Lelaki ni masukkan budaya kedai mamak kat Malaysia dalam Final Fantasy XV

Walaupun bukan kaki game, setiap dari korang mesti ada detik-detik atau nostalgia main game. Tak kisahlah zaman PS One, Xbox sampailah main dekat Cyber Cafe. Bagi yang jenis suka main game kena jalan-jalan dan habiskan misi, banyak lagi siri yang sampai sekarang tak habis-habis. Contohnya macam Harvest Moon (acah-acah petani berjaya) dan Grand Theft Auto. Entah bilalah nak habis.

Punyalah banyak siri game ni kat dunia ni, sampai tahap Malaysia pun boleh jadi latar belakang game tu. Dulu kami pernah tulis pasal 10 kali Malaysia disebut dalam filem dan siri TV antarabangsa macam Star Trek dan The Simpsons. Tapi kali ni, korang pernah tengok Malaysia masuk dalam game yang korang main? Nampaknya, korang tak perasan yang…

Salah satu misi dalam game Hitman 2 berlaku di Malaysia

Pada tahun 2002, game Hitman 2: Silent Assassin dah keluar di pasaran untuk peminat game. Siapa sangka, dalam banyak-banyak misi, game keluaran Amerika ni ada satu misi ni berlatar belakangkan Malaysia. Untuk misi ke-10 iaitu Basement Killing, ejen 47 akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk menembak mati orang IT, Charlie Sidjan.

Tak sempat nak menikmati mercu tanda. Dah kena cari penjenayah. Video dari Johnny Fox

Seluruh babak untuk misi ni berlaku di dalam Menara Berkembar Petronas yang amat kita bangga-banggakan tu. Reviu yang ditulis oleh Gamer Matters menyatakan ada beberapa benda yang agak janggal. Contohnya macam pakaian seragam pengawal keselamatan yang sama macam pakaian zaman dulu. Berseluar pendek serta bersarung tangan. Memang tak kena!

Reka bentuk lobi Menara Berkembar Petronas pun agak berbeza jika nak dibandingkan dengan yang pernah ada. Tapi bolehlah nak dibanggakan sebab ada perkataan-perkataan Bahasa Melayu yang korang boleh dengar waktu misi ni. Antaranya:

“Apa buat tu?!”

“Lu gila!”

“Diam diam, jangan bergerak!”

Mana pergi logo Petronas? Imej dari Johnny Fox & pcparch

Walaupun suasana tak berapa tepat menurut reviu Gamer Matters, tapi bolehlah rakyat Malaysia nak bangga sebab ada masuk dalam game yang seluruh dunia main. Disebabkan Hitman ni yang buat pun orang putih, banyak benda pasal Malaysia yang diorang terlepas pandang. Bayangkan kalau orang Malaysia sendiri yang buat, mesti lebih terperinci dan tepat kan? Itulah yang berlaku dalam game keluaran Jepun yang dimainkan di seluruh dunia ni.

Pontianak dan orang minyak cuba dibawa masuk ke Final Fantasy XV

Pontianak usha panas. Imej dari Star2 & Love Live Game

Dalam buku semi-klasik Hikayat Abdullah tulisan Abdullah Munsyi, pontianak adalah salah satu hantu yang dah disenaraikan dalam buku tersebut. Manakala, hantu Orang Minyak sangat popular dalam kalangan masyarakat kita sampai dah dibuat filem seawal tahun 1958 terbitan Malay Film Production Ltd (MPF) arahan Tan Sri P. Ramlee. Kedua-dua karakter hantu ni memang rapatlah dalam masyarakat kita.

Sekarang bayangkan kalau watak ni masuk dalam game antarabangsa? Itulah yang pernah diusahakan oleh Wan Hazmer Wan Abd Halim yang bekerja di Square Enix, sebuah syarikat game di Shinjuku, Tokyo. Dia ditugaskan menjadi ketua pemaju permainan bagi Final Fantasy XV.

Orang minyak tak rogol lelaki ok! Imej dari Star2 & Media Hiburan.

Tugas utamanya adalah untuk mereka kumpulan budaya atau mereka bentuk bandar-bandar dan tempat tinggal untuk game tu. Menurutnya, kerja ni umpama arkitek untuk mewujudkan keseronokan dalam permainan.

