Berapa kos saringan COVID-19 di luar negara? Dan ini yang Malaysia perkenalkan

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ada minta Kerajaan supaya mengurangkan kos ujian saringan COVID-19 di hospital atau klinik kesihatan dari RM 150 ke RM50 untuk penduduk yang tinggal di kawasan kes positif.

Sebenarnya, banyak inisiatif yang sudah dilakukan bagi mengurangkan kos ujian saringan COVID-19 ni, tetapi ramai juga yang masih tidak mampu, lebih-lebih lagi dari golongan berpendapatan rendah. Tapi, kos ujian saringan di Malaysia boleh dianggap lebih murah berbanding negara-negara lain. Jadi, mari kami huraikan tentang kos ujian saringan COVID-19 serta inisiatif Kerajaan dalam mengurang kos saringan ni.

Mesin ujian virus dan alat kelengkapan ujian saringan COVID-19 yang mahal

Kalau tak nak kena macam ni, patuhilah SOP. Imej dari US News & World Report.

Seperti yang kita sudah sedia maklum, Malaysia menggunakan ujian saringan jenis Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen). Jadi, kenapa kos ujian saringan itu dikatakan mahal?

Sebenarnya, kosnya dikatakan mahal kerana harga untuk mesin PCR sangat mahal sehingga boleh mencecah puluhan ribu ringgit untuk satu mesin. Bukan itu sahaja, kos untuk kelengkapan melakukan ujian saringan di seluruh Malaysia juga sangat tinggi.

Ternyata perpaduan antara satu sama lain masih diterapkan dalam diri masyarakat kita kerana banyak bantuan yang disumbangkan kepada doktor dan pekerja kesihatan di barisan hadapan. Contohnya, Syarikat Kumpulan Samling telah menyumbangkan mesin PCR serta kelengkapan perubatan yang bernilai RM 400,000 kepada Hospital Miri.

Namun perlu diingatkan, kita juga mempunyai golongan berpendapatan rendah yang perlu diambil berat kerana ada yang tidak mampu untuk melakukan ujian saringan. Bukan itu sahaja, ada juga di kalangan mereka yang bukan pekerja Kerajaan atau swasta kerana bekerja sendiri.

“Pejabat saya telah menerima makluman bahawa beberapa kawasan perumahan telah merekodkan kes postif COVID-19, namun timbul persoalan mengapa saringan tidak dilaksanakan secara menyeluruh kepada penduduk berjiran atau berdekatan untuk mengetahui status mereka. Malahan, penduduk mendapati mereka pula perlu menampung kos RM 150 setiap sorang untuk saringan COVID-19 di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.” – Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, dipetik dari surat permohonan beliau.

Kos ujian saringan COVID-19 di negara dunia pertama yang lebih mahal

Barisan hadapan yang bertarung demi mengurangkan penularan COVID-19. Imej dari The Malaysian Reserve.

Kemungkinan kita fikir bahawa kos untuk ujian saringan COVID-19 di Malaysia sangat mahal padahal ujian itu sekadar mengambil sampel sahaja. Namun, jika kita lihat di luar negara sebenarnya kosnya lebih mahal. Haa jom kita lihat di negara paling banyak kes iaitu Amerika Syarikat. Kalau di sana, terdapat beberapa kategori untuk ujian saringan COVID-19 antaranya:

  • Pemprosesan makmal (Ujian PCR): Ujian saringan COVID-19  yang biasa. Kosnya $50 dan $100-$200 (RM208, RM416 – RM833).
  • Telekesihatan: Sekiranya mereka yang mempunyai simptom ringan maka, mereka boleh melakukan telekesihatan iaitu melakukan sesi panggilan video dengan doktor atau membuat talian hotline. Kosnya ialah $0$100 (RM0 – RM416) tetapi terdapat beberapa insurans yang tanggung kos ini.
  • Primary Care Provider: Ia disyorkan kepada mereka yang memerlukan ujian dengan lebih lanjut. Kosnya pula mengikut bandar raya, paling murah di Seattle, Wa, $823.53 (RM3424) dan paling mahal di Miami, FL, $2,661.77 (RM 11,065).
Inilah senarai kos ujian di bandar. Imej dari Talk To Mira.

Di U.K pula, ujian saringan COVID-19 adalah percuma jika mereka menunjukkan simptom-simptom dan boleh mendaftar di laman web Kerajaan U.K. Kalau sesiapa mahu buat secara persendirian, mereka boleh pergi ke klinik kesihatan swasta yang menawarkan perkhidmatan ujian saringan dan purata kosnya ialah £100 (RM537), bahkan ada juga perkhidmatan lain yang ada di U.K:

Meh kita pergi ke negara yang ada bandar cinta pula iaitu Perancis, mula-mula kos untuk ujian saringan COVID-19 ialah  €54 (RM262), tetapi pada bulan Julai, Kerajaan Perancis menyatakan bahawa semua kos ujian saringan akan ditanggung sepenuhnya melalui “carte vitale (kad insurans kesihatan).

Dia punya sakit masuk dalam hidung tu, hanya tuhan yang tahu – UNIC. Video dari LuckyBtw.

Terdapat segelintir negara jiran yang menanggung kos ujian saringan COVID-19

Frontliners di filipina. Imej dari Tatler Philipines.

Baiklah, mari kita pergi ke Pulau Singa Batu Muntah Air, Singapura. Terdapat beberapa prosedur yang telah ditetapkan untuk rakyat dalam melakukan ujian saringan COVID-19 antaranya:

Walau bagaimanapun, jika rakyat Singapura yang dari luar negara pulang ke Singapura maka, Kerajaan tidak akan menanggung kos ujian saringan. Kalau ada insurans kesihatan kebangsaan, mereka akan ditanggung tetapi begantung kepada terma dan syarat.

Inilah terma dan syarat kalau guna insurans. Imej dari Uexblog.

Indonesia sama sedikit seperti Malaysia iaitu kos untuk ujian saringan COVID-19 telah ditetapkan oleh Kerajaan iaitu Rp 900,000 (RM255) dan kami juga ada menjumpai maklumat bahawa kalau sesiapa ingin melakukan ujian saringan PCR di mana-mana agensi PCR, kos untuk satu ujian paling maksimum ialah Rp 500,000 (RM142). Bukan itu sahaja, pada bulan Julai lalu mereka juga ada menetapkan kos untuk ujian saringan di lima buah hospital tetapi kosnya berbeza (boleh lihat senarai kos itu di sini).

Di Filipina pula, mereka yang ingin melakukan ujian saringan COVID-19 boleh pergi ke 152 cawangan Biro Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Kesihatan yang telah ditetapkan. Jadi kosnya ialah 6,000 (RM515) – ₱9,300 (RM798) dan kemungkinan kos ini boleh meningkat dari semasa ke semasa.

Ujian saringan COVID-19 percuma untuk pekerja Kerajaan dan pencarum Perkeso

Jangan risau segalanya percuma! Imej dari laman web Amirudin Shari.

Pada waktu pandemik ini jangan ada seorang pun yang terlepas daripada melakukan ujian saringan COVID-19 lebih-lebih lagi di kawasan zon merah kerana keberangkalian jangkitan boleh merebak dengan sangat tinggi. Jangan risau, sebenarnya banyak inisiatif yang telah disediakan oleh Kerajaan.

Antaranya adalah apabila kos ujian saringan untuk pekerja kerajaan ditanggung oleh kerajaan, manakala untuk pekerja swasta pula ditanggung boleh Perkeso. Ye benar, pada 22 Oktober lalu – kerajaan telah memperkenalkan Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso untuk kawasan yang dikenakan PKPB iaitu Selangor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menurut Menteri Sumber Manusia, M Saravanan Murugan, majikan yang layak boleh melakukan ujian saringan COVID-19 untuk pekerja mereka secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dipilih oleh Perkeso dengan membuat janji temu untuk ujian saringan dan memberikan maklumat lengkap mereka kepada panel perkhidmatan.

“Proses saringan boleh dilakukan di klinik/makmal ataupun dijalankan di premis pekerjaan. Hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso.” – M Saravanan Murugan, Menteri Sumber Manusia, dipetik dari Malaysiakini.

Mesti anda terkejut, ye betul ujian saringan secara percuma! Imej dari Giphy.

Bukan itu sahaja, kepada majikan yang menggunakan kemudahan PSP melalui Subsidi Saringan Prihatin, ujian saringan COVID-19 boleh dilakukan di mana-mana makmal selain panel perkhidmatan. Namun, kos ujian saringan mesti ditanggung oleh majikan terlebih dahulu sebelum majikan boleh menuntut pembayaran subsidi secara dalam talian dengan menyerahkan resit pembayaran.

Selepas mendapat kelulusan tuntutan itu, Perkeso akan membuat pembayaran balik subsidi sehingga RM150 untuk setiap pekerja yang telah menjalani ujian saringan Covid-19. Oh ye, PSP Perkeso ini diberikan kepada pekerja tempatan mahupun pekerja asing.

“Kedua-dua kemudahan tersebut terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja. Peluasan capaian PSP Perkeso ini terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor/industri.” – M Saravanan Murugan, Menteri Sumber Manusia, dipetik dari Malaysiakini.

Jadi, sebenarnya banyak inisiatif yang sudah diperkenalkan demi membantu kita semua untuk mendapatkan ujian saringan COVID-19. Bagaimanapun, bagi golongan berpendapatan rendah yang bekerja sendiri, sewajarnya pihak Kerajaan memberikan perhatian kepada mereka. Saranan Charles Santiago supaya ia dikurangkan dari RM 150 ke RM50 juga patut dipertimbangkan.

Akhirnya, sekiranya korang mahu lakukan ujian saringan, bolehlah pergi ke mana-mana hospital atau klinik kesihatan berhampiran atau boleh tanya bos sama ada mereka ambil tak inisiatif PSP Perkeso tu.