Alam Sekitar

Kelantan kena scam pasal hal pembalakan? Adakah mereka ditipu oleh syarikat ni?

Mesti ramai terkejutkan kalau tiba-tiba Petronas Twin Towers black out? Tapi jangan terkejut sangat kalau menara tu bergelap selama sejam setiap hujung bulan Mac untuk support program Earth Hour yang dikendalikan World Wide Fund for Nature (WWF). Waktu ni, negara-negara yang terlibat akan padamkan elektrik selama sejam di seluruh dunia. Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim (climate change).

Tak bolehlah gelap semua kan. Especially jejantas tu. Imej dari The Star.

Menurut laporan Environmental Performance Index (EPI) tahun 2016, Malaysia nombor dua terbersih di Asia Tenggara di bawah Singapura. Tapi kalau compare seluruh dunia, Malaysia kedudukannya nombor 63, manakala Singapura di kedudukan nombor 14. Kira biasa-biasa je la kedudukan negara kita ni.

Apa yang mengejutkan, ada sebuah kajian dari Yale meletakkan Malaysia dalam sepuluh negara yang paling banyak melepaskan gas karbon dioksida per kapita. Kenapa kita banyak sangat gas CO2? Takkan kita tak cukup pokok untuk menyedutnya balik?

(EDIT 12/7/2017: Kawan kami daripada Sahabat Alam Malaysia (SAM) kata hasil kajian ni masih perlu disahkan. SAM sekarang cuba menghubungi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya mereka sedar akan perkara ni.)

Jadi jom kita tengok apa yang dah terjadi kepada pokok-pokok kat Malaysia…

(Nota: Kami juga ingin berterima kasih kepada Cik Hilary Chiew, Pegawai Penyelidik SAM yang banyak membantu kami berhubung dengan pihak SAM).

Ada negeri yang membalak pokok sampai tinggal papan tanda kubur je

Bagi yang suka naik ke Genting Highland, pastinya akan lalu satu kawasan dengan nama yang sangat hot iaitu Janda Baik. Walapun nampak tenang dengan kehijauan hutan-hutan, tapi sebenarnya penduduk sana masih berlawan dengan projek infrastruktur TNB untuk membina talian penghantaran elektrik. Bukan tu benda baik ke? Apa salahnya?

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, mendakwa kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Perhutanan bagi pembalakan untuk laluan grid elektrik itu mengambil kesempatan membalak di luar kawasan yang ditetapkan. – Petikan dari Sinar Harian

Dikatakan juga anak sungai jadi kering dan berlaku sikit tanah runtuh, keraa  Kalau nak diikutkan, kejadian kekeringan sungai dan tanah runtuh yang berpunca dari hakisan tanah ni boleh dielakkan dengan wujudnya kawasan tadahan hujan.

Bila aku nak kena potong ni? Gif dari Giphy

Kawasan tadahan hujan biasanya ada pokok yang banyak di mana air hujan yang sepatutnya jatuh direct ke tanah boleh dikurangkan. Bila hujan jatuh ke atas pokok dulu, air hujan akan turun sikit-sikit dan perlahan-perlahan sebelum meresap masuk ke tanah lalu mengalir masuk ke sungai dan lain-lain. Tapi kalau kawasan tadahan hujan kena balak nak buat macam mana?


Isu ni berlaku di Kedah yang mana pembalakan berleluasa berlaku di Hutan Simpan Ulu Muda yang merupakan satu kawasan tadahan hujan. Walaupun macam tu, pembalakan di situ ada lesen dan permit beserta papan tanda menunjukkan nama kontraktor termasuk Perbadanan Menteri Besar Kedah. Tapi tu lah, itu kawasan tadahan air hujan, kalau tak kawal apa yang jadi?

“Pembalakan akan mendedahkan tanah. Hakisan air hutan dan hakisan permukaan akan menyebabkan mendapan ke sungai, mengakibatkan pencemaran air dan air sungai akan menjadi cetek.” – kata Prof Dr Chan Ngai Weng kepada Mstar

Selain kawasan tadahan hujan menjadi mangsa, pembalakan juga telah mengganggu mata pencarian orang-orang asli yang tinggal di dalamnya. Kejadian macam ni terjadi di Kelantan. Walaupun sebelum ni aktiviti pembalakan memang menjadi sumber pendapatan ekonomi diorang, kebelakangan ni ia menjadi isu besar. Kerajaan Kelantan pernah disekat 200 orang asli di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di kawasan Gua Musang pada tahun 2016.

Nak masuk pun pikir dua tiga kali ni. Imej dari The Malay Mail Online

Orang asli di kawasan tu tak puas hati sebab dikatakan mata pencarian diorang akan terjejas. Tapi kerajaan negeri menafikan dengan mengatakan,

“Kerajaan negeri tidak mengetepikan masyarakat Orang Asli di Kelantan malah sebelum ini kerajaan negeri meluluskan Tanah Rizab Orang Asli seluas 3,885.39 hektar untuk penempatan dan aktiviti harian mereka.” – Mohd Amar Nik Abdullah (TMB Kelantan). Petikan dari Sinar Harian

Selain tu, kerajaan negeri dah bersetuju untuk jadikan kawasan seluas 20,000 hektar sebagai hutan simpan atau aktviti rayau masyarakat tersebut. Bagi kerajaan negeri, orang asli ni sebenarnya disahut pihak lain. Kerajaan negeri kemudiannya memberhentikan sekejap pembalakan sebelum meneruskannya semula.

“Kalau hasil kerajaan tergendala, kita tidak dapat melaksanakan pelbagai program untuk rakyat. Kita kena faham, pihak yang bertindak sebegitu bersikap anti-nasional.” – Ahmad Yaakob (MB Kelantan). Petikan dari Utusan.

Sekumpulan media telah melawat kawasan pembalakan tu yang mana laporan diorang cakap ikan banyak mati dan ada gajah ditembak oleh orang tertentu yang bukan orang asli. Apa yang menyedihkan hutan dikatakan licin sampai yang tinggal hanyalah papan tanda kubur orang asli yang dah lama meninggal.

Bayangkan kalau kubur ni pokok? Imej dari Malaysiakini.

Akhirnya, kes pembalakan ni telah dibawa ke mahkamah yang mana orang asli menang. Keputusan mahkamah memutuskan tanah seluas 9,300 hektar di Pos Belatim, Gua Musang, kekal sebagai tanah adat Orang Asli. Projek Ladang Rakyat yang sepatutnya dijalankan kat kawasan tu turut dibatalkan oleh kerajaan negeri.

Setelah tamat isu pembalakan ni, nama Kelantan naik lagi berkaitan dengan hutan. Tapi kali ni bukanlah pembalakan tapi…

Kelantan kata program mereka diiktiraf PBB, tapi disanggah oleh Menteri Alam Sekitar

Pada 9 Januari 2017, Kelantan muncul sebagai negeri pertama yang buat dagangan kredit karbon di Malaysia dalam usaha mengurangkan pengeluaran karbon daripada aktiviti pembalakan tidak terkawal. Perjanjian telah dibuat dengan Climate Protector Sdn. Bhd.

Majlis tandatangan MoU. Imej dari Harakahdaily.

“Inisiatif perdagangan Karbon adalah merupakan satu mekanisme insentif yang amat baik dalam usaha menggalakkan negara-negara membangun mengurangkan kadar pelepasan Green House Gas (GHG) daripada aktiviti penyahhutanan dan kemerosotan hutan serta meningkatkan kadar penyerapan GHG daripada aktiviti pengurusan hutan secara berkekalan.” – Ahmad Yaakob. Petikan dari Harakahdaily

Macam yang kami cakap awal-awal tadi, Malaysia merupakan antara 10 negara teratas yang melepaskan CO2 per kapita terbanyak. CO2 adalah satu daripada Green House Gas (GHG) yang akan menyebabkan Kesan Rumah Hijau (Green House Effect) berlaku. Secara mudahnya:

Kesan Rumah Hijau: Kalau banyak sangat Karbon Dioksida, Karbon Monoksida dan Nitrogen Dioksida (Green House Gas) dilepaskan ke atmosfera, jadi banyaklah gas ni kat udara. Gas-gas ni pula sifat dia penyimpan haba. Jadi kalau cahaya matahari masuk ke Bumi sepatutnya dia pantul balik. Tapi disebabkan gas ni banyak, jadi haba tersimpan banyak yang menyebabkan pemanasan kat Bumi ni.

Kalau tak faham lagi lah. Gif dari Giphy.

Jadi niat kerajaan Kelantan ni kira baguslah sebab nak sedut balik CO2 berlebihan. Nanti bolehlah Malaysia keluar dari senarai 10 negara teratas tadi.

HarakahDaily melaporkan yang perjanjian ini bertepatan dengan deklarasi PBB. Tetapi perkara ini disanggah oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi. Ini kerana program PBB iaitu REDD+ langsung tidak melibatkan sebarang perniagaan kredit karbon atau perniagaan pasaran.

Selain daripada Wan Junaidi, NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga turut mempertikaikan beberapa kelemahan yang ada dalam perjanjian ni. Antaranya…

Perdagangan kredit karbon tak semestinya membantu dalam melawan global warming

Perdagangan Kredit Karbon secara mudah faham adalah seperti jual beli juga. Contohnya ada satu syarikat yang memilki satu kawasan hutan yang boleh sedut balik gas CO2 sebanyak satu 1 tan metrik, jadi syarikat tu dikira ada 1 kredit karbon. Formula dia macam ni:

1 Metrik tan CO2 = 1 Kredit Karbon

1 Kredit Karbon ni boleh dijual di pasaran karbon. Mana-mana kilang yang bakal melepaskan 1 tan CO2, diorang kena beli 1 kredit karbon ni dulu.

Macam ni lah lebih kurang. Imej dari Remoares.tk

Jadi Kelantan memperuntukkan 978,120 ekar hutan kepada Climate Protector Sdn Bhd. untuk menguruskan perdagangan ni.

“Perjanjian itu bermaksud untuk menganugerahkan 396,000 hektar hutan kepada Climate Protector Sdn. Bhd. untuk tempoh 30 tahun bagi skim imbangan karbon di mana kredit yang dijana akan dijual kepada pasaran karbon Eropah.” – penerangan SM Mohamed Idris, Presiden SAM kepada Soscili

Mengikut laporan, kerajaan negeri akan bagi masa untuk para saintis membuat kajian untuk mengenal pasti jumlah stok karbon yang dihasilkan hutan tu.

Tengah kira berapa tan karbon. Imej dari Gagaspertaniana

Perlaksanaan peringkat seterusnya akan bergantung kepada tempoh kajian berdasarkan keupayaan syarikat yang handle projek ni. Walaupun macam tu, bagi Sahabat Alam Malaysia, perdagangan karbon ni hanyalah penyelesaian sementara untuk memelihara alam sekitar.

Untuk memerangi gejala pemanasan bumi yang menyebabkan masalah perubahan iklim, usaha ‘meminjam’ aktiviti pengurangan karbon dari negara B untuk menggantikan usaha sebenar negara A cuma melambatkan usaha pengurangan sebenar negara. Akibatnya, masalah pemanasan bumi tidak dapat dibendung dengan segera mungkin. – penerangan Presiden SAM kepada Soscili

Jadi mungkin kita boleh kata yang kerajaan Kelantan cuba menanam pokok SUPAYA negara-negara lain boleh mengeluarkan karbon dioksida?

Malah, Climate Protector Sdn. Bhd. yang dikatakan membuat perjanjian dengan Kelantan tu pun ada dalam senarai ‘diperhatikan’ oleh Bank Negara Malaysia. Kenapa pulak?

Climate Protector ada dalam senarai ‘diperhatikan’ Bank Negara

Syarikat Climate Protectors Sdn. Bhd adalah syarikat kredit karbon pertama di Malaysia. Apa yang mengejutkan, syarikat ni tersenarai dalam senarai ‘diperhatikan’ (Financial Consumer Alert List) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikemaskini pada 23 Jun 2017.  Senarai ini dikeluarkan sebagai panduan untuk orang awam mengenai senarai syarikat atau website yang tak sah menurut undang-undang dan peraturan yang didaftarkan oleh BNM.

Climate Protector DAN JUGA Ecobit turut disenaraikan. Imej dari bnm.gov.my

Malah, The Malaysian Insight cuba melawat pejabat Climate Protector tapi tak jumpa apa pun. Wakil dari UNDP (sebuah bahagian PBB) mengatakan yang Climate Protector telah menggunakan logo UNDP tanpa kebenaran, dan kemudiannya membuang logo tersebut.

Kami menghubungi Encik Tang Too Siah yang merupakan Pegawai Eksekutif Climate Protector Sdn. Bhd. melalui Whatsapp pasal senarai ni. Jawabnya,

“We cannot comment on it at this moment as we are not sure too” – Tang Too Siah ketika dihubungi Soscili

Ada laporan menyatakan yang pihak Climate Protector Sdn. Bhd. akan mengadakan perjumpaan dengan BNM untuk menjelaskan isu ni.

Selain tu, SAM juga melaporkan yang Tang Too Siah ni adalah salah seorang penasihat lembaga di dalam Ecobit. Ecobit ni pula merupakan suatu syarikat yang menawarkan peluang pelaburan berdasarkan mata wang digital (cryptocurrency) yang juga ada dalam senarai ‘diperhatikan’ BNM. Jadi apa masalahnya?

Apa lagi tak puas hati ni? Nyampah!. Gif dari Giphy

Projek Kelantan mungkin dikatakan tulang belakang Ecobit, sebuah syarikat yang masih di dalam senarai ‘diperhati’ BNM

Ketika kami menghubungi Sahabat Alam Malaysia (SAM), diorang ada bagi satu salinan surat mereka kepada Gabenor Bank Negara (BNM) bertarikh 3 Mei 2017. Antaranya dikatakan Ecobit ada hubungan dengan Climate Protectors Sdn. Bhd. Mengikut penerangan di Redd-Monitor, projek Climate Protector ini dibuat bertujuan untuk mencipta ‘matawang’ baru, iaitu Ecobit.

Apa kejadah Ecobit ni? Macam mana dia berfungsi? Untuk mendapatkan jawapan, kami telah berjaya menyertai Group Telegram Ecobit yang telah disediakan di laman web syarikat tu. Kami bertanya sendiri bagaimana Ecobit ni berfungsi.

“Hi. Just a crypto assets that support Green Projects. You can buy and sell it in public exchanges like Cryptopia” – Respon EcoBit Official melalui Telegram.

Secara ringkas, Ecobit adalah sebahagian dari mata wang digital (cryptocurrency) yang boleh dijadikan aset untuk jual beli barang. Sebagai contoh, kita masukkan tin kosong dalam mesin milik Ecobit, jadi kita akan dapat ganjaran sebanyak 0.15 Ecobit. 0.15 Ecobit tadi kita boleh guna untuk pertukaran jual beli barang dalam Cryptopia Exchange.

Bitcoin tak diterima kat restoran ni. Ecobit sahaja k. Gif dari Giphy

Namun begitu, Redd-Monitor juga menyatakan banyak mata wang digital yang baru ni sebenarnya adalah scam. Sahabat Alam Malaysia menyatakan yang “projek karbon di Kelantan dipergunakan sebagai tulang belakang untuk memulakan Ecobit.

Untuk mendapatkan kepastian, kami bertanya sendiri kepada Ecobit pasal benda ni melalui Telegram yang disediakan. Kami juga lampirkan sekali screenshot yang menyatakan Ecobit ada dalam Alert List Bank Negara Malaysia. Respon yang diberikan adalah,

“As you posted , it is better you follow your country’s law and alert.” – Respon EcoBit Official melalui Telegram.

Maka kami tak dapatlah jawapan. Namun begitu, website rasmi Ecobit telah mengeluarkan pengumuman yang Projek Kredit Karbon bukan lagi sebahagian dari Projek Ecobit. Kalau ada sesiapa di kalangan orang awam yang telah melabur boleh refund balik.

Boleh refund balik ni ok lah. Imej dari Ecobit

Juga tak dinyatakan Projek Kredit Karbon yang dimaksudkan tu sama ada di Kelantan atau tempat lain. Kami cuba bertanya kepada Ecobit Official Telegram namun tiada jawapan. Malah lepas tu grup tu senyap je, dah pergi buat grup lain kot sebab tak nak kawan dengan kami D’:

Ada laporan yang mengatakan Ecobit telah memadam banyak kenyataan di laman web mereka, malah Tang Too Siah dikatakan pernah terlibat dengan BTC Panda yang kini telah diberhentikan kerana dianggap sebagai scam oleh banyak pihak.

UPDATE 26/7/2017: Ini kenyataan rasmi daripada, Encik Tang Too Siah mengenai kaitannya dengan BTC Panda.

As I am one of the pioneer of Bitcoin and Blockchain technology in Malaysia since 2010 , I was invited by the Philippines Organiser to talk about Bitcoin, Block chain & Mining as you can see from the whole video.

Please note 0:55 , thanking the organiser to give talk on it.

Some might be mistaken , officiating or giving talk is endorsement or affiliated to it.

Kalau nak jaga alam sekitar, buat dulu background check dan gunakan saluran yang betul

Niat untuk mengurangkan CO2 ni memang baik, tapi buat masa ini ada banyak benda yang meragukan, antaranya:

Disebabkan SAM antara yang cuba menyuarakan kelemahan Projek Kredit Karbon, kami bertanya juga cadangan diorang. Jawabnya,

“Kementerian harus memastikan negeri-negeri memahami dan menyokong usaha kerajaan pusat tersebut. Negeri-negeri harus bekerjasama dan mendapatkan nasihat teknikal daripada kerajaan pusat.” – Presiden SAM ketika dihubungi Soscili

Sebenarnya Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli ada kata yangMalaysia ketika ni sedang membuat permohonan mendapatkan pembiayaan bagi jumlah pengurangan pelepasan gas rumah hijau melalui Dana Iklim Hijau (GCF). Setakat ni dah ada 43 projek yang lulus dan negara Liberia baru je dapat ansuran pertama 2.2 juta USD geran GCF untuk diorang jalankan projek. Memang berbaloi untuk projek alam sekitar.

Duit yang dapat dari Dana Iklim Hijau tu bakal digunakan oleh kerajaan dan negeri untuk buat projek alam sekitar yang sah menurut PBB.

Artikel ini ditulis bersama oleh Zahid dan MK.

To Top

Send this to a friend