Makan tak habis? Jual kat member? Ini kenangan manis budak-budak RMT

Ingat lagi tak program RMT kat sekolah dulu?

Sejak 1979, program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ni membekalkan nutrisi tambahan kepada pelajar sekolah rendah, terutama daripada kumpulan berpendapatan rendah dan pelajar luar bandar.

Selain makanan, pelajar RMT juga biasanya turut menerima susu free daripada Program Susu Sekolah (PSS) untuk kesihatan tubuh badan dan peningkatan kemampuan akademik.

Murid-murid bila dengar susu dah sampai. Gif daripada Gfycat.

Bagi yang dah besar panjang, mesti ada rasa nostalgia apabila diingatkan balik, jadi kami tanya beberapa orang apa kenangan RMT diorang. Ini antara kenangan RMT menarik yang kami kumpul.

1. Susu RMT yang lejen

Susu zaman 90an. Imej oleh Saiful Bahari, daripada Siakap Keli Press.

Kalau pasal RMT ni, kenangan paling best mestilah pasal susu coklat. Kami kanak-kanak paling seronok bila cikgu cakap ada susu, terus memekik panggil semua kawan masuk bilik guru sambil terloncat-loncat. Sekolah kitorang kecil je, dalam 100 pelajar camtu, so kitorang selalu dapat 2 atau 3 kotak sorang.

Tak sempat bawa balik rumah sejukkan, terus habis dua kotak.

– Nabihah

2. Rehat dengan kengkawan

Sebab sekolah kami sangat kecil, kami takda kantin. Masa tu kebanyakan pelajar dapat RMT. Kami akan makan di mana-mana yang boleh. Ada yang makan bawah pokok, ada yang makan di bangku, tapi saya suka makan dengan kawan dekat tepi longkang sebab lepas makan kami terus main rebut tiang.

– Wee
30 minit zaman dulu sempat makan dan main sekali. Imej daripada Permainan Tradisional di Malaysia.

Menu yang paling saya suka ialah ayam masak kicap, dan juga nasi lemak. Dulu saya tak makan telur kuning, kawan saya tak makan telur putih. Kami selalu tukar. Saya ambil telur putih dia, dia ambil telur kuning saya.

– Wee

3. Makan tak habis

Dia letak kat poket tepi…

Masa sekolah rendah dulu, saya pelajar paling kecik, dan RMT tu agak besar la bagi saya, jadi memang struggle nak makan sampai habis.

Ada sekali masa saya darjah 2, saya tak sempat habis makan (nasi lauk sambal ikan kembung), pastu loceng dah bunyi. Kalau makan tak habis, nanti cikgu sound. So saya pun bungkus la nasi tu letak dalam poket beg. Kononnya nak sambung makan petang tu.

Tapi saya terlupa, lepas tu simpan dalam beg 2 minggu lebih sampai berulat. Lepas tu mak jumpa, habis saya kena berleter seminggu 🥲”

-Nabihah

4. Cilok makanan RMT lebih

Saya sendiri tak dapat RMT, tapi makanan RMT memang sedap, jadi saya buat perjanjian dengan cikgu yang agihkan RMT: kalau 5 minit sebelum rehat habis, dan ada lagi lebihan RMT, saya boleh ambil. Cikgu cakap onzzzz.

-Elil
Menunggu 15 minit macam ni… Imej daripada Giphy.

Jadi sekurang-kurangnya dua kali seminggu saya dapat makan percuma, tapi saya kena habiskan dalam masa 5 minit la. Hari Khamis paling best sebab dapat roti canai. Kadang-kadang kalau ada lebihan lagi, cikgu bagi je makanan dan susu kat budak-budak lain.

-Elil

5. Kena bayar ke?

Cerita ni masa saya kat sekolah rendah di Melaka. Bila saya darjah satu, masa rehat cikgu suruh saya pergi ambil makanan RMT kat kantin, tapi dia tak cakap bahagian kantin yang mana. Jadi saya pun fikir ‘Wah, terbaik! Boleh ambil makanan apa je?! Tak payah bayar?!’

-Yu Zhen
Nugget la apa lagi? Imej oleh Engin Akyurt/Pexels.

Jadi saya target nugget dan kentang goreng, saya ambil dua bungkus. Lepas ambil, saya baru jalan beberapa langkah, tiba-tiba pakcik kantin laung kat saya ‘Ey xiao mei mei, belum bayar kan?

Saya bagi tau kat dia yang cikgu cakap free, tapi dia suruh saya letak balik. Kesudahan dia, hari tu saya tak makan langsung. Esok baru saya tahu RMT yang free tu kena ambil kat tempat lain. Malu betul…

-Yu Zhen

6. Rehat awal

Bila orang lain baru nak beratur beli makanan tapi kau dah habis makan. Gif daripada GifDB.

Selain daripada susu coklat, saya tak ingat sangat pasal RMT. Pasal saya dapat zaman 90-an dulu. Ramai je dapat RMT kat sekolah saya, dan yang paling best adalah budak-budak RMT boleh keluar rehat 10 minit lagi awal sebab nak beratur ambil makanan.

-Ashraf

7. Jual RMT kat kawan

Ini cerita lepas saya pindah sekolah ke Kepong. Saya tak tahu kenapa, tapi sekolah Kepong ni selalu hidangkan kuetiau yin yong sebagai menu RMT. Lama-lama saya pun bosan asyik makan kuetiau yin yong saja. Balik rumah pun mak selalu masak kuetiau lagi.

-Hazel
Lebih kurang macam kuetiau kungfu la. Imej daripada Resepi Pembuka Selera.

Nasib baik masa tu saya ada kawan yang suka kuetiau yin yong ni, jadi bila menu RMT hari tu adalah kuetiau, saya jual kat dia RM2. Duit tu saya guna beli makanan lain kat kantin. Tapi hari yang dapat bubur, jangan harap la nak sentuh RMT saya. Tu favourite.”

-Hazel

Terima kasih RMT untuk kenangan manis!

Dari masa ia mula diperkenalkan, RMT terus memberi bukan saja tenaga dan khasiat pada murid-murid sekolah, tapi juga kenangan manis.

Jadi di bawah Belanjawan 2023, kerajaan meneruskan RMT dan menambah belanja bagi RMT daripada RM625 juta ke RM777 juta. Dalam kata mudahnya, bagi setiap 700,000 murid seluruh Malaysia yang dapat manfaat ni,

  • kadar dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid Semenanjung
  • kadar dinaikkan daripada RM3.00 kepada RM4.00 untuk murid-murid Sabah dan Sarawak

Wah, makin mantap la makanan RMT lepas ni!

Mungkin RMT tahun 2080 macam ni. Gif daripada Giphy.

Sebenarnya, banyak lagi inisiatif berkaitan pendidikan yang diumumkan kerajaan dalam belanjawan lepas, macam:

  • tambahan dana untuk Bantuan Makan Prasekolah (BMP), daripada RM89 juta kepada RM108 juta
  • pemberian 50,000 komputer riba ke sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan
  • pelepasan cukai bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke TADIKA/TASKA
  • dan banyak lagi inisiatif untuk memperkasa pendidikan!

Kalau nak cerita di sini memang tak muat, jadi kalau korang nak tahu lebih lanjut tentang inisiatif dan bantuan-bantuan bawah Belanjawan 2023, boleh lawat laman web Belanjawan 2023.

Korang ada kenangan manis RMT korang sendiri? Kongsi la dengan kitorang di ruangan komen!