“Kita mencipta pengalaman permainan dengan merancang mekanik permainan, membuat susun atur bagi setiap peringkat malah menentukan suasanana bagi kawasan atau kejadian tertentu.”- Wan Hazmer, petikan dari The Star.

Berbalik kepada cerita untuk masukkan Pontianak dan Orang Minyak tu tadi, dia dah cuba pujuk pasukannya untuk jadi dua hantu tu sebagai watak musuh tapi ditolak. Jadi, kempunanlah orang kita nak tengok diorang berlawan dengan hero Final Fantasy. Tapi, Wan Hazmer ni tak mengalah, dia usahakan jugak masukkan elemen-elemen Malaysia yang lain.

Budaya kedai Mamak dalam salah satu bandar Final Fantasy XV

Menurut Pengarah Institut Pengajian Etnik (Kita), Profesor Shamsul Amri Baharuddin mengatakan bahawa kedai mamak menjadi pusat pertukaran budaya dan simbol perpaduan di Malaysia. Kat sinilah orang kaya, pertengahan dan miskin dari setiap bangsa akan berkumpul dan lepak sambil sembang-sembang kencang pasal politik, hal ehwal sosial dan hiburan.

“Ia dicipta oleh rakyat, untuk rakyat. Ia menjadi pusat hubungan antara etnik…Ia menepati cita rasa semua dan menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Malaysia.”- Prof. Shamsul Amri Baharuddin, petikan dari FMT.

Maka kedai Mamak dan kita tak boleh dipisahkan lagi. Begitu jugalah Wan Hazmer yang memasukkan budaya makanan yang berinspirasi dari budaya kedai Mamak ke dalam suasana di salah satu bandar Final Fantasy.

Makan roti kosong dulu sebelum lawan. Ni ada dalam Final Fantasy XV. Imej dari Youtube Tony Teh

“Bagaimanapun, Final Fantasy XV (FFXV) merupakan Role Playing Games (RPG) yang menyampaikan pengalaman perjalanan yang unik bersama rakan baik anda menerusi dunia realistik dan fantastik.

Dan semua tahu bila mengembara, pastinya sentiasa ada makanan! Salah satu bandar yang anda akan lalui dalam permainan adalah Lestallum. Budaya makanannya adalah inspirasi budaya kedai Mamak kita.“- Wan Hazmer, petikan dari mStar.

Menurutnya, buat pertama kali dalam sejarah, pemain akan dapat melihat roti canai, sate dan teh tarik. Untuk teh tarik punya pergerakan, Wan Hazmer cakap dia kena marah dengan developer.

Teh tarik satu! Imej dari Youtube Tony Teh.

“Pereka bentuk memarahi saya disebabkannya (teh tarik), kerana nak buat cecair datang dari satu cawan ke cawan lain adalah sesuatu yang sukar untuk direka.

Macam sate, kesan asap yang datang dari sate, kesemua perincian yang kami letak dalam game. Ianya kerana tak banyak budaya Malaysia dalam game lain yang ada.”- Wan Hazmer, petikan dari Travel Garage TV.

Tak tahulah sate kajang Haji Samuri atau tak. Imej dari Youtube Tony Teh.

Ciri-ciri seni bina hotel di Taiping ada di pekan Lestallum

Peminat game FFXV mesti kena tahu yang Lestallum ni adalah pekan utama bagi separuh pertama game ni. Pekan ni moden dan ramai orang berlatar belakangkan cuaca tropika yang mana ada deretan pokok-pokok kelapa sawit di jalan utamanya. Selain tu, kawasan pekan ni juga penuh dengan kedai di tepi jalan, penjaja jalanan dan pemuzik. Kat sinilah, pemain boleh dapatkan banyak maklumat dan barang-barang waktu berjalan-jalan disekelilingnya.

Apa yang menarik, dekat pekan ni ada sediakan hotel Leville yang boleh digunakan oleh pemain untuk bermalam. Hotel ni bukan biasa-biasa untuk kita rakyat Malaysia sebab menurut Wan Hazmer,

“Kita juga mempunyai hotel di sana! Seni bina bangunan dari Cuba, ia cuba dilihat seperti salah sebuah hotel yang anda boleh lihat di Taiping, Perak,“- Wan Hazmer, petikan dari mStar.

