- 187Share sekarang!
- Email16
- Facebook171
- Share
(This article has been translated from our sister’s site, Cilisos)
UPDATE 12/10/2018: Kerajaan berhasrat untuk memansuhkan hukuman gantung yang sedia ada sekarang ni dengan hukuman penjara seumur hidup. Kertas kerja ni berada di fasa akhir dan Jabatan Peguam Negara bagitahu ia akan dibentangkan dalam sidang dewan rakyat bermula 15 Oktober.
Namun, pemansuhan ini perlu kajian mendalam untuk meneliti kesannya kepada penjenayah yang dah disabitkan untuk menerima hukuman gantung dan keluarga mangsa. Untuk jenayah dadah, mungkin berbeza kerana mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau sebaliknya. Tapi, korang tahu tak adanya beratus-ratus tahanan yang mati bukan sebab hukuman gantung ni?
Pada April 2017, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) terkejut bila dapat tahu tentang kematian lebih daripada 600 tahanan penjara yang terjadi sejak dua tahun lepas, iaitu pada 2015-2016. Daripada jumlah ni, 521 kematian yang berlaku adalah dalam penjara, 100 kematian di pusat tahanan imigresen, dan 12 lagi dalam lokap polis. Daripada jumlah tu, 118 adalah warga asing (pekerja, pelarian dan pencari suaka), yang kebanyakannya dari Myanmar.
Kalau ada 600 tahanan penjara yang mati dalam dua tahun ni, maknanya ada sorang tahanan penjara mati setiap hari. Apa sebenarnya yang berlaku ni? Punca kematian tu ada kaitan dengan pihak polis ke?
Sebenarnya, punca kematian tahanan penjara adalah disebabkan penyakit
Menurut SUHAKAM, setakat dua tahun ni je, sebab utama kematian tahanan adalah disebabkan PENYAKIT. Penyakit apa? HIV, kanser, masalah jantung, masalah darah, asma, dan juga batuk kering, dedah Zahid Hamidi di Parlimen.
Perkara ni bukanlah sesuatu yang mengejutkan sebab penjara adalah tempat yang kotor dan sangat sesak, menyebabkan penyakit berjangkit macam tuberculosis (TB) cepat merebak dan makin meningkat. Tapi, lokap la salah satu tempat yang cepat merebak. Sebabnya, tahanan cuma ditahan reman sementara. Diorang masuk dan keluar dengan cepat, berbanding pusat penjara dan pusat tahanan imigresen di mana tahanan menjalani hukuman diorang (dan diorang tinggal lebih lama), kata pegawai Kementerian Kesihatan.
Seseorang tahanan penjara tu akan diperiksa pegawai kesihatan dalam masa 24 jam selepas memasuki penjara. Sekiranya seseorang tahanan tu mempunyai penyakit, pegawai akan memulakan rawatan, selagi dia dalam tahanan je. Bagi tahanan reman pula, tempoh penahanan terlampau sekejap untuk diorang habiskan rawatan.
Berdasarkan Kanun Prosedur Jenayah, seseorang tu boleh direman maksimum selama 14 hari (bergantung kepada kesalahan), sedangkan TB mengambil masa antara 6-9 bulan untuk dirawat. Tahanan selalunya tak dapat dikesan lepas diorang dibebaskan, jadi diorang takde dalam pemerhatian Kementerian Kesihatan.
“Mereka terus hilang dan tak rasa rawatan tu perlu diteruskan. Jika dipandang daripada sudut psikologi, pesalah mempunyai pemikiran yang berbeza. Nak dapatkan rawatan bukanlah satu keutamaan berbanding keperluan untuk menyara diri sendiri.”- kata pegawai Kementerian Kesihatan untuk Malay Mail.
Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran yang timbulkan persoalan mengenai kematian tahanan akibat penyakit ni kepada Menteri Dalam Negeri. Dia kata tanggungjawab Jabatan Penjara adalah lebih berat sebab banduan bergantung kepada mereka sepenuhnya untuk rawatan perubatan. Lagipun, tahanan tak boleh masuk ke hospital kerajaan macam orang luar.
“Kebanyakan penyakit ni boleh dirawat. Kematian mereka takkan berlaku kalau dikendalikan secara betul. Tahanan penjara berhak menerima standard dan kualiti rawatan medik yang sama macam penduduk tempatan.”- N. Surendran, Ahli Parlimen Padang Serai, Free Malaysia Today
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan mengakui disebabkan kemudahan perubatan yang terhad, diorang cuma dapat buat apa yang termampu. Sekarang ni, pihak berkuasa penjara mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penyebaran TB. Biasanya, banduan dengan penyakit berjangkit dipisahkan dari tahanan lain. Kebanyakan penjara mempunyai 2 atau 3 doktor yang bertugas semasa waktu pejabat dan paramedik pada waktu panggilan.
Tapi, ada sebab lain kepada punca kematian tahanan penjara ni…
Kadang-kadang, pasal bunuh diri. Ye ke?
Sejujurnya kitorang tak jumpa banyak pun pasal kes bunuh diri dalam penjara kat Malaysia. Tapi berdasarkan laporan Suhakam, 30 kes bunuh diri direkodkan sejak 2000 sampai 2014. Suhakam merasakan yang kes bunuh diri ni boleh dielakkan kalau diorang pantau tahanan dengan teliti. Suhakam juga mengesyorkan supaya autopsi yang betul dijalankan untuk kes bunuh diri.
Ada satu kes di mana mayat S. Hendry, 18, dijumpai tergantung di siling bilik penjaranya oleh pegawai penjara pada 19 November 2005. Sebelum tu, dia ditahan selama 29 HARI, tapi kemudiannya ditambah kepada 60 HARI! Mungkin dia ambik langkah drastik ni disebabkan tekanan atas penahanannya yang dilanjutkan?
Tapi ada satu lagi kes bunuh diri di penjara yang masih lagi menjadi misteri. Shashikumar Selvam, 20, telah dijatuhi hukuman 10 tahun penjara kerana mencuri beras dan dua tin sardin.
Shashikumar diletakkan di unit pengasingan pada 20 Mei 2015 selama hampir sejam, kerana kenyataannya diambil oleh Inspektor Junizen Jaffri, seorang pegawai dengan unit perisikan dan penyiasatan Penjara Kluang. Dua hari kemudian, dia dijumpai mati di unit pengasingan, dikatakan menggantung dirinya dengan menggunakan seluar. Junizen, saksi untuk siasatan dalam kematian Shashikumar berkata yang mangsa pernah bagitahu yang dia takut dengan kehidupan dia sendiri.
Sebelum tu, Shashikumar didapati memiliki 4.12g heroin yang tersembunyi di dalam rektumnya. Dia mengaku yang dia dapat dadah tu dari seorang tahanan yang dinamakan Singh. Shashikumar mendedahkan tentang wujudnya rangkaian dadah yang berlaku di penjara, dan ada pegawai penjara yang terlibat. Dia juga meminta keselamatannya dijamin sebagai pertukaran pengakuan penuh, kata Junizen.
“Apa yang saya tahu, Singh adalah orang kepercayaan Raja untuk mengendalikan semua pembelian dan penjualan (dadah) di penjara, dan mereka berdua tahu siapa kakitangan penjara yang terlibat.” – kata Shashikumar kepada Junizen, Free Malaysia Today
Inspektor Junizen dalam keterangannya memberitahu yang Shashikumar mungkin diugut pegawai penjara yang terlibat dengan kes dadah di penjara tersebut. Ini membawa kita kepada poin seterusnya…
Kadang-kadang, ada juga tahanan yang dipukul sampai mati oleh pihak polis
Kita mungkin pernah tengok kat drama dalam TV, macam mana polis ni kadang-kadang boleh jadi gangster bila soal siasat. Kat Malaysia pun, tak kurang bezanya. Kami bukanlah nak kata yang semua polis ni kejam, tapi ada banyak kes di mana tahanan penjara dipukul semasa dalam tahanan, yang kadang-kadang tu membawa kepada kematian. Anwar Ibrahim dulu pun pernah lebam biji mata pada tahun 1998, bila Ketua Polis Negara (semua polis) menampar, menumbuk dan menendang ahli politik yang digari dan ditutup mata tu.
Februari tahun ni, S. Bala Murugan, 44, ditahan polis daerah Klang Utara. Tapi keluarga dia kata polis salah tangkap sebab dia kebetulannya ada dalam syarikat seorang lelaki yang dikehendaki. Peguam Bala, Gerard Lazarus mendakwa kliennya dipukul dalam tahanan dan dibawa ke mahkamah pada hari tu.
“Apabila saya cuba menenangkan (Bala) dan meminta dia minum air, dia akhirnya muntah darah, dan majistret nampak. Masa tu lah majistret memanggil pegawai penyiasat kes tu dan meminta Bala dibebaskan atau dibawa ke hospital dengan segera. “- Gerard Lazarus, peguam Bala, Malay Mail
Tapi, polis tolak perintah mahkamah tu, dan bawa Bala ke tahanan semula. Gerard kemudiannya dikejutkan dengan kematian Bala tak lama lepas tu. Laporan post mortem kemudiannya dibuat, tapi keluarga Bala tak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Mereka meminta supaya laporan post mortem dibuat sekali lagi.
Sebuah lagi insiden berlaku pada 2013 dan mendapat liputan berita pasa masa tu. N. Dharmendran, 31, ditahan atas dakwaan percubaan membunuh melibatkan senjata api. Tapi dia kemudiannya dijumpai mati dalam selnya. Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyimpulkan yang dia dipukul sampai mati oleh pegawai polis yang menyiasatnya… dan mereka membuat bukti untuk menutup soal siasat ganas mereka.
Kematian Dharmendran adalah disebabkan 52 kesan lebam akibat trauma dipukul dengan bahan keras yang tumpul, yang mengakibatkan kehilangan darah yang serius dan kejutan hipovolemik. Kedua-dua telinganya juga didapati distapler semasa masih hidup. Kali terakhir yang kami dengar, 4 orang pegawai polis yang terlibat kemudiannya dibebaskan Mahkamah Tinggi.
Ada satu kes tahanan wanita pula, Samiyati Indrayani Zulkarnain Putra meninggal di Balai Polis Wangsa Maju pada September 2006. Tubuhnya lebam, tapi punca kematian adalah disebabkan asma.
Tapi, kita tahu yang sesetengah tahanan penjara pun agresif terhadap pihak polis. Macam lelaki ni yang GIGIT TELINGA WARDEN SAMPAI PUTUS! Macam mana la polis tu tak marah?
Penghuni penjara pun manusia juga. Macam mana kita nak bendung kematian penjara?
Kita semua ada pendapat yang berbeza tentang macam mana tahanan penjara ni diperlakukan. Tapi, Hakim Mahkamah Rayuan yang bersara ni percaya yang kekerasan boleh membantu:
“Sesetengah orang melakukan jenayah sebab mereka mahu menikmati ‘manfaat’ yang ada di penjara. Para tahanan ni tak bertaubat. Mereka tahu yang masuk penjara bermakna mereka dapat makanan percuma dan tidur yang nyenyak.
Bukannya saya nak Jabatan Penjara menjadi agresif atau memukul tahanan. Jabatan ni kena buat penjara sebagai tempat yang tak selesa sampai tahanan menyesal melakukan apa yang mereka buat, dan tak mahu ke penjara lagi. Sebagai contoh, sel penjara kena ada nyamuk, tikus dan lipas yang boleh mengganggu tahanan. “- Mohd Noor Abdullah, Hakim Mahkamah Rayuan yang bersara, Malay Mail Online
Wah, ekstrim betul. Tapi Ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran berkata kita perlu menangani masalah kematian banduan dalam tahanan dengan serius sebab ia melibatkan kehidupan manusia. Tambahnya lagi, rawatan untuk banduan dan keadaan penjara mencerminkan nilai-nilai kita sebagai sebuah negara.
Suhakam, Suruhanjaya yang bertanggungjawab dalam memantau Jabatan Penjara bersetuju, dan dah lama mencadangkan pembaharuan. Salah satu perkara yang mereka tegaskan ialah meningkatkan penjagaan kesihatan dan kualiti penjagaan, kerana penyakit adalah punca utama kematian dalam tahanan.
“Di Malaysia, bilangan kematian dalam tahanan polis adalah tinggi dan ini menjadi kebimbangan dan penelitian awam. Walaupun polis mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan ketenteraman serta menangkap mana-mana orang yang melanggar undang-undang, mereka juga ada kewajipan dan tanggungjawab untuk melindungi orang yang ditahan dari apa-apa kemudaratan yang dilakukan oleh dirinya sendiri atau orang lain. “- diambil dari laporan Suhakam
Walaupun masing-masing ada pendapat tersendiri bagaimana banduan ni patut diperlakukan, tapi kita tak boleh lupa yang undang-undang masih wujud. Suhakam sendiri ada menggariskan setakat mana batas pegawai penjara, polis atau pihak yang terlibat untuk memperlakukan seseorang banduan tu seperti seorang manusia.
- 187Share sekarang!
- Email16
- Facebook171
- Share