Kenapa Lapangan Terbang Malaysia ni dekat tengah-tengah kebun nenas?

Minggu lepas, kami di SOSCILI dijemput oleh pihak Malaysia Airports untuk menghadiri majlis pelancaran projek naik taraf lapangan terbang Landasan Berlepas dan Pendaratan Pendek (atau Short Take-Off and Landing airport (STOLport) dalam bahasa mat saleh) di kampung Bario, Sarawak.

Sampai-sampai, kitorang disambut dengan minuman nanas Bario. Lagi manis daripada minuman kordial nanas tau!

Kalau korang tak tau, kampung Bario ni terletak di pertengahan Tanah Tinggi Kelabit bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia. Kawasan ni pula berada 1,066 METER di atas aras laut yang bermaksud STOLport Bario merupakan lapangan terbang TERTINGGI di Malaysia!

Semasa melawat Bario, kitorang pun dapat mempelajari lebih tentang STOLport Bario dan kampung tersebut. Namun, fakta yang paling MENGEJUTKAN tentang STOLport ini adalah…

Lapangan terbang Bario ni beroperasi secara percuma!

Disebabkan lapangan terbang ini begitu kecil, hanya kapal terbang kecil yang boleh memuat 15 penumpang boleh mendarat di sini!

STOLport Bario ni merupakan salah satu daripada 18 STOLport di Malaysia yang terletak di kawasan pedalaman yang sukar diakses melalui jalan darat. Lapangan terbang ini mula beroperasi pada tahun 1996 dan kerja penaiktarafan yang dilakukan itu bertujuan meningkatkan bilangan pesawat yang dapat mendarat di Bario daripada 21 pesawat seminggu kepada 28 pesawat seminggu.

Kerja penaiktarafan itu telah memperbaiki ruang menunggu lapangan terbang tersebut untuk menjadikannya lebih selesa kepada penumpang, menyediakan lebih banyak kawasan letak motosikal dan memperbaharui struktur dalam dan luar terminal itu. Keseluruhan kerja-kerja ini dilaksanakan dengan harga RM300,000, tetapi apa yang mengejutkan adalah pemilik lapangan terbang ini, Malaysia Airports, tidak mengutip walaupun SESEN untuk mengendalikan STOLport Bario!

Disebabkan Bario terletak jauh di dalam kawasan pedalaman, STOLport ini memainkan peranan penting, iaitu, sebagai lapangan terbang menyediakan perkhidmatan kargo untuk penduduk tempatan. Dengan adanya perkhidmatan ini, barangan keperluan asas dapat disampaikan ke Bario dalam masa SEJAM berbanding dengan masa hampir 12 JAM melalui perjalanan darat!

Kang nak hantar keputusan UPSR kat kanak-kanak sekolah Bario ni pun terlambat. Imej oleh @AVGeekMy.

Maka, perkhidmatan yang disediakan oleh Malaysia Airports kepada penduduk Bario ini dilakukan sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat dan para penumpang yang menggunakan STOLport itu tidak dikenakan cukai lapangan terbang. STOLport ni juga telah menerima seramai 25,100 penumpang pada tahun 2017 berbanding dengan 24,080 jumlah penumpang pada tahun sebelumnya, dan bilangan penumpang pada masa akan datang dijangka akan meningkat dengan perkembangan industri pelancongan di kampung Bario ini.

“Dengan kekerapan penerbangan ke Bario setelah penaiktarafan ini dijalankan, saya yakin sektor eko-pelancongan akan berkembang pesat dan pada masa yang sama, taraf ekonomi turut meningkat disamping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk.” – Raja Azmi Raja Nazuddin, ketua pegawai eksekutif Malaysia Airports, di majlis perasmian penaiktarafan STOLport Bario.

Tapi kalau kita nak cerita pasal sejarah kampung Bario pulak…

Perkampungan penuh mistik di Tanah Tinggi Kelabit

Mistik teramat sampai signal telefon pun hilang. GIF dari TV1.

Mengikut legenda Kelabit yang diturunkan dari generasi ke generasi, seluruh kaum manusia sebenarnya berasal dari kawasan tanah tinggi sehingga suatu banjir besar menenggelamkan seluruh bumi. Menurut legenda itu, kaum-kaum manusia telah membina pelbagai bentuk kapal untuk mengharungi banjir itu, tetapi kapal yang dibina oleh masyarakat Kelabit pula terlalu besar dan berat.

Akibat saiz kapal mereka itu, masyarakat Kelabit tersekat di tanah tinggi di mana diorang berasal dan tidak berjaya berlayar dari kawasan mereka seperti kaum-kaum lain. Jadi apabila air banjir itu akhirnya surut, hanya masyarakat Kelabit yang tertinggal menghuni kawasan tanah tinggi, maka diorang pun jadilah satu-satunya penduduk Dataran Tinggi Bario.

Masyarakat Kelabit Bario menyambut kelahiran anak di majlis makan irau. Imej dari Sustainable Living Institute.

Kalau dengar kata pakar sejarah pula, kaum Kelabit berasal dari daerah Kalimantan. Akibat pertempuran yang berlaku antara diorang dengan suku kaum lain, masyarakat Kelabit akhirnya berhijrah ke suatu kawasan bertanah subur dan dikelilingi gunung-ganang yang kini dikenali sebagai Tanah Tinggi Kelabit.

Kawasan ini juga mempunyai sejarah yang penting, terutamanya semasa Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1945, Operasi Komando Semut (ni bukan cerita Antman ye) telah dilancarkan di Bario sebagai serangan atas tentera Jepun di Sarawak. Peristiwa ini melibatkan sepasukan tentera Australia yang mendarat di Bario dengan payung terjun dan berpakat dengan penduduk Kelabit untuk membunuh anggota tentera Jepun.

Pada awal-awalnya, masyarakat Kelabit di sini hidup secara berasingan, dengan pimpinan dan gaya hidup masing-masing. Namun selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan pengisytiharan konfrontasi oleh Indonesia terhadap Malaysia, beberapa rumah panjang Kelabit telah dimusnahkan akibat serangan bom tentera Indonesia. Maka, masyarakat-masyarakat Kelabit yang sebelumnya hidup berasingan berpindah pula ke Bario untuk hidup bersama di bawah satu rumah panjang.

Elok la tu, duduk rumah kawasan tanah tinggi sejuk, guna aircond pon tak payah. Imej dari Kosmo.

Tetapi, bukan sahaja kaya dengan sejarah dan budaya, kampung Bario ini juga…

Terkenal untuk nenas ? dan beras ? yang ditanam dengan air gunung

Keluar-keluar STOLport tu je, kitorang dikelilingi dengan nenas MERATA-RATA ???

Disebabkan faktor tanah subur, cuaca dingin, dan air bersih yang berasal dari gunung, Bario mempunyai reputasi menghasilkan nenas yang termasyhur atas sebab kemanisannya dan beras yang terkenal kerana kelembutannya. Nenas Bario adalah dikatakan istimewa kerana mempunyai kemanisan yang hanya dapat dinikmati di kawasan tanah tinggi tetapi akan hilang rasanya itu sekiranya dibawa keluar (serious masa kitorang rasa, manis gila).

Beras Bario pula dilapor mempunyai keunikan yang telah diakui oleh ahli akademik apabila diorang berkata:

“Beras ini merupakan sesuatu yang asli kepada Sarawak kerana mempunyai ciri unik termasuk kaedah penanamannya…

Namun, bagi mereka yang berada di luar Sarawak, masih terlalu sedikit maklumat diketahui mengenai beras Bario sehinggakan tiada usaha dapat dibuat untuk memasarkannya.” – Prof Jim Mienczakowski, Ketua Eksekutif Universiti Curtin Sarawak, dalam ucapan pada Forum Membangunkan Pelan pemasaran Untuk Beras Tanah Tinggi Dari Utara Sarawak.

Kenapa lah tak siap kerja awal lagi tadi. Kan dah lapar tengah-tengah malam. GIF dari Imgur.

Walaupun begitu, industri pertanian di Bario selama ini telah menghadapi masalah-masalah seperti pengeluaran pertanian yang terhad akibat penghijrahan anak-anak muda Bario ke bandar dan masalah pengangkutan yang merumitkan penghantaran beras Bario ke pasaran luar.

Oleh kerana itu, penaiktarafan STOLport Bario oleh Malaysia Airports diharapkan dapat menggalakkan pelancongan ke Bario sementara penduduk Bario sendiri memperbanyakkan produk pelancongan diorang seperti pesta makanan dan acara larian bagi menarik pelawat dari luar.

Buat masa sekarang pula, kitorang hanya dapat berkongsi pengalaman kita di situ dengan korang. Harap-harap pada masa yang akan datang, korang pula dapat melawat Bario untuk saling kenal-mengenal rakan-rakan senegara yang kita tak biasa berjumpa. ?

Nah, kita biarkan budak-budak Bario cakap bai kat korang. GIF dari Avgeekmy.

About Iqbal Fatkhi 10 Articles
Pandai buat meme je. Tulis artikel beshe-beshe je.