Sungai Klang dapat anugerah antarabangsa. Ini projek zaman NAJIB RAZAK yang ramai tak tahu

(This article is translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Sungai Klang merupakan salah satu daripada sungai yang paling berwarna-warni dan menarik kat dunia ni. Kadang-kadang sungai tu warna hijau, kadang-kadang bertukar warna oren, tapi selalunya air sungai tu akan tukar jadi warna coklat. Tapi sebenarnya air sungai tu boleh bertukar warna asal jadi warna biru.

Macam-macam warna air yang korang boleh jumpa kat Sungai Klang tu. Imej dari Trip Advisor, NST, Deskgram dan Commons Wikimedia

Tapi, dalam tahun 2012 dulu, kerajaan dah setuju untuk bersihkan keseluruhan kawasan Sungai Klang, dan ia boleh jadikan Sungai Klang sebagai salah satu tempat dan destinasi pelancongan. Dan projek tersebut dikenali sebagai projek “Sungai Nadi Kehidupan” ataupun “River of Life (RoL),” menelan kos sebanyak RM4.4 bilion yang dilancarkan oleh bekas PM, Datuk Seri Najib. Projek RoL ni jugak melibatkan beberapa agensi kerajaan, pihak pemaju, dan pihak konsultan yang bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan projek ni.

Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur (JPS) mengetuai kira-kira 8 agensi kerajaan dan majlis daerah tempatan yang bertanggungjawab untuk aktiviti pembersihan sungai tersebut. Dan, ada sebuah syarikat pemaju, Ekovest Sdn Bhd, yang bertanggungjawab dalam usaha untuk menjadikan Sungai Klang dan Gombak sebagai esplanade sungai.

Ni imaginasi pelukis apa yang akan jadi kat sungai tu. Imej dari NST

Sungai Klang dan Sungai Gombak akan berubah jadi macam … Venice!?

Antara agenda dalam projek River of Life adalah untuk memperkenalkan perkhidmatan gondola atau teksi air untuk tujuan pelancongan. Selain daripada tu, terdapat jugak rancangan untuk jadikan Sungai Gombak sebagai kegunaan orang awam yang dipenuhi dengan macam-macam tarikan. Contohnya macam ala-ala dalam pelayaran kapal sepanjang sungai tu, pelancong boleh menikmati pelbagai budaya tempatan di sepanjang sungai tersebut. Dan ni mungkin salah satu sebab banyak akhbar yang mengatakan projek tersebut sebagai projek ‘Venetian Dream’. 

Walaupun dah diperkatakan macam tu, menurut pengarah urusan Ekovest, Tan Sri Lim Keng Cheng, projek tersebut sebenarnya berdasarkan model dan contoh dari San Antonio River Walk di Texas, US… dan bukanlah dari Venice, Itali.

Andaian sungai tu adalah yang macam ni tau. Imej dari Texas State Historical Association

Dalam usaha untuk jadikan sungai tersebut sama macam sungai dekat Texas tu, Sungai Klang memerlukan beberapa proses pembersihan yang menyeluruh. Dan semestinya untuk tukar warna air Sungai Klang yang dah jadi macam warna air teh tarik tu! Tapi, kalau korang nak tahu kenapa warna air sungai tu jadi macam tu, ia berpunca daripada Fecal coliform. Mungkin korang boleh agak kot fecal coliform tu apa sebenarnya… 

Jeng…jeng…jeng. Betul lah tu fecal coliform tu najis korang (hehe). Imej dari wikipedia

Disebabkan paras fecal coliform yang tinggi ni, Sungai Gombak dan Sungai Klang dianggap tak sesuai untuk badan, maksudnya tak sesuai untuk mandi dan minum. Tapi punca najis tu datang dari mana pulak ye? Sebenarnya, najis dan kotoran tu terhasil daripada penduduk berhampiran yang mengeluarkan dan melepaskan bendasing tu kat dalam sungai. Dan sebab tu, rancangan untuk proses pembersihan Sungai Klang ni menelan kos RM4.4 bilion, yang jugak termasuk:

  • Mengenalpasti punca pencemaran
  • Menaik taraf sistem pembentungan
  • Penempatan semula kawasan kampung yang berhampiran sungai, seperti Kampung Puah Seberang
  • Memasang perangkap bahan pencemaran tambahan
  • Menggunakan kolam-kolam takungan
  • Menjalankan kajian berkenaan pemulihan sungai untuk mengawal aliran sungai
  • Menggalakkan, menguatkuasakan dan menguruskan kebersihan sungai

Projek tersebut jugak menyasarkan dan bertujuan untuk mengubah dan membersihkan sungai supaya selamat digunakan untuk tujuan rekreasi pada tahun 2020. Dan ia perlu dilakukan dan sempurna pada tahun 2020 kerana kawasan tersebut bakal dikomersialkan pada tahun 2020.

“Kami tidak bercadang untuk menjadikan sungai tersebut bersih sehingga boleh diminum. Selagi ia selamat disentuh, ia sudah bagus.” – Tan Sri Lim Keng Cheng, Pengarah Urusan Ekovest Sdn Bhd, sumber dari The Star.

Kerajaan mungkin pandang remeh dengan projek pembersihan sungai tersebut

Dan macam yang dijangkakan, projek tersebut tak mendapat sambutan yang baik. Tapi sebelum tu, nak tahu apa yang tak kena dengan projek tersebut, jom tengok sejauh mana kemajuan yang kerajaan dah buat untuk projek River of Life ni.

Dalam satu laporan kerajaan, kat situ ada bagitahu yang pihak kerajaan dah berjaya bersihkan 81% daripada Sungai Gombak dan Sungai Klang dengan 6 lagi anak sungai yang lain. Jadi secara kasarnya pihak kerajaan dah bersihkan 110km daripada sungai tersebut. Dan projek tu, dah 67% siap pada tahun 2017 dulu.

Kawasan yang dah dibersihkan dalam projek River of Life. Imej dari FB River of Life

Walaupun dengan usaha berterusan yang giat dijalankan, sungai ni masih nampak kotor dan tak bersih. Dengan keadaan yang macam tu, agensi kerajaan seolah-olah ambil mudah dan lupa dengan punca pencemaran yang menyebabkan sungai tu kotor. Ia sebenarnya berpunca daripada Sungai Gombak sendiri. Samantha Edwards, sukarelawan yang membersihkan sungai ada bagitahu yang takde guna bertungkus-lumus bersihkan bahagian tengah sungai kalau punca pencemaran yang berlaku di hulu sungai tak dibersihkan. Hmm…betul jugak tu.

Pembangunan berleluasa dan penerokaan tanah telah mencemarkan rangkaian sistem sungai. Memandangkan ia berlaku di kawasan punca aliran sungai, aliran endapan yang mengandungi kotoran pasti berlaku dan mengalir ke tengah sungai, sebab itulah penguatkuasaan yang berterusan sangat penting.” – Dr. K Kalithasan, pengurus projek penjagaan sungai Global Environmental Centre’s (GEC), sumber dari The Star. 

Memandangkan kebanyakan pemaju dan kontraktor hanya menyalahkan antara satu sama lain, jadinya isu ni tak ada kesudahannya. Dan perkara yang paling penting dalam situasi ni adalah dengan pastikan pihak pemaju dan kontraktor yang terlibat bertanggungjawab dengan apa yang diaorang dah buat. Iaitu terhadap cara mereka melepaskan endapan, sisa pasir dan tanah kat sungai.

“Punca (pencemaran) adalah dari hulu sungai, itu yang nak dibersihkan kerana kumbahan, sampah, bahan kimia, dan pelan kumbahan baharu.” – YB Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan, sumber dari Astro Awani. 

Tapi, agensi yang terlibat dalam projek pembersihan ni ada yang dah tarik diri. Kewujudan agensi-agensi ni penting sebab setiap agensi mempunyai tanggungjawab yang tersendiri dalam projek ni. Pekerja yang bekerja kat kawasan tersebut hanya akan bersihkan sungai tu bila sungai tu jadi sangat kotor. Dan, tak ada siapa pun yang akan pantau kerja diaorang.  

Hal tersebut menunjukkan proses pengindahan semula kat Sungai Klang telah pun terjejas disebabkan sikap-sikap kontraktor yang culas ni. Diorang sepatutnya buat dua empangan, satu kat Daya Bumi dan satu lagi kat Brickfields. Ia berfungsi untuk menghalang aliran sungai waktu banjir dan menaikkan paras air untuk aktiviti rekreasi. Tapi empangan tersebut tak berfungsi lepas kerja-kerja tersebut selesai dan berjaya disiapkan.

Tapi, kerajaan ada merancang benda yang mungkin nampak sukar untuk dicapai bila…

“Bila mereka rasmikan dan lancarkan projek tersebut pada tahun 2012, mereka menetapkan sasaran Kelas IIB (selamat untuk sentuhan badan) pada tahun 2020. Ia merupakan penanda aras yang cukup tunggi untuk dicapai.” – Dr Mohd Zaki, sumber dari The Star.

Dan sebab tu lah kerajaan turunkan sasaran tersebut ke Kelas II, yang bermaksud sungai tersebut boleh digunakan untuk aktiviti rekreasi sahaja. Tapi kalau korang tiba-tiba jatuh kat dalam tu, habislahhh… 

Jadinya…projek River of Life ni tak boleh nak disiapkan pada tahun 2020 lah kan?

Tapi…Singapura berjaya buat benda yang sama pada tahun 70-an dulu…

Sungai Singapura sebelum dibersihkan (kiri) dan lepas dibersihkan (kanan). Imej dari CILISOS

Pada tahun 1970 dulu, Singapura perasan yang sungai-sungai diaorang ni dah banyak yang tercemar, disebabkan oleh tebing-tebing sungai di sekitar Singapura yang dijadikan titik utama perdagangan global dan serantau. Jadi, korang boleh bayangkanlah betapa kotornya sungai kat Singapura dulu. Dan disebabkan kes tersebutlah, Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, menyeru semua pihak untuk jalankan pembersihan sungai secara besar-besaran.

Lepas tu, ada satu pasukan agensi kerajaan yang diketuai oleh seorang jurutera, Lee Ek Tieng, telah bekerjasama untuk nak kenal pasti sumber pencemaran tersebut. Dan sumber pencemaran tersebut didapati dari rumah setinggan dan kedai-kedai yang berhampiran dengan sungai sebelum aktiviti pemindahan kawasan tersebut dilakukan. Lepas buang dan keluarkan sisa dan sumber pencemaran tersebut, agensi kerajaan yang terlibat dalam projek tu dapat lakukan proses pembersihan sungai tu dengan berkesan.

Tapi lain pulak dengan situasi kat Malaysia, yang dah ambil masa lebih 30 tahun untuk bersihkan kedua-dua sungai, Sungai Klang dengan Sungai Gombak. Tapi kerajaan Singapura cuma ambil masa 10 tahun dan kosnya hanya $170juta untuk bersihkan kedua-dua Sungai Singapura dan Sungai Kallang! Dalam sebuah buku yang bertajuk, ‘Forging a greener tomorrow: Singapore’s environmental journey from slum to eco-city’, Lee Kuan Yew ada bagitahu:

“Saya rasa (Kementerian Alam Sekitar) perlu menetapkan sasaran dalam masa 10 tahun (untuk) membenarkan kami memancing di Sungai Singapura dan Sungai Kallang.

Ia boleh dilaksanakan. Sebab dalam masa 10 tahun, seluruh kawasan tersebut akan dibangunkan semula, semua air kumbahan akan masuk ke kawasan perairan dan saliran mestilah dalam keadaan bersih.

Tapi jika ia tidak dilakukan kami akan pulang…jika saya masih bertugas pada tahun 1986, saya akan pastikan dan cari apa yang tidak kena, pada sesiapa yang dipertanggungjawabkan yang gagal melaksanakannya, sama ada jurutera sistem tersebut perlu mewujudkan semula tabiat baru untuk melupuskan air kumbahan dan sampah.” – Lee Kuan Yew. 

RoL dijadikan aset negara untuk tujuan pelancongan

“Sebahagian besar pusat bandar ini terletak di tebing Sungai Klang, yang menjadi tumpuan River of Life, projek penjanaan semula yang diterangkan sebagai salah satu projek pemulihan sungai bandar yang paling mahal yang pernah dilakukan.

Tetapi, ia dah berhasil … Hari ini, ada kafe tepi sungai, air pancut yang berteknologi tinggi, laluan basikal dan pancaran cahaya malam yang menjadikan air berubah menjadi warna yang menakjubkan “- sumber dari Independent. 

Tapi, projek River of Life ni takdelah tak bagi kelebihan apa-apa kat negara, sebenarnya kawasan Sungai Klang dalam projek tersebut bertukar 360 darjah dengan keadaan dan pemandangan yang menarik. Dan sebab tu lah Sungai Klang telah menerima beberapa anugerah bertaraf dunia. Antaranya Anugerah Kecemerlangan daripada International Federation of Landscape Architects (IFLA) dan disenaraikan dalam salah satu kedudukan terbaik dunia iaitu, Top 10 Waterfront Districts daripada portal berita UK, Independent. 

Sekurang-kurangnya sungai tu nampak menarik… pada waktu malam. Imej dari CILISOS

Walaupun begitu, kedua-dua sungai tersebut masih dalam proses pembersihan dan dalam pemerhatian. Tapi secara tak langsung ia boleh dijadikan aset negara berdasarkan kualiti air sungai berada dalam tahap yang lebih selamat. Yang juga boleh digunakan untuk kegunaan rekreasi serta boleh jadikan tempat tersebut sebagai tumpuan pelancong. 

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)