- 1.8KShare sekarang!
- Email8
- Facebook1.8K
- Share
(Klik sini untuk baca artikel asal dalam Bahasa Inggeris.)
Sebagai rakyat Malaysia, tak pelik untuk kita beli padlock extra untuk pastikan pintu rumah betul-betul dikunci. Kalau tak cukup, ada yang siap upah pak guard dan bela anjing letak depan pagar (ni biasanya orang kaya-kaya jela mampu). Mana taknya, kes jenayah di Malaysia ni boleh tahan tinggi jugak, nak lagi tahun lepas apabila indeks jenayah telah naik 4.6% terutama sekali di kawasan perumahan.
Tapi percaya atau tidak, ada juga penjenayah yang kantoi kerana tindakan bodoh mereka sendiri. Jadi kat sini kami telah kumpul 8 kisah jenayah yang paling kelakar kat Malaysia…
1. Mamat ni menyamar jadi polis…. kat dalam balai polis!
Kalau sengaja nak buat kacau atau prank tu biasalah, semua orang pernah buat tapi ada beberapa insan yang tak boleh bezakan prank biasa dengan kesalahan serius. Tahun lepas ada sorang mamat berumur 22 tahun telah menyamar sebagai seorang anggota polis dan telah masuk ke Balai Polis Nusa Bestari, Johor.
Setibanya kat balai tersebut, dia telah memperkenalkan dirinya sebagai Timbalan Superintendent untuk Bahagian Penyiasatan Jenayah. Anggota polis kat balai tu telah minta kad pengenalan polis sebagai pengesahan tapi mamat tersebut telah membuat alasan dan pergi ke tandas (baru sedar tindakan tu bodoh agaknya kot).
Lepas keluar dari tandas, mamat tu terus cuba nak keluar dari balai. Anggota polis yang jaga balai tu pun mula mengesyaki dan telah memberkas penyamar tersebut. Masa melakukan pemeriksaan badan, pihak polis telah menjumpai sepasang gari, dua handphone, baton besi, kunci kereta, dan sticker yang menyerupai lambang polis diraja.
Apa yang membingungkan kami adalah, kalau