Pada tahun 1918, satu wabak ni telah membunuh 40,000 orang di Tanah Melayu

(This article is translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Korang pun tahu dan sedar betapa seriusnya situasi wabak koronavirus di Malaysia sekarang ini. Sebelum nampak artikel ni lalu kat feed FB korang, mesti korang dah baca perkara-perkara yang dah lepas pasal orang Malaysia panik-beli barang keperluan, panik-dengan polisi yang muncul, panik-tak dijemput ke mesyuarat kesihatan, panik-beratur di panjang di balai polis untuk dapatkan kebenaran balik kampung atau panik-berkumpul di terminal bas untuk tujuan yang sama.

Tak reti nak beli online ke? Imej dari Berita Harian

Memang tak susah untuk kita tahu kenapa orang nampak kelam-kabut. Bilangan kes yang disahkan positif semakin hari semakin bertambah, dan 10 orang dah disahkan meninggal ketika artikel ini ditulis. Situasi memang dah buruk, tapi kita semua tak boleh mengaku kalah dan buat perkara yang kita nak buat yang akan menjadikan situasi lebih membarah.

Jika disingkap semula sejarah, 100 tahun lalu dunia pernah dibadai oleh wabak yang membunuh dikenali sebagai Spanish flu (Selsema orang Sepanyol). Nak bayangkan betapa teruknya, ia membunuh lebih ramai orang dalam masa 24 minggu berbanding HIV/AIDS dalam tempoh 24 tahun. Ia menjangkiti semua orang di dunia ini, dianggarkan dah mengurangkan populasi dunia di antara 1-6%. Ia turut memberi impak kepada Tanah Melayu ketika itu…

Spanish flu membunuh 1% rakyat Tanah Melayu dan Borneo Utara pada tahun 1918

[Makluman: Rujukan utama artikel ini adalah jurnal kajian tulisan Liew KAI Khiun yang bertajuk Terribly Severe Though Mercifully Short: The Episode of the 1918 Influenza in British Malaya“.}

1% nampak macam sikit kalau sekali pandang, tapi bagi Tanah Melayu dan Borneo Utara pada 1918, ia adalah lebih kurang seramai 40,000 orang. Agak sukar nak bayangkan, tapi kalau korang tengok filem Titanic, dianggarkan seramai 1,500 orang yang mati. Manakala Spanish flu di Tanah Melayu pula membunuh 27 kali ganda lebih ramai. Tapi ia hanyalah anggaran (bilangan mungkin boleh jadi lebih tinggi atau kurang berdasarkan kes yang tak dilaporkan), tapi bukan susah untuk percaya kalau korang pernah baca keratan akhbar zaman dulu.

Jumlah sebenar bukan 40 ribu, tapi dah dibundarkan. Imej dari Laporan KKM

Berdasarkan saksi,

“Ia benar-benar menyedihkan untuk melihat seorang demi seorang ahli dari keluarga yang sama dibawa keluar dari rumah dalam tempoh yang singkat antara satu sama lain. Seorang Melayu di Kuda Prye menguburkan seorang kanak-kanak dalam satu hari, satu hari lagi seorang lagi dan kemudiannya, dia pula dikebumikan. Dalam banyak kes, selepas menguburkan seorang ibu, majlis pengebumian akan pulang ke rumah untuk mengambil anak dan isteri.” – kenyataan saksi, petikan dari jurnal Liew Kai Khiun

Walaupun penyakit ini dilaporkan telah menjejaskan orang di semua negeri di Tanah Melayu dan Borneo Utara, mungkin orang yang paling terkenal diserang wabak itu ialah Sultan Abdul Jalil, raja ke-19 dari Perak, selepas pemerintahan yang pendek kira-kira dua tahun, meninggal dunia kerana selsema dan disahkan pada bulan Oktober 1918. Jadi, korang dapat bayangkan betapa mautnya selsema ini, tetapi …

Macam mana Spanish flu boleh masuk ke Tanah Melayu ketika itu?

Sebelum koronavirus yang melanda ini dinamakan Covid-19, ia dipanggil sebagai virus Wuhan, jadi korang mesti terfikir ia masuk ke Malaysia kerana seseorang dari Wuhan, China. Walau bagaimanapun, ia tak sama macam Spanish flu. Penyebarannya berlaku ketika Perang Dunia I, dan ketika ceritanya berlaku, laporan mengenai pandemik ini ditapis di negara yang berperang untuk mengekalkan moral tentera mereka.

Berdasarkan statistik, nampaknya komuniti yang paling teruk terjejas adalah pekerja buruh India yang meninggal di Perak ketika tempoh wabak selsema ini naik dua kali ganda (372 dari 1,000), orang Melayu (129.6/1,000) dan orang Cina (158.4/1,000). Ini digambarkan melalui kejadian semasa proses pembinaan Istana Kellie di Perak, yang menurut cerita, dipercayai disumpah kerana 70 pekerja India yang bekerja di atasnya mati akibat selsema.

