Muhammad Asad: Bagaimana seorang Yahudi ini menjadi pemikir Islam agung

Dunia Islam melalui zaman yang mencabar sejak awal 1900an. Bermula dengan zaman penjajahan Barat hinggalah kejatuhan Empayar Islam Uthmaniah, umat Islam nampaknya berada dalam persimpangan.

Pada 12 Julai 2018 yang lepas, genaplah 118 tahun tahun kelahiran tokoh Dunia Islam Muhammad Asad (12 Julai 1900). Dia adalah insan hebat yang jarang – jarang kita kenal namanya. Apa yang menariknya dia bukanlah seorang Arab, tapi seorang Yahudi Eropah yang memeluk Islam. Dia juga seorang wartawan, penulis, pengembara, diplomat dan pemikir Islam agung, dia adalah Muhammad Asad.

Bagaimana dia boleh jadi seorang reformis dan pemikir Islam agung? Apa yang membuatkannya tertarik dengan Islam? Itu mungkin persoalan yang berlegar kat pemikiran kita sekarang. Oleh itu dengan rendah dirinya, SOSCILI kali ini akan menukilkan sedikit sebanyak mengenai insan hebat ini. Segalanya bermula apabila…

Asad berhijrah ke Palestin dan memeluk Islam

Muhammad Asad. Imej dari News Today Pakistan.

Muhammad Asad atau nama asalnya, Leopold Weiss dilahirkan pada 2 Julai 1900 di Lviv, Galicia (sekarang Ukraine). Dia boleh dikatakan membesar dalam keluarga yang berada dan kuat Yahudi, bila datuknya juga seorang rabbi. Apa yang menariknya, sejak remaja lagi Asad dah mula mengkaji Perjanjian Lama (Old Testament) macam kitab-kitab Yahudi lama.

Disebabkan minatnya yang mendalam dalam bidang kewartawanan, Asad tinggalkan pengajiannya kat Universiti Vienna dan berhijrah ke Berlin pada 1920. Dua tahun lepas tu pulak, dia berhijrah ke Palestin dan tinggal dengan pakciknya kat sana. Ketika inilah bermulanya pengembaraan Asad, bila dia jadi wartawan luar kat sebuah agensi berita (Frankfurter Zeitung).

Masa zaman Nazi, akhbar ni jadi satu-satunya akhbar yang tak ikut propaganda Nazi. Imej dari Heidelberger historische Bestände.

Dengan tugasnya tu, Asad dah mengembara ke Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Iran, Afghanistan, Syria, Iraq, Asia Tengah, malah selatan Rusia untuk berkenalan dengan dunia Islam. Dia jugak belajar Bahasa Arab dengan Shaikh Mustafa Marāghi yang lepas tu jadi Rektor Universiti al-Azhar. Disebabkan dia melihat kebenaran dalam Islam, Asad akhirnya memeluk Islam pada 1926.

“Demikianlah Islam telah masuk ke dalam lubuk hatiku, laksana seorang pencuri yang memasuki rumah di tengah malam. Hanya saja Islam telah masuk untuk terus menetap selama-lamanya, tidak seperti seorang pencuri yang masuk rumah untuk kemudian dengan tergesa-gesa keluar lagi.” – The Road to Mecca, dipetik dari Islamic Renaissance Front (IRF).

Asad dah menulis perjalanannya ini dalam autobiografinya ‘The Road to Mecca’ yang disifatkan oleh Times Literary Supplement sebagai sebuah ‘naratif yang kuat lagi indah’ (a narrative of great power and beauty).

Autobiografi Asad, yang menceritakan pengembaraannya. Imej dari ummahzone.com

Bagaimanapun, ada satu perkara yang menarik mengenai keislaman Asad. Asad tak macam mualaf lain yang nak tunjukkan mereka ini lebih Islam dari orang Islam. Tapi nampaknya Asad masuk Islam dan jadi seorang pemikir yang bersama-sama orang Islam lain memikirkan masalah umat. Itulah bezanya Muhammad Asad.

