Bagaimana lelaki ini hidup selama 438 hari di lautan seorang diri

Korang pernah tengok filem Castaway? Cerita tentang seorang lelaki lakonan Tom Hanks yang terperangkap di sebuah pulau bertemankan sebiji bola tampar yang diberi nama Wilson. Saat watak Tom Hanks hilang Wilson, mesti ramai yang mengalir air mata kan, tapi kena cover macho sebab tengah tengok movie dengan member.

Filem Castaway memang popular, namun siapa sangka yang realiti kadang-kadang lebih pelik daripada fiksyen. Apa yang kami nak ceritakan ini adalah tentang seorang lelaki yang terperangkap di tengah-tengah Lautan Pasifik selama 438 hari – lebih dari setahun! Macam mana dia boleh survive lama macam tu?

Kisahnya bermula pada…

Satu petang yang mengubah segalanya

Pada 17 November 2012, seorang nelayan dari Mexico, José Salvador Alvarenga bercadang untuk pergi ke laut untuk menangkap ikan. Waktu itu ribut sedang melanda, tapi oleh kerana ada banyak ikan, José teruskan plan dia. Partner biasa José tak dapat datang, jadi dia ajak Ezequiel Cordoba yang tak berapa banyak pengalaman untuk turut serta. 

José Alvarenga ketika itu berumur 35 tahun, dan Ezequiel yang berumur 22 tahun. Gambar dari Sydney Morning Herald.

Waktu menangkap ikan OK je lagi, namun masalah mula tiba apabila mereka cuba kembali ke tebing. Ombak yang besar masuk ke dalam bot, dan enjin mereka gagal berfungsi. Ribut punyalah dahsyat sampaikan Ezequiel pernah terjatuh sebelum ditarik oleh José. 

Selain daripada enjin yang gagal, José juga hilang radio, alat-alat memancing, dan semua ikan yang mereka tangkap. Oleh kerana mereka hanya merancang untuk berada di laut selama dua hari, mereka juga tidak mempunyai kelengkapan lain, bot mereka tiada bumbung untuk melindungi daripada cahaya matahari. Apa yang tinggal hanyalah sebuah icebox, satu bekas besar untuk mengisi ikan, dan sebiji baldi.

Bila ribut reda, mereka sudah hanyut jauh dari Mexico. Ada kapal terbang yang lalu, tetapi bot mereka terlalu kecil dan susah nak perasan. Bos mereka ada buat cubaan untuk menyelamatkan José dan Ezequiel, namun semakin jauh mereka hanyut, semakin sukar untuk dikesan.

Menurut José, apa yang mereka mula risau adalah rasa dahaga. Mereka terpaksa minum air kencing sendiri sehinggalah bulan berikutnya apabila mereka berjaya menadah air hujan menggunakan botol plastik yang mereka jumpa.

Terkorbannya seorang kawan

José merupakan seorang nelayan yang berpengalaman, dan dia dah belajar tangkap ikan menggunakan tangan sejak kecil lagi. Kini di tengah-tengah Lautan Pasifik dan tanpa sebarang peralatan moden, dia menggunakan kemahiran tersebut untuk mencari makanan buat dirinya dan Ezequiel.

Mereka makan apa sahaja yang ada di sekeliling termasuklah ikan, burung, dan juga penyu. Darah burung dan penyu menjadi sumber tenaga. Namun sumber makanan ini adalah sangat tidak konsisten. Ada hari-hari yang berlalu di mana mereka tidak ada makanan. 

Icebox yang mereka ada adalah satu-satunya perlindungan daripada sinar matahari yang terik. Saiznya sangat kecil sehingga doktor kemudiannya mendapati José ada masalah tulang belakang kerana meringkuk di dalamnya terlalu lama.

Icebox yang kecik inilah jadi tempat berteduh daripada cahaya matahari. Gambar dari The Guardian.

Ezequiel yang jauh lebih muda daripada José, mula meracau. Ezequiel merupakan seorang Kristian Evangelis, dan sebelum bertolak ke lautan dia diberitahu bahawa seorang daripada rakan mereka mendapat mimpi yang dia akan mati di tengah-tengah lautan. Perkara ini membuatkan Ezequiel semakin resah dan tidak terkawal.

José cuba memujuk Ezequiel dengan memberitahu yang mereka akan diselamatkan tidak lama lagi. Ezequiel mula berkhayal, jadi José membuat cerita yang mereka hampir sampai dan bertanya sama ada Ezequiel mahukan buah oren ataupun taco. José buat semua ini untuk mengelakkan Ezequiel daripada membunuh diri.

Namun semangat Ezequiel semakin lama semakin pudar. Sekitar minggu keenam ke 10, mereka bercadang inginkan makanan istimewa sempena Krismas, jadi José siang daging burung. Namun sebaik saja Ezequiel makan, dia mula tercekik. Mereka kemudiannya mendapati ada seekor ular beracun di dalam perut salah seekor burung tersebut.

José merawat Ezequiel sehingga sembuh, namun Ezequiel jadi paranoid. Dia berhenti makan, dan semakin lama semakin kurus hinggalah mati kebuluran. José meneruskan perbualannya dengan mayat Ezequiel selama enam hari. Akhirya José memutuskan untuk melepaskan tubuh Ezequiel ke dalam air, dan kini, José benar-benar keseorangan.

Meneruskan hidup sendiri

José terus hanyut di tengah Lautan Pasifik. Dalam banyak-banyak burung yang José jumpa, dia terlihat seekor burung yang lain daripada yang lain, dan José jadikannya sebagai haiwan peliharaan. José memberi layanan istimewa terhadap burung ini yang diberi nama Pancho.

Malangnya ada satu ketika di mana José berada di kawasan yang tidak mempunyai banyak burung mahupun ikan. José semakin lama semakin lapar, dan Panchos pun mula nampak montok dan menggiurkan.

Menurut José, dia ternampak beberapa kapal kargo melepasinya. José cuba melambai, namun tiada siapa yang perasan.

Setelah sekian lama terapung di tengah-tengah lautan yang tiada berpenghujung, José akhirnya ternampak gunung-ganang. Apabila dia rasa sudah hampir dengan pantai, José  mula berenang dan sampai ke tebing.

Jose telah hanyut sepanjang 11 ribu kilometer. Gambar dari The Guardian.

José sampai di Marshall Island pada 29 Januari 2014, setelah 438 hari di lautan dan hanyut lebih daripada 11 ribu kilometer. Penduduk tempatan cuba bercakap dengan José namun dia tidak dapat bertutur dalam bahasa Sepanyol. José kemudiannya dikejarkan ke hospital berdekatan.

Adakah kisah José Salvador Alvarenga betul-betul berlaku?

José yang sudah lama tidak berinteraksi dengan sesiapa pun tiba-tiba menjadi tumpuan media dan orang ramai, sehingga ada yang curi-curi masuk ke dalam hospital untuk menemuramah José. Malah sewaktu hendak pulang ke kampung halamannya, iaitu kali pertama Jose menaiki kapal terbang, ada wartawan yang duduk dekat dan cuba mengambil gambar.

José tidak peduli jika ada yang tidak percaya tentang kisahnya. Dia kembali ke El Salvador dan menyampaikan amanat Ezequiel, iaitu menyampaikan kata-kata terakhir kepada keluarganya. Keluarga Ezequiel kemudiannya cuba menyaman José kerana menganggap anak mereka telah dimakan José sewaktu di lautan.

Selepas kembali ke El Salvador, Jose mengalami trauma dan sangat takutkan lautan. Gambar dari The Guardian.

Kisahnya telah diabadikan dalam buku yang ditulis oleh José sendiri dengan tajuk 438 Days.  Walaupun dia masih dihantui dengan peristiwa tersebut sehingga kini, José sangat bersyukur kerana masih hidup dan dapat menjalin kembali hubungan dengan anak perempuannya, Fatima.

Sumber:

  • Real-life castaway survived 438 days lost at sea | CNN
  • How I Survived 438 Days Adrift in the Pacific Ocean | Slate

Kalau anda suka artikel ini, anda mungkin berminat untuk baca tentang Jean Marc Côté – seorang pelukis abad ke-19 yang meramal teknologi yang kita ada sekarang.

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.