- 46Share sekarang!
- Email2
- Facebook44
- Share
Amacam korang dah vaksin ke belum? Kalau dah vaksin baguslah, kalau belum dan masih tunggu lagi tarikh, semoga korang baik-baik saja. Tapi kalau siapa tolak vaksin dan taksub dengan ilmu konspirasi secara kritikal, kami mendoakan supaya dibukakan hati untuk menerima suntikan vaksin.
Nak tahu kenapa? sekarang ni Malaysia hampir berjaya mencapai imuniti kelompok (herd immunity).
Kemas kini: Menteri Kesihatan, Dato’ Khairy Jamaluddin, mengatakan bahawa kita tidak boleh guna istilah imuniti kelompok akibat varian Delta dan vaksinasi belum lengkap dalam kalangan remaja serta kanak-kanak. Sekarang ni, kita patut fokus kepada liputan pemberian vaksin di seluruh Malaysia
Berdasarkan laporan hari ni, Malaysia sudah menerima 60.6% vaksinasi lengkap manakala 70.5% bagi yang vaksin dos pertama. Kalau nak tahu lebih lanjut, boleh layari COVIDNOW.
Berita satu lagi, negara kita bakal mencipta vaksin COVID-19 sendiri. Ini merupakan satu perkara yang harus dibanggakan oleh kita kerana Malaysia dianggap sebagai negara yang maju dalam bidang perubatan. Lepas ni tak perlu la kita minta vaksin dari negara luar.
Akan tetapi, timbul satu persoalan—Adakah penciptaan vaksin sendiri ini sekadar membazir duit sahaja? Kami dari SOSCILI bakal menjawabnya.
Terlebih dahulu kita kena kenal jenis vaksin apa yang ingin dibangunkan oleh Malaysia ni.
Vaksin kita ada dua jenis—mRNA & Virus Ternyahaktif
Terlebih dahulu, mari kita imbas kembali kenyataan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pada 21 Jun lepas, KKM mengeluarkan kenyataan ‘Malaysia Akan Hasilkan Vaksin COVID-19 Sendiri Menggunakan Jenis mRNA‘ dan dikatakan kita akan mempunyai dua jenis vaksin iaitu mRNA dan Virus Ternyahaktif.
Proses penghasilan vaksin COVID-19 adalah kerjasama antara Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebenarnya pembuatan vaksin ni sudah dimulakan pada November lepas lagi dan bulan Jun lepas, penghasilan vaksin berada di peringkat pengklonan varian asal virus serta varian lain SARS-CoV-2 (COVID-19).
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr. Adham Baba berkata penghasilan vaksin COVID-19 sendiri sangat penting bagi membantu negara mencegah wabak pandemik itu daripada terus menular. Penghasilan vaksin sendiri ini membelanjakan sebanyak RM20 juta.
Sebelum ini juga, pihak Dr. Adham Baba merancang untuk membuat ‘perjanjian dua hala’ dengan negara luar yang telah berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 termasuk China, India dan Thailand. Ini juga satu berita baik kerana ia boleh menjadi satu asbab dalam kejayaan penghasilan vaksin.
Menurut Pharmaniaga, mereka akan mengeluarkan vaksin halal sendiri menjelang 2024 dan ia merupakan hasil daripada kepakaran serta kemudahan yang mereka miliki.
Mesti korang pelik, apasal lambat betul sampai 2024 baru dapat vaksin? Entah-entah, waktu tu COVID-19 ni dah diisytiharkan tamat. Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak pandemik ni dijangka melanda sehingga 2025 (tapi ini sekadar jangkaan ye, mungkin ada berita baik lepas ni).
Akan tetapi…
Terdapat pihak yang mempertikaikan penghasilan vaksin ini
Semasa Persidangan Dewan Rakyat pada 23 September, Ahli Parlimen Kepong, YB Lim Lip Eng meminta penjelasan kepada Dr Adham Baba iaitu kenapa negara kita perlu membelanjakan RM20 juta untuk hasilkan vaksin sendiri, sedangkan ada negara luar seperti Amerika Syarikat sanggup memberikan vaksin Pfizer kepada kita?
Pada awalnya, Dr. Adham menerangkan bahawa sumbangan vaksin Pfizer dari Amerika Syarikat ialah satu diplomasi vaksin COVID-19. Lepastu, beliau menyatakan kita kena mulakan sebuah industri pembangunan vaksin.
“Kita perlu bina satu kerangka roadmap untuk vaksin di negara kita. Mungkin bukan kerana COVID-19, tapi wabak-wabak lain. Jadi, bila kita ada struktur yang kukuh dan pakar yang ramai (kita bukan eksport pakar dari luar saja) boleh membangunkan kapasiti. Ini satu perkara yang penting, kita tidak boleh ketinggalan dalam menuju kejayaan sains dan teknologi.” – Dr. Adham Baba, kenyataan di Persidangan Dewan Rakyat pada 23 September.
Penghasilan vaksin ini akan menjadi bukti bahawa Malaysia tidak tertinggal dalam kemajuan sains dan teknologi. Oh ye…
Info tambahan:
Korang nak tahu, sumbangan vaksin yang kita dapat dari negara luar tu bukan percuma ye, kerajaan akan membayar kos pengangkutan untuk membawa vaksin tu ke Malaysia.
90% vaksinasi dari kalangan orang dewasa, kita boleh rentas negeri!
Korang dah bersedia ke belum nak rentas negeri ni? Kalau sudah bersedia… sila like, komen, dan share artikel ni (cehhh! hardsell terok!). Berdasarkan analisis dari KKM, kita boleh rentas negeri jumpa keluarga tercinta yang sudah lama berpisah atau sebagainya kalau kita mencapai kadar 90% vaksinasi dewasa.
Ehh jap, cuba korang buka COVIDNOW dan tengok peratus vaksinasi dewasa. Kalau korang tengok, kita sudah mencapai kadar 84.4% vaksinasi dewasa. Ini bermakna tak lama lagi kita dah boleh rentas negeri la ni.
Menurut Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kemungkinan kita boleh rentas negeri dalam awal atau selewat-lewatnya pertengahan bulan Oktober.
Jadi, apa lagi geng, takkan nak diam saja, siapa yang tak daftar vaksin tu baik pergi daftar vaksin cepat, sebab sekarang ni banyak aktiviti harian memerlukan dua dos vaksin. Kalau tak nak vaksin takpe, tapi korang mereput je la dalam rumah sambil melihat orang vaksin melakukan aktiviti harian.
- 46Share sekarang!
- Email2
- Facebook44
- Share