Kecewa dengan Arab Saudi dan berhijrah ke Pakistan

Disebabkan dia nak sangat tahu makna Quran yang sebenar, Asad dah menghabiskan masa yang lama untuk tinggal bersama-sama orang Arab Badwi di padang pasir. Perkara tu dibuat semata-mata untuk belajar Bahasa Arab klasik yang tak pernah berubah sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Asad juga berhijrah ke Arab Saudi dan mula berkenalan baik dengan Raja Abdul Aziz al-Saud.

Asad (dua dari kiri) masa kat Arab Saudi. Imej dari Islami City.

Bagaimanapun, Asad yang pada mulanya melihat Arab Saudi sebagai sebuah negara Islam contoh mula berasa kecewa dengan negara tersebut. Ini kerana, al-Saud yang diharapkannya menjadi penggerak kepada kebangkitan Islam tidak seperti yang diharapkan. Apatah lagi bila Arab Saudi jumpa minyak, sehingga membuatkan negara tu mula lari dari landasan Islam sebenar, yang disifatkannya sebagai materialistik.

Disebabkan itu, Asad berhijrah pula ke Pakistan dan berkenalan dengan Muhammad Iqbal (seorang reformis, penyair dan ahli falsafah). Masa kat Pakistan, Asad dilantik untuk memimpin Jabatan Pembangunan Islam (Department of Islamic Reconstruction), dia jugak jadi diplomat di Kementerian Luar Pakistan.

Muhammad Iqbal adalah tokoh utama penggerak penubuhan negara Pakistan. Dia jugak dikatakan yang pujuk Asad supaya tinggal kat Pakistan, bila Asad nak berhijrah ke Indonesia. Imej dari islam.ru

Dalam pada itu, Asad tak hilang statusnya pemikirnya bila dia menghasilkan tafsir hadis Sahih al-Bukhari (Sahih al-Bukhari: The Early Years of Islam). Tapi satu peristiwa tak disangka berlaku bila rusuhan terjadi di daerah Punjab, hingga menyebabkan rumahnya dibakar dalam rusuhan tersebut. Sebahagian karyanya yang dah siap itu turut musnah:

“Menurut Asad beliau melihat dengan matanya sendiri bagaimana helain-helain manuskripnya terapung di atas aliran Sungai Ravi di celah helain kitab-kitab Arab yang dikoyak bersama tinggalan perpustakaannya. Demikianlah kesudahannya kepada usaha lebih sepuluh tahun dalam menyiapkan manuskrip tersebut.” – Dipetik dari Islamic Renaissance Front (IRF).

Walaupun begitu, karyanya The Message of the Quran, sebuah kitab terjemahan al-Quran berjaya disiapkan dan diterbitkan. Karya ini mengambil masa selama 17 tahun untuk dilengkapkan. (boleh baca kat fail PDF)

Asad masa kat Pakistan. Imej dari martinkramer.org

Nasihatkan umat Islam jangan syok sendiri dengan sejarah silam

Sebagai seseorang yang lahir dan melalui zaman pergolakkan dunia. Asad jugak tak terlepas dari zaman keraguan dan penolakan agama sebagai panduan hidup. Disebabkan keadaan itulah menjadikannya sebagai seorang pemikir yang bertentangan dengan masyarakat ketika itu. Idea-ideanya nampak jelas lain dari yang lain.

Sebagai contoh, Walaupun Asad lantang mengkritik Barat tapi dia tak bertindak secara melulu. Ini kerana, dalam waktu yang sama, dia jugak percaya ada benda yang baik boleh diambil dari Barat. Lebih-lebih lagi, Asad yang masuk Islam itu sendiri berasal dari tradisi Barat.

“Protes terhadap pendidikan Barat bagi masyarakat Islam tidak sedikitpun bermaksud bahawa Islam menentang pendidikan seperti itu… Al-Quran sarat dengan tuntutan untuk belajar ‘supaya kamu menjadi bijaksana’, ‘supaya kamu berfikir’, ‘supaya kamu mengetahui’.” – Islam di Persimpangan Jalan, p58.

