Tengku Mahmud & Joyce Blencowe: Kisah cinta Putera Melayu dan gadis England

Sekarang ni, antara isu hangat disiarkan secara meluas di serata dunia adalah pasal pasangan diraja Britain, Putera Harry dan isterinya Meghan yang dah tak lagi memegang gelaran diraja His Royal Highness dan Her Royal Highness. Hal tu jadi selepas kedua-duanya buat keputusan menarik diri daripada tugas-tugas diraja dan mahu hidup berdikari.

Selaras dengan keputusan tu, Harry juga akan melepaskan jawatannya dalam ketenteraan dan duta Komanwel. Malah, muzium patung lilin terkemuka –Madame Tussauds London pun ambil keputusan untuk alihkan patung Harry dan isterinya daripada barisan patung keluarga diraja Britain. Keputusan Harry dan isterinya ni mengejutkan ramai pihak dan sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai persoalan tetang keluarga diraja tu.

Pasangan diraja yang menjadi tumpuan dunia sekarang. Imej dari Cosmopolitan.

Tapi kalau kita menyelak kembali sejarah, sebenarnya kisah percintaan Putera Raja Melayu dan seorang gadis Inggeris juga pernah menarik perhatian media. Peristiwa yang berlaku lebih 80 tahun lalu ni dah menghiasi akhbar-akhbar Eropah mahupun Amerika Syarikat (AS).

Kisah percintaan Putera Terengganu dan gadis Inggeris yang dapat liputan akhbar antarabangsa

Kompilasi foto-foto Tengku Besar Mahmud Sultan Zainal Abidin III bersama Joyce Mabel Blencowe di England dari keratan akhbar di seluruh dunia (1938 – 1945). Imej dari Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah.

Putera Terengganu yang dimaksudkan dalam kisah ni adalah Tengku Mahmud iaitu putera bungsu Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III (allahyarham). Dilahirkan pada 21 Mei 1918, Tengku Mahmud adalah anak baginda bersama surinya – Tengku Mandak. Tapi tak lama selepas dilahirkan (6 bulan kemudian), Sultan Zainal Abidin III mangkat pada November 1918.

Menurut laman Facebook – Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah, pada usia 11 tahun Tengku Mahmud dah berangkat ke England sebagai pengiring dan peneman kepada Tengku Ali Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang menyambung pelajaran di Saint Edward dan Universiti Oxford. 

Setelah lama tinggal di England, Tengku Mahmud berkenalan dengan seorang gadis Inggeris bernama Joyce Mabel Blencowe iaitu anak kepada seorang pemilik kedai jahit di Oxford. Bagaimanapun, hubungan cinta mereka ditentang oleh Sultan Terengganu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang juga merupakan kekanda Tengku Mahmud. Bantahan tu dibuat kerana berbeza agama dan budaya.

“Kisah ‘Cinta Antara Dua Benua’ ini menjadi topik berita hangat yang secara tidak langsung memperkenalkan negeri Trengganu di mata dunia.

Babak percintaan mereka ini sering kali di nanti-nantikan oleh para pembaca yang mana ianya terpapar di pelbagai akhbar antarabangsa sama di England, Scotland , Perancis, Belanda, Amerika Syarikat, Kanada, Tanah Melayu ataupun Singapura.” – Dipetik dari Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah

Laporan akhbar The Argus (Melbourne) pada 29 Ogos 1938. Imej dari Trove.

Bagaimanapun, Tengku Mahmud dan Joyce Mabel tetap meneruskan hubungan mereka dan akhirnya berkahwin pada 1 Jun 1939. Mereka melangsungkan perkahwinan di pejabat pendaftar St. Giles, London. Perkahwinan mereka tu dianggap dah memecahkan tradisi kerabat Kesultanan Terengganu.

Selepas berkahwin, pasangan diraja ni tetap mendapat perhatian media, sehinggalah terbit sebuah artikel berkenaan impian Tengku Mahmud.

Bercita-cita nak jadi tentera udara

Laporan muka penuh dari The Tennessean pada 26 Januari 1941. Imej dari Izmal Karim.

Kisah cinta dan perjalanan hidup Tengku Mahmud sebenarnya pernah diterbitkan dalam satu laporan muka penuh akhbar Amerika Syarikat (AS) – The Tennessean pada 26 Januari 1941. Selain tu, akhbar Melayu – Warta Malaya juga pernah menyiarkan artikel berkenaan Tengku Mahmud pada 18 Mei 1940.

Dalam laporan bertulis Jawi bertajuk – ‘Anak Raja Melayu Jadi Askar Udara British’ itu, ada mencerita tentang Tengku Mahmud dan isterinya yang ketika tu berada di Tanah Melayu hendak kembali ke England kerana isterinya mahu bersalin di rumah kaum kerabatnya di sana.

Selain itu, Tengku Mahmud juga sebenarnya mahu dalam angkatan udara diraja British. Dan disebabkan hal itu,Tengku Mahmud mengambil keputusan untuk meletakkan jawatannya di Tanah Melayu.

“Saya telah menghabiskan separuh umur saya di England dan hampir-hampir merasai England itu negeri bagi saya. Saya mempunyai dua negeri iaitu Trengganu dan England dan sukarlah bagi saya hendak memilh yang mana satunya…

“Saya sangat berhajat hendak berkhidmat angkatan udara diraja saya harap dapatlah saya berkhidmat.” – Tengku Mahmud, dipetik dari Warta Malaya dirumikan oleh Izmal Karim.

Salah satu keratan akhbar dari Otago Daily Times pada September 1938. Imej dari Papers Past. National Library of New Zealand.

Sesampainya mereka di England pada tahun 1941, Tengku Mahmud dah menjadi orang Melayu pertama yang menyertai British Royal Air Force (RAF) dan bertugas sebagai salah seorang ‘air crew’. Setahun lepas tu, Tengku Mahmud telah dipindahkan ke bahagian pengeluaran kilang Moris di bawah kendalian “Ministry Aircraft Production”.

Baginda juga terlibat dalam usaha mengumpul rekod-rekod “topographic information” di Tanah Melayu bagi tentera British dengan berpangkat staff kapten ketika Perang Dunia ke-2. Tetapi pada bulan September 1945, baginda pulang ke Tanah Melayu.

Sekembalinya Tengku Mahmud ke Tanah Melayu kemungkinan ada kaitan dengan isu rumah tangganya apabila…

Pasangan itu berpisah pada tahun 1945

Tengku Mahmud dan bekas isterinya pada 1939. Imej dari Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah.

Walaupun pernah mendapat liputan meluas media, perkahwinan antara dua benua ini berakhir pada tahun 1945 apabila Tengku Mahmud dan Joyce Mabel bercerai. Bagaimanapun, Tengku Mahmud dan bekas isterinya – dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu:

  1. Anak Perempuan (Dilahir & Meninggal – 22 November 1939).
  2. Tengku Andrew Clive Cyrus (13 Oktober 1940 – 25 November 2007).
  3. Tengku Afzan Joy Elizabeth (1942).
  4. Tengku Angela Meriam (12 April 1944 – 26 Disember 2003).

Menurut laporan, selepas berpisah Joyce berkahwin dengan Eric Thomas John Manning dan beliau meninggal dunia pada 9 Jun 1996. Tengku Mahmud pula kemudiannya berkahwin dengan Puan Zainun Mariam Haji Su Mahmud yang juga merupakan cucu kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Amar Diraja, Haji Ngah Mohamad.

Tengku Mahmud meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur pada 4 Disember 1989 dan jenazahnya dimakamkan di Makam Diraja, Masjid Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Kisah diraja tetap menjadi tumpuan sampailah ke masa kini

Norizan sebelum menjadi isteri P.Ramlee pernah menjadi Permaisuri Sultan Perak. Imej dari Warisan Permaisuri.

Selain kisah Puteri Diana dan anaknya Putera Harry yang menjadi perhatian media, kisah golongan diraja Malaysia juga tak kurang juga menarik perhatian. Sebagai contoh, kisah perkahwinan antara seniman P. Ramlee dan Norizan Mohammad Noor pernah mengejutkan negara. Ini kerana, Norizan yang ketika itu Permaisuri Sultan Perak – sanggup meninggalkan istana demi mengejar cintanya kepada seorang Seniman Agung. 

Begitu juga tentang kisah perkahwinan antara bekas Menteri Besar Selangor, Muhammad Muhammad Taib yang berkahwin secara sulit bersama Tengku Zahariah, anakanda Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (al-marhum). Hinggakan kisah perkahwinan mereka tu menjadi perbualan di akhbar-akhbar selama berbulan sampailah Sultan Selangor memaafkan Mat Taib dan puterinya.

Jadinya, boleh dikatakan sebagai yang mempunyai kedudukan tinggi dalam kalangan masyarakat, hal-hal berkaitan dengan kerabat diraja sudah pasti mendapat perhatian masyarakat dan media. Sama ada berita itu benar atau sekadar khabar angin – ia bergantung kepada kita untuk menilainya. Apa yang pasti, segala yang berlaku sudah pasti akan dicatatkan dalam sejarah.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.