Sejarah & Politik

Kassim Ahmad: Insan kontroversi yang berubah ke Islam dan mengecam Hang Tuah

UPDATE [10/10/2020] – Pada tarikh ini, genaplah tiga tahun pemergian Kassim Ahmad, seorang pemikir, ahli falsafah dan sasterawan kontroversi Malaysia. Beliau meninggal dunia pada jam 10 pagi di Hospital Besar Kulim akibat masalah jangkitan paru-paru.

__________________________________________________________

Nama yang SOSCILI nak bincangkan kali ni merupakan satu nama yang agak kontroversi. Walaupun mungkin ada di kalangan kita yang melabelkannya sebagai ‘anti hadis’, tapi sebenarnya banyak lagi yang kita boleh belajar darinya. Dia adalah pemikir, ahli falsafah, sasterawan, bekas tahanan ISA dan bekas ahli politik – Dr Kassim Ahmad atau juga dikenali sebagai Pak Kassim.

Terus berfikir…Imej dari The Star.

Pak Kassim dilahirkan di Kampung Kubang Tampang, Kedah pada 9 September 1933. Bapanya seorang guru agama dan ibunya pula seorang suri rumah yang membantu keluarga dengan menjual kuih. Dia mula mendapat pendidikan formal di Sekolah Melayu, Kampung Bujang, Kedah sebelum berpindah ke Sekolah Melayu Bandar Baharu.

Seperti yang dijangka, Pak Kassim ni sebenarnya seorang yang bijak dan selalu dapat markah cemerlang. Dia jadi antara 4 orang pelajar terbaik di seluruh negeri Kedah. Disebabkan tu, dia diterima masuk ke Kolej Sultan Abdul Hamid. Bagi Pak Kassim, dia bertuah sebab bapanya cekal dan berusaha bersungguh-sungguh nak masukkan dia ke kolej tu.

“Saya teringat peristiwa ayah saya yang tidak dibenarkan oleh datuk saya, Lebai Ishak, belajar di sekolah menengah Penang Free School di Pulau Pinang dalam tahun 1905 kerana takut dipengaruhi oleh ajaran Kristian.

____

Bapa saya, agaknya, telah serik dengan sikap ini dan awal-awal lagi telah bertekad untuk menghantar saya ke sekolah Inggeris.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 40-41.

Imej dari Giphy.

Sebenarnya, perkara yang bapa Pak Kassim lalui tu dah berlaku sejak beratus tahun dulu. Abdullah Munsyi dalam Hikayat Abdullah (disusun oleh Pak Kassim) ada cerita pasal sikap ibu bapa Melayu yang takut anak-anak mereka dapat pendidikan moden.

Masa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Pak Kassim banyak habiskan masa dengan membaca buku, terutamanya buku-buku analogi sajak dan novel. Tapi masa tu juga sikapnya yang selalu bersaing nak dapat tempat terbaik dalam kelas mula pudar. Ini kerana, minat Pak Kasim dah mula kuat dalam sastera dan politik. Perkara ni jadi sebab dia mula bergaul dengan golongan wartawan dan pemimpin-pemimpin pelajar.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

“Dari sini mulalah minat saya terhadap pelajaran merosot. Saya lebih banyak membaca karya-karya sastera dan buku-buku politik dan agama.

____

Pada waktu ini juga angin perjuangan nasionalis anti-kolonial di Malaya dan Indonesia mula meniup masuk ke dalam jiwa saya dan mempengaruhi saya.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 47.

Walaupun minat Pak Kassim dalam pelajaran mula merosot, tapi dia tetap berjaya masuk ke Universiti Malaya (di Singapura masa tu). Masa di sana, antara pensyarahnya adalah pendeta Za’ba dan antara kawan baru yang dia dapat adalah Syed Naquib Al-Attas.

Pak Kassim & Prof Syed Naquib Al-Attas masa kat Institut Antarabangsa Pemikiran Islam Dan Tamadun (ISTAC). Imej dari Mencari Jalan Pulang, Daripda Sosialisme Kepada Islam.

Mula masuk dalam gerakan sosialis dan ditahan di bawah ISA

Masa di Universiti Malaya, Pak Kassim mula habiskan masa dengan membaca pelbagai buku politik, sejarah, agama dan falsafah. Masa ni jugalah dia mula berkenalan dengan tulisan-tulisan Ibn Khaldun, Karl Marx, Friedrich Engles, Vladimir Lenin, Muhammad Iqbal dan sebagainya.

“Zaman ayah saya dan saya satu zaman yang penuh dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang besar. Pada zaman inilah berlaku kebangkitan Asia dan kehancuran sistem kolonial yang lama; kemunculan sistem sosialis di Rusia dan China; Perang dunia pertama dan kedua; pengeboman kota Hiroshima dan Nagasaki dengan bom atom oleh Amerika Syarikat;

_____

Kemunculan negara-negara baru yang merdeka di Asia, Asia Barat dan Afrika, sesetengahnya memilih sistem demokrasi Barat, seperti India dan Malaysia dan sesetengahnya memilih sistem sosialis seperti Mesir, Libya, Iraq dan Vietnam.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 82.

Dari kiri: Gamal Nasser (Mesir) & Gaddafi (Libya) memilih sosialisme sebagai sistem dalam negara mereka. Imej dari thedailybeast.com

Pak Kassim mengatakan yang masa tu dia bersimpati dengan rakyat miskin, bukan je sebab dia datang dari keluarga miskin, tapi juga kerana Islam dan falsafah hidup yang dia tengah cari. Kerana itu jugalah dia jadi ahli Kelab Sosialis, Universiti Malaya. Lepas tamatkan pengajian di Universiti Malaya, Pak Kassim pergi ke London dengan menjadi pensyarah di School Of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London.

Setelah empat tahun di sana, dia balik ke Malaya sebab tak puas hati dengan cara kemerdekaan yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman ketika itu. Pak Kassim anggap yang Malaya masa tu masih ada sisa-sisa kolonialisme dalam dasar pemerintahan dan ekonominya. Jadinya, dia masuk Parti Rakyat Malaya/Malaysia (PRM) dan membawa falsafah sosialisme. Bagi Pak Kassim sosialisme adalah:

“Satu ideologi politik moden yang bertujuan untuk menghapuskan penindasan bangsa dan kelas dan mewujudkan satu masyarakat adil, makmur dan maju… tujuan-tujuan sosialisme itu sama sekali tidak bertentangan dengan tujuan-tujuan asal tiap-tiap agama.” – Dr. Kassim Ahmad, dipetik dari Sosialisme dan Agama.

Pak Kassim masa kat Kongres ke 13, Parti Rakyat Malaysia (PRM). Imej dari Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam.

Walaupun begitu, Pak Kassim hanya terima semangat falsafah sosialisme, tapi menolaknya sebagai ajaran agama baru di dunia. Dengan itu pada tahun 1970-an, dia jadi antara orang yang lantang mengkritik golongan yang menolak sosialisme. Dia juga mengkritik golongan agama konservatif yang menentang gerakan progressif. Pak Kassim percaya dengan sistem sosialis, ia boleh mengawal pemilikan harta individu dan menghalang individu tertentu dari mengumpul kekayaan melampaui batas.

Disebabkan perkara tu, Pak Kassim masuk PRM yang masa tu dipimpin oleh nasionalis Ahmad Boestamam. Tapi pada mulanya Pak Kassim hanya jadi ahli biasa je dan hanya pada tahun 1968 dia dilantik menjadi Ketua Umum PRM. Nama PRM jugak ditukar kepada Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).

“Pendirian parti yang telah dirumuskan dari awal ialah kita mahu membangunkan sebuah negara yang bebas, merdeka dan adil, khasnya kepada rakyat bawahan: kaum buruh, petani kecil dan sederhana.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 148.

Tapi perjuangan Pak Kassim dalam politik mula terganggu bila dia ditahan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama lima tahun dari 1976 sampai 1981. Selain Pak Kassim – Dr Syed Husin Ali, Abdullah Majid dan Abdullah Ahmad (Dollah Kok Lanas) juga ditahan sama. Tapi bila Dr Mahathir jadi Perdana Menteri, mereka semua dibebaskan.

Lepas keluar dari ISA, pandangan dan pegangan Pak Kassim terhadap sosialisme mula berubah. Dia mula kembali ke Islam yang dia gambarkan sebagai ‘Jalan Lurus’. Akhirnya Pak Kassim ambil keputusan keluar dari PSRM dan masuk UMNO pada 1986.

“Pada waktu ini, saya telah kembali kepada ‘Jalan Lurus’ Islam dan menolak ‘jalan-jalan yang menyeleweng’ falsafah liberalisme, falsafah marxisme dan teokrasi.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 172.

Pak Kassim dengan tahanan ISA lain, masa sambut Hari Raya Haji 1980. Imej dari Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam.

Baginya, al-Quran adalah sumber pertama dan utama dalam Islam

Dalam pemahaman Pak Kassim, Islam terbahagi kepada dua jenis iaitu Islam sebenar dan ‘Islam baka’. Baginya, kebanyakaan umat Islam hari ini termasuklah orang Melayu tergolong dalam ‘Islam baka’ iaitu Islam yang diwarisi dan diikut dari nenek moyang. Malah katanya, empat imam besar yang memunculkan aliran mazhab juga adalah Islam baka.

Tambahnya lagi, orang Melayu kebanyakannya tak bagi keutamaan dalam memahami al-Quran. Sebaliknya, mereka selalu baca al-Quran dalam bahasa Arab yang mereka sendiri tak faham dan juga suka melagukan (taranum) bacaan al-Quran daripada memahami makna al-Quran yang sebenar.

“Ayah saya seorang guru agama… Beliau tidak pernah menyuruh saya membeli sebuah terjemahan Quran supaya saya baca dan faham sumber pertama ajaran Islam ini. Kemudian apabila saya di sekolah menengah Kolej Sultan Abdul Hamid di Alor Star, guru agama saya ialah Guru Besar Ma’had Sheikh Abdul Halim.

______

Saya suka mendengar huraian beliau dan saya tidak pernah ponteng kelas beliau yang diadakan seminggu sekali. Beliau juga tidak pernah menyuruh saya mendapatkan sebuah terjemahan Quran untuk dibaca dan difaham. Jelaslah ini satu tanda umat Islam sendiri menyembunyikan Quran itu daripada diri mereka!” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 177.

Imej dari Giphy.

Kerana itulah, bagi Pak Kassim umat Islam hari ini khususnya mereka yang tak faham bahasa Arab dan hanya membaca/melagukan bacaan Quran sebagai orang yang membelakangkan Quran. Akhirnya mereka ni jadi orang yang hanya suka ikut orang ramai dan takut nak berhadapan dengan kebenaran.

Terjemahan Quran pertama yang dibaca oleh Pak Kassim adalah terjemahan Quran bahasa Inggeris oleh Maulana Muhammad Ali. Lepas tu, dia juga mula baca pelbagai lagi terjemahan Quran macam dari Yusuf Ali, Marmaduke Pickthall dan Mahmud Yunus. Pak Kassim juga mula baca buku karangan Dr Rashad Khalifa dan mula berkenalan dengannya.

Rashad Khalifa sebenarnya seorang yang agak kontroversi bila dia ada perkenalkan kod 19 dalam pentafsiran al-Quran. Kod 19 ni juga dianggap sesat oleh kebanyakan ulama. Selain tu, Rashad Khalifah turut menolak hadis secara total dan kata hadis sebenar adalah al-Quran. Dalam hal ni, Pak Kassim terima kod 19, tapi tak terima pendapat Rashad yang tolak hadis secara total.

Akhirnya, Rashad mengaku yang dia ni rasul. Walaupun macam tu, Pak Kassim tak terima pengakuan Rashad, kerana dia masih berpegang kepada kedudukan Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasul yang terakhir.

Dr. Rashad Khalifa meninggal dunia pada 1990, akibat dibunuh. Imej dari linkedin.com

Bagi Pak Kassim, Quran adalah sumber pertama dan utama dalam Islam. Kesilapan umat Islam pada hari ini adalah bila kita mula menganggap imam-imam besar sebelum kita sebagai mereka yang tak boleh dicabar dan ‘kudus’. Pak Kassim turut…

Menolak hadis yang bertentangan dengan al-Quran

Inilah yang menjadikan Pak Kassim sebagai seorang yang penuh kontroversi. Pada tahun 1986, buku tulisannya, ‘Hadis Satu Penilaian Semula‘ dah membuatkan satu Malaysia kecoh, sehingga ia diharamkan.

Maka muncullah label terhadapnya sebagai seorang anti-hadis. Walaupun macam tu, Pak Kassim menafikan dirinya anti-hadis, sambil menegaskan yang dia hanya menolak hadis yang bertentangan dengan al-Quran dan terima hadis yang tak bertentangan dengan sumber Islam paling utama itu.

“Mereka cap saya ‘anti-hadis’ walaupun saya tidak menolak semua hadis. Saya hanya menolak hadis-hadis yang terang-terang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran. Bagi saya Quran itu al-Furqan, neraca kepada semua ajaran. Tidak ada ajaran yang boleh mengatasi ajaran Quran.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 64.

Pak Kassim dan buku kontroversinya. Imej dari al-ahkam.net

Dalam hal ni, Pak Kassim mendakwa yang kitab-kitab hadis sahih tak mengandungi kata-kata atau perbuatan Nabi Muhammad, sebaliknya hanya tekaan dan agakkan terhadap apa yang diucapkan dan dilakukan Nabi melalui imam-imam besar yang mengumpul hadis. Malah katanya – ada hadis sahih yang melarang dan juga yang membenarkan penulisan hadis.

“Sebuah yang melarang berbunyi: “Abi Sa’id Al-Kudri melaporkan bahawa Rasulullah telah berkata, ‘Jangan menulis sesuatu daripadaku selain Quran. Barangsiapa menulis sesuatu selain Quran hendaklah memadamnya’. (Riwayat Muslim dan Ibn Hanbal).

____

Sebuah yang menyuruh pula berbunyi: “Abdullah bin Amr melaporkan bahawa Rasulullan telah berkata, ‘Sebarkanlah daripadaku walaupun satu ayat… Barangsiapa mendustakan aku dengan sengaja, bersedialah ia untuk duduk dalam neraka’. (Riwayat Bukhari). M. Hamidullah berhujah mengatakan larangan itu disebabkan oleh keadaan tertentu dan kemudian dimansuhkan. (Sahifah Hamam Ibni Manabih, h. 100-03). Hujah ini lemah. – dipetik dari kassimahmad.blogspot.

Dalam hal larangan Nabi dalam menulis hadis, ulama berhujah yang larangan tu hanya ada pada zaman awal Islam. Sebab masa tu umat Islam masih sibuk dengan al-Quran dan takut timbulnya rasa bimbang masyarakat yang tak dapat bezakan antara ayat al-Quran dan hadis. Tapi bila umat Islam mula ramai dan mampu bezakan al-Quran dan hadis, kebenaran menulis hadis mula diberikan.

Di samping itu, dia juga mempersoalkan hadis yang bertentangan dengan al-Quran seperti hukuman zina yang dihukum seratus rotan dalam al-Quran, tapi dalam hadis pula kata yang hukuman tu hanya untuk mereka yang belum kahwin dan dah kahwin kena dihukum rejam. Dia kemudiannya tampil menulis sebuah lagi buku yang menjawab tuduhan anti-hadis terhadap dirinya.

Pak Kassim antara mereka yang mengkagumi Saddam Hussein (membelakangkan kamera). Imej dari Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam.

Walaupun begitu, buku Hadis: Satu Penilaian Semula dah pun difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Sebab yang diberikan adalah buku ini sangat bercanggah dengan aqidah dan ajaran Islam. Orang ramai jugak dilarang dari memiliki buku tersebut.

Para ulama perlu jawab hujah Pak Kassim, bukan hanya menghukum

Dalam hal berkait dengan polemik yang timbul ini, ada di kalangan ulama yang berpandangan supaya segala yang dibangkitkan oleh Pak Kassim tu dijawab oleh para ulama. Sebab, tindakan mengharamkan bukunya memang baik, tapi ia belum tentu boleh menyelesaikan masalah.

Kita mesti bangun dan jawab, intellectual discourse… Anti hadis datang dengan beberapa hujah, yang sebahagiannya mempengaruhi orang lain.” – Dr Asri Zainul Abidin.

Selain tu, menurut pendakwah, Ustaz Hasrizal pula, orang seperti Pak Kassim juga muncul kerana kesilapan dan kegagalan para agamawan (ulama). Ini kerana, kebanyakkan agamawan tak mahu jawab soalan-soalan yang ditanya kepada mereka dan ada juga sealunya terus menghukum tanpa mengkaji keadaan.

“Kassim Ahmad (masa muda) sebagai seorang anak muda yang berfikir dengan berani, yang berfikir dengan dinamik, dia telah dikecewakan oleh ustaz-ustaz dan agamawan-agamawan yang tak dapat jawab persoalan-persoalan yang beliau timbulkan. Jadi dia ada pengalaman, ustaz-ustaz ini berlagak, sombong, tapi tak reti jawab dan dia tak suka dengan ustaz-ustaz ini.

______

Mula-mula dia tak suka dengan ustaz-ustaz, bila dah makin tinggi ilmunya, dia tak suka dengan alim ulama dan lagi lama, tinggi lagi, dia juga mempertikaikan perawi hadis yang juga merupakan ulama di tahap yang tertinggi. Maknanya, menolak perawi-perawi hadis itu bermula dengan akar umbi iaitu kecewa dengan orang agama. Jadinya kita dan orang agama kena insaf.” – Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Ustaz Zamihan… tak baik macam tu…

Oleh demikian, pemikiran Pak Kassim bukanlah satu pemikiran yang kita boleh tutup begitu saja, tapi ia merupakan cabaran kepada masyarakat dan agamawan pada masa kini.

“Memberi label dan mengecap orang apabila kita tidak bersetuju dengannya memanglah satu cara orang yang tidak sanggup berhujah. Terima sahajalah apa yang didakwa oleh mereka tanpa berfikir. Jangan guna akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kerana ini kononnya dilarang oleh agama Islam. – Tun Dr Mahathir, dipetik dari chedet.cc

Bukan sekali Pak Kassim timbulkan kontroversi

Sebelum Pak Kassim dengan kontroversi hadisnya, dia dah pun timbulkan kontroversi bila mengangkat watak sejarah Hang Jebat sebagai wira sebenar. Ini kerana, Hang Jebat seorang yang berprinsip, walaupun akhirnya dia terpaksa menentang sultan.

“Kesetiaan mutlak kepada raja atau sesuatu pemerintahan itu, seperti yang ditunjukkan oleh Hang Tuah tidak betul. Kesetiaan kita mestilah kepada kebenaran dan keadilan. Oleh sebab itu, saya mengecam Hang Tuah dan menyanjung Hang Jebat.” – Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 112.

Menurut Tokoh Wartawan Negara, Zainuddin Maidin, cara tafsiran Pak Kassim terhadap al-Quran dan hadis tak akan dapat lari dari jiwa sosialisme dan marxisme yang pernah dia jiwai.

“…pada pemerhatian saya, Kassim yang menjiwai sosialisme dan Marxisme tidak dapat lari dari aliran pemikirannya itu dan mentafsirkankan Al Quran dari kaca mata dan pemikiran Marxist. Hal ini berlaku di luar kesedarannya sendiri.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, dipetik dari zamkata.blogspot.

Pak Kassim dalam satu dialog dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Imej dari Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam.

Kesimpulannya, prinsip yang dipegang oleh Pak Kassim adalah berpegang pada kebenaran (menurut pandangannya) walaupun dia mungkin akan berbeza pendapat dengan orang lain. Sebagai seseorang yang dah melalui banyak zaman dunia, kini cukuplah al-Quran sebagai panduan hidupnya.

“Tapi pada mula dan akhir, saya mengatakan Tuhanlah guru saya, selaras dengan firman-firman-Nya: ‘Dia mengajar dengan pena. Dia mengajara manusia apa yang tidak mereka ketahui’ (96:4-5).” -Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam, m/s 184.

Untuk pengetahuan, pada sekitar tahun lepas – sebuah buku tentang kehidupan Pak Kassim telah diterbitkan iaitu ‘Autobiografi Seorang Pemberontak’ atau versi bahasa Inggerisnya – ‘An Autobiography of a Rebel’. Kepada yang berminat nak tahu lagi tentang Pak Kassim, boleh dapatkan buku ni di kedai buku Gerak Budaya atau secara online di sini.

 

*Artikel ini banyak merujuk buku, Mencari Jalan Pulang, Daripada Sosialisme Kepada Islam (tulisan Dr Kassim Ahmad) dan blog Pak Kassim: kassimahmad.blogspot.my

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend