Dua hadis yang pernah diwasiatkan oleh Sultan Melayu kepada pengganti baginda

Salah satu manuskrip Melayu yang cukup terkenal dan menjadi rujukan utama sehingga ke hari ini adalah Sulalatus Salatin atau dikenali juga sebagai Sejarah Melayu. Sulalatus Salatin adalah dua perkataan Arab iaitu sulalah bermaksud rangkaian atau rantaian dan salatin bermaksud sultan/orang berkuasa (pemerintah). Jadinya, judul manuskrip ni membawa maksud “rantaian salasilah sultan-sultan yang memerintah”.

Tentang siapa yang menulis manuskrip ni, ada pengkaji kata ia sebenarnya dikarang oleh Tun Bambang dan bukannya Tun Seri Lanang. Bagaimanapun, pandangan umum pengkaji tetap mengatakan yang kitab salasilah ni dikarang oleh Tun Seri Lanang. Apa yang pasti, mereka semua setuju yang ia dikarang ketika Portugis sedang menjajah Melaka (bermula pada 1511).

Muka depan Sulalatus Salatin. Imej dari Wikipedia.

Walaupun ada mitos-mitos yang ditonjolkan dalam karya ni, ia sebenarnya bukanlah sekadar mahu menonjolkan kekuasaan seseorang pemerintah saja, tapi turut menyelitkan fakta yang tersirat. Dan hal itu, termasuklah dengan unsur-unsur Islam yang ditonjolkan. Oleh itu, SOSCILI kali ni akan membincangkan tentang hadis-hadis Nabi Muhammad SAW yang terkandung dalam Sulalatus Salatin.

1. Min tawakkal ‘alalLahi kafi

Gambaran istana Melaka. Imej dari lokalgenius.blogspot

Maksud: Daripada bertawakal kepada Allah, Allah akan memeliharanya

Dalam kalangan ilmuan Islam, hadis secara umumnya ditakrifkan sebagai segala perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW sama ada berbentuk perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan) ataupun ikrar baginda. Dan disebabkan hadis juga boleh dianggap sebagai wasiat atau pesanan Rasulullah SAW kepada umatnya, ia menjadi sumber kedua terpenting kepada umat Islam selepas al-Quran.

Menariknya, pesanan Rasulullah SAW juga terkandung dalam Sulalatus Salatin seperti ayat Min tawakkal ‘alalLahi kafi (daripada bertawakal kepada Allah, Allah akan memeliharanya). Hadis ini diucapkan oleh Sultan Mansur Syah dalam wasiat kepada anakanda baginda yang bernama Raja Radin (dimasyhurkan sebagai Sultan Alauddin Ri’ayat Syah). Sultan Mansur Syah bertitah:

“Syahadan jikalau datang sesuatu pekerjaanmu, hendaklah engkau sangat-sangat menyerahkan dirimu ke hadrat Allah, kerana sabda Nabi: Min tawakkal ‘alalLahi kafi.” – Sulalatus Salatin, diselenggara oleh Abdul Rahman Ismail.

Berdasarkan kajian, hadis ni diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam kitabnya – Sunan Ibn Majah di bawah bab “Tawakal dan Yakin”. Akan tetapi, apa yang diungkapkan oleh Sultan Mansur Syah ni agak berbeza sikit dengan riwayat Imam Ibn Majah yang meriwayatkan: Wa man tawakkal ‘ala Allah kafahu al-tasha’ub (barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan segala sesuatu bahagian keperluannya di atas dunia ini).

Malah, hadis ni juga dihukum sebagai lemah oleh ulama hadis kerana mempunyai perawi yang diragukan. Bagaimanapun, kandungannya tidak bersalahan dengan prinsip hukum Islam.

2. Kullukum ra’in wa kullukum masulun min ra’iyyati

Gambaran kota Melaka di zaman kegemilangannya. Imej dari Berita Pas.

Maksud: Setiap daripada kamu ialah pemimpin dan setiap daripada kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kamu pimpin.

Hadis ni diucapkan oleh Sultan Alauddin dalam wasiat baginda kepada bakal pengganti baginda, Raja Mamat (dimayshurkan sebagai Sultan Mahmud). Dicatatkan baginda bertitah:

“Jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, karena segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu.

___

Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera engkau tolong; jikalau teraniaya ia, hendaklah segera engkau periksai baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya lehermu, karena sabda Nabi Sallallahu ‘alayhi wa sallam, kullukum ra’in wa kullukum masulun min ra’iyyati.” – Sulalatus Salatin, diselenggara oleh Abdul Rahman Ismail.

Hadis ni telah direkodkan oleh beberapa orang imam besar hadis antaranya seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Abu Daud. Akan tetapi, ada sedikit perbezaan lafaz hadis iaitu tentang lafaz “min ra’iyyati” yang sepatutnya “an ra’iyyatihi”.

“Kesilapan ini merupakan kesilapan kecil yang tidak mengubah maksud hadis secara keseluruhannya. Kesilapan ini kemungkinan dilakukan oleh penyalin yang tertukar antara perkataan “min” dan perkataan “an” dan juga tertinggal huruf “ha” di hujung perkataan “raiyyat”.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abdur-Rahman Mohamed Amin.

Apa yang diucapkan oleh Sultan Alauddin kepada anakanda baginda ini bolehlah dikatakan sebagai pesanan kepada bakal pengganti raja supaya bertanggungjawab dan berlaku adil kepada rakyat. Dalam waktu sama, pesanan ini juga boleh dianggap sebagai nasihat baginda kepada setiap pembesar negara yang telah diberikan tanggungjawab sebagai pemimpin.

3. Al-‘Abdu tinul murabbi

Muka depan dua manuskrip Melayu lama, Kitab Mawlid. Imej dari Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Maksud: Hamba itu merupakan tanah kepada penjaganya.

Ayat yang dikatakan hadis ini diucapkan oleh Sultan Alauddin dalam wasiatnya sebelum baginda mangkat:

“Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya, jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah, karena segala Melayu itu ketuhanmu, seperti hadis al-‘abdu tinul murabbi, ertinya yang hamba itu umpama tuannya.” – Sulalatus Salatin, diselenggara oleh Abdul Rahman Ismail.

Tapi, ada masalah sikit dengan hadis ni sebab terjemahannya tak sama dengan apa yang diucapkan dalam Bahasa Arab. Ini kerana, kalau diterjemahkan apa yang diucapkan oleh Sultan Alauddin tu, ia sepatutnya membawa maksud: “hamba itu merupakan tanah kepada penjaganya” dan tak selari dengan maksud yang baginda sebutkan.

Jadinya, pengkaji merujuk pula Sulalatus Salatin yang diselenggara oleh A Samad Ahmad dan mendapati rupa-rupanya ayat tu bukanlah hadis. Ini kerana, dalam Sulalatus Salatin selenggaraan A Samad Ahmad dinyatakan:

“Dan segala anak Melayu bagaimanapun besar dosanya, jangan olehmu diaifidia, dan sampai kepada hukum syarak dosanya derhaka, bunuhlah; kerana segala Melayu itu ketanahanmu, seperti kata Arab al-‘Abdu tinul maulahu, yang hamba itu tanah tuhannya” – Sulalatus Salatin, diselenggara oleh A Samad Ahmad.

Oleh itu, apa yang diselenggara oleh A Samad Ahmad nampaknya lebih tepat berbanding apa yang diselenggarakan oleh Abdul Rahman. Hal ini boleh jadi kerana versi suntingan daripada Abdul Rahman mungkin versi yang dah disunting oleh penyalin manuskrip yang tak berapa mahir dalam bahasa Arab.

Makanya, ungkapan ni bukanlah hadis dan tak boleh disandarkan kepada Rasulullah SAW.

4. Al-Khamru ummul khabais

Ulama juga mainkan peranan besar pensejarah Melayu. Imej dari The Patriots.

Maksud: Yang arak itu ibu segala najis

Hadis ni diucapkan oleh seorang ulama bernama Makhdum Sadar Jahan yang datang ke Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud. Dicatatkan dalam Sulalatus Salatin bahawa:

“Maka dilihat oleh Makhdum Sadar Jahan akan Seri Rama mabuk dan mulutnya pun bau arak, maka kata Makhdum, “al-khamru ummul khabaais”, ertinya yang arak itu ibu segala najis.” – Sulalatus Salatin, diselenggara oleh Abdul Rahman Ismail.

Berdasarkan kajian, ayat hadis ni ada diriwayatkan dalam beberapa kitab seperti Sunan Nasai, Mu’jam
al-Kabir, Shu’ab al-Iman dan Sunan al-Daruqutni. Jadinya, hadis ini dianggap termasuk dalam kategori sahih dan hadis daripada Rasulullah SAW.

Dikisahkan masa Sadar Jahan ada di Melaka dan mengajar Bendahara Seri Maharaja mengaji, Seri Rama pun datang nak mengaji, tapi dalam keadaan mulutnya berbau arak. Sadar Jahan pun menegur Seri Rama tentang pengharaman arak sebagai seorang ulama yang menjalankan tugasnya.

“…teguran Makhdum Sadar Jahan ini adalah untuk menunjukkan kerosakan moral pembesar istana ini telah berlaku dan seterusnya merebak kepada pelbagai bentuk salah guna kuasa, rasuah dan kezaliman sehingga akhirnya empayar Melaka jatuh di tangan Portugis pada tahun 1511.” – Dipetik dari jurnal tulisan Abdur-Rahman Mohamed Amin.

Bukti kesan kemasukan Islam ke Alam Melayu

Islam telah bertapak lama di Alam Melayu. Imej dari alquranalfatih.com

Walaupun cuma tiga hadis je yang dapat dikesan sumbernya dari 4 hadis yang ada dalam Sulalatus Salatin, ia tetap memberikan kesan besar dalam kajian sejarah. Ini kerana, kemunculan hadis-hadis yang didakwa diucapkan oleh Sultan Melayu Melaka ini memberikan bukti kesan kemasukan Islam ke Alam Melayu, khususnya di era Kesultanan Melayu Melaka.

Malah, ia turut menunjukkan usaha nasihat yang diberikan kepada pembesar-pembesar Melayu supaya berlaku adil dan bertanggungjawab dalam menggalas tugas masing-masing. Sulalatus Salatin membuktikan yang ia bukan sahaja sebagai sumber bertulis penting dari segi kesusasteraan, bahasa, sejarah, politik, geografi dan budaya Melayu, malah turut mengambil kira tentang pengetahuan agama.

 

[Artikel ini merujuk jurnal bertajuk: Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Sulalat Us-Salatin tulisan Abdur-Rahman Mohamed Amin – Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu Jilid 8 Bil. 1 2015]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.