- 473Share sekarang!
- Email16
- Facebook457
- Share
Bila cakap pasal dinosaur mesti ramai ingat hanya ada kat Eropah dan Amerika je kan? Jangan terkejut kalau kami kata kat Malaysia pun ada! Pada 5 Mac 2017, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bersama beberapa lagi universiti tempatan lain telah jumpa bukti bahawa mungkin terdapat dinosaur di Kelantan.
Pasukan yang bertanggungjawab tu suspek beberapa jenis fosil dinosaur dijumpai sekitar kawasan tersebut adalah Theropod dan Sauropod. Ia merupakan jenis dinosaur yang karnivor (makan daging) dan juga herbivor (makan tumbuh-tumbuhan). Untuk Sauropod, biasanya binatang yang leher panjang manakala Theropod pula adalah yang jenis macam T-rex.
Yang paling best? Pertemuan dinosaur kat Kelantan tu bukanlah kali pertama binatang purba dibuktikan. Malah sudah beberapa tempat kat Malaysia yang telah dikenal pasti dan ditemui fosilnya. Jadi di mana je kat Malaysia ada dinosaur?
Malaysia ada dinosaur yang pernah ada kat dalam movie Jurassic Park
Malaysia pertama kali dapat berita tentang penemuan dinosaur pada Febuari 2014 apabila sekumpulan saintis dari Universiti Malaya dan beberapa orang professor dari Jepun telah menemui sebatang gigi dinosaur di Pahang. Walau bagaimanapun pasukan tersebut tak nak bagitau lokasi sebenar sebab takut ramai orang akan datang kacau.
“Kami telah bergabung tenaga dan mulakan kerja padang untuk mencari potensi sisa dinosaur sejak tahun 2012 lagi. Setakat ni kami telah sahihkan bahawa sisa dinosaur memang ada kat Pahang” – Dr Matasoshi Sone, petikan dari Research Sea.
Mereka juga kata bahawa fosil yang dijumpai tu berkemungkinan tinggi merupakan dinosaur jenis Spinosaurid (iaitu dinosaur kanivor yang makan ikan). Mereka menjangkakan lebih banyak lagi dinosaur akan ditemui dalam masa akan datang, dan tekaan mereka betul sebab pada bulan November tahun yang sama, kumpulan tersebut telah jumpa lagi satu gigi dinosaur tapi kali ni ia merupakan jenis herbivor pula.
Selang beberapa hari, satu pasukan yang terdiri dari anggota Jabatan Geological Heritage Malaysia telah mendaki Gunung Gagau di Terengganu selama 10 hari sebelum menemui satu gigi, beberapa tulang dan tapak kaki. Pasukan tersebut berkata fosil yang ditemui merupakan campuran beberapa jenis dinosaur dan telah mengambil langkah berjaga-jaga supaya orang lain tak ganggu dengan kawasan tersebut.
“Kami akan berbincang dengan Jabatan Perhilitan dan juga pihak Taman Negara dalam cara-cara untuk menjaga kawasan ini” – Yunus, interview dengan Strait Times
So kat sini kita tau bahawa kat Pahang, Terengganu, dan Kelantan ada dinosaur tapi adakah ni normal untuk negara di Asia Tenggara?
Malaysia ada dinosaur mungkin hasil dari gabungan benua pada zaman purba
Secara amnya, penemuan dinosaur pertama sekali di Asia adalah di Mongolia pada tahun 1922. Pada mulanya dua orang Amerika ni menjelajah padang pasir Gobi untuk mencari bukti manusia purba, tapi apa yang ditemui adalah bekas sarang dinosaur pertama di Asia. Sejak dari tu, tumpuan ahli arkeologi telah beralih ke Asia.
Tapi ia memakan masa lebih kurang enam dekad untuk Asia Tenggara jumpa dinosaur pertamanya. Pada tahun 1974, Thailand telah menjumpai tapak kaki dinosaur yang berumur lebih kurang 120 juta tahun. Sejak dari tu, Thailand telah mengisytiharkan sembilan lagi tapak galian untuk dinosaur dan kebanyakan yang ditemui adalah pada tahun 1990-an.
Pada tahun 2015 di Myanmar pula, sekumpulan saintis dari Universiti Geosains Beijing telah menemui bulu dinosaur yang tersekat kat dalam satu amber (cecair pokok). Ia dilihat sebagai satu penemuan fosil yang sempurna, kata Dr Lida Xing (ketua ekspidisi). Manakala Dr Ryan McKellar (ahli ekspedisi) pula berkata ia merupakan satu benda yang tak disangka.
“Ini adalah cara yang paling dekat untuk manusia membelai dinosaur” – Dr Ryan McKellar, interview dengan ABC
Di Filipina, penemuan dinosaur merupakan satu benda yang baru seperti di Malaysia. Masa mereka temui tulang yang pelik tu, mereka menyangkakan ia tulang gajah dan berita tentang penemuan tulang pelik tu telah sampai ke seorang saintis dari Amerika. Dia kemudiannya memeriksa tulang tersebut dan mengesahkan bahawa ia adalah tulang dinosaur.
Walaupun penemuan dinosaur kat Asia Tenggara ni agak jarang, kami tertanya-tanya macam mana ada dinosaur kat kawasan ni? Berdasarkan apa yang kami temui, peta bumi ketika zaman dinosaur sangat lain sebab masa tu ada satu je benua kat bumi ni dan ia sangat besar. Digelar sebagai benua Pangaea, berkemungkinan tinggi bentuk muka bumi time tu mempengaruhi kawasan keliaran dinosaur.
Lepas beberapa juta tahun, benua tersebut telah berpecah maka terjadi lah peta bumi yang kita ada sekarang ni. So sekarang ni siapa je yang bertanggungjawab untuk cari dinosaur kat Malaysia?
Orang yang bertanggungjawab cari minyak adalah orang yang sama mencari dinosaur di Malaysia
Kat Kelantan, penemuan dinosaur dilakukan oleh sekumpulan saintis dari Fakulti Sains Bumi manakala dinosaur yang kat Terengganu pula diwakili oleh Jabatan Mineral dan Geosains bersama Malaysia Geological Heritage Group. Jadi adakah fakulti dan jabatan yang terlibat ni memang khas untuk cari dinosaur?
Berdasarkan website UMK, Fakulti Sains Bumi ni fokus dalam kajian kandungan mineral dan tenaga yang boleh dihasilkan dari bumi. Ini termasuk jugalah petroleum (minyak), kejuruteraan, galian mineral, lain-lain lagi. Untuk Jabatan Mineral dan Geosains pula, mereka terletak di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Semula Jadi dan tugas mereka pula adalah menyelia projek yang melibatkan galian mineral dan sumber asli di negara ini.
Oleh kerana mereka memang pakar pasal jenis-jenis mineral kat muka bumi, mereka juga tau membezakan antara fosil dinosaur dengan batu.
So persoalannya dari mana pula datang idea untuk cari dinosaur kat Malaysia ni? Pada tahun 2011 seorang kontraktor, Mohd Zaidi Mohd Yah, tengah settle kan projek empangan kat Hulu Besut apabila dia terjumpa ketulan batu yang pelik. Memandangkan Zaidi ni ada ilmu kaji bumi dia sedar batu tu bukan sebarang batu jadi dia telah contact Jabatan Mineral dan Geosains untuk pengesahan.
“Pegawai JMG yang membuat siasatan mengesahkan penemuan fosil tumbuhan berkenaan sebagai genus tumbuhan purba yang kini telah pun pupus dari permukaan bumi negara sekarang” – Mohd Zaidi Mohd Yah, Sinar Harian
Rupa-rupanya batu tu mengandungi fosil tumbuh-tumbuhan yang pernah wujud 350 juta tahun dulu. Disebabkan Malaysia dah jumpa fosil purba dan penemuan dinosaur di negara jiran,i ni mungkin menjawab persoalan kenapa Fakulti Sains Bumi dan Jabatan Mineral dan Geosains telah mengadakan ekspedisi cari dinosaur di Malaysia.
Nak call siapa kalau jumpa fosil dinosaur belakang rumah?
Mengikut definisi, paleontology merupakan pengajian tentang binatang dan tumbuhan purba. Kat Amerika Syarikat dan juga di British, mereka ada persatuan dan jabatan paleontology mereka sendiri. Kalau kat Malaysia pula? Tak kan nak call Bomba kot, dorang pun taktau nak buat apa dengan fosil tu. Macam Zaidi, kalau korang ada jumpa fosil dinosaur boleh lah call atau contact Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Dan kalau betul korang ada jumpa fosil dinosaur jangan happy sangat untuk jadi tauke minyak. Bertentangan dengan kepercayaan ramai, minyak bukannya datang dari dinosaur (kami pun terkejut) tapi dari tumbuh-tumbuhan purba dan bakteria. Selamat menggali!
- 473Share sekarang!
- Email16
- Facebook457
- Share