Malcolm X, pejuang Islam paling karismatik di Amerika

Pernah dengar tak nama Malcolm X? Sekali dengar macam nama wrestler pun ada. Kalau nak tau, Malcolm X adalah seorang tokoh Afro-Amerika yang berjuang membela orang Islam dan orang berkulit hitam.  

Dia ni sama zaman dengan Martin Luther King Jr, umur pun lebih kurang sebaya. Tapi gaya masing-masing macam langit dengan Bumi, Martin Luther King Jr pelembut orangnya buat sejuk hati ibu mertua, tapi Malcolm X adalah sangat lantang dan radikal.

Malcolm X dan Martin Luther King Jr.
Malcolm X dalam satu-satunya perjumpaan dia dan Martin Luther King Jr.

Oleh kerana banyak sangat diskriminasi pada orang kulit hitam waktu tu, Malcolm X sangat keras dalam ucapannya menentang orang kulit putih di Amerika.

“Sebagai seorang lelaki, Malcolm X mempunyai galas fizikal dan keyakinan diri bagaikan seorang bangsawan sejak lahir. Dan dia mungkin berbahaya.

…Seorang lelaki yang sangat komited dalam memerdekakan orang kulit hitam dalam masyarakat Amerika, berbanding menyerapkan mereka ke dalam masyarakat itu.” – M. S. Handler ketika cuba menggambarkan peribadi Malcolm X, dipetik daripada The Autobiography of Malcolm X.

“Lu apa mau?”

Sama seperti Martin Luther King J., Malcolm X akhirnya dibunuh kerana perjuangannya. Tapi namanya masih disegani ramai sehingga ke hari ini. Kenapa agaknya? Dan apa yang membuatkan dia marah sangat kat orang putih? Kalau nak tau, meh sini kita ikut cerita hidup Malcolm X yang penuh tragedi, inspirasi, dan warna warni ni… jom!

(P.S: Sebilangan besar kandungan dalam aritkel ini adalah dirujuk daripada The Autobiography of Malcolm X.)

Ayahnya dibunuh, ibu jadi tak waras akibat perbuatan orang kulit putih

Zaman kanak-kanak Malcolm X memang tragis. Waktu kecil, ayah Malcolm dikatakan telah dibunuh oleh golongan ekstremis kulit putih kerana lantang menentang penindasan orang putih. Dia telah diserang dan dibaringkan tengah jalan untuk digilis oleh sebuah kereta.

Kumpulan ektremis kulit putih macam KKK dan Black Legion ni dok kacau keluarga Malcolm X sejak kecil lagi.

Lepas ayah Malcolm meninggal, syarikat insurans mengelat dan tak nak bagi duit pampasan nyawa. Ibu Malcolm pulak terpaksa berhempas-pulas membesarkan adik-beradik Malcolm seramai 8 orang. Punyalah miskin sampai kadang-kadang mereka takde benda nak makan kat rumah.

Pada masa yang sama, jabatan kebajikan selalu singgah untuk cuba ambil adik-beradik Malcolm dengan alasan mak dia tak mampu nak jaga. Tertekan dengan kemiskinan dan diskriminasi, ibu Malcolm akhirnya hilang waras dan adik-beradik dia dipisahkan. Malcolm punyalah sayang ibu dan adik-beradiknya dan perkara ini membuatkan dia patah hati.

Saya percaya jika ada ejen sosial milik kerajaan telah menghancurkan keluarga, keluarga kamilah yang telah dihancurkan. Kami ingin dan cuba duduk bersama. Rumah kami tidak perlu dimusnahkan. Tapi Jabatan Kebajikan, mahkamah, dan doktor asyik menyerang kami.” – Malcolm X, The Autobiography of Malcolm X.

Pernah merompak, berjudi, jadi bapak ayam, dan mengedar dadah sampai masuk penjara 7 tahun

Walaupun nakal, Malcolm ni otak bergeliga, gred dia selalunya paling tinggi dalam sekolah yang penuh dengan orang putih. Malangnya masa depan orang berkulit hitam waktu tu memang gelap. Malah bila Malcolm kata yang dia nak jadi lawyer, ini apa yang cikgu dia cakap:

“Malcolm, antara benda penting dalam hidup adalah kita kena jadi realistik… Peguam bukanlah cita-cita realistik bagi seorang nigger. Semua orang kagum dengan hasil kerja kayu kamu, kenapa tak jadi tukang kayu?” – Dipetik daripada The Autobiography of Malcolm X.

Seriously, cikgu.

Sekali lagi Malcolm patah hati dan dia berhenti sekolah. Malcolm berpindah ke rumah kakak tiri dia Ella, seorang yang dia pandang tinggi kerana merupakan “wanita kulit hitam pertama dalam hidup saya yang betul-betul bangga dengan dirinya“.

Ella Collins, kakak tiri kesayangan Malcolm.

Mula-mula dia buat kerja-kerja kecil macam menggilap kasut, tapi tak lama lepas tu dia mula terlibat dengan jenayah seperti jadi tokan dadah, berjudi, dan merompak rumah orang kaya. Malcolm sendiri jadi ketagih dengan dadah, asyik high je memanjang.

Sewaktu berumur 21 tahun, Malcolm X ditangkap polis dan disumbat masuk ke dalam penjara. Kesalahan terbesar yang membuatkan Malcolm dihukum bukanlah judi atau dadah, tapi sebab waktu tu Malcolm ada girlfriend mat salleh, jadi orang putih ni semua sangat marah kerana Malcolm telah “merosakkan seorang gadis kulit putih”.

Digelar ‘Satan’ sebagai banduan, tapi dalam penjara jugaklah Malcolm berubah

Malcolm X zaman gila-gila remaja. Rambut tu sah pakai Tancho.

Walaupun meringkuk dalam penjara, Malcolm tak serik buat perangai. Dia maki hamun guard, pura-pura tak ingat nombor bila kena panggil, dan macam-macam pe’el. Punyalah rebel sampai Malcolm diberi nama gelaran “Satan” kerana sikapnya yang benci agama.

Tapi dalam penjara jugaklah Malcolm jumpa sifu dia yang pertama, seorang banduan yang “mampu membuatkan orang lain hormat… hanya dengan kata-kata”. Dia membuatkan Malcolm minat balik nak belajar. Jadi Malcolm mula ambil ambil kursus surat-menyurat dalam Bahasa Inggeris, sampaikan dia pergi salin perkataan daripada kamus satu-persatu untuk belajar makna masing-masing.

Malu la kita.

Bila vocab dia dah cukup banyak, dia mula membaca buku dan sejak hari tu Malcolm dan buku memang tak boleh dipisahkan. Sampaikan bila lampu penjara ditutup, Malcolm akan curi-curi baca guna lampu koridor.

“Setiap sejam, guard akan datang memantau bilik. Tiap kali saya dengar bunyi tapak kaki, saya lompat ke katil dan pura-pura tidur. Bila guard dah lalu, saya kembali ke kawasan yang dapat cahaya dan sambung bacaan selama 58 minit sehinggalah guard datang lagi. Benda ni berulang sampailah ke pukul 3 atau 4 setiap pagi.” – Malcolm X, The Autobiography of Malcolm X

Menyertai organisasi Nation of Islam dan berjanji taat setia kepada Elijah Muhammad

Dalam penjara, Malcolm mula terdengar akan sebuah organisasi Muslim bergelar Nation of Islam (NOI) yang dipimpin oleh Elijah Muhammad. Elijah kata orang putih ni adalah ‘syaitan’, dan mereka telah banyak mengubah sejarah agar sumbangan bangsa dia je yang ditulis.

Malcolm X dan mentor dia, Elijah Muhammad.

Tiba-tiba, Malcolm teringat balik akan semua orang putih yang pernah ada dalam hidup dia. Orang putih yang bunuh ayah dia, orang putih yang memisahkan keluarga dia, cikgu mat salleh yang kata dia tak boleh jadi lawyer, hakim dan pegawai mahkamah… Malcolm rasa kesemua hubungan dengan orang putih dalam hidup dia tak pernah pun ada yang baik.

Dengan ajaran dari NOI, kefahaman Malcolm akan Islam semakin mendalam tapi begitu juga dengan kebenciannya terhadap orang putih, nak lagi bila dia mula baca macam mana orang putih mempergunakan bangsa lain. Macam mana British menggunakan Syarikat Hindia Timur Inggeris untuk mengutip kekayaan India, macam mana British cuba menghancurkan China dengan memperkenalkan dadah kepada mereka, macam mana berjuta-juta juta orang Afrika dibunuh atau dihambakan sejak kurun ke-15.

Sistem hamba di Amerika dulu sangat kejam, orang kulit hitam diperlakukan macam barangan je.

Sejak dari itu, Malcolm setia menyebarkan ajaran Elijah Muhammad. Antara perjuangan utama mereka adalah untuk memisahkan orang kulit hitam dan putih, agar orang kulit hitam boleh bersatu. Ini sangat berbeza dengan Martin Luther King Jr yang mengajak orang kulit hitam untuk berintegrasi dengan orang kulit putih.

Walaupun idea yang dibawa adalah radikal dan berunsur kebencian, Malcolm X dapat banyak penyokong sebab orang kulit hitam yang miskin rasa boleh relate dengan Malcolm yang juga punya latar belakang sama.

Semakin berpengaruh mengalahkan bos dia sendiri

Malcolm dengan BFF dia, Muhammad Ali.

Selepas Malcolm dibebaskan dari penjara, dia mula aktif dalam NOI dan naik pangkat dalam masa yang singkat. Malcolm ni kalau berucap memang nombor satu, so sekejap je dia dah jadi femes.

Peristiwa yang buatkan nama dia mula disebut adalah pada tahun 1957, di mana Malcolm berjaya menghimpunkan sehingga 4 ribu orang untuk mendesak pihak polis merawat member mereka yang dipukul. Bila permintaan diterima, Malcolm rileks je bagi isyarat tangan dan orang ramai pun bersurai dengan senyap. Seorang pegawai berkata, “Tiada seorang pun yang sepatutnya ada kuasa sebanyak itu.

Malcolm X dan Fidel Castro.

Sebenarnya Malcolm pun turut mendapat sokongan golongan bukan berkulit hitam, tapi prinsip Black Nationalism dia sangat kuat. Dalam satu peristiwa, ada seorang budak kolej berkulit datang ke Malcolm dan bertanya “Ada apa-apa tak yang boleh saya tolong?” Malcolm jawab “Tiada”. Menangis budak tu dan terus lari. Malcolm selalu kata dia menyesal sebab layan budak tu macam tu sekali.

Dalam masa 9 tahun, Malcolm jadi lagi popular daripada Elijah Muhammad sendiri, sehingga brader dalam NOI sendiri pun mula dengki. Tapi apa yang betul-betul meranapkan kepercayaan Malcolm adalah bila dia dapat tau yang Elijah Muhammad ada skandal dengan perempuan dalam NOI sampai ada yang melahirkan anak luar nikah (padahal Elijah selalu hukum ahli NOI kalau menyimpang daripada ajaran Islam).

NOI sedikit demi sedikit cuba menyisihkan Malcolm, sampailah satu hari bila presiden Kennedy dibunuh, Malcolm keluarkan kenyataan yang digambarkan oleh media sebagai tak sensitif. NOI pun memutuskan hubungan mereka dengan Malcolm, dan sejak itu jugaklah bermulanya cubaan untuk membunuh Malcolm X.

Kembara di Mekah telah membuka mata Malcolm akan isu perkauman

Selepas keluar daripada Nation of Islam, Malcolm membuat keputusan untuk pergi menunaikan haji. Kakak tiri dia, Ella jugaklah yang bagi duit untuk Malcolm pergi Mekah.

Malcolm X solat dalam sebuah masjid di Kaerah.

Kat Mekah, Malcolm sangat tersentuh dengan layanan yang diberikan oleh masyarakat yang berbilang bangsa, sampaikan dia tergerak nak menulis surat. Surat pertama dihantar kepada isterinya, surat kedua kepada kakak tiri dia Ella, dan beberapa orang lagi sehingga surat terakhir yang bertujuan untuk disebarkan kepada media:

“Sepanjang 11 hari saya di dunia Muslim ini, saya telah makan dari pinggan yang sama, minum dari gelas yang sama, dan tidur atas tikar yang sama-tatkala berdoa kepada Tuhan yang sama dengan Muslim yang lain, yang matanya paling biru antara biru, rambutnya paling perang antara perang, dan kulitnya paling putih antara putih.

Dan dalam kata-kata dan perbuatan Muslim ‘berkulit putih’ ini, saya merasakan keikhlasan yang sama saya alami dengan saudara Muslim berkulit hitam di Nigeria, Sudan, dan Ghana.” – The Autobiography of Malcolm X.

Pandangan dan falsafah baru Malcom memang sudah berubah semenjak keluar daripada NOI. Dia dah tak tekankan pemisahan antara orang kulit hitam dan putih, tapi masih menyokong black nationalism. Tapi pendirian tu pun mula berubah sedikit demi sedikit bila dia jumpa pejuang Afrika di negara lain yang rupanya tak tumpah macam orang putih.

Dan bila surat ini disebarkan, ia mengejutkan semua orang samda pengikut mahupun pengkritik. Walaupun lantang dan radikal, Malcolm sentiasa terbuka untuk berubah dan mengakui kesilapannya yang lalu.

Walaupun mati pada usia muda, legasi Malcolm berkekalan hingga ke hari ini

Malcolm X melindungi keluarganya di rumah.

Malcolm X dibunuh pada Febuari 1965 (umur 39 tahun) sewaktu sedang memberikan ceramah. Pembunuhan ini dikatakan dirancang oleh Nation of Islam, tapi pada masa yang sama Malcolm X dah lama diperhatikan oleh FBI, jadi FBI mungkin terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Sebaik sahaja kematiannya, majalah Time memanggil Malcolm X sebagai seorang bekas “bapak ayam, penagih dadah dan pencuri. Kata-katanya penuh kebencian”, begitulah gambaran media terhadap Malcolm waktu itu.

Namun melihatkan zaman kanak-kanak dan remajanya, kita boleh faham kenapa Malcolm lantang memperjuangkan hak orang kulit hitam yang ditindas. Pada masa yang sama, kita kagum dengan keterbukaan Malcolm untuk sentiasa berubah. Daripada seorang nasionalis kulit hitam yang melihat orang putih sebagai syaitan, Malcolm berubah menjadi lebih sederhana dan lebih menerima tak kira agama dan bangsa.

Dan setelah lebih 50 tahun kini, perjuangannya masih lagi relevan. Masyarakat kulit hitam di Amerika masih lagi menjadi mangsa keganasan polis, masih lagi dibelengu kemiskinan dan diskriminasi. Malah buku The Autobiography of Malcolm X telah menjadi sumber yang sangat penting dalam memahami hubungan antara kaum, sehingga Time sendiri menamakannya dalam senarai 10 buku bukan fiksyen paling penting abad ke-20.

Mural Malcolm X, Martin Luther King Jr., bersama dua tokoh kulit hitam yang lain.

Anak Malcolm X dalam autobiografinya ada menjelaskan tentang kata-kata paling terkenal Malcolm X, “by any means necessary” yang bermaksud “dengan apa cara sekalipun”. Menurutnya, kata-kata ini bukanlah menggalakkan keganasan, sebaliknya:

‘Dengan apa cara sekalipun’ maknanya mengkaji halangan, menentukan matlamat, mencari jalan, dan menerokai alternatif bagi menyelesaikan halangan tersebut. Sesiapa yang biasa dengan ideologi, autobiografi, dan ucapan-ucapan ayah saya betul-betul faham akan betapa pentingnya frasa yang popular ini.” – The Autobiography of Malcolm X.

About MK Zainal 36 Articles
Editor di SOSCILI, hari-hari tengok movie.