Dua ulama dan seorang personaliti TV akan dihukum mati. Kenapa Saudi buat macam tu?

Rasanya, mungkin ada di antara korang terbaca berita pasal Rihanna baru-baru ni bercuti dengan teman lelakinya, Hassan Jameel di Itali. Hassan ni sebenarnya berasal daripada antara keluarga terkaya di Arab Saudi.

Mesti korang tertanya-tanya… apa pasal pulak tiba-tiba admin cerita pasal Rihanna ni? Sebenarnya, di sebalik berita yang tak penting tu, ada satu lagi berita yang mungkin kita semua terlepas pandang. Ia adalah laporan bahawa Arab Saudi akan menghukum mati tiga orang ulama di negara tu lepas Ramadhan.

Tiga ulama tu adalah – Sheikh Salman al-Awdah, Awad al-Qarni dan Ali al-Omari. Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Saudi bertindak menangkap golongan akademik. Sebabnya, pada Januari lepas, seorang ulama terkenal, Sheikh Ahmed al-Amari dah meninggal dunia masa dalam tahanan.

Dari kiri: al-Qarni, al-Omari & al-Awdah. Imej dari USjournal.

Oleh tu, mari kita dekati isu ni dengan lebih mendalam lagi dan kenapa pulak negara yang ada dua kota suci (Mekah & Madinah) ni bertindak menangkap dan menghukum ulama?

Mereka ditahan kerana dituduh terlibat dalam keganasan

Ente masuk dalam kereta. Ana tutup pintu. Imej dari The Daily Star.

Kalau dipandang secara kasar, kita sememangnya susah nak faham macam mana Arab Saudi ni berfungsi. Ini kerana, negara ni berahsia dalam banyak perkara dan sebab itu jugalah seorang bekas diplomat Amerika pernah kata yang dia sendiri tak faham macam mana Saudi buat sesuatu keputusan.

Dan hal ni jugalah yang melingkari kes-kes tangkapan ulama di negara tu. Sebabnya, sampai ke hari ni, takde satu kenyataan terang dan jelas yang menyatakan pasal penangkapan mereka tu. Apa yang dilaporkan pula kebanyakannya mengaitkan ulama-ulama ni dengan keganasan.

Mungkin kita boleh tengok dulu latar belakang mereka yang ditangkap tu:

1. Salman al-Awdah

Dengan ada lebih 14 juta pengikut di Twitter, al-Awdah boleh dikatakan seorang ulama terkenal di Saudi dan di peringkat antarabangsa. Dalam sejarahnya, ahli Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia ni dah libatkan diri dalam banyak perkara, sama ada menyokong atau menentang dasar-dasar yang diperkenal oleh Saudi.

Al-Awdah di sebuah masjid di Malmo, Sweden pada 2016. Imej dari TT News Agency.

Apa yang menarik, pandangannya boleh dikatakan lebih terbuka untuk seorang ulama di sebuah negara Wahabi. Salah satu pandangannya yang kontroversi adalah pasal pelaku homoseksual. Katanya, kelakuan homoseksual tetap berdosa – tapi hukumannya hanya akan dilaksanakan oleh Allah SWT (di akhirat) dan bukannya dilaksanakan oleh manusia.

Awdah juga banyak mengkritik Osama bin Laden dan selalu bercakap soal hubungan yang harmoni antara orang Islam dan bukan Islam. Tapi pada lewat tahun 2017, Awdah dah ditahan sebab tweet dia yang offer doa untuk minta perdamaian antara Saudi dan Qatar yang masa tu mula berkrisis.

Sejak ditahan, kesihatan ulama berusia 63 tahun tu dilaporkan semakin merosot.

2. Awad al-Qarni
Al-Qarni dalam satu program dakwah. Imej dari kiblat.net

Dr Awad al-Qarni adalah seorang pendakwah, aktivis dan ahli akademik di Imam Mohammad Ibn Saud Islamic University dan King Khalid University. Sama macam al-Awdah, dia juga popular dengan ada lebih 2.1 juta pengikut di Twitter.

Masa AS serang Iraq pada 2003, al-Qarni bersama 25 ulama lain dah buat satu kenyataan mengutuk serangan tu. Dia juga selalu buat kenyataan solidariti dengan rakyat Palestin. Dia juga agak vokal dalam mengkritik kerajaan Saudi.

Sama seperti Awdah, Qarni akhirnya ditahan pada 2017 – dipercayai kerana tak sokong tindakan Saudi untuk berkrisis dengan Qatar. Dia kemudiannya dituduh sebagai menyokong keganasan.

Imej dari imgflip.com
3. Ali al-Omari

Beza dengan yang dua tadi, al-Omari baru je berumur 46 tahun dan dia juga adalah seorang personaliti TV. Pengerusi saluran TV 4Shbab ni bukan biasa-biasa tau, sebab walaupun baru berusia 40-an – dia dah tulis 70 buah buku.

Selain tu, Duta Muhibbah PBB ni juga ada menulis dalam website peribadinya tentang isu kemanusiaan, konflik Palestin-Israel, isu agama dan sebagainya. Tapi nampaknya semua tu berakhir pada 2017 bila Omari ditangkap.

Ali al-Omari. Imej dari Middle East Eye.

Dia dikenakan dengan 30 pertuduhan, termasuklah dakwaan terlibat dalam usaha ‘membentuk organisasi pengganas anak muda’. Lepas ditahan, Omari dikatakan dah berdepan dengan pelbagai seksaan.

Sebuah kumpulan bukan kerajaan – Prisoners of Conscience melaporkan, Omari dah diseksa sampai menderita luka melecur dan kecederaan yang teruk akibat dipukul dan dikenakan kejutan elektrik.

Seksaan kejutan elektrik yang dikatakan digunakan China terhadap pengikut Falun Gong. Imej dari minghui.org

Itulah antara latar belakang ringkas tiga orang ulama yang dikatakan bakal menerima hukuman mati tak lama lagi. Tapi di sebalik pertuduhan yang dinyatakan, nampaknya ada satu persamaan antara diorang. Sebabnya, diorang terlibat dalam…

Gerakan Sahwa yang dapat inspirasi dari Ikhwanul Muslimin

Bagi Prof Khaled Abou El Fadl dari UCLA, ulama-ulama yang ditangkap ni tak sama dengan ulama-ulama Saudi lain dan pandangan diorang nampaknya banyak bertentangan dengan pihak pemerintah (dalam isu demokrasi sebagai contoh).

Menurut Al-Jazeera pula, kebanyakan ulama yang ditahan ni sebenarnya ada kaitan dengan satu gerakan yang dikenali sebagai Gerakan Sahwa. Gerakan ni pada asalnya – sebuah gerakan yang dapat inspirasi dari Ikhwanul Muslimin iaitu salah sebuah gerakan Islam paling berpengaruh di dunia.

Gerakan ni dah bertapak lama di Saudi dan pada tahun 1960-an sampai 1980-an, ia menjadi sangat berkuasa dalam mengubah sosial dan politik Saudi. Gerakan ni boleh dikatakan cuba melakukan reformasi dalam pemahaman Islam di Saudi – dengan cara ‘kahwinkan’ ideologi Ikhwanul Muslimin dengan fahaman Salafi-Wahabi.

Abdul Aziz al-Saud, Raja pertama Arab Saudi berjumpa dengan Franklin Roosevelt pada tahun 1945. Imej dari FDR Foundation.

Walaupun kumpulan dalam gerakan tu ada macam-macam idea, tapi diorang percaya kepada cara tanpa keganasan. Pandangan diorang juga lebih terbuka terutamanya dalam memberi hak kepada wanita.

Malah, dilaporkan yang tokoh-tokoh Sahwa ni semakin meningkat dari tahun ke tahun sampaikan ada di antara diorang yang pegang jawatan-jawatan penting dalam bidang agama, politik dan kerajaan. Hal ni kemudiannya dilihat sebagai mencabar hegemoni keluarga diraja.

