- 318Share sekarang!
- Email16
- Facebook302
- Share
Ketika ni, Malaysia masih lagi bergelut untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin juga dah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac dan dijangka berakhir pada 31 Mac 2020 ni. Lebih membimbangkan, setakat ketika artikel ni ditulis – Malaysia dah mencatatkan 14 kematian akibat wabak yang telah menyerang dunia ni.
Akan tetapi, ketika dunia masih lagi bergelut dengan penularan wabak ni, China buat kali pertamanya mengesahkan tiada lagi kes domestik baharu dicatatkan di negara tu pada 19 Mac lepas. Hal ni boleh dikira sebagai satu kejayaan jugalah kepada China kerana seperti mana yang kita tahu – Covid-19 berasal dari negara tu.
Bagaimanapun, media antarabangsa baru-baru ni ada melaporkan tentang seorang ahli perniagaan dan jutawan China, Ren Zhiqiang yang dikatakan hilang secara tiba-tiba. Apa yang menimbulkan persoalan, dia hilang selepas…
Kritik Xi Jinping kendalikan penularan Covid-19 dan gelarkannya sebagai ‘badut’
Ren Zhiqiang ni sebenarnya adalah seorang ahli perniagaan hartanah di China dan ramai pihak berpendapatan, kehilangannya ni berkait rapat dengan esei yang dia tulis. Ini kerana, dalam penulisannya tu – dia dah mengkritik Presiden China, Xi Jinping dalam mengendalikan penularan wabak Covid-19. Antaranya adalah, dia mengkritik tindakan kerajaan China yang meneruskan jamuan Tahun Baru Cina melibatkan ribuan orang dan perkara tu dipercayai menjadi salah satu pun merebaknya Covid-19.
Tak cukup dengan tu, dia bagi pula pandangannya tentang ucapan Xi Jinping pada 23 Februari 2020 dengan nada yang agak keras dan menyakitkan hati. Ren dipercayai menulis:
“Saya tidak melihat seorang maharaja berdiri di sana mempamerkan ‘pakaian baru, tetapi seorang ‘badut’ yang dilucutkan telanjang dan berkeras untuk terus menjadi maharaja.
…Tidak ada kritikan terhadap perhimpunan besar-besaran 170,000 orang yang telah jadi, dan kebenaran tidak pernah ditemui… – Tulisnya, dipetik dari China Digital Times & Radio Free Asia.
Dalam masa sama, Ren juga mengkritik tadbir urus dalam Parti Komunis China yang katanya mengongkong kebebasan akhbar dan bersuara dalam memberi maklumat tentang virus yang kian merebak serta menjadi pandemik global.
Sebenarnya, ini bukan kali pertama Ren mengkritik kerajaan. Sebabnya, sebelum ni dia memang terkenal sebagai orang yang lantang mengkritik, sampai digelarkan sebagai “Ren the Big Cannon”. Sebagai hartawan hartanah, Ren selalu mengkritik kerajaan yang nak mengawal pasaran hartanah.
Selain tu, Ren ni tahu juga selok belok politik sebab dia pernah jadi ahli Jawatankuasa Perbandaran Beijing dalam Persidangan Perundingan Politik Rakyat China sehingga tahun 2013.
Bagaimanapun, dia mula diawasi lepas tu sebab aktif mengkritik Parti Komunis dan dasar-dasar kerajaan khususnya tentang kawalan media. Pada tahun 2016, Parti Komunis China dah menggantung keahlian Ren selama setahun kerana mengkritik dasar Xi Jinping. Selain tu, Parti Komunis juga menganggap yang Ren ni dah ‘hilang semangat partinya’.
Ada yang percaya Ren tengah ditahan sekarang
Ren mula dilaporkan hilang beberapa hari selepas artikelnya tersebar, bila mana keluarga dan rakan-rakannya gagal menghubungi Ren.
“Saya tidak dapat menghubungi Ren Zhiqiang sejak malam Khamis… ia dah lebih 72 jam.” – Wang Ying, rakan. Dipetik dari South China Morning Post (15 Mac 2020).
Bagi aktivis demokrasi, Han Lianchao pula, dia percaya yang Ren sekarang ni tengah disiasat oleh Suruhanjaya Pemeriksaan Tatatertib (CCDI) Parti Komunis China. Bagaimanapun, dakwaan ni masih lagi anggapan, dan sehingga ketika artikel ni ditulis – tak ada sesiapa yang dapat mengesahkannya. Tapi bagi sesetengah pemerhati, nasib Ren mungkin agak berbeza dengan pengkritik-pengkritik lain.
Sebabnya, bapa Ren adalah antara generasi revolusioner pertama yang mengasaskan Republik Rakyat China. Dan sebab itulah Ren ada hubungan baik dengan elit politik China dan hal ni buatkan Parti Komunis agak susah sikit nak buat apa-apa dengan dia. Jadinya, kemungkinan kehilangan Ren ni tak lama dan kita akan mendengar berita tentangnya nanti. Harapnya begitulah…
- 318Share sekarang!
- Email16
- Facebook302
- Share