- 136Share sekarang!
- Email4
- Facebook132
- Share
Zaman sekarang, lagu memainkan peranan penting dalam pelbagai perkara. Bagi konteks patriotik, terdapat pelbagai lagu telah dicipta dan digubah khas bagi menunjukkan semangat kenegaraan. Namun, bagaimana pula dengan lagu kebangsaan? Setiap negara ada lagu kebangsaan mereka tersendiri, sama juga dengan negara kita iaitu Malaysia.
Tapi kan, pernah tak korang terfikir dari mana asal-usul lagu kebangsaan kita? Terdapat pelbagai debat mengenai perkara ni, ada yang kata kita curi melodi lagu ni dari negara lain, ada juga yang kata lagu ni original ciptaan orang tempatan. Jadi mana satu je yang betul ni, jangan risau sebab kitorang akan cuba mengupas satu demi satu tentang benda ni.
Semuanya bermula semasa Sultan Perak dibuang negeri!
Kita start dari ‘kes Sultan Perak‘ dulu lah, pada 1874, Almarhum Sultan Abdullah Muhammad Shah II Ibni Almarhum Sultan Jaafar Safiudiddin Muadzam Shah Waliullah telah ditabalkan sebagai Sultan Perak yang ke-26 oleh British. Perkara itu terjadi selepas Perjanjian Pangkor yang berlangsung pada 20 Januari 1874.
Pada tahun 1876, dia telah dibuang negeri oleh British kerana dikatakan telah bersubahat dalam kes pembunuhan JWW Birch (1875). Lokasi yang British tetapkan untuk Sultan Abdullah selepas dibuang negeri tu adalah di Kepulauan Seychelles, sebuah negara yang terletak di Afrika Timur.
Untuk info korang lah kan, Seychelles ni merupakan tanah jajahan British juga. So, kira British ni buang Sultan Abdullah ke tempat dorang juga lah. Nak dijadikan cerita, terdapat satu lagu yang agak popular di Kepulauan Seychelles tu sampai membuatkan ia terngiang-ngiang dalam kepala Sultan Abdullah.
Lagu itu dikenali sebagai La Rosalie, lagu yang digubah oleh seniman Perancis bernama Pierre-Jean de Béranger. Ia sangat popular sehinggakan banyak lagu telah diinspirasikan oleh La Rosalie. Selepas selesai menjalani hukuman buang negeri tu, Sultan Abdullah telah kembali ke Perak dengan membawa sekali melodi daripada Seychelles dan menyesuaikannya sehingga menjadi lagu rasmi negeri Perak.
Yang menariknya, ada je orang lain yang guna melodi lagu La Rosalie ni tau. Terdapat pelbagai versi lagu yang juga diinspirasi daripada lagu tu, seperti:
- lagu Terang Boelan (1920-an)
- Mamula Moon (194o-an)
- lagu kantonis yang tidak diketahui namanya (1920-an)
Namun, semua tu berasal dari asas yang sama seperti lagu kebesaran negeri Perak yang diberi tajuk Allah Lanjutkan Usia Sultan.
Melodi yang sama juga digunakan dalam filem propaganda klasik Jepun iaitu The Tiger of Malaya (1943), sebuah filem yang mengisahkan tentang seorang yakuza yang duduk di Tanah Melayu bernama Tani Yutaka. Kalau nak tahu lebih lanjut pasal Tani Yutaka, korang boleh baca artikel kami di sini.
Dah banyak sangat lagu guna melodi yang sama ni, baik Malaysia, Indonesia, Hawaii, China dan juga Jepun. Patutlah negara seberang tak suka sangat bila dengar lagu kebangsaan kita, sampaikan dorang sanggup buat bising bila lagu Negaraku berkumandang dekat stadium dorang. YEET!
Diinspirasi dari lagu kebesaran negeri Perak
Jadi, dari situ lah sebenarnya asal-usul melodi lagu negeri Perak. Tapi sekarang kitorang nak cerita pula macam mana lagu Negaraku tu boleh tercipta berinspirasikan lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan (lagu negeri Perak). Pada tahun 1956, semua negeri di Persekutuan Tanah Melayu telah pun ada lagu kebesaran masing-masing.
Tapi masih belum ada lagi lagu kebangsaan yang merangkumi seluruh negara. Oleh itu, Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Y.T.M Tunku Abdul Rahman (ketika itu) membuat permintaan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Kira macam nak bersiap-siaga sebelum kemerdekaan lah kan, baru lah nanti masa dah betul merdeka dapat nyanyikan lagu kebangsaan sama-sama.
Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan untuk membuat pertandingan mencipta lagu kebangsaan, sebanyak 514 lagu telah diterima dari seluruh dunia. Namun, tak ada satu pun yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan. Kira semua lagu yang diterima tu terus dibuang je oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK).
Disebabkan itu, JKPLK yang diketuai Tunku Abdul Rahman sendiri telah menjemput khas komposer-komposer dunia yang terkenal (ketika itu). Ia terdiri daripada Benjamin Britten, Sir William Walton (orang yang menggubah lagu perbarisan pemahkotaan Ratu Elizabeth II) dan juga Gian Carlo Menotti dan Zuber Said (penggubah opera Amerika). Tapi still lagu yang dorang gubah tu tidak diterima.
Kalau dah semua tak sesuai, apa je lagi pilihan yang ada? Dorang membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada untuk mengenalpasti ada tak yang sesuai dijadikan lagu kebangsaan. Masalahnya, kenapa lah tak buat macam tu awal-awal, tak ada lah buang masa nak buat pertandingan sampai terpaksa tolak 514 lagu tu.
Selepas mendengarkan segala lagu negeri tu, mereka merasakan yang lagu kebesaran negeri Perak adalah yang paling sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan.
Tapi tak ada lah sampai tiru bulat-bulat lagu tu, just ambil melodi dia je. Skor lagu Negaraku telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Edgar Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaysia).
Manakala, seni kata lagu tersebut telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai Tunku Abdul Rahman dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu. Senang cerita, lagu Negaraku yang kita dengar sekarang ni memang banyak sangat jalan yang dilalui bagi mendapatkan hasilnya.
Mengikut apa yang kitorang cerita tadi, sebelum melodi lagu ni dijadikan sebagai asas lagu kebangsaan, ia merupakan sebuah irama yang dicipta bagi tujuan hiburan. Tapi lepas ia dijadikan sebagai lagu negeri Perak dan juga lagu kebangsaan, irama lagu yang sama untuk tujuan hiburan tidak lagi kedengaran di Persekutuan Tanah Melayu.
Ia dilakukan bagi menghormati lagu itu sendiri sebagai lagu kebangsaan. Disebabkan itu juga, terdapat undang-undang tentang lagu kebangsaan yang dipanggil Akta Lagu Kebangsaan 1968 Akta 808. Kira betul serious pasal lagu kebangsaan ni, bukan biasa-biasa ni. Undang-undang yang ditulis adalah khas untuk menghormati Negaraku tu sendiri.
Korang dah tahu ke belum pasal benda tu? Takpe, kitorang cuba terangkan serba-serbi pasal benda ni.
Akta Lagu Kebangsaan yang mungkin korang tak tahu
Untuk pengetahuan korang, dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968 Akta 808 ni banyak tulis tentang peraturan dan arahan yang perlu diikuti berkaitan lagu kebangsaan. Seperti penentuan versi lagu untuk digunakan, sebenarnya Negaraku beberapa versi juga tau. Antaranya ialah versi penuh (versi Diraja), versi ringkas dan versi pendek.
Susah untuk bezakan versi ringkas dan versi pendek ni sebab ia seakan sama, tapi pada hari ini seluruh Malaysia gunakan versi penuh je. Kalau mengikut akta sedia ada pun, di sekolah haruslah didendangkan versi yang penuh supaya dapat mengajar pelajar cara menyanyikan lagu kebangsaan.
Akta itu juga menyebut apabila Negaraku versi penuh berkumandang, semua orang WAJIB berdiri bagi menghormatinya. Tapi ia tidak dianggap wajib kalau lagu kebangsaan berbunyi semasa penyiaran seperti filem dan berita. Benda ni tak stop kat situ je tau, sebab sesiapa yang gagal berdiri bagi menghormati lagu kebangsaan ketika ia berkumandang akan dihukum.
Mana-mana orang yang menunjukkan sikap tidak menghormati lagu kebangsaan di tempat awam boleh didenda tidak melebihi satu ratus ringgit atau dipenjara tidak melebihi tempoh satu bulan. Nampak tak! Ini bermakna kita memang tak boleh ambil mudah hal lagu kebangsaan ni.
Akhir sekali, polis telah diberi kuasa sepenuhnya untuk menangkap mereka yang bersalah tanpa waran tau. Kira dorang boleh terus tangkap kalau terbukti korang mempersendakan lagu kebangsaan. Oleh itu, marilah kita semua membiasakan diri untuk BERDIRI TEGAK jika lagu Negaraku berkumandang tak kira apa pun situasi. Perkara itu sekaligus dapat meningkatkan semangat patriotik kita!
- 136Share sekarang!
- Email4
- Facebook132
- Share