..bagi kaum yang (mahu) berfikir. Surah Ar-Ra’d, ayat 3. Imej dari surah.my

Asad juga menyeru umat Islam kembali kepada asas iaitu al-Quran dan Sunnah, bukannya melawan atau berperang dengan Barat, tapi umat Islam sepatutnya melihat dan tahu dengan kelemahan mereka sendiri. Asad sedaya upaya nak umat Islam tahu cara bagaimana mengubah nasib dan mengubat penyakit mereka yang dilihatnya sebagai bermasalah, kebelakang dan mundur.

“Islam tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan dan sains. Ia menghargai aktiviti intelektual manusia sehingga ke tahap untuk menempatkannya mengatasi malaikat” – Islam di Persimpangan Jalan, p59.

Asad dan isterinya Pola Hamida Asad ketika di Pakistan, 1957. Imej dari Wikipedia.

Realitinya, Asad seorang yang tak bermimpi dengan sejarah silam. Dia tak berminat nak mengagungkan sejarah kegemilangan Islam. Malah dia sendiri kata yang kita sekarang ni takde hak nak berbangga dengannya:

“Saya tidak menyebut hal ini (sejarah kegemilangan Islam) supaya kita dapat berbangga dengan memori gemilang itu pada masa ketika dunia Islam telah meninggalkan tradisinya sendiri dan kembali kepada kebutaan spiritual dan kemiskinan intelek. Kita tiada hak, dalam kenaifan kita sekarang, untuk bermegah dengan keagungan masa silam.” – Islam di Persimpangan Jalan, p59

Bila kita baca ayat ini, ia cukup tajam menucuk isi hati umat Islam hingga ke hari ini, walaupun Asas terbitkan buku ni pada 1934. Kerana itu jugalah baginya tidak salah untuk kita belajar dari Barat kerana Barat juga dulu pernah belajar dari tamadun Islam yang akhirnya membuahkan Ranaisans. Cuma bezanya Barat tak mengubah budaya dan cara hidup diorang.

“Kita pastinya dapat menerima rangsangan baru dari kebudayaan luar, tetapi kita tidak boleh menggantikan rangka struktur Islam yang sempurna dengan apa jua yang bukan Islamik, baik ia datang dari Barat atau dari Timur.” – Islam di Persimpangan Jalan, p106.

Zaman kegemilangan Islam menyaksikan dunia Islam menguasai segala ilmu. Imej dari danieltoker.com

Mengkritik ulama yang berfikiran sempit dan ditakuk lama

Macam mana yang dah dikatakan tadi, Asad masuk Islam bukan sekadar masuk je, tapi dia bersama-sama memikirkan masalah umat yang dilihatnya memang ada yang tak kena. Asad berfikir yang umat Islam perlu berubah mengikut zaman dengan kembali kepada Islam sebenar dan bukannya jadi umat yang mundur.

“Keadaan budaya dan sosial yang kacau bilau yang kita tempuhi sekarang dengan jelas menunjukkan bahawa kekuatan pengimbang yang dulu bertanggungjawab bagi keagungan dunia Islam hampir punah hari ini.” – Islam di Persimpangan Jalan, p106.

Asad menyampaikan kuliah radio di Pakistan. Imej dari Your Middle East.

Kerana itulah Asad menyifatkan umat Islam ketika itu (mungkin hingga ke hari ini) mengalami ‘kebekuan pemikiran‘ tentang ajaran Nabi Muhammad SAW, yang menyebabkan kelemahan mereka. Kerana itu Asad lantang mengkritik tindakan umat Islam yang ‘mengikut cara lama’ sedangkan Islam menggalakkan pengunaan akal yang dikurniakan Allah SWT.

Keadaan yang menyedihkan ini tak boleh dinafikan juga disumbang oleh golongan ulama konservatif yang tak mahu berubah:

“Lantaran kejahilan umat Islam tentang ajaran Islam yang sebenar – sebahagian besarnya disebabkan pemikiran sempit daripada apa yang digelarkan kelas ulama…” – Islam di Persimpangan Jalan, p67.

Bagi Asad golongan ulama ini membawa pemikiran lama sedangkan pentafsiran al-Quran dan Sunnah adalah besar dan luas. Ini kerana semakin banyak pengetahuan dunia kita, semakin bertambah tafsiran baru yang sebelumnya itu tersembunyi.

“Mengikut secara membuta tuli orang yang terdahulu atas dasar bahawa mereka adalah golongan as-salaf as-soleh (para ulama terawal) dan terperangkap  dengan ijtihad mereka yang bersesuaian dengan zaman mereka telah mengakibatkan Islam yang tidak dapat membebaskan manusia daripada belenggu taqlid (pendapat tanpa hujah & dalil), apatah pula untuk membangunkan kemanusiaan. –  Dipetik dari Islamic Renaissance Front (IRF).

Asad juga dipengaruhi oleh pemikiran Muhammad Abduh (reformis Islam). Imej dari Alchetron.

Mungkin kita boleh kaitkan perkara ini dengan apa yang pernah diperjuangkan oleh reformis dan ulama, Syed Syeikh Al-Hadi di negara kita dahulu. [boleh baca artikel kami tentang reformis Islam di Tanah Melayu/Nusantara kat sini]

“Ulama tradisional berpegang, seorang lelaki Muslim bersolat mesti mengenakan kain sarung, baju dan memakai kopiah tetapi Syeikh Al-Hadi berpendirian, seorang lelaki Muslim boleh bersolat selagi beliau memakai pakaian yang menutup tubuhnya dari pusat ke lutut. Ini termasuk memakai seluar, kot, kemeja dan tali leher.

“Pendapat ini menjadi kontroversi hebat dalam kalangan masyarakat ketika itu dan hanya diterima umum selepas lewat tahun 1960-an.” – dipetik dari Utusan Malaysia.

Dua orang reformis Nusantara. Syed Sheikh al-Hadi (kiri) dan Syeikh Tahir Jalaluddin (kanan). Imej asal dari Penang Travel Tips & Daulah Rakyat.

Jika Syed Sheikh Al-Hadi (reformis Islam Nusantara) dipengaruhi pemikiran Muhammad Abduh (reformis dunia Islam), Asad juga tak terlepas dari pengaruh Muhammad Abduh. Kerana itulah Asad mengkritik ulama konservatif yang mindanya tertutup dan kegagalan ulama-ulama ini memberikan maksud sebenar Islam, tapi hanya tahu nak menuduh Barat tanpa mengkaji masalah sebenar yang dihadapi.

Jangan lihat Muhammad Asad, hanya sebagai ‘Yahudi yang masuk Islam’

Melihat dari zaman dulu hingga sekarang, hubungan Yahudi dan Islam selalunya memang nampak jelas tak baik. Lebih-lebih lagi muncul banyak teori ‘agenda Yahudi’ yang kita selalu dengar. Kerana itu jugaklah Asad selalunya digambarkan sebagai seorang Yahudi yang memeluk Islam, sedangkan dia lebih dari itu iaitu sebagai seorang pemikir dan reformis.

“Yang diulang-ulang itu apa? Dia itu Yahudi, Yahudi yang masuk Islam. Dah lah Yahudi, Eropah lagi. Itulah yang sibuk diperkatakan, keyahudian yang masuk Islam” – Dr Azhar Ibrahim, Seminar Pemikiran Reformis – Siri IV: Muhammad Asad.

Dr Azhar Ibrahim, pensyarah di National University of Singapore. Ketika di seminar Pemikiran Reformis – Siri IV: Muhammad Asad. Imej dari Youtube.

Perbezaaan Asad boleh dilihat apabila orang lain sibuk bercakap nak membina negara Islam. Sedangkan Asad tak bercakap pasal itu, tapi bercakap tentang ciri-ciri apa yang membuatkan status negara Islam itu tercapai. 

Apatah lagi ketika itu adanya 2 golongan iaitu mereka yang terlalu kagum dengan Barat sampai menolak tradisi Islam seperti ‘Young Turk’. Manakala yang lagi satu pulak adalah agamawan konservatif  yang didukung oleh al-Saud. Asad tidak sama seperti golongan-golongan ini kerana dia adalah pemikir yang rasional dan seorang yang mengangkat Islam ke tempat yang tinggi.

“Kami menganggap Islam sebagai lebih unggul dari sistem-sistem agama yang lain kerana ia mendakap kehidupan secara keseluruhannya. Ia mengambil dunia dan akhirat, jiwa dan tubuh, individu dan masyarakat, dengan setara dalam perkiraan.” – Social and Cultural Realities of the Sunnah.

Anaknya, Talal Asad kini menjadi ahli antropologi di Graduate Center of the City University of New York. Imej dari Critical Inquiry.

Masih ada harapan untuk kita kembalikan kegemilangan Islam

Walaupun begitu, Asad dalam hidupnya penuh dengan kekecewaan. Pada mulanya dia kecewa dengan Arab Saudi yang diharapkan dapat menjadi sebuah negara Islam contoh. Tapi akhirnya, dia masih lagi kecewa dengan Pakistan yang juga tak menjadi sebuah negara Islam seperti mana yang dia harapkan.

Hal ini jadi apabila berlakunya kemunduran intelektual, kebangkitan ekstremisme dan penindasan Pakistan terhadap kaum minoriti yang sangat megecewakan Asad. Mungkin kalau sekarang Asad masih hidup, dia lagi kecewa bila tengok Pakistan dan dunia Islam itu sendiri.

“Setengah dari kemiskinan dunia didapati di negara-negara Muslim, 80% pelarian dunia sekarang ini adalah orang Islam, buta huruf di negara-negara Islam adalah tertinggi, ketiadaan kestabilan politik (kebanyakannya) di negara Islam. Rasuah, hanya 4 dari 48 negara Muslim yang kurang rasuah, hak asasi manusia masih diabaikan di negara-negara Islam.

Pemerkosaan paling tinggi adalah di negara-negara Islam yang menjalankan undang-undang Islam, 90% dari pemandu-pemandu lori di Pakistan mengadakan hubungan tidak baik dengan lelaki-lelaki di bawah umur. Ini apa yang dihadapi oleh negara-negara Islam.” – Dr Fadlullah Wilmot, Pengarah, Islamic Relief Australia, dipetik dari Seminar Pemikiran Reformis – Siri IV: Muhammad Asad.

Klik imej untuk baca artikel kami tentang Iqbal Masih yang jadi mangsa buruh kanak-kanak di Pakistan.

Walaupun Asad pernah menyeru umat Islam supaya tak syok sendiri dengan kegemilangan sejarah Islam. Tapi dalam hayatnya, Asad tak pernah berputus asa mempertahankan cita-cita Islam, identiti orang Islam dan terus berharap yang kita sebenarnya masih ada peluang untuk mengembalikan kejayaan Islam.

Asad memberikan beberapa syarat kepada umat Islam jika mereka nak membina kegemilangan dunia Islam sekali lagi:

“Apa yang harus kita perbaharui adalah sikap kita terhadap agama, kemalasan kita, keangkuhan diri kita, kepicikan (kekurangan) kita – pendeknya, kekurangan kita dan bukan kononnya sebahagian dari kekurangan Islam.” – Islam di Persimpangan Jalan, p106.

“Langkah pertama kita harus menggugurkan jiwa ‘apologis’ itu bagi Islam, yang hanya merupakan nama lain bagi kekalahan intelektual.”  – Islam di Persimpangan Jalan, p108.

Asad akhirnya membawa diri ke Mijas, Sepanyol di akhir hidupnya. Berikut adalah antara karya-karya Muhammad Asad:

  1. Islam at the Crossroads (Islam di Persimpangan Jalan).
  2. The Message of the Qur’an (terjemahan Quran).
  3. The Road to Mecca (autobiografi Muhammad Asad).
  4. The Principles of State and Government in Islam.
  5. Sahih Al-Bukhari: The Early Years of Islam (tafsir hadis).
Wajah Asad di stem Pakistan. Imej dari stampsociety.org

Asad menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 91 tahun pada 1992 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Granada, Andalusia, Sepanyol. Sumbangannya kepada dunia Islam adalah sangat besar dan kita sebagai umat Islam hari ini bertanggungjawab mengkaji, mencari dan merealisasikan cita-citanya untuk melahirkan umat Islam yang berfikir.

[Artikel ini banyak merujuk buku Islam at the Crossroads (Islam di Persimpangan Jalan) dan artikel-artikel dari Islamic Renaissance Front (IRF)]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.