Betul ke macam kat Taiping punya design? Imej dari Are.na

Susah nak tentukan hotel kat Taiping yang mana, tapi bawah ni adalah apa yang dicari oleh Rojak Daily yang boleh bagi korang bayangan idea Wan Hazmer dengan apa yang ada kat Taiping.

Hotel Peking di Taiping. Imej dari Are.na.

Bagi kami Soscili, gambar hotel bawah ni lagi tepat berbanding yang lain. Korang setuju dengan Soscili tak? Kalau dah hari-hari baca Soscili, takkan tak nak sokong?

Hotel Peace di Taiping. Imej dari hiveminer

Budaya lepak dan selamba di bandar Lestallum

Secara asasnya, pekan Lestallum ni ada campuran pengaruh seni bina Cuba, suasana pasar Timur Tengah dan budaya makanan Malaysia. Kalau nak diikutkan, sebelum ni benda-benda pasal Malaysia hanya masuk secara fizikal sahaja macam Bangunan Berkembar Petronas dalam game Hitman.

No komen dalam isu ni. Imej dari Youtube Tony Teh dan Haniza Talha

Jadinya, selaku pasukan yang diberi tugas untuk menentukan budaya, aktiviti masyarakat dan cuaca di pekan itu. Dia dan pasukannya dah masukkan budaya yang pastinya ada dalam setiap orang Malaysia.

“Cara saya menyumbang dalam permainan ini bukan sahaja benda fizikal, tetapi juga saya mengajar mereka mengenai budaya saya. Orang akan fikir ia negatif, iaitu budaya selamba. Tapi, saya sebenarnya suka sangat budaya ini.

Sesetengah orang akan merungut pasal budaya selamba kalau tinggal cukup lama di Malaysia. Tapi jika anda datang ke Jepun, anda akan menghargai budaya selamba itu lebih.- Wan Hazmer, petikan dari Travel Garage TV.

Orang Lestallum tengah sembang kencang pasal PRU-14 sambil minum tu. Imej dari Rojak Daily.

Itulah suasana dan rupa bentuk masyarakat di dalam pekan Lestallum yang dibangunkan dia dan pasukannya. Karakter di pekan tu semuanya santai, diorang cuma nak makan dan menikmati cuaca di situ. Budaya selamba yang diketengahkan ni juga bukanlah budaya lepak buang masa, tapi suasana tenang, slow and steady yang biasa dengan kita semua.

Bangga dengan negara sendiri walau di mana kita berada

Kalau tengok reviu game yang dibuat oleh Tony Teh pasal budaya Malaysia di pekan Lestallum, benda-benda macam orang kedai buat Teh Tarik tu tak pun bagi kesan besar kepada jalan cerita game tu. Cumanya, ianya sangat mengagumkan sebab begitu terperinci Wan Hazmer dan pasukannya memasukkan elemen sekecil tu dalam game ni. Sebab tu lah Final Fantasy mengambil masa 10 tahun (2006-2016) untuk disiapkan. Kat sinilah kita kena belajar semangat Wan Hazmer yang nak tunjukkan pada dunia sesuatu.

Sumbangan Wan Hazmer, kebanggaan kita semua. Imej dari Aksiz

“Korang tahu jelah, budaya Malaysia ni selamba sikit, ‘Tak ada lah’, ‘Nasi Goreng dah tak ada dah’. ‘Nak apa lagi?’ Lepas tu tak minta maaf pun (dekat pelanggan).

Saya percaya dunia perlu merasainya. Dan kalau dunia tak mahu datang ke Malaysia untuk merasainya, saya mahu mereka merasainya di dalam game.”- Wan Hazmer, dipetik dari Travel Garage TV.

Dia juga berharap Malaysia boleh berbangga dengan usaha yang cuba dilakukannya dalam bidang ini. Jom sama-sama kita kasi tepukan gemuruh untuk Wan Hazmer. Memang terbaik!

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT