Kisah Naib Presiden Indonesia yang dikatakan lahir di Chemor, Perak

Jika pada bulan Ogos kita akan menyambut hari kemerdekaan, bulan September juga tak kurang bermakna untuk setiap rakyat Malaysia. Ini kerana, pada 16 September 1963 secara rasminya sebuah negara bernama Malaysia terbentuk hasil gabungan antara Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura (tersingkir pada 1965).

Tapi, usaha Tunku Abdul Rahman ni bukanlah mudah kerana ia ditentang hebat oleh dua negara iaitu Indonesia dan Filipina. Ia juga membuatkan munculnya slogan ‘Ganyang Malaysia’ hasil konfrontasi yang diisytiharkan Indonesia terhadap Malaysia.

“Kalau kita lapar itu biasa. Kalau kita malu itu juga biasa. Namun kalau kita lapar atau malu itu kerana Malaysia, kurang ajar!” – Soekarno. Imej dari Pena Soekarno.

Bagaimanapun, keadaan mula agak berubah selepas kejatuhan Soekarno dan bermulanya Orde Baru di bawah Soeharto pada sekitar tahun 1966. Hubungan antara Kuala Lumpur – Jakarta pun masa tu mula diperdamaikan hasil beberapa rundingan dan pertemuan antara pimpinan negara. Dan antara orang penting yang memainkan peranan itu di Indonesia, tak lain dan tak bukan adalah…

Adam Malik: Tokoh Mandailing yang dikatakan lahir di Chemor, Perak

Adam Malik menjadi antara tokoh Mandailing paling berjaya di Indonesia. Imej dari Arsip Nasional Republik Indonesia.

Di Indonesia, nama Adam Malik cukup tak asing dalam perjalanan sejarah negara itu kerana tokoh ini dah melalui empat zaman iaitu sejak penjajahan Belanda, penjajahan Jepun, pemerintahan Soekarno (orde lama), hinggalah ke pemerintahan Soeharto (orde baru). Beliau juga menjadi salah seorang tokoh politik Mandailing paling berjaya dalam sejarah Indonesia.

Akan tetapi, ada perkara yang menarik tentang tempat di mana sebenarnya Adam Malik dilahirkan. Ini kerana, bapanya – Abdul Malik Batubara sebenarnya berkahwin dengan Salamah Lubis (juga keturunan Mandailing) yang tinggal di Chemor, Perak. Manakala, berdasarkan biografi rasmi Adam Malik, dicatatkan beliau lahir di Pematangsiantar, Sumatera Utara pada 22 Julai 1917.

Bagaimanapun, menurut sepupunyaAdam Malik sebenarnya lahir di Chemor, Perak sebelum dibawa oleh bapanya ke Sumatera Utara.

“…kampung tersebut juga merupakan tempat bermain Allahyarham Tun Adam Malik, bekas Naib Presiden Indonesia semasa kecilnya kerana ibunya, Siti Salamah Deto merupakan anak Chemor.” – Dipetik dari BERNAMA.

Dipetik dari buku Raja Bilah and the Mandailings in Perak, 1875-1911 (Abdur-Razzaq Lubis & Salma Nasution Khoo).

Apa yang pasti, ketika Adam dilahirkan – masa tu masih belum ada lagi negara yang dinamakan sebagai Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Republik Indonesia (1945). Jadinya, tak perlulah perkara ni diperdebatkan secara keterlaluan dan lebih-lebih lagi apabila dua wilayah ini sebahagian dari Alam Melayu.

Menjadi wartawan dan bergiat aktif dalam dunia politik

Dari kiri: Adam Malik, Soeharto dan Soekarno pada tahun 1966. Imej dari aktual.com

Adam Malik memulakan pendidikannya di Hollandsch-Inlandsche School (HIS) Pematangsiantar dan itu dah membuatkannya fasih berbahasa Belanda. Selepas tamat pengajian, Adam memulakan kerjaya sebagai wartawan di Jakarta dan menjadi antara pengasas Kantor Berita Antara (kini Lembaga Kantor Berita Nasional Antara). Ketika itulah beliau semakin bergerak aktif dalam politik.

Beliau juga menjadi anggota Dewan Pimpinan Gerakan Rakyat Indonesia (Gerindo) di Jakarta. Selepas pengunduran Jepun dari Indonesia pada 1945 – Adam dilantik pula sebagai Ketua Komite Nasional Indonesia Pusat (KNIP) yang ditugaskan untuk menyusun pemerintahan negara.

Pada tempoh sama, beliau menubuhkan Partai Rakyat dan Partai Murba serta berjaya menjadi anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) selepas Pilihan Raya 1955. Kerana ketajaman pengetahuannya dalam bidang politik antarabangsa, Presiden Soekarno melantik Adam sebagai Duta Besar ke Kesatuan Soviet dan Poland, selain menjadi Ketua Delegasi Republik Indonesia untuk rundingan wilayah Irian Barat di Amerika Syarikat (AS).

Tapi, antara tugasnya yang terus dikenang sehingga kini adalah apabila beliau menjadi orang penting yang…

Mendamaikan dan menjalinkan kembali hubungan Malaysia – Indonesia

Tunku Abdul Rahman sedang memeriksa senjata yang dirampas dari serangan gerila Indonesia semasa konfrontasi. Imej dari Zamkata.

Menjelang Januari 1963 – Indonesia menjadi salah satu negara di rantau ini yang menentang kuat cadangan pembentukan Malaysia yang diutarakan oleh Tunku Abdul Rahman. Soekarno dalam ucapannya telah mengisytiharkan konfrontasi terhadap pembentukan Malaysia pada 27 Julai 1963.

Hal itu kemudiannya disusuli dengan beberapa serangan yang dilancarkan Indonesia terhadap Malaysia. Bila Malaysia diterima sebagai anggota tidak tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Indonesia mengambil keputusan keluar dari PBB pada 1965 sebagai tanda protes.

Bagaimanapun, keadaan di Indonesia berubah sama sekali pada 30 September 1965 apabila berlakunya peristiwa Gestapo (Gerakan 30 September) yang menyaksikan enam orang jeneral tentera Indonesia maut akibat cubaan Partai Komunis Indonesia (PKI) melakukan rampasan kuasa.

Jeneral Suharto yang terselamat dalam peristiwa tu dah mengambil alih kuasa eksekutif Soekarno pada 11 Mac 1966. Manakala, Soekarno pula dilucutkan jawatan pada 12 Mac 1967 dan dikenakan tahanan rumah.

Soekarno dan Soeharto. Imej dari zamane.id

Selepas itu, Presiden Soeharto mula memperkenalkan pelbagai dasar baru dan ia termasuklah memulihkan kembali hubungan antara Indonesia – Malaysia. Tugas tu kemudiannya diserahkan kepada Adam yang dilantik sebagai Wakil Perdana Menteri II, merangkap Menteri Luar Negeri pada 18 Mac 1966. Apatah lagi bila Adam sendiri mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Malaysia, khususnya negeri Perak.

Usaha ke arah normalisasi hubungan antara dua negara dimulakan dengan rundingan di Bangkok pada 21 Mei hingga 1 Jun 1966. Dalam pertemuan tu, Jakarta diwakili oleh Adam, manakala Kuala Lumpur pula oleh Tun Abdul Razak. Pada 11 Ogos tahun sama, sekali lagi pertemuan diadakan di Bangkok dan tertandatanganlah persetujuan perdamaian antara Malaysia – Indonesia.

Tugas Adam tak habis di situ saja, sebab beliau juga menjadi antara perintis tertubuhnya ASEAN. Pertukaran pimpinan di Indonesia dari Soekarno kepada Soeharto dan Filipinan daripada Macapagal kepada Marcos telah membawa dimensi baru dalam hubungan antara negara-negara Asia Tenggara.

Tun Abdul Razak bersalaman denganAdam Malik di majlis rundingan di Pitsanuloke Guest House, Bangkok pada 31 Mei 1966. Imej dari Berita Harian.

Hal ini termasuklah, usaha bagi mewujudkan satu penyatuan kerjasama serantau antara negara-negara Asia Tenggara. Maka tertubuhlah Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di antara Malaysia, Indonesia, Filipina,  Thailand dan Singapura.

“Dalam satu pertemuan di Bangkok, menteri luar negara-negara ini menandatangani Deklarasi ASEAN atau disebut Deklarasi Bangkok pada 8 Ogos 1967 menandakan rasmilah penubuhan ASEAN.

___

Kelima-lima menteri luar tersebut ialah Adam Malik dari Indonesia, Tun Abdul Razak dari Malaysia, S. Rajaratnam dari Singapura, Thanat Koman dari Thailand dan Narcisco Ramos dari Filipina.” – Dipetik dari jurnal terbitan UKM.

Masih melawat kampung halamannya, walaupun setelah menjadi Naib Presiden Indonesia

Adam Malik sewaktu menjadi Presiden ke-26 Persidangan PBB pada 1971. Imej dari Civitasbook.

Adam Malik juga bertanggungjawab menjadi orang penting mengembalikan Indonesia sebagai anggota PBB, dan malah dilantik sebagai Presiden ke-26 Persidangan PBB pada 1971. Kemuncak kerjaya pentadbiran Adam adalah sebagai Naib Presiden Indonesia pada 1978 menggantikan penyandang sebelumnya, Sri Sultan Hamengku Buwono IX yang mengundurkan diri.

Adam mencatatkan perjalanan kerjaya yang unik iaitu dari seorang wartawan ke diplomat, menteri, sehinggalah Naib Presiden. Menurut Soeharto, di antara ramai Naib Presidennya, Adam lah antara yang paling unik dan kadang-kadang membuatkannya pening dengan tindak tanduknya.

“…tidak ada maksud padanya untuk mempersulit keadaan, tetapi statement-nya itu menyulitkan, artinya, tidak serasi dengan kebijaksanaan pemerintah. Padahal ia berada di dalamnya.” – Kata Soeharto dalam autobiografinya. Dipetik dari tirto.id

Chemor terletak dalam kawasan Hulu Kinta, Perak. Imej dari Orang Perak.

Adam menjawat jawatan itu sehingga 1983, sebelum diganti oleh Umar Wirahadikusumah. Diceritakan, walaupun menjawat jawatan tinggi di Indonesia, Adam tak pernah melupakan kampung halamannya dan tetap melawat kampung ibunya di Chemor, Perak.

“Walaupun menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan Indonesia, Adam setiap kali datang ke Malaysia kerana tugas akan mencuri masa untuk menziarah kaum keluarganya di kampung ini (Kampung Batu 9, Chemor, Perak).” – Rosli Nasution, Persatuan Halak Mandailing Malaysia. Dipetik dari BERNAMA.

Bagaimanapun, tokoh ASEAN ini menghembuskan nafas terakhirnya pada 5 September 1984 akibat kanser yang dihidapinya. Jenazah beliau dikebumikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata sebagai seorang negarawan. Beliau juga dianugerahkan Seri Maharaja Mangku Negara oleh kerajaan Malaysia yang membawa gelaran Tun.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.