Antara sebab kenapa orang panggil ia sumpahan. Imej dari Jomjalan

Sebaliknya, Sepanyol tidak terlibat dalam peperangan, jadi akhbar-akhbar mereka bebas melaporkan tentang pandemik, memberi tanggapan bahawa mereka terkena penyakit selsema ini lebih teruk daripada negara-negara lain, dengan itu nama samaran diberikan sebagai ‘Spanish flu’. Tetapi jika ia bukan dari Sepanyol, maka dari mana? Nah, tiada siapa yang boleh pastikan, tetapi teori-teori yang ada sama ada Amerika Syarikat, China Utara, atau pangkalan tentera British di Perancis.

Tak kiralah dari mana ia berasal, ia tersebar dengan meluas sehingga ia sampai di kawasan Artik. Memandangkan perang yang berterusan dan keadaan Tanah Mealyu sebagai tanah jajahan British pada masa itu, orang pasti akan keluar dan masuk, dan dengan selsema yang tersebar maka tidak dapat dielakkan untuk Tanah Melayu turut terjejas. Walaupun kita tidak tahu bagaimana sebenarnya ia masuk ke Tanah Melayu, ia dipercayai telah bermula dari pelabuhan utama Singapura, kemudian merebak ke seluruh rantau ini.

Berdasarkan sejarah, nampaknya wabak ini mungkin tersebar melalui laluan maritim dari penumpang dan pekerja asing dari Laut China Selatan, dan kemudian melalui laluan darat ketika mereka berpindah dari pelabuhan ke kawasan daratan. Dan walaupun ada amaran mengenai wabak ini daripada kerajaan British di Afrika ke Singapura, ia tidak cukup banyak.

Penjual terompah di Singapura dulu. Imej dari Geraldine Soh Pinterest

Wabak ini tersebar dengan agak mengejutkan selepas itu. Sebagai contoh, semasa gelombang kedua wabak pada bulan Oktober, media tempatan pada mulanya telah yakin bahawa wabak selsema di Timur ‘tidak dianggap begitu serius seperti yang berlaku di Barat’, tetapi keadaan itu berubah secara dramatik seminggu kemudian.

“Epidemik selsema ketika itu adalah salah satu yang terburuk yang telah berlaku. Ia akhirnya telah dihentikan dengan langkah berjaga-jaga yang bersih …  ” – keratan media, petikan dari jurna Liew Kai Khiun’s

Macam mana ia sampai ke tahap tu…

Orang ramai seakan-akan tidak tahu banyak mengenai selsema itu

Hari ini, kita tahu bahawa Spanish flu adalah disebabkan oleh virus influenza H1N1, versi yang terbaru menyebabkan pandemik selsema babi 2009. Kita juga tahu sekarang berapa banyak malapetaka yang boleh terjadi, bagaimana untuk mengenal pasti gejala-gejala, dan bagaimana untuk menghentikannya daripada tersebar. Ia tidak berlaku pasa masa itu.

Hospital Lam Wah Ee yang digunakan ketika wabak itu. Imej dari HLWE

Contohnya, laporan kesihatan awam dari 1918 Pulau Pinang telah melaporkan wabak mengejut kerana demam ‘tidak diketahui asalnya’ apabila pandemik pertama bermula pada bulan Julai. Walau bagaimanapun, tidak sehingga gelombang kedua pada bulan Oktober bahawa demam ini dikenali sebagai selsema, dengan ciri perbezaan yang dikenal pasti sebagai komplikasi paru-paru serius yang kerap berlaku.

Ia mungkin dah terlambat masa tu. Purata kematian harian (dari semua faktor) meningkat dalam beberapa hari, dan menjelang akhir Oktober, ia menjadi enam kali lebih tinggi. Selsema itu tidak hanya mengejutkan Pulau Pinang. Pandemik selsema adalah perkara baru bagi sebahagian besar negara di dunia, dan ia bertentangan dengan apa yang sudah diketahui orang tentang penyakit berjangkit pada masa itu. Menurut laporan pada 1919 oleh Pesuruhjaya Sanitasi kerajaan India telah menyatakannya,

“Tiada penawar khusus atau tindakan pencegahan tertentu untuk influenza dan apabila ia merebak dengan begitu pantas yang mana rujukan telah dibuat, sains perubatan boleh melakukannya tetapi agak sedikit untuk memeriksa kejadiannya.” – keratan laporan, petikan dari jurnal Liew Kai Khiun

Walaupun British di Tanah Melayu telah menetapkan langkah-langkah terhadap penyakit berjangkit sejak tahun 1870-an, seperti pengesanan awal di pelabuhan dan kem kuarantin, influenza tidak ada dalam senarai penyakit untuk dirawat pada masa itu. Dan disebabkan sifat baru penyakit ini, ia mengambil masa sikit untuk orang sedar mengenai selsema ini. Menurut saksi dari komuniti Cina, ramai di antara mereka menganggap bahawa ia adalah satu lagi wabak malaria, jadi mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga yang betul.

Tak macam selsema, malaria tersebar dari gigitan nyamuk. Imej dari Zana

Juga disebabkan oleh betapa barunya penyakit itu, pihak berkuasa tak memutuskan apa yang perlu dilakukan dengan tepat, yang mengakibatkan saranan saling bercanggah. Sekiranya tidak ada dasar yang jelas, pihak berkuasa kesihatan negeri mengambil tindakan sendiri dan memulakan langkah-langkah asas, seperti pemeriksaan rumah ke rumah, mengedarkan penyahkuman kepada masyarakat, menutup sekolah, pawagam dan teater, dan meminta orang sakit tinggal di tempat tidur sehingga simptomnya hilang.

Namun, nampaknya walaupun terdapat kematian dan penyakit, orang ramai seolah-olah tak takut untuk perhimpunan awam. Walaupun terdapat amaran kesihatan terhadap perhimpunan awam besar-besaran, majlis pengebumian Sultan Abdul Jalil pada Oktober 1918 dilaporkan menerima kehadiran ramai, dan beribu-ribu orang turun ke jalanan untuk meraikan pengakhiran Perang Dunia I pada bulan November.

Walau bagaimanapun, terdapat juga laporan pemilik ladang yang mengadakan perjumpaan untuk menangguhkan perayaan Deepavali sehingga wabak selsema berhenti, jadi mungkin beberapa tindakan berjaga-jaga dilakukan.

Tidak kiralah apa pun, apabila kita dah tahu apa yang kita lakukan sekarang tentang apa yang berlaku di Tanah Melayu pada tahun 1918, korang mungkin tertanya-tanya …

Apakah wabak pendemik koronavirus ketika ini menjadi makin teruk?

Susah untuk pastikan, tetapi keadaan di antara sekarang dan 100 tahun yang lalu memang berbeza. Spanish flu melanda dunia sewaktu zaman peperangan, dan orang yang sakit dan malnutrisi adalah orang paling mudah untuk terkena virus baru. Pandemik juga telah menjadi punca untuk membangunkan kemudahan dan rangkaian kesihatan yang lebih baik bagi mengendalikan penyakit berjangkit di Tanah Melayu bermula tahun 1920, dan sejak itu kita semakin bertambah baik.

Tergedik-gedik nak balik kampung. Imej dari Malay Mail

Walaupun kita lebih bersedia untuk menghadapi pandemik, terdapat beberapa persamaan antara pandemik sekarang ni dan apa yang berlaku 100 tahun yang lalu, seperti peningkatan mendadak sesuatu perkara dan sesetengah orang tak pandang serius pada mulanya. Kami tak sebut dalam artikel ni, tetapi ada juga usaha oleh masyarakat untuk membantu di antara satu sama lain semasa krisis, yang kita juga boleh tengok pada masa sekarang.

Sama ada baik atau buruk, mari kita harapkan persamaan itu terhenti di sana. Kita mungkin tak mahu hospital-hospital terlalu penuh sesak macam yang berlaku pada tahun 1918 di Pahang, di mana orang-orang sakit terpaksa balik dan hospital kekurangan staf sampai tukang kebun dan kuli terpaksa dijadikan pembantu. Dan untuk sekarang kita dah boleh tengok ada angka kematian, kita mungkin tak mahu angka itu pergi lebih tinggi.

Dengan peristiwa-peristiwa baru ni, kerajaan dah laksanakan perintah kawalan pergerakan, dan diharapkan arahan itu dapat melambatkan penyebaran koronavirus, atau menghentikannya terus. Tetapi ia hanya akan berfungsi sekiranya kita bersama-sama dan hanya … duduk di rumah diam-diam seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Tidak perlu keluar ke mana-mana, dengan cara ini anda terhindar daripada jangkitan COVID 19 dan penularan wabak ini InsyAllah dapat dibendung.

Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan. Bukan untuk membolehkan anda balik ke kampung, penuhi jemputan kenduri, beli belah di pasar raya, bersiar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Tujuan (Perintah Kawalan Pergerakan) ialah supaya anda duduk di rumah.” – Muhyiddin Yassin, petikan dari Berita Harian

Benda ni tak susah untuk kebanyakan kita, kalau semua boleh bagi kerjasama, manalah tahu kita dah boleh pergi jalan-jalan pada minggu mendatang.

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT