Ditetak kapak kecil? Ini kisah misteri pembunuhan ahli PAS Samad Gul

Kami rasa ramai dari korang kalau sebut je pasal pembunuhan ahli politik, mesti akan teringat dengan kes Datuk Mazlan Idris, ahli politik UMNO, yang dibunuh kejam oleh seorang bomoh bernama Mona Fandey. Ia juga menggemparkan seluruh negara kita kerana pelbagai konspirasi mengenai Mona Fandey cuba dibongkarkan dan ia menjadi titik hitam dalam dunia politik.

Dalam pada itu, korang tahu tak Mona Fandey ni dulunya ialah seorang biduanita, tak caya? Boleh tengok video ni:

Bagaimanapun, sebenarnya pembunuhan ahli politik sebenarnya dah lama berlaku sebelum kes Datuk Mazlan Idris lagi. Baiklah, kami bawa korang ke zaman 60-an dimana berlakunya pembunuhan Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu, Abdul Samad Bin Gul Ahmad Mianji. Oh ye, beliau juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda PAS dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Tragedi berdarah ini bermula ketika…

Samad Gul pulang dari satu perjumpaan Pejabat Perhubungan PAS Kelantan

Mana yang tak kenal, inilah Samad Gul. Imej dari Kickdefella.

Pada 3 Julai 1967, Samad Gul telah keluar dari Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di Jalan Dato’ Pati selepas menghadiri perjumpaan sempena Maulud Nabi. Beliau masa tu sedang berjalan kaki menuju ke keretanya yang terletak di Jalan Hulu Pasar.

Masa ni la tragedi berdarah ni berlaku apabila seorang pengintip polis, Kuan Khek Nong, melihat Samad Gul berdiri berdekatan keretanya  dengan tangan memegang bahagian telinga kanannya. Dia turut melihat darah mengalir dari tengkuk Samad. Kejadian ini dikatakan berlaku lebih kurang jam 12.15 tengah malam.

Kuan terus menghampiri lalu Samad menghulurkan kunci keretanya kepada dia untuk hantarnya ke hospital. Akan tetapi, dia buat keputusan untuk menahan sebuah kereta sewa yang melintasi di jalan itu. Samad memberitahu Kuan, mengenai siapakah dirinya (Samad bagitahu dia ialah seorang Ahli Parlimen).

Tak lama lepastu, mereka sampai di hospital pada 12.25 tengah malam. Samad Gul telah menerima rawatan awal dari seorang pegawai perubatan bertugas, Dr. Wong Chong Wah.

Samad Gul dalam satu majlis. Imej dari Kickdefella.

Pada masa tu, dia dalam keadaan separa sedar dengan luka sepanjang 10 cm dari telinga kanan hingga belakang tengkuknya. Dr. Wong membuat keputusan memanggil pakar bedah kerana darah masih mengalir.

Lima minit lepastu, Dr. Mohan Lall (pakar bedah) datang membantu. Samad Gul tidak boleh menjalankan pembedahan atas faktor keadaan dirinya. Dr. Mohan mengarahkan supaya 2 pint darah diberikan kepada Samad.

Berdasarkan laporan Berita Harian pada 4 Julai 1967, isteri Samad Gul, Che Som Binti Mamat segera ke hospital selepas mendapat berita mengenai suaminya.

“Bila sampai, saya lihat suami saya berlumuran darah tubuhnya sedang diberi darah tambahan. Saya bertanya kepadanya, kenapa jadi begini? Suami saya menjawab, “saya dipukul orang.” Saya meminta suami saya mengucap, dan dia pun mengucap dua kali.” – Che Som, dipetik dari Sokmodotnet.

Pada 4.30 pagi, Samad Gul dipindahkan ke bilik pembedahan. Pembedahan bermula pada jam 5.00 pagi. Beliau berdepan dengan komplikasi pernafasan. Bantuan pernafasan yang diberikan tidak berjaya menyelamatkan Samad.

Nasib tidak menyebelahi Samad Gul kerana pihak hospital mengesahkan Samad telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 6.00 pagi. Berdasarkan laporan rasmi hospital, kematian beliau berpunca dari kecederaan otak.

Bagaimana kes ni berlaku mula dibongkarkan apabila…

Terdapat kapak yang berlumuran darah di tempat kejadian

Dikatakan kapak kecil ada di tempat kejadian. Imej dari Daulah Rakyat.

Kuan Khek Nong ketika penyiasatan awal memberitahu Majistret Abu Mansor bin Ali pada malam kejadian, dia telah melihat seorang lelaki berlarii ke arah belakang Jalan Hulu Pasar. Dia berasa curiga lalu mengejar lelaki itu dengan menaiki basikal.

“Saya memotong jalan dengan basikal ke Jalan Che Su, ke Jalan Temenggong dengan harapan memberkas orang itu, tetapi tidak dapat melihatnya lagi.” – Kuan Khek Nong, dipetik dari Daulah Rakyat.

Sebenarnya, selepas Kuan Khek Nong menghantar Samad Gul ke hospital, dia telah pergi semula ke tempat kejadian (Jalan Hulu Pasar) untuk menyiasat, tetapi tak jumpa apa-apa bukti di sekitar kawasan itu.

Namun, selepas memeriksa lorong belakang, Kuan menemui sebilah kapak kecil di atas peti-peti ikan. Dia memberitahu majistret:

“Pada kapak kecil itu ada kesan darah dan beberapa helai rambut.”

Pada 4 Julai 1967, pukul 4.40 pagi, pihak polis telah menahan seorang pengayuh beca, Mat Daud bin Sahak yang berumur 30 tahun dari Sungai Golok. Mat Daud ni juga lebih dikenali sebagai Pak Dek.

Keratan akhbar mengenai kes pembunuhan Samad Gul. Imej dari Sokmodotnet.

Pak Dek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada 19 Ogos. Tuduhan ke atas Pak Dek dibaca di hadapan Majistret Abu Mansor bin Ali.

Bedasarkan pertuduhan yang dibaca, Pak Dek telah membunuh Samad Gul di Jalan Hulu Pasar dengan menggunakan kapak kecil pada tengah malam 3hb Julai, 1967. Masa ni, Pak Dek tidak dibenarkan ikat jamin.

Pada 19 September 1967, Majistret Abu Mansor mengeluarkan perintah supaya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu. Timbalan Pendakwa Raya Kuala Terengganu, Talib Bin Abdul Hamin menjalankan pendakwaan. Sementara itu, terdapat dua orang peguam bela dalam kes ni — Haji Hashim Bin Abdul Hamid dan C. Jegathesan.

Bukti lain dijumpai apabila pihak pendakwa bergantung dengan keterangan dari seorang ‘prebet sapu’, Mohamed Noor bin Ismail. Dalam keterangannya, tertuduh pernah bertanya samada dia kenal Samad Gul, dalam pertemuan di Golok pada bulan November 1966.

Info tambahan, mana yang tak tahu, istilah ‘prebet sapu‘ ni untuk orang-orang yang menjalankan sindiket teksi haram. Baiklah, sambung cerita semula.

“Mat Daud memberitahu saya bahawa seseorang telah menyuruhnya ‘katok’ Samad Gul. Selepas membuat kenyataan itu, Mat Daud ketawa lalu pergi.” – Mohamed Noor bin Ismail, dipetik dari Daulah Rakyat.

Bagaimanapun, Mohamed Noor memberitahu mahkamah yang Pak Dek ialah kawan baik tidak pernah memberitahu siapa yang mahu mengupahnya. Dia juga pada ketika itu berfikir bahawa Pak Dek hanya bergurau sahaja.

Pendakwa kemudian cuba meletakkan Pak Dek di tempat kejadian pada malam pembunuhan berlaku. Mereka turut membawa…

Seorang polis trafik yang mengaku nampak Pak Dek di tempat kejadian

Cerita mengenai polis jumpa Pak Dek di tempat kejadian. Imej dari Sokmodotnet.

Seorang pegawai polis trafik, Hasnan Bin Abdullah yang mengaku melihat Pak Dek sedang berjalan di Jalan Hilir Pasar pada 11.45 malam 2hb Julai, 1967.

Hasnan memaklumkan kepada mahkamah:

“Pada kira-kira jam 11.15 malam itu saya pergi ke sebuah kedai di hadapan panggung wayang Odeon untuk makan mee. Saya kemudian berjalan pulang di Jalan Sultanah Zainab, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Hilir Pasar. Dia (tertuduh) memakai seluar biru tua dan baju biru dan menuju ke tempat letak teksi.” – Hasnan bin Abdullah, dipetik dari Daulah Rakyat.

Selain itu, pendakwa juga mengemukakan seorang lagi saksi bernama Sa’ad Bin Hassan, seorang pengayuh beca. Dia memberitahu mahkamah melihat seorang lelaki berlari ke arah satu lorong dekat Jalan Temenggong pada tengah malam semasa hari kejadian. Namun, Sa’ad tidak dapat melihat wajah lelaki tersebut.

Headline mengenai kenyataan dari Sa’ad. Imej dari Sokmodotnet.

Pada 3hb April 1968, Yang Arif Syed Othman Ali membuat keputusan membebaskan Pak Dek tanpa dipanggil membela diri. Hakim bersetuju dengan peguam bela bahawa Pak Dek tidak perlu dipanggil membela diri terhadap keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwa.

Hakim berpendapat memang Abdul Samad telah dibunuh dengan niat tetapi tidak yakin pihak pendakwa membuktikan Mat Daud adalah pembunuh Samad Gul berdasarkan bukti-bukti yang dihadapkan ke mahkamah. Hakim berpendapat, kenyataan dua saksi utama pendakwa hanya berkisar kepada spekulasi sahaja.

“Dalam perbicaraan jenayah khususnya dalam perkara bunuh, kita tidak ambil hirau terhadap kemungkinan-kemungkinan atau keterangan yang merupakan agak-agak.” – Yang Arif Syed Othman Ali, dipetik dari Daulah Rakyat.

Hakim memberitahu semua keterangan perlu menunjukkan ke satu arah sahaja — tertuduh ialah orang yang melakukan kesalahan. Namun, dalam kes ini, keterangan dari saksi-saksi pendakwa menunjukkan bahawa Pak Dek boleh jadi tidak bersalah.

Walaupun tertuduh dilihat berdekatan tempat kejadian tetapi tidak ada bukti menunjukkan Pak Dek berada ditempat kejadian sewaktu mangsa diserang. Dalam pada itu, tidak ada saksi yang memberi keterangan melihat tertuduh bersama kapak kecil sebelum kejadian.

Sebaik keputusan diumumkan, Pak Dek berjabat tangan dan memeluk kedua-dua peguamnya. Beberapa rakannya yang hadir turut memberi ucap tahniah.

Selepas perbicaraan ni tamat, pelbagai…

Konspirasi mengenai siapakah yang membunuh Samad Gul

Samad Gul meninggalkan seorang balu & 5 orang anak. Imej dari Ibnuhasyim.

Selepas dari perbicaraan itu, pelbagai khabar-khabar angin dan konspirasi yang sering dikatakan oleh masyarakat kita. Tragedi berdarah ni juga turut mendapat nama ‘Kapak Bungkus.

Allahyarham Samad Gul dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Dusun (pada 3 Julai 1967) 1.6 kilometer dari rumahnya di Jalan Bayam, Kota Bharu. Ia lagi menyedihkan apabila Samad Gul meninggal dunia pada usia yang muda iaitu 32 tahun. Samad Gul juga dikatakan mengalas tanggungjawabnya dengan baik semasa beliau masih hidup.