Helmet je dekat RM1,000? Ini anggaran kena ada kalau nak join geng basikal ‘kayangan’

Sukan berbasikal sekarang makin hari makin popular, itu membuatkan ramai orang tak kira muda atau tua ingin menceburi sukan ini. Kita boleh melihat evolusi basikal itu sendiri dari basikal tua yang pakcik-makcik pakai zaman dulu hingga lah ke basikal seberat 6-kilogram je.

Sejak habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama hari tu, sukan ini semakin diminati oleh rakyat Malaysia. Jadi, apa je yang korang perlu tahu sebelum mula menceburi aktiviti berbasikal ni? Kalau korang nak tahu, teruskan membaca.

Tetapkan niat yang betul sebelum berbasikal

Program Sunday Family Ride (SFR). Imej dari Harian Metro

Pertama sekali, kepada korang yang betul nak sertai aktiviti berbasikal ni kena tetapkan dulu niat. Sebab apa tau, zaman sekarang ni ramai yang nak main basikal hanya sebab nak ikut trend je dan bukan disebabkan minat yang mendalam dalam sukan ni.

Kalau korang nak tahu, terlalu banyak insiden-insiden teruk yang telah terjadi melibatkan penunggang basikal. Nak tahu insiden apa? Boleh baca kat bawah tu nanti.

Berbalik kepada niat tu tadi, korang haruslah mempunyai minat yang mendalam dalam sukan ni supaya senang korang nak jadi ‘pro’ dalam aktiviti macam ni. Kalau mengikut pendapat netizen, orang yang main basikal ikut trend ni la punca berlakunya benda-benda yang tidak diingini sampaikan nama orang yang dah lama main basikal busuk juga. Siapa makan cili dia terasa pedasnya lah kan.

Tapi kalau nak ikut trend pun tak salah, dari situ juga korang boleh build up minat tu kan. Minat je tak boleh juga, korang kena juga tahu untuk bawa basikal tu dengan bagus. Kalau tak reti bawa basikal tak payah lah gatal-gatal nak main basikal tu.

Ada macam-macam jenis basikal yang korang kena tahu

Galeri basikal di USJ CYCLES. Imej dari Trippify

Perkara penting yang korang kena tahu adalah jenis basikal apa yang korang nak beli tu. Terdapat pelbagai jenis basikal yang ada kat pasaran sekarang ni yang korang boleh beli mengikut kesesuaian aktiviti berbasikal yang korang nak.

Sebagai contoh, korang beli basikal ni untuk riadah ke, hobi ke, atau memang untuk korang fokus dalam bersukan. Sebab, setiap jenis basikal ada kelebihan dan kekurangannya dan disebabkan itu juga korang kena lah pilih betul-betul mengikut kesesuaian penggunaan korang tu.

Jenis-jenis basikal. Imej dari Atlanta Pro Bicycle

Basikal yang pertama adalah Mountain Bike, sebuah basikal yang selalu dibeli oleh ibu bapa kepada anak mereka kerana ia boleh didapati dengan harga yang agak murah. Kalau mengikut namanya je, biasanya Mountain Bike ini digunakan untuk ‘offroad’ atau jalan yang tidak sekata disebabkan rekaannya yang memfokuskan ke arah situ.

Yang kedua adalah Road Bike atau Racing Bike, basikal yang ni agak mahal sebab ni jenis basikal yang selalu ada dekat trek velodrom tu. Ia memang direka khas untuk kayuhan pantas disebabkan bentuknya yang aerodinamik dan bingkai badannya yang ringan. Tetapi, basikal ni amat mahal yang pasti akan buatkan korang berfikir dua ke tiga kali sebelum beli.

Ketiga adalah Folding Bike, sebuah basikal yang sesuai untuk seisi keluarga kerana ia memfokuskan aktiviti riadah dan ia juga sesuai untuk budak kecil. Yang keempat adalah Fat Bike, basikal yang mempunyai tayar yang besar seakan-akan motorsikal. Fat Bike kira macam ramai beli untuk nampak ‘style’ dan juga untuk sukan basikal lasak, kalau korang bawa basikal tayar besar macam tu mesti orang tengok punya.

Yang kelima adalah Touring Bike, ingat motorsikal je ada touring? Basikal pun ada. Touring Bike ni senang cerita untuk perjalanan jauh. Kira kalau korang beli basikal ni, ia sesuai untuk korang yang suka mengembara secara ekstrem dengan hanya menggunakan basikal sahaja. Yang terakhir adalah Hybrid Bike, sebuah basikal yang dicampur aduk teknologinya supaya pembeli mendapat semua manfaat dalam sebuah basikal sahaja.

Basikal ‘entry level’ pun boleh sampai ribuan ringgit

Polygon Cascade 3. Imej dari Orbit Cycle

Sebenarnya, banyak benda yang korang kena tahu sebelum menjadikan aktiviti berbasikal ni sebagai hobi korang. Seperti ‘frame’ atau bingkai badan basikal adalah antara komponen penting, korang memerlukan bingkai badan basikal yang bagus untuk memberi korang keselesaan semasa berbasikal.

Terdapat pelbagai pilihan yang korang boleh pilih, ada yang dah siap pasang semua sekali dan ada yang jual bingkai je. Tetapi, kebanyakan kedai sekarang terus jual sekali ‘full set’ basikal dan terus beri harga mereka.

Mengikut kitorang punya kajian, harga basikal baharu dan bagus yang paling murah korang boleh dapat dekat internet adalah Polygon Cascade 3 dengan tanda harga RM1,090. Ye, entry level punya harga pun dah ribu-riban tapi tu basikal full set dengan harga yang paling murah setakat ni.

Tapi kalau nak ‘advance’ sikit, boleh tengok yang lain macam basikal Scott Foil RC 2017, cuma dia agak mahal sikit sebab harga dia untuk full set dalam RM33,999 je. Kalau betul minat apa salahnya kan, tapi baik beli kereta dah kalau harga basikal pun saing-saing Proton Saga Full Spec.

Jangan terkejut aksesori aktiviti berbasikal kadang-kadang boleh sampai beribu juga

Aksesori keselamatan basikal. Imej dari Blogspot

Walaupun setakat main basikal, risiko untuk mendapat kecederaan tu tetap ada. Ada empat benda penting yang korang kena sediakan bagi mengurangkan risiko kecederaan, sekaligus meningkatkan keselamatan korang sebelum memulakan kayuhan.

Benda yang pertama adalah helmet, helmet (purata harga, dari RM109 hingga RM981) ni antara yang paling penting sekali sebab kalau korang jatuh semasa mengayuh tu paling-paling kepala korang tak ada la terdedah sangat. Helmet boleh lindung kepala kita ni dari pelbagai kemungkinan kecederaan, dalam pada masa yang sama boleh elakkan konkusi atau pendarahan otak yang ada risiko kematian.

Yang kedua pula adalah sarung tangan, kalau boleh cari sarung tangan (purata harga, dari RM95 hingga RM240) yang bagus sikit sebab kalau terjadinya ‘worst case scenario’ pun tangan tu tak ada calar-calar sangat. Ketiga adalah baju dan seluar yang bersesuaian (purata harga, dari RM75 hingga RM500).Boleh je kalau nak pakai baju biasa tapi tak berapa sesuai la sebab nak main basikal ni kena pentingkan keselesaan, kalau bawa basikal pun tak selesa macam mana nak peka dengan keadaan sekeliling kan.

Yang terakhir adalah lampu basikal atau pun ‘blinker’ (purata harga, dari RM50 hingga RM250), benda ni penting bagi mereka yang nak mengayuh malam-malam sebab ia memudahkan pengguna jalanraya yang lain untuk nampak korang. Ada juga aksesori lain yang boleh dibeli seperti cermin mata khas untuk berbasikal, tapi harga dia memang agak kurang ajar sebab boleh pergi sampai RM828 tu tapi ada je yang murah sekitar RM39.

Jadinya, untuk yang baru nak berkecimpung ni korang kena at least ada RM1,500 dalam poket. Itu pun, barang-barang gred bawah je la yang korang dapat.

Banyak masalah ‘attitude’ mereka sekarang ni viral di media sosial

Masalah ‘attitude’ penunggang basikal. Imej dari 9Gag

Sudah pasti, benda yang korang kena pentingkan adalah keselamatan. Pihak berkuasa pun berkeras supaya semua orang yang berbasikal untuk mematuhi segala peraturan lalu lintas dan sentiasa mengutamakan keselamatan.

Yang dimaksudkan dengan attitude tu adalah dimana sudah banyak tular video dan cerita tentang orang yang berbasikal ni seperti membuat jalanraya tu macam jalan bapak dorang sendiri. Ada juga yang sampai bawa basikal masuk kedai makan sebab takut basikal hilang, ada juga kes yang bawa basikal tengah-tengah jalanraya besar dan yang main masuk je simpang tanpa tengok kiri dan kanan pun ada.

Bawa masuk basikal ke dalam restoran. Imej dari Twitter

Kalau mengikut pandangan netizen, korang perlu betulkan dulu attitude semasa berbasikal dan perhalusi juga peraturan lalu lintas, paling-paling pun tengok lah kiri kanan dan bagi keutamaan kat kereta dan motor dulu. Setakat ni, dah ada banyak kemalangan yang melibatkan penunggang basikal sampaikan melibatkan kematian (56 maut) sejak Januari 2020.

Keluhan netizen berkenaan penunggang basikal. Imej dari Twitter

Perkara macam ni boleh dielakkan apabila semua orang tahu dan arif tentang batas berbasikal dan juga lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang patut. Kalau degil sangat, hadap je la pihak berkuasa sebab korang boleh didakwa di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 jika bawa secara melulu dan merbahaya dan boleh didenda tidak kurang RM200 dan tidak lebih RM2,000.

Baru korang tahu langit tu tinggi ke rendah, tapi tak kisah pun sebab kalau dah boleh beli basikal mahal-mahal takkan lah tak boleh bayar denda banyak tu kan.

“Berbasikal untuk kesihatan bukan trend, keselamatan diri di atas jalan raya itu adalah perkara paling penting dalam sukan basikal. Tak kisah basikal mahal atau pun murah, kalau kita tahu jaga keselamatan diri dan ikut undang-undang jalanraya maka sukan berbasikal ini tidak akan dipandang enteng lagi oleh masyarakat,” – Alyzack Daniel, Recreational Cyclist, katanya kepada Soscili

Cari ilmu dahulu sebelum memulakan aktiviti berbasikal, ini juga untuk keselamatan semua

Berfikir dulu sebelum berbasikal. Imej dari Julinse

Sebelum korang bercadang nak mengayuh tu, perbaiki dahulu attitude korang sebagai penunggang basikal. Kita berbasikal ni untuk ‘exercise’, bukan untuk menunjuk-nunjuk atau ikut trend semata mata.

Terdapat pelbagai ilmu yang korang boleh selami dahulu sebelum memulakan aktiviti kayuhan korang tu, pengetahuan tentang lalu lintas pun perlu ada.

Peraturan lalu lintas. Imej dari Prosains

“Sebelum kita bercakap mengenai penguatkuasaan undang-undang, kita kena fokus kepada pendidikan penggunaan jalan raya yang lebih baik kepada semua pemandu dan penunggang kenderaan. Kebanyakan penunggang yang baharu ini tidak berkayuh dengan kumpulan yang berpengalaman. Jadi mereka tak dapat pengalaman dan nasihat yang diperlukan,” – Akmal Azfar, Timbalan Pengerusi Malaysia Mesra Basikal, dipetik dari Sinar Harian

Senang cerita, berbasikal ni memang best tapi kalau mengancam nyawa pun tak best juga kan. Kekal selamat, kita jaga kita.