- 180Share sekarang!
- Email13
- Facebook167
- Share
Seperti mana yang kita tahu, dua bulan lalu – kita dikhabarkan dengan berita kematian bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi yang ketika tu masih di bawah tahanan kerajaan Mesir. Morsi mula menjadi Presiden negara itu pada tahun 2012 selepas berlakunya Kebangkitan Arab (Arab Spring) yang menjatuhkan Hosni Mubarak.
Tapi setahun selepas tu, Morsi pula digulingkan oleh Menteri Pertahanannya sendiri – General Abdel Fattah el-Sisi. Maka, bermulalah kembali pemerintahan tentera di Mesir.
Namun begitu, sekarang ini kedudukan el-Sisi juga seperti tercabar apabila dah berlaku protes menentang pentadbirannya sejak Jumaat lepas. Buat masa sekarang, lebih 800 penunjuk perasaan dilaporkan telah ditahan. Tapi di sebalik protes ni, apa yang menarik perhatian adalah…
Ia diseru oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya bekas kroni el-Sisi
Kalau dulu rakyat Mesir turun menentang pemerintah selepas terjadinya Kebangkitan Arab di beberapa negara jiran, nampaknya kali ni ia disebabkan seruan seorang lelaki bernama Mohamed Ali. Apa yang lebih menarik, lelaki ni mendakwa dirinya sebagai bekas kroni el-Sisi. Kontraktor, penerbit dan pelakon separuh masa ni juga kata – dia jadi kaya sebab dapat banyak projek dari tentera Mesir.
Melalui syarikatnya – Amlaak, dia mendakwa syarikatnya dah bina pelbagai projek mega untuk tentera Mesir termasuklah – bina rumah dan istana untuk pegawai atasan tentera. Dalam masa sama, pegawai-pegawai atasan tentera didakwa gagal bayar jutaan pound (Mesir) untuk projek-projek yang dia dah bina.
Lepas tu dia pergi ke Sepanyol dan hidup sebagai orang buangan di sana. Di sanalah dia mula post video di media sosial yang mendakwa el-Sisi sebagai korup. Videonya dapat tontonan jutaan orang, terutamanya dari golongan muda Mesir.
Dalam sekelip mata je, dia jadi bualan ramai sampaikan orang samakannya dengan Komander Uthmaniyah, Mohamed Ali pada abad ke-19 dulu. Lepas 3 minggu sejak video pertamanya keluar, Ali boleh dikatakan dah jadi whistle-blower dan penggerak protes menentang el-Sisi.
Dalam satu videonya, Ali ada kata yang el-Sisi pernah arahkannya untuk bina sebuah rumah mewah di daerah Hilmiya, Kaherah sebaik saja el-Sisi dilantik jadi Menteri Pertahanan oleh Presiden Morsi pada 2012. Kos projek tu adalah sebanyak E£60 juta. Lepas ambil alih pemerintahan, el-Sisi arahkan pula supaya dia bina istana baru presiden di Alexandria dengan kos sebanyak E£250 juta.
El-Sisi dalam reaksi mengaku yang kerajaan memang nak bina istana baru presiden, tapi menafikan tuduhan Ali.
“Ya, saya bina istana presiden dan akan terus membinanya. Saya sedang membina negara baru; tiada apa yang didaftarkan atas nama saya, ia dibina untuk Mesir.” – El-Sisi, dipetik dari Middle East Eye.
Tapi apa yang pasti…
“Mohamed Ali… adalah orang paling popular di Mesir sekarang ini. Jutaan orang menonton videonya, sementara hashtag anti-Sisi-nya menjadi viral.” – Mohamad Elmasry, Doha Institute for Graduate Studies. Dipetik dari al-Jazeera.
Tapi persoalan juga timbul tentang siapa sebenarnya Ali ni, dan adakah dakwaannya tu benar. Buat masa sekarang, tak ada mana-mana media yang dapat temubual Ali dan tanya terus dengannya pasal dakwaan-dakwaan yang dibuat tu.
Bagaimanapun, TV Mesir ada temuramah bapa Ali, Ali Abdul Khalek yang juga bekas atlet kebangsaan Mesir. Dalam temuramah tu, bapanya nafikan dakwaan Ali, dan kata keluarganya terhutang budi dengan pihak tentera.
Selain tu, ia juga timbulkan persoalan tentang sejauh mana kesan protes ni terhadap kedudukan el-Sisi?
El-Sisi masih boleh bertahan
Sebenarnya, kritikan terhadap pentadbiran el-Sisi bukanlah perkara baru, banyak je aktivis dan pertubuhan antarabangsa sebelum ni yang mengkritik cara pemerintahannya. Antara kritikan yang selalu dilemparkan adalah isu kebebasan bersuara, rasuah, kebebasan pilihan raya dan kemiskinan.
Sebenarnya, masalah kemiskinan agak serius di Mesir apabila kajian dapati – satu pertiga rakyat negara itu hidup dalam taraf kemiskinan, dengan pendapatan kurang dari $1.50 (RM6) sehari. Menurut laporan Human Rights Watch (HRW) pula, sepanjang pentadbiran el-Sisi, pihak berkuasa negara itu dah menangkap ramai aktivis dan penentang politik el-Sisi.
“Sejak Julai 2013, mahkamah jenayah Mesir telah menjatuhkan hukuman mati terhadap ratusan orang dalam kes-kes yang berpunca dari keganasan politik yang didakwa.” – Dipetik dari HRW.
Malah, dianggarkan sekurang-kurangnya 60,000 orang yang kebanyakannya ahli gerakan Ikhwanul Muslimin telah ditahan sejak 6 tahun yang lalu. Tapi untuk mengatakan protes kali ni akan menggugat kedudukan el-Sisi, ia masih lagi boleh dipersoalkan. Sebabnya, protes ni masih dalam skala kecil dan taklah sehebat seperti pada tahun 2011 dulu, bila rakyat bangkit menentang Hosni Mubarak.
“…skala protes kali ini dianggap kecil dan masih tidak mampu untuk menggugat kerajaan el-Sisi. Tapi kerunsingan el-Sisi agak jelas kerana beliau telah memberi komen dan jaminan semua tuduhan terhadap kerajaan beliau itu tidak betul.” – Azmi Hassan, Geostrategis. Katanya kepada SOSCILI.
Bagaimanapun, nampaknya kerajaan Mesir terkesan juga dengan pendedahan Ali, sampaikan mereka ada tuduh Ali sebagai simpatisan Ikhwanul Muslimin. Lepas tuduhan ni tak berapa jalan, mereka tuduh pula Ali ni sebagai kaki perempuan. Tapi nampaknya, tuduhan itu masih tak dapat alih perhatian rakyat.
“Malah media-media Islam yang berpangkalan di luar negara telah bersimpati dengan bekas kontraktor tentera ini, memanggilnya seorang wira dan mendesak orang Mesir untuk mengabaikan kehidupan peribadinya.” – Laporan al-Jazeera.
Mengulas hal ini, Azmi berkata – ada kemungkinan Ikhwanul Muslimin tak ada kaitan dengan protes kali ni, cuma nama gerakan tu disebut supaya tindakan lebih berat dapat diambil. Lebih-lebih lagi bila Mesir dan Amerika Syarikat dah mengisytiharkan gerakan itu sebagai pengganas.
“Dalam hal ini juga Ikhwanul Muslimin boleh curi peluang dari kemelut ini tapi masalahnya organisasi itu sudah kehilangan terlalu ramai pemimpin mereka untuk menerajui Ikhwan (dan) mengambil peluang dalam kekacauan kali ini.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Sejarah panjang Mesir dan kuasa tentera
Mesir mempunyai sejarah panjang di Timur Tengah. Salah satu gerakan Islam paling berpengaruh di dunia – Ikhwanul Muslimin telah diasaskan di negara itu lebih 90 tahun lalu. Pengasasnya Hassan al-Banna telah mati dibunuh dan tokoh besarnya – Sayyid Qutb telah menghembuskan nafas terakhirnya di tali gantung.
Presiden kedua Mesir – Gamal Abdel Nasser pernah menjatuhkan kerajaan pro-Barat negara itu dan membawa gagasan Pan Arab. Namanya menjadi idola sebahagian pemimpin Arab seperti Muammar Gaddafi. Selepas kamatian Nasser, dia digantikan oleh pemimpin tentera juga iaitu Anwar Sadat.
Malah, Mubarak juga bekas pemimpin tentera dan selepas berlakunya Kebangkitan Arab, naiklah Morsi secara demokratik. Tapi demokrasi yang diperkenalkan tidak lama, tentera kembali berkuasa bersama el-Sisi. Dengan sokongan kuat Arab Saudi dan AS, sudah pasti kedudukan el-Sisi lebih kukuh dari Morsi.
“El-Sisi juga kelihatan dapat menangani protes ini buat ketika ini. Tapi jika protes mampu gugat kestabilan Mesir maka sekutu Mesir agak pasti campur tangan demi mengekalkan Sisi.” – Azmi Hassan, katanya kepada SOSCILI.
Dengan sejarah panjang dan konflik yang selalunya saja mengacau, persoalan yang akan terus muncul di fikiran kita: apakah nasib Mesir selepas ini?
- 180Share sekarang!
- Email13
- Facebook167
- Share