Kisah MP PAS yang berpantun lepas dipecat sebab berjoget di Parlimen

UPDATE 20/1/18: Tersebar video Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum serta beberapa peguam menari di suatu majlis Gala Dinner. Video ni mendapat kritikan ramai pihak kerana para pengamal undang-undang mempunyai etikanya tersendiri. Ada juga NGO yang mencadangkan Tommy Thomas melepaskan jawatan kerana memburukkan imej badan perundangan. Ini mengingatkan SOSCILI kisah pasal ahli parlimen yang dipecat kerana menari. Sambung baca artikel penuh kat sini.


MP PAS berpantun lepas dipecat parti, sebab berjoget kat Parlimen

Ini cerita yang agak rare sikit. Sebab jarang kita dengar pemimpin PAS terpalit dengan kontroversi berjoget dan menari ni. Tapi itulah apa yang jadi kat seorang MP PAS pada awal tahun 1970-an dulu. Orang yang dimaksudkan tu adalah Hashim Gera, ahli Parlimen Parit yang terkenal sebagai seorang yang pandai berpantun.

Dalam satu majlis kat bangunan Parlimen, Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Pertama) ada mencabar Hashim untuk berjoget. Bila jadi macam tu, Hashim pun dengan berani sahut cabaran Tunku tu dan berjogetlah dia.

Tunku pernah kata yang beliau Perdana Mentari paling gembira. Imej dari zamkata.

Tapi malangnya, gambar Hashim berjoget tu dah keluar kat surat khabar dan buatkan ramai orang PAS terkejut beruk. Sampaikan Jawatankuasa Tatatertib PAS buat mesyuarat tergempar.

“Di depan Jawatankuasa Disiplin, Hashim memberitahu ulama PAS, joget adalah tarian bersih. “Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget) itu lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.

Tapi nampaknya alasan Hashim tu tak diterima dan PAS ambil keputusan untuk gantung keahlian Hashim. Menurut Zainuddin Maidin (atau Zam) yang juga bekas Editor Utusan, Hashim tak rasa apa yang dia buat tu salah, sebab baginya berjoget tak salah dalam budaya Melayu dan agama Islam.

Gambar Hashim yang masuk surat khabar. Imej dari zamkata.

Hashim lepas tu pun berpantun dan pantun tu disiarkan kat Utusan Melayu pada 24 Februari 1971.

Naik rakit di dalam paya
Patah galah di air dalam;
Menari joget hobi saya
Tidak haram di sisi Islam

Ni haram ke tak? Imej dari Giphy.

Pemangku Presiden PAS masa tu, Datuk Asri Muda ada kata yang penggantungan Hashim tu cuma ‘sementara’ sebab dia dah langgar disiplin parti. Hashim jugak masa tu berjanji yang dia tak akan berjoget secara terang-terangan lagi. Tapi, pada bulan Mei 1972, Hashim dah dipecat terus dari PAS.

Maka berpantunlah lagi Hashim:

Pagi-pagi turun ke telaga
Ramai bercampur teruna dara;
Hashim Gera empunya cerita
Sebab berjoget PAS mendera

Berebut-rebut pula tali timba
Dalam pandangan seperti berlaga;
Kalau betul demikian ada
Perjuangan kebangsaan PAS berpura-pura

Sayang Che Man pergi memukat
Cincin intan pakai di jari;
Ahli Parlimen bukan Malaikat
Apa salah dia menari?

Pantun dari perwakilan PKR kepada PAS. Klik sini kalau nak baca.
Bila bercakap pasal berbalas pantun, banyak je kes ahli poltik salang berbalas pantun dalam arena politik Malaysia. Jom kita tengok satu persatu.

1. Pantun pedas Najib kepada Dr Mahathir dapat perhatian seniman dan bekas editor surat khabar

Sungguhpun di negeri Selangor terjumpa baldi
kes denggi tertinggi di Darul Ehsan tetap kita perangi;
Biarlah pemimpin itu bawa hati ke Pulau Langkawi
Namun yang paling penting Pak Lah tetap setia kekal di sisi

Kat awal tadi, korang dah baca pantun bekas PM Najib yang perli Dr Mahathir suatu ketika dahulu. Bak kata orang, bila pantun dah dijual, maka bersedialah untuk dibeli. Jadi siapa yang sanggup membeli? Orang tu adalah penyair, penulis dan seniman –  Pyanhabib.

Siapa masih ingat dengan Osman Tikus? Imej dari The Malaysian Insight.

Tapi sebelum Pyanhabib jawab pantun Najib tu, dia ada kritik sikit, sebab katanya pantun tu lintang pukang. Jadinya, Pyanhabib pun kata dia beli pantun Najib tu dengan cara lintang pukang jugak:

Raya lima tahun sekali rebut kerusi almari pun tiba
Segala busuk segala pekung perangai terdedah dah;
Yang bawa hati ke Langkawi hanyalah seorang tua
Kamu dok gelabah tidak cukup tanah apa kejadah?

Itulah jawapan Pyanhabib dari pantun pedas Najib kepada Dr Mahathir. Selain dia, pantun Najib tu pun dapat perhatian Uthaya Sankar SB – seorang penulis terkenal Malaysia.

Kalau korang yang rasa berminat tu, pun boleh pergi. Imej dari FB Uthaya Sankar SB.

Kalau Pyanhabib jawab dengan pantun dan Uthaya ajak bekas PM Najib pergi bengkel penulisan pantun, tapi lain pulak dengan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu – Zainuddin Maidin (atau Zam). Dalam reaksinya, Zam kata yang Najib boleh naik jadi PM pun sebab dia tak setia dengan Pak Lah.

https://twitter.com/ZainudinMaidin/status/988626763746979841

Sama ada dakwaan tu betul atau tak, korang nilailah sendiri. Kitorang tak nak ulas banyak sebab kitorang nak fokus lebih pasal pantun-berpantun ni. Sebabnya, sebelum ni banyak juga PM Najib berbalas pantun contohnya macam…

2. Najib beli pantun Anwar dan A Samad Said beli pantun Najib

Beberapa tahun lepas, bekas PM Najib dan isteri ada melawat Ketua Umum PKR – Anwar Ibrahim yang masuk hospital sebab buat satu pembedahan. Selain dari berterima kasih kat Najib sebab sudi melawat, Anwar juga lepas tu bagi pantun yang agak macam memerli Najib.

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu layuan;
Ziarah kami antara nampak
Esok pilihanraya lawan tetap lawan!

Najib pun beli pantun Anwar ni masa berucap kat Perhimpunan Agung UMNO. Bunyinya:

Burung merpati terbang sekawan
Hinggap seekor di atas dahan;
Kita sahut ‘lawan tetap lawan’
Di pilihanraya bertarunglah seperti anak jantan!

Masa kat Parlimen lepas PRU-13 dulu. Imej dari dinmerican.wordpress

Selain berbalas pantun dengan Anwar, nampaknya bekas PM Najib juga berbalas pantun dengan Sasterawan Negara, Pak Samad. Perkara tu mula bila Najib buat pantun pasal BR1M:

Imej dari @NajibRazak

Tak lama lepas tu, pantun ni dijawab oleh Pak Samad. Jawab Pak Samad…

Imej dari @asamadsaid

Walaupun nampak macam perli, tapi ni juga satu penghargaan sebenarnya. Ye lah, berapa ramai je yang pantun diorang dapat perhatian Sasterawan Negara?

Walaupun macam tu, berbalas pantun ni tak terhad kepada bekas PM Najib je. Sebabnya, ada juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen (MP) bagi pantun sampai kecoh dewan.

3. Sebab guna perkataan “anak Cina”, wakil rakyat diminta keluar dewan

Hal ni jadi kat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada bulan November tahun lepas, bila wakil rakyat DUN Bukit Permai – Ali Mazat Salleh (BN) dituduh keluarkan kenyataan berbaur perkauman. Semuanya jadi bila pantun Ali ada perkataan “anak Cina”.

Anak Cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati;
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati 

Sebenarnya, pantun ni digubah dari filem klasik – Gurindam Jiwa (1965) lakonan Nordin Ahmad dan Latifah Omar. Tapi nampaknya, pantun ni dapat reaksi negatif dari beberapa ADUN berbangsa Cina. Antaranya macam ADUN DAP Yeo Tung Siong (Pekan Nanas) yang minta supaya Ali dihalau keluar dari dewan.

Imej dari muziknusantara (Youtube Channel).

Bila keadaan jadi makin kecoh, Ali akhirnya buat keputusan untuk tukar ayat “anak Cina” tu kepada “anak Ali”. Bila buat macam tu, barulah dewan tenang balik.

Dekat parlimen pun tak terlepas dari pantun berpantun ni. Siapa tak kenal dengan Bung Mokhtar, MP BN dari kawasan Kinabatangan, Sabah. Hal ni jadi pada bulan Mac lepas bila Parlimen berbahas pasal Akta Anti-berita palsu.

Macam biasa, jadilah pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dengan pembangkang. Dalam kekecohan tu, Bung Mokhtar sempat berpantun yang berbunyi:

Apa diharap padi seberang
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap parti pembangkang
Banyak bohong lagi temberang

Imej dari gifgifs.com

Tapi tak ada laporan pulak, kalau ada sesiapa yang balas pantun Bung ni. Apa yang pasti, banyak juga MP-MP yang berpantun dalam Parlimen. Korang boleh tengok kat sini.

4. David Teo tak sempat habiskan pantun dah kena tampar

Mungkin kita semua masih ingat dengan peristiwa penerbit filem terkenal – David Teo ditampar kat satu majlis, depan Perdana Menteri. Hal ni jadi bila David nak tanya soalan tapi dia tak diendahkan oleh moderator (Rosyam Noor). Lepas beberapa kali cuba, akhirnya dia dapat juga tanya soalan kat PM yang dimulakan dengan pantun.

“Sekali itu ombak sampai ke pantai,
lalu pantai itu…,”

PANG!!! Tiba-tiba dia kena tampar dengan pelakon senior – Mat Over. Lepas tu kecohlah majlis sampai terpaksa dihentikan seketika. Akhirnya, keadaan jadi tenang bila dua-dua orang tu berdamai. Tapi tak lama lepas tu, David upload video untuk habiskan pantun dua kerat dia tu:

“Sekali itu ombak sampai ke pantai,
PM jemput saya datang bersantai”

Lepas kes tu, David ada kata yang dia tak ada niat nak buat kacau dan suaranya memang kuat macam tu. Dalam masa sama, Mat Over pulak kata yang tak menyesal dengan tindakannya tampar David dan kata tu cara nak ajar David supaya beradab.

Sebenarnya, jarang kita dengar orang bukan Melayu berpantun dan berpuisi ni. Tapi kalau korang nak tahu, salah seorang bekas Ahli Parlimen DAP – Dr Tan Seng Giaw selalu berpantun. Malah pantunnya tu ditulis dalam tulisan jawi!

Dr Tan jadi MP Kepong selama 36 tahun. Imej dari Malay Mail Online.

Pada tahun lepas dah jadi satu kejadian tanah runtuh kat Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mengorbankan 11 nyawa. Dr Tan yang sedih dengan hal ni, dah buat satu pantun yang melahirkan rasa kecewanya.

Ibu jaga anak kan sakit
Darah tubuh beban kesihatan;
Pemaju bina leretan bukit
Tanah runtuh korban insan

Ada juga yang kata pantun ni satu kritikan terhadap kerajaan Pulau Pinang, pimpinan Lim Guan Eng. Malah sebelum tu, Dr Tan dah pun kritik kerajaan Pulau Pinang dengan kata kawasan Balik Pulau sekarang ni kurang kawasan hijau. Sengketa ni nampaknya berpanjangan, apabila untuk PRU-14 ni, nama Dr Tan digugurkan sebagai calon DAP di Kepong.

Pantun Dr Tan dalam tulisan jawi. Siapa boleh baca? Imej dari FB Tan Seng Giaw.

Pantu sebagai kritikan sosial dan penyemarak kebangkitan bangsa

Seperti mana yang kita tahu, pantun adalah warisan turun-temurun Melayu yang dicipta dengan tujuan untuk menyampaikan nasihat, sindiran, gurauan dan juga luahan perasaan. Tapi disebabkan sekarang ni kita semakin dihambat dengan arus pemodenan, maka nasib pantun hanya ada kat majlis-majlis rasmi dan pengajaran sastera.

Walaupun begitu, dari apa yang kita baca tadi, nampaknya pantun masih lagi diterima dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Kita juga mungkin lupa yang pantun juga adalah salah satu penegak semangat bangsa. Masihkah kita ingat dengan laungan pusaka Dr Burhanuddin al-Helmy yang menyalakan api semangat kemerdekaan?

Di atas runtuhan kota Melaka
Kita bangunkan jiwa merdeka;
Bersatulah Melayu seluruh baka
Membela hak keadilan pusaka

Pejuang bangsa: Ishak Hj Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanuddin & Ahmad Boestamam. Imej dari Aliran.

Adakah kita tahu dengan pantun moden Sasterawan Negara Tongkat Warrant (Usman Awang) yang tajam lagi sinis bunyinya?

Pisang emas dibawa belayar
Masak sesikat di atas peti;
Hutang emas tidak terbayar
Wang Rakyat dibawa lari

Siakap Senohong
Gelama ikan duri;
Bercakap bohong
Bolehkah jadi menteri?

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.