4 sebab kenapa Proton Wira paling kerap kena curi kat Malaysia

(Click here to read the article in English.)

Menurut The Star, Malaysia adalah negara ke-6 tertinggi dunia dalam kes curi kereta! Kejap eh, kami nak pergi check kereta kat parking tu dah kunci ke belum. Berdasarkan CEO Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Mark Lim, secara purata 60 biji kereta kena curi dalam masa sehari! Insurans yang dituntun pada pertengahan tahun ni je dah mencapai RM4.2 billion (atau RM 13.2 juta sehari).

Agak-agaknya la kan, kereta mana kat Malaysia yang perompak paling suka?

[socialpoll id=”2388930″ path=”/polls/2388930″ width=”500″]

Jawapannya… Proton Wira! Tahun lepas je 1,214 bijik kena curi!

Tempat kedua pula dimenangi oleh Toyota Hilux diikuti dengan Proton Iswara. Kebetulan Toyota Hilux ni adalah kereta yang paling kena curi kat Thailand. Bila kami usha forum Lowyat pula, ramai yang teka kereta Myvi, Saga, Wira, Hilux, dan apa-apa model Toyota. Apa pun, ini senarai top 10 kereta yang selalu kena curi di Malaysia pada tahun 2014 dan 2015:

list kereta
Kalau korang nak beli kereta, mungkin boleh perhatikan list ni dulu kot. Gambar dari thestar.com

Tapi kan.. antara banyak-banyak kereta, asal Proton Wira juga yang selalu kena curi? Kami tanya kepada yang pakar (disebabkan isu privacy kami akan sorokkan identiti dan panggil dia Michael Schumacher) untuk menjawab isu ni.

1. Kereta Wira sangat mudah nak pecah masuk

Gambar dari carinsuranceav.com

Walaupun Proton dah tak buat Wira sejak 2009, tapi sampai sekarang pun masih lagi model yang paling banyak kena curi, malah dia mengungguli title “kereta paling banyak kena curi” sejak 2005 lagi! Michael Schumacher kata senang gila nak buka kunci daripada luar sebab model lama dari tahun 90-an ada kunci jenis yang turun naik tu.

“Apa yang korang kena buat adalah, cabut getah yang kat luar tingkap kereta tu, pastu ambil besi yang boleh selit kat dalam tingap dan jolok sambil tarik kat kawasan tu sampailah kunci buka” – Michael Schumacher kepada SOSCILI

Okay, kami bukan nak ajar korang untuk pecah masuk kereta tapi tekniknya lebih kurang macam tu lah. Lagipun dag banyak website dan video yang bagitau macam mana pecah masuk kereta macam ni.

Jangan cuba di rumah. Gambar dari wikihow.com.

Cara ni boleh digunakkan kat kunci lama je, tapi jenis kunci sisi yang baru tu tak boleh.

Gambar dari wired.com dan yourmechanic.com

Tapi alarm kereta mesti bunyi kan? Ye, tapi biasanya pencuri akan matikan alarm melalui fuse box kereta yang terletak samada kat bawah steering atau pun kat area enjin.

2. Proton Wira ni senang nak jumpa sebab ia model kedua paling laku di Malaysia

Imej dari mudah.my

Sejak pertubuhan Proton pada tahun 1985 sampailah 2013, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri melaporkan sebanyak 3.6 juta unit kereta telah di jual oleh Proton. Model yang paling laku adalah Saga Iswara dengan sebanyak 1.1 juta unit terjual, diikuti dengan Proton Wira iaitu 952,216 unit, dan Proton Perdana dengan 77,000 unit (yang ni termasuk jualan antarabangsa sekali tau).

Tapi kalau Saga Iswara lagi laku, kenapa bukan model tu lagi banyak kena curi?

3. Sebab orang nak spare part Proton Wira

Yes! Barang baik ni.. Gambar dari oldjapanesecar.proboards.com

Korang mesti tau perasaan buka durian macam mana kan? Lagi-lagi kalau dapat biji dia yang cantik, fuhh… Mungkin itulahperasaan pencuri bila dapat rembat kereta Wira. Berdasarkan Michael Schumacher dan pihak polis, demand untuk spare part kereta Wira ni sangatlah tinggi.

“Takat ni banyak lagi kereta Wira yang masih boleh digunakan, tapi bila lama-kelamaan kereta tu mula rosak dan kat situ lah demand barang spare part wujud” – Michael Schumacher

Lagi satu sebab yang Michael Schumacher bagitau adalah, harga spare part yang original adalah mahal walaupun ia merupakan model kereta yang lama. Sebab tu demand spare part kereta ni tinggi kat kedai potong lagi-lagi kalau harga dia jauh lagi murah.

Salah satu sumber kedai potong ni berkemungkinan datang dari kereta panas/kereta curi. Michael Schumacher bagitau yang kita tak boleh tau sebab barang-barang tu takde nombor siri. Kalau chassis kereta atau enjin ada lah nombor siri tapi selain dari tu tak ada.

Malah Malay Mail pernah melaporkan yang kes kereta Myvi melonjak naik dipercayai atas alasan yang sama. Terutama sekali airbag sebab yang original harga lebihi kurang RM5000 manakala pasaran gelap punya boleh dapat serendah RM1000.

4. Orang selalu guna kereta Wira untuk buat jenayah

Mungkin ni konsep kereta lembu yang baru? Gambar dari says.com

Pihak polis pernah kata yang orang akan curi kereta Wira untuk melakukan jenayah. Sebab kereta ni biasa sangat, susah nak cam. Kalau kena kejar polis pun boleh pergi masuk highway, terus sebati dengan trafik.

Kat kawasan macam Zenith Residence, Kelana Square, dan Parklane Commercial Hub (kawasan ofis kami) pernah bersepah-sepah dengan kereta kosong. Ada yang tayar pancit, tingkap pecah, dah jadi jamban burung pun ada – dan orang kat sini percaya tu adalah kereta-kereta curi yang telah digunakan dalam kes jenayah dan kemudiannya dibuang kat situ. Kami nak letak gambar kereta-kereta tersebut tapi dah kena tarik dengan pihak berkuasa..

Antara kes yang kami jumpa adalah orang yang post kat MalaysiaCrime.com sebab Wira mereka kena curi, lepas tu ada yang bagi warning pasal Wira yang mencurigakan, serta kes rompakan menggunakan Wira. Ada jugak kes polis kejar kereta Wira yang bawak syabu.

Paling kelakar sekali, ada perompak yang guna Wira untuk sumpat empat ekor lembu! Zalim sungguh…:

Walaupun pihak polis sedang membanteras kes curi kereta, tak semestinya kita boleh leka

Mana satu curik pun tak tau. Gambar dari sinarharian.com.my

Pihak polis ada menjalankan Ops Lejang yang memang khas untuk menangani kes curi kereta ni. Apa yang mereka buat adalah meninjau kereta yang mencurigakan, atau budak-budak yang merayau dengan motor, bengkel haram, dan sebagainya. Kadang-kadang tu pihak polis berjaya hidu sindiket yang besar melalui kes-kes rompakan yang kecil.

Tapi apa-apa hal pun, pihak polis masih memerlukan kerjasama masyarakat sekeliling. Apa boleh kita buat? Dengan menjadi lebih berhati-hati!

“Zaman sekarang ni banyak alat pengesan yang mudah untuk didapati. Ia bukan sahaja untuk mengesan kenderaan yang dicuri tapi untuk tangkap penjenayah juga” – Chee Chang Wan, Ketua Statsitik Bukit Aman

Kalau tak tau mana nak cari, korang Google je ‘pengesan kereta‘, bersepah results. Tak pun korang cari kat Lazada atau Mudah. Ada yang semurah RM80 sampailah yang high end punya. Tak cukup dengan tracker, korang boleh letak car immobiliser (benda tu akan matikan enjin melainkan ada kunci yang betul), dan of course korang boleh beli:

Ni bukan alat memukul ye, ni alat kunci steering kereta. Gambar dari ecvv.com

Secara amnya, macam biasalah pastikan kereta korang berkunci, alarm berfungsi, jangan park kat tempat pelik-pelik (berasingan), dan ada satu cadangan kat PaulTan.org suruh letak amaran anjing kat kereta haha. Tapi kalau still takut juga, buat macam Mr.Bean ni hahaha

Sedutan dari salah satu episod Mr Bean, punyalah paranoid orang curi kereta dia sampai cabut steering. Gambar dari youtube.com
About Adly Kiddy 83 Articles
Layari Spotify atau Apple Music dan dengar lagu Selesta - Resistance