini filem cinta yang dibintangi Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain. Dari filem cinta, Sembilu inilah, karya Yusof Haslam yang lain terus mendapat tempat di hati penonton dahulu apabila filem lainnya seperti Sembilu II, Maria Mariana dan Gerak Khas The Movie.

Kajian membuktikan sebab melodrama terbitan Yusof Haslam berjaya menambat hati penonton

(Bahagian ini banyak merujuk jurnal kajian bertajuk Kajian Terhadap Filem Melodrama Yusof Haslam tulisan Norhasiah Bt Husain)

Untuk pengetahuan korang, Yusof Haslam merupakan pengarah filem tempatan yang paling banyak menghasilkan filem melodrama. Melodrama ni maksudnya suatu filem yang mempunyai ciri sebagai satu plot yang dapat mengangkat emosi penonton. Ia juga adalah sesuatu yang tidak realistik dan berkaitan dengan cerita-cerita romantik.

Terdapat beberapa lagi pengarah tempatan yang sering membuat filem melodrama seperti Prof. Razak A. Mohaideen, Bade Hj. Azmi dan Khabir Bhatia. Namun, filem-filem mereka kurang menonjol kalau nak dibandingkan dengan filem yang dibikin Yusof Haslam.

“Dalam satu artikel yang dipetik daripada Utusan Malaysia pada 22 Ogos 2007, Dato
Yusof Haslam mengakui filem-filem melodrama beliau mempunyai persamaan dengan
filem-filem Bollywood.” – Petikan dari jurnal bertajuk Kajian Terhadap Melodrama Yusof Haslam

Imej dari Carousell

Sebenarnya, filem Yusof Haslam banyak menumpukan kepada persoalan kekeluargaan dan wanita. Setiap watak dalam filem arahannya mesti berhadapan dengan keadaan sosial macam menjadi mangsa keganasan dan juga pencabulan. Contohnya dalam filem Maria Mariana;

“Maria merupakan seorang kakak yang bertanggungjawab dan penyayang manakala Mariana hidup penuh dengan sosial, dan tiada pegangan hidup. Namun kehidupan Mariana berubah apabila dia berjumpa dengan seorang pemuda. Dia mula menggembirakan hati Maria dan ibunya. Tetapi, perubahan pada diri Mariana tidak berkekalan dan dia kembali kepada keadaan asal disebabkan tekanan sekeliling.” – Petikan dari jurnal bertajuk Kajian Terhadap Melodrama Yusof Haslam

Kebanyakan pelakon-pelakon dalam filemnya juga memegang watak yang sedih dan setia kepada cinta. Contohnya filem Sembilu;

“Erra Fazira yang memegang watak sebagai Watie yang sentiasa bersedih apabila mengenangkan kisah percintaannya bersama dengan Awie. Dia juga merupakan seorang yang setia terhadap cinta sehinggalah dia terpaksa berkahwin dengan Syamsul setelah kecewa apabila mendapat tahu Awie telah ditangkap khalwat dengan Ziana.” – Petikan dari jurnal bertajuk Kajian Terhadap Melodrama Yusof Haslam

Ciri-ciri ini dah menjadikan para penonton ketika itu dapat menerima filem-filem arahannya yang pandai menarik emosi penonton terutamanya golongan wanita.

Yusof Haslam sering dikritik sama ada ketika menjadi pengarah mahupun presiden persatuan

Sewaktu masih aktif menjadi pengarah, filem-filemnya tetap popular walaupun tak boleh diterima pengkritik dan sesetengah golongan terutamanya lelaki. Namun, dia dah buktikan yang dia berjaya menarik perhatian ramai orang untuk menonton filemnya.

Begitu juga ketika pernah memegang jawatan Timbalan Pengerusi FINAS dan Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM). Dia pernah dikritik kerana memisahkan kategori filem bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia sewaktu penganjuran Festival Filem Malaysia ke-28. Namun, dia tetap bertegas,

“Paksi kita Pesta Filem Malaysia ni ialah filem kebangsaan. Filem yang gunakan seratus peratus Bahasa Malaysia.” – yusof Haslam, petikan dari Kafe Ahad bersama Yusof Haslam

Nama Helmi bukan nama sebenar. Imej dari Beautifulnara

Apa yang paling diingati, dia sering dikritik atas dakwaan menggunakan pengaruhnya bagi mencalonkan filem-filem yang diarahkan anaknya sama ada Syamsul Yusof  atau Syafiq Yusof untuk memenangi anugerah. Namun, dia menafikannya dan menegaskan yang dia tak patut pegang jawatan besar kerana akan dikaitkan dengan konflik kepentingan.

Walau apa pun, kontoversi yang pernah berlaku berkaitan nama Yusof Haslam, tak dapat dinafikan bahawa dia telah menyumbang sesuatu dalam bidang perfileman negara. Sekarang, dia sekali lagi terpilih sebagai seorang ahli Panel Perundingan Pencegahan Rasuah SPRM. Setuju atau tak, kita harapkan ketegasannya dalam bidang filem dimanfaatkan juga di SPRM!

 

 

 

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend