Tak sangka jadi bini yang ke-11, inilah akibatnya bila setuju kahwin lari

Rasanya memang ramai yang tahu tempat strategik untuk kahwin murah ataupun kahwin lari ni adalah di Selatan Thailand. Biasanya yang nak kahwin lari ni sama ada diorang dapat tentangan keluarga ataupun sebab nak kahwin dua.

Setakat Jun tahun lepas je, ada lebih 2,000 pasangan Malaysia yang datang ke Selatan Thailand untuk kahwin manakala tahun sebelum tu pulak seramai 4,081 pasangan. Kalau nak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, bilangan yang kahwin kat sana asyik meningkat lebih kurang dua kali ganda setiap tahun!

Tapi angka yang disebutkan tu cumalah yang berdaftar dengan pejabat Konsulat di Selatan Thailand je, angka sebenarnya mungkin lagi ramai. Menurut Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Afandi Abu Bakar, lepas kahwin dekat Selatan Thailand penting untuk daftar balik kat pejabat Konsul Malaysia. Kalau tak, nanti macam-macam masalah datang. Jadi kami telah buat senarai tentang masalah yang korang boleh dapat kalau kahwin lari.

1. Pernikahan boleh tergantung sebab tak didaftarkan dengan kerajaan Malaysia

“Saya tak daftar perkahwinan kita, saya nak lari la”. Gif dari giphy

Bila kami buat research, kami jumpa banyak pakej kahwin yang kat Selatan Thailand ni, betul-betul semuanya dihujung jari! Antara pakej yang diorang tawarkan ialah Platinum (VVIP), Gold (VIP), Silver dan juga Bronze. Pakej bermula daripada harga RM1500-RM2500 dan ke atas, lebih murah kosnya daripada kahwin di Malaysia.

Antara punca lain ramai yang pilih untuk kahwin kat Siam ni sebab pasangan tak payah bawa wali, tak payah bawa sijil kebenaran berkahwin daripada Jabatan Agama Islam, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran.

Sebab utama perkahwinan di Siam jadi tergantung ialah sebab perkahwinan tu sendiri tak berdaftar dengan kerajaan Malaysia. Jadinya, sangat penting untuk rujuk konsul sebelum kahwin di luar negara walaupun negara tu takde kedutaan atau konsulat Malaysia. Kalau perkahwinan tak berdaftar, macam-macam perkara lain boleh jadi yang akan merumitkan pasangan serta anak-anak yang bakal dilahirkan.

Setakat yang kitorang check, kos perkahwinan dengan lima Majlis Agama Islam yang diiktiraf iaitu Yala, Pattani, Songkhla, Narthiwat dan Satun adalah antara RM400-RM500 sahaja dan setiap permohonan itu akan disiasat oleh Pejabat Konsul. Jadi alang-alang dah kahwin kat sana, kenapa tak daftar terus?

2. Anak-anak pasangan tak boleh mendapat sijil kelahiran, jadi anak jadi tak sah taraf

Apa lagi sijil mahu. meme dari memegenerator

Korang tahu tak kalau kahwin lari ni, sijil kahwin korang mungkin tak sah sebab ejen tak daftarkan betul-betul. Sebenarnya, korang kena daftar sendiri dan bukannya orang lain.

Walaupun perkahwinan kat Siam sah dari segi hukum syarak, tapi dari segi undang-undang negara ni korang tak boleh ambik ringan juga. Sebabnya, kalau tak berdaftar dengan negara sendiri, macam mana pula diorang nak keluarkan sijil sah perkahwinan pasangan.

Kalau pasangan kahwin lari ni tak boleh nak kemukakan dokumen perkahwinan yang sah ataupun perkahwinan tu tak berdaftar dengan kerajaan Malaysia, masalah ni boleh jadi lebih besar bila nak daftarkan anak. Sebabnya kalau takde dokumen kahwin yang sah, anak akan jadi mangsa – samada tak dapat sijil kelahiran ataupun sijil lahir tu dah jatuh kepada anak tak sah taraf.

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara,tahun 2006-2010 je pun dah merekodkan sebanyak 23,4674 kelahiran bayi tanpa bapa dilahirkan di negara ini. Purata 2500 kes anak luar nikah direkodkan setiap bulan, dan anak tak sah taraf sebab ibu bapa berkahwin di Thailand termasuk sekali dalam rekod ni.

Gurau kasar nampak. Giphy.

Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, istilah anak tak sah taraf ialah terma yang digunakan untuk anak yang takde nasab atau hubungan darah yang sah. Peruntukan undang-undang menyatakan:

“Tak sah taraf berhubungan dengan seseorang anak, ertinya dilahirkan di luar nikah dan bukan anak dari persetubuhan syubhah”

Bila jadi anak tak sah taraf, apa pula pandangan masyarakat terhadap kanak-kanak tersebut? Jadi, kenalah fikir lebih jauh lagi sebab masa depan anak-anak ditangan kita. Dalam kes yang lain, ada yang dah beranak lima baru datang membuat permohonan sebab susah nak daftar persekolahan anak-anak disebabkan takde sijil surat beranak.

Sudahnya, anak-anak juga jadi mangsa ejekan sebab takde pengenalan diri, dan dicop sebagai anak tak sah taraf atau anak PATI lebih-lebih lagi kalau salah seorang pasangan bukan warganegara. Dan masalah ini akan berterusan dengan anak-anak mereka sendiri, sebab sentiasa dicop sebagai ‘stateless’ iaitu tak mempunyai kewarganegaraan.

3. Boleh kena penjara sampai 6 bulan kalau kantoi!

Kesalahan dan penalti bagi perkahwinan tak mengikut prosedur. Imej dari studentsrepo.um.edu.my

Menurut Woman Online Magazine (WOM), ada beberapa sebab kenapa sesetengah pasangan memilih untuk kahwin lari daripada kahwin buat majlis yang ikut adat-istiadat. Selain daripada poligami, ada yang nak kahwin lari dengan sebab tak dapat restu keluarga, terlanjur, atau nak cuba nikah gantung sebab nak ambil jalan mudah.

Tapi korang tahu tak, kalau kahwin lari dan tak daftar ni boleh dikenakan hukuman? Kebanyakannya mengenakan denda sebanyak RM1000 atau penjara tak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Semua ni mengikut undang-undang dengan kesalahan berhubung akad nikah perkahwinan, permastautinan, akad nikah perkahwinan yang tak dibenarkan, poligami tanpa kebenaran, dan juga  kalau tak hadir di hadapan pendaftar.

Kalau ada sesiapa yang buat akuan atau penyataan palsu pulak akan dikenakan hukuman yang lebih berat, iaitu RM2000 atau penjara tak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Nak kahwin lari memang hak masing-masing. Tapi, macam mana pulak perasaan ibu bapa bila dapat tahu mereka dah berkahwin tanpa pengetahuan mereka?

Contoh yang boleh kita ambik iktbar ialah kes tiga tahun lepas, di mana seorang remaja yang berumur 18 tahun pernah kahwin lari (tapi di Jambi, Indonesia). Dua bulan je tinggal dekat sana, baru dia sedar jauh bezanya bahagia tinggal dekat negara sendiri berbanding kahwin lari dan hidup di Indonesia.

Remaja kahwin lari di Sumatera. Imej dari Sinar Harian.

Tak tahan tinggal kat sana, dia merayu kat mak dia supaya dibawa pulang. Nasib menyebelahi dia bila mak dia maafkan dia, tapi setakat kami tulis ni, kami tak jumpa pula sumber yang mengatakan dia dah balik Malaysia buat masa ni.

Kebanyakan pasangan yang tak daftar kahwin di negara kita ni sebab takut pada hukuman yang menanti mereka. Tapi Malaysia ni takde la kejam mana, korang datang je daftar balik dan bayar penalti, settle!

4. Korang tahu ke korang ni bini yang ke berapa?

Ustaz Kasanova tipu 13 wanita. Imej dari YouTube.

Selain tu juga, poligami pun salah satu sebab popular kenapa pasangan pergi ke sempadan negara untuk berkahwin. Berdasarkan Jabatan Agama Islam Selangor, peruntukan dalam Seksyen 23 (3) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor No. 4/1984 (pin.) 1988, lelaki yang nak kahwin kali kedua kena ada pengesahan isteri pertama dan juga memenuhi beberapa syarat lain.

Biasanya sebab tak nak isteri pertama tahu, selatan Thailand merupakan jalan senang bagi suami. Kahwin luar negara ni dalam masa yang sama buatkan diorang tak terikat dengan undang-undang serta peraturan nikah kahwin di Malaysia.

Tapi dalam kes Ustaz Kasanova ni pulak, dia dah lebih sudu dari kuah. Kalau agama Islam membolehkan lelaki untuk berpoligami sampai empat orang isteri, dia ni pulak dah menipu 13 orang perempuan untuk berkahwin dengannya menerusi pernikahan sindiket dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

“Kebanyakan perkahwinan dan perceraian lelaki ini adalah tidak didaftarkan mengikut undang-undang Malaysia sehingga berlaku penganiayaan dan pengabaian terhadap isteri-isteri dan anak-anak suspek,” Paimuzi Yahya, Pengarah JAWI

Ingat lelaki je boleh kahwin dua? Ada juga kes berasingan dimana perempuan kahwin dua pada tahun 2008, juga sebab kahwin dekat Siam. Kesnya sebab dia pernah bercerai sebelum ni tapi dah rujuk sebenarnya.

Shanum Shaari menunjukan dokumen sah mengenai perceraiannya serta surat nikah di Selatan Thai pada tahun 2006. Imej dari Kosmo! Online

Bila suami pertama dia tahu, suami dia buat laporan dan mendakwa yang dia suami yang sah kepada isteri dia masa si isteri bernikah dengan suami keduanya. Siap bawa surat nikah dan rujuk di mahkamah balik.

Disebabkan perempuan tak boleh kahwin dua, mahkamah putuskan yang suami kedua kepada perempuan tu mestilah bercerai dengan isteri dia sebab perempuan tu dah ada suami yang sah sebelum mereka nikah lari di selatan Thailand.

What did I just read? Gif dari giphy

5. Kebajikan keluarga terabai sebab lelaki tak dipertanggungjawabkan

*Sedutan Ombak Rindu yang kena ban* Kau goda aku Izzah! Kau pakai tudung ni sekarang Izzah! gif dari giphy

Berdasarkan pengalaman seorang ejen pernikahan di Thailand, Shamsul Abdullah, dia bagitau yang masalah lain boleh timbul dalam kes kahwin lari ni. Selain daripada anak-anak tak dapat sijil kelahiran, kebajikan isteri dan anak-anak juga boleh terabai. Contoh bagi masalah ni ialah isteri tak boleh tuntut harta suami kalau suami meninggal dan permohonan penceraian juga kena buat balik kat Siam.

Tuntutan harta selepas suami meninggal tak dapat dilakukan tanpa sijil perkahwinan yang sah sebagai bukti perkahwinan. Isteri dan anak-anak tadi takde hak daripada harta ketua keluarga, dan lagi la teruk kalau isteri tu tak bekerja untuk sara keluarga mereka. Jadi, kat mana mereka perlu bergantung?

Dalam satu kes yang lain pasal permohonan perceraian yang perlu difailkan di Siam, kes penceraian jadi rumit bila salah seorang pasangan lepas tangan dan hal penceraian tak dapat diselesaikan sebaiknya. Pihak perempuan tak dapat kahwin lain sebab tak diceraikan secara sah dihadapan hakim di Siam.

Perkahwinan di Selatan Thailand ni cuma sah kalau berdaftar

Berdasarkan permasalahan yang disebutkan tadi, lebih banyak perkara negatif berbanding positif yang akan berlaku bila kahwin lari dan tak dapat restu keluarga ni. Menurut ceramah Ustaz Azhar Idrus, runtuhnya moral sesebuah agama tu bila hak sebagai ketua keluarga dan wali dinafikan, dan membawa kepada kerosakan institusi kekeluargaan.

Tambah UAI lagi, sebelum jadi wakil wali untuk perempuan yang kahwin lari tadi, jabatan agama akan menelefon bapa untuk pengesahan sebelum menggunakan wali hakim. Mengikut undang-undang Syariah Seksyen 13(b), kalau ayah (atau mana-mana wali yang sah) tak nak jadi wali sebab tak setuju dengan perkahwinan tu, tak jadi masalah pun untuk guna wali hakim.

“Tidak sah perkahwinan melainkan dengan adanya wali.”-Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi

Jadi kalau boleh, ikutlah saluran yang betul dan buat perbincangan baik dengan keluarga. Fikir jauh untuk sebab dan akibat yang akan datang daripada membuat keputusan yang melulu. Walaupun kahwin lari lebih murah dan senang, tapi kena ingat yang masalah lain boleh timbul disebabkan permasalahan dalam perkahwinan tu sendiri. Tu la harga yang perlu dibayar kembali.