“Baru-baru ni, Putera Mahkota, Mohammed bin Salman (atau dikenali sebagai MBS) telah memecahkan lawan yang berpotensi, termasuklah ulama-ulama agama yang telah diinspirasikan oleh atau terlibat dengan Sahwa.

Antara tahanan yang paling menonjol adalah ulama Muslim Saudi – Salman al-Awdah, Awad al-Qarni, dan Ali al-Omari.” – Dipetik dari al-Jazeera.

Putera Mahkota Muhammad bin Salman. Imej dari Japan Times.

Hal ni dah membuatkan kita tertanya-tanya kenapa pulak Saudi ni marah sangat dengan Sahwa?

Saudi rasa terancam dengan ideologi Sahwa dan Ikhwanul Muslimin

Sebenarnya, SOSCILI dah tulis baberapa artikel pasal Ikhwanul Muslimin (IM) yang korang boleh baca kalau nak tahu lebih lanjut pasal gerakan Islam ni (klik sini). Tapi apa yang pasti, dah lama Arab Saudi tak puas hati dengan IM, sampaikan gerakan ni diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas.

Hassan al-Banna, mengasaskan IM pada tahun 1928. Imej dari Indahnya Islam.

Disebabkan hal tu jugalah Arab Saudi dan sekutunya putuskan hubungan dengan Qatar yang didakwa melindungi dan menyokong Ikhwanul Muslimin. Malah, masa Morsi (dari IM) berjaya digulingkan di Mesir dulu, Arab Saudi bagi bantuan kewangan $2 bilion kepada kerajaan baru Mesir. 

Antara ancaman utama yang buatkan Saudi takut sangat dengan IM adalah disebabkan ideologi gerakan tu yang bersifat revolusi dan agak anti-feudal. Hal ni diperkuatkan lagi bila Sahwa sendiri menolak idea taat tanpa berbelah bagi kepada pemerintah.

“MBS tidak suka persaingan dan orang-orang yang tidak berada dalam kawalannya. Dia takut dengan apa sahaja penentangan dan percaya bahawa orang-orang (aktivis Sahwa) akan menggulingkan rejimnya.” – Abdullah Alaoudh, Georgetown University.

(Alaoudh juga adalah anak kepada Salman al-Awdah)

“Selagi AS di belakang Saudi”

Sebenarnya, bukan tiga orang ni je yang ditangkap oleh Saudi, tapi ramai lagi ulama dah ditahan. Antaranya termasuklah Sheikh Safar al-Hawali yang ditangkap bersama empat orang anaknya. Hawali adalah antara tokoh paling berpengaruh dalam Gerakan Sahwa.

Sheikh Safar al-Hawali pernah ditahan pada 1994. Imej dari Middle East Eye.

Dilaporkan, dia ditangkap lepas terbitkan buku berjudul Muslim dan Peradaban Barat (ada 3 ribu muka surat) yang mana ada mengkritik keluarga diraja Arab Saudi dan Putera Mahkota Abu Dhabi. Dia juga dilaporkan berkata, yang hubungan Putera Mahkota Saudi dengan Israel sebagai satu pengkhianatan.

Tapi di sebalik tangkapan yang banyak tak jelas ni, boleh dikatakan dunia juga melahirkan rasa bimbang dengan cara seksaan yang dilakukan oleh Saudi terhadap tahanannya. Sebuah pertubuhan hak asasi – ALQST melaporkan, aktivis-aktivis ni dah diseksa secara fizikal dan mental.

Trump macam takde mood je? Imej dari Giphy.

Malah sehingga ke hari ni, kes pembunuhan Jamal Khashoggi masih lagi belum selesai.

“Selagi mereka fikir mereka ada pentadbiran AS dalam saku mereka… mereka boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahu.” – Adam Coogle, Human Right Watch. Dipetik dari al-Jazeera.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.