Soeharto beri komodo kepada Bush. 4 lagi hadiah haiwan kepada pemimpin dunia

Kalau korang ikuti perkembangan dunia beberapa hari kebelakangan ni, korang mesti perasan satu berita tentang hadiah Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman al-Saud. Apa yang menariknya, hadiah tu bukan biasa-biasa, tapi seekor burung helang yang sukar ditemui, berspesis – Kamchatka Gyrfalcon.

Kamchatka ni adalah kawasan yang terletak di jauh timur Rusia, dan helang di sana memang terkenal dengan kecekapan memburunya. Selain beri burung ni kepada Raja Arab Saudi, spesis sama juga diberikan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Shaikh Mohamed Bin Zayed al-Nahyan.

Sebenarnya di kalangan negara Arab, aktiviti memburu menggunakan helang cukup popular dan tahulah kita kenapa Putin bagi helang kepada dua orang pemimpin Arab ni bersempena dengan lawatannya.

Tapi, kalau kita singkap tirai sejarah, pemberian haiwan kepada pemimpin-pemimpin dunia sebenarnya dah lama dibuat. Cara ni dikenali sebagai Diplomasi Haiwan (Animal Diplomacy). Mungkin kita boleh mula dulu dengan…

1. Zirafah – Hadiah Mesir kepada Maharaja Byzantine

Imej zirafah di atas serpihan mozek, zaman Byzantine. Imej dari Wikipedia.

Zirafah dikatakan dah ditemui sejak zaman Mesir Purba – di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Land of Punt. Dianggap sebagai hadiah dari Cleopatra, Julius Ceasar dikatakan membawa zirafah pertama ke Rom yang dihadiahkan oleh Mesir. Bagaimanapun, haiwan tu dipanggil sebagai “cameleopard“, kerana saiz dan bentuknya.

Berganjak di zaman kemudian, Sultan Mesir juga pernah menghadiahkan zirafah kepada beberapa orang Maharaja Byzantine. Pihak Byzantine pula balas balik dengan bagi beruang kepada Mesir. Pada tahun 1262, pemerintah Mamluk (Mesir sekarang), Sultan Baibar juga menghadiahkan zirafah dan kuda Arab kepada sekutunya di empayar Golden Horde. 

Lakaran zirafah pertama yang sampai ke Perancis. Imej dari Jurnal of Art in Society.

Pada tahun 1800-an pula, pemimpin Mesir, Mohammad Ali Pasha turut bagi zirafah kepada pemimpin dunia seperti, Raja George IV (England) dan Raja Charles X (Perancis). Untuk hari ni, nampaknya dah takde orang bagi hadiah zirafah dalam hubungan diplomatik. Tapi, satu lagi haiwan ni pun pernah jadi haiwan diplomasi iaitu…

2. Gajah – India hantar seekor ke Kanada atas permintaan budak 5 tahun

Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru dan Dalai Lama bersama seekor gajah di New Delhi pada tahun 1956. Imej dari Wikimedia.

Pada tahun 1953, Perdana Menteri India, Jawaharlal Nehru dah dapat satu surat daripada seorang budak 5 tahun dari Kanada. Dalam surat tu, Peter Marmorek kata yang Zoo Granby di bandarnya tak ada gajah dan naklah Nehru hantar seekor ke zoo tu. Jadinya, pada Disember tahun sama, Peter dapat surat dari Nehru yang kata:

“… gajah ni haiwan besar, berkeliaran dalam hutan… dan tak mudah menangkapnya”.

Surat ni kemudiannya dapat perhatian media Kanada, dan dilaporkan secara meluas dalam akhbar dan televisyen. Peter pun mula jadi macam selebriti dan Perdana Menteri Kanada pun mula pasang telinga pasal berita ni. Akhirnya dua tahun kemudian (1955), seekor anak gajah berusia dua tahun bernama Ambika dah dibawa dari hutan Madras ke Zoo Grandy.

Sambutan anak gajah ke Zoo Grandy tu dah dibuat secara besar-besaran, malah Peter siap bagi ucapan dalam majlis tu. Maka masa tu, dapatlah orang Kanada tengok gajah – dari hasil usaha seorang budak 5 tahun. Kehadiran gajah tu juga dah meningkatkan hubungan diplomatik antara Kanada dan India.

Nehru dan gajah yang kemudiannya diberikan kepada Jepun. Imej dari Free Press Journal.

Lepas tu, Kanada mula balas balik jasa India dengan beri pelbagai hadiah yang kebanyakannya dalam bentuk makanan, seperti gandum dan susu tepung. Dalam sejarahnya, India dah menghantar beberapa lagi ekor gajah ke negara-negara lain.

“… India menghantar banyak gajah, sebagai simbol negara dan utusan muhibah dan persahabatan – ke zoo di Jepun, China, Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, Jerman, Turki, Iran, Kanada dan Belanda.” – Dipetik dari The Caravan.

Anak gajah dari India yang dinamakan sebagai Murugan sampai ke Amsterdam pada tahun 1954. Imej dari The Caravan.

Dalam masa sama, ada juga beberapa negara lain yang turut gunakan gajah sebagai hadiah diplomasi seperti Vietnam. Pada tahun 1953, pemimpin negara itu, Ho Chi Minh dah menghadiahkan dua ekor gajah kepada pemimpin tertinggi China, Mao Zedong sebagai tanda persahabatan dua negara. Sri Lanka pada tahun 1972 juga ada berikan anak gajah kepada China.

3. Platypus – Dihantar dari Australia ke Britain, walaupun dunia tengah berperang

Platypus di Australia pada tahun 1940-an. Imej dari themanticore.wordpress

Masa kita belajar sains di sekolah dulu, kalau cikgu tanya mamalia apa yang bertelur, mesti korang jawab – platypus kan? Sebenarnya, selain dari platypus, mamalia lain yang bertelur adalah echidna.

Tapi kita bukan nak cerita pasal mamalia bertelur, sebaliknya pasal platypus sebagai hadiah kepada pemimpin dunia. Pada tahun 1943, yang masa tu Perang Dunia Kedua (WWII) masih lagi berjalan, Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dah buat satu permintaan pelik kepada Australia. Dia nak negara bawah naungan British tu hantar platypus kepadanya. .

Sebenarnya, Churchill ni memang suka dengan haiwan-haiwan eksotik, jadinya dia pun terfikir nak tengok platypus hidup depan mata (dah bosan dengan perang kot). Jadinya, Perdana Menteri Australia, John Curtin pun dapatkan seekor platypus dan namakannya sebagai Winston. Ringkas cerita, platypus ni pun dibawa belayar ke Britain. Malangnya, ia mati sebelum sampai ke Britain.

Churchill memberi makan kepada seekor kangaroo di Zoo London. Imej dari Denncity.

Selang beberapa tahun lepas tu, beberapa ekor lagi platypus dibawa dari Australia ke Amerika Syarikat (AS) dan sampai di New York pada April 1947. Ia adalah hadiah dari kerajaan Australia kepada AS sebagai ingatan jasa negara tu dalam WWII.

Bagaimanapun, diplomasi platypus ni akhirnya dihentikan, bila populasi haiwan tu mula menurun. Kemudianya, Australia perkenalkan pula Diplomasi Koala yang mula serius dijalankan pada tahun 2014, selepas gambar beberapa orang pemimpin dunia (seperti Obama dan Putin) memeluk haiwan tu di Persidangan G20.

“Haiwan ini juga dipinjamkan kepada zoo antarabangsa. Pada awal tahun 2015, empat ekor koala telah dihantar ke Zoo Singapura…” – Dipetik dari Atlas Obscura.

Gambar-gambar pemimpin dunia peluk koala ni dah merancakkan diplomasi koala. Imej dari ABC News.

4. Komodo – Hadiah Soeharto kepada Bush

Komodo di Zoo Singapura. Imej dari Andy Mitchell.

Kalau di Australia terkenal dengan platypus dan koalanya, Indonesia pula cukup terkenal dengan sepesis biawak eksotik – komodo. Tak ada di tempat lain, biawak ini hanya boleh didapati di beberapa pulau Indonesia. Buat masa sekarang, komodolah jenis biawak paling besar dengan – saiz paling besar direkodkan sepanjang 3 meter dan seberat 166kg.

Walaupun haiwan-haiwan diplomasi di atas tadi nampak macam comel dan tak bahaya – sifat ganas komodo ni tak menghalang ia dari jadi haiwan diplomasi juga. Pada tahun 1980-an, Presiden Indonesia ketika itu, Soeharto dah menghadiahkan empat ekor komodo kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Bila korang jadi hadiah ke negara lain. Imej asal dari Akurat

Dalam masa sama, komodo juga dihadiahkan kepada Canselor Jerman, Helmut Kohl pada tahun 1984 dan sekali lagi pada tahun 1991 (diletakkan di Zoo Berlin). Presiden Amerika Syarikat (AS), George H. W. Bush. Bush pun terima hadiah sama dari Soeharto yang dinamakannya sebagai “Naga” pada tahun 1990. Biawak itu akhirnya mati pada tahun 2007.

Di Malaysia, Soeharto tak hadiahkan komodo, tapi berpuluh-puluh ekor rusa dari spesis Axis-axis kepada Parlimen Malaysia. Sampai sekarang, korang masih boleh tengok rusa-rusa ni di Taman Rusa Parlimen.

Mereka terdiam, di riak telinga mereka ada tanda-tanda mendengar suara sumbang YB-YB. Imej dari Parlimen Malaysia.

5. Anjing dan panda haiwan paling popular

Putin menunjukkan anjingnya kepada Canselor Jerman, Angela Merkel pada 2007. Imej dari UPI.

Selain dari haiwan di atas ni, anjing dan pandalah haiwan diplomasi paling popular di dunia sekarang ni. Negara yang ke depan beri hadiah anjing ni adalah Rusia, sebab negara tu ada sejarah hebat dengan anjing. Sebabnya, dua ekor anjing yang negara tu hantar ke orbit, berjaya dibawa balik dalam keadaan hidup.

Salah seekor anjing tu ada anak yang dinamakan sebagai Pushinka dan ia dah diberikan oleh Pemimpin Soviet, Nikita Khrushchev kepada Jacqueline Kennedy (isteri John F Kennedy). Putin juga seorang yang sukakan anjing dan sebab itulah Putin teruskan tradisi ini.

Pada tahun 2010, Perdana Menteri Bulgaria dah bagi seekor anjing spesis – Bulgarian shepherd kepada Putin, yang kemudiannya jadi antara anjing kesayangannya. Dua tahun lepas tu pula, Putin bagi Presiden Venezuela, Hugo Cahvez seekor anjing berusia 3 tahun dari baka “Stalin dog”. Nama bakanya macam tu, sebab ia dibakakan di bawah pemerintahan Joseph Stalin – untuk jadi anjing pengawal di penjara.

Perdana Menteri Bulgaria masa berikan putin seekor anak anjing baka Bulgarian shepherd. Imej dari PRI.

Walaupun macam tu, Putin pernah tolak hadiah anak anjing dari Jepun pada tahun 2012. Akan tetapi, tak ada penjelasan lanjut kenapa Putin menolak pemberian itu.

Untuk panda pula, inilah haiwan diplomasi paling popular sekarang ni. Malaysia sendiri terlibat dalam menerima panda sebagai tanda persahabatan dengan China. Sejarah pemberian panda oleh China ni sebenarnya dah mula sejak zaman Dinasti Tang lagi, bila mana Empress Wu Zetian menghadiahkan – sepasang panda kepada Maharaja Jepun.

Seterusnya, dari tahun 1958 sampai 1982, China dah hadiahkan 23 ekor panda kepada sembilan buah negara, termasuklah – Jepun, AS, UK, Perancis dan Rusia. Kemudiannya sejak tahun 1996, China dah meminjamkan 33 ekor panda di seluruh dunia – bagi mengikat hubungan diplomatik.

Panda bernama Yi Yi yang ada di Zoo Negara. Imej dari The Sun Daily.

Diplomasi haiwan bawa pelbagai makna

Hal diplomasi haiwan ni sebenarnya menimbulkan persoalan tentang makna di sebaliknya. Selain dari mengukuhkan hubungan diplomatik, ada juga yang kata diplomasi haiwan adalah cara berterima kasih dan mengenang jasa sesebuah negara kepada negara lain.

“Di Eropah (zaman post-Roman)… hadiah (haiwan) itu ditafsirkan sebagai tanda status yang sama atau mungkin sebagai penghormatan… ” – Dipetik dari jurnal terbitan The Hague Jurnal of Diplomacy.

Dr Mahathir pun pernah dapat dua ekor kuda dari Presiden Pakistan, Muhammad Ziaul Haq. Imej dari FMT.

Bagi sebahagian pemerhati lain pula, diplomasi menggunakan haiwan juga boleh dikatakan sebagai usaha mengembang pengaruh dengan cara lembut dan ia berguna dalam membina peluang untuk sesebuah negara. Sebagai contoh, pada tahun 2017, Turkmenistan berminat untuk meneruskan lagi eksport gas aslinya ke Rusia.

Maka berlaku pertemuan antara kedua-dua pemimpin, dengan membawa seekor anjing untuk dihadiahkan kepada Putin. Hasilnya, Rusia sambung import gas asli dari Turkmenistan. Oleh itu, diplomasi haiwan boleh dikatakan dapat melancarkan hubungan diplomatik antara negara.

Putin masa terima seekor anak anjing pemberian Presiden Turkmenistan. Imej dari AP News.

Dari segi politik pula, secara simbolisnya (seperti panda) ia membolehkan pihak kerajaan sesebuah negara mengambil hati negara-negara asing yang dipilih. Di samping itu, ia juga dilihat sebagai usaha untuk mempromosikan pemuliharaan haiwan dan penyelidikan.

“Mengambil haiwan secara serius membayangkan pemikiran semula proses dan hasil diplomasi. Tempat perubahan haiwan dalam amalan diplomatik keseluruhan memberitahu kita sesuatu bukan sahaja tentang mengubah hubungan dengan haiwan, tetapi juga tentang perubahan dalam amalan diplomatik sendiri.” – Dipetik dari Berlin Global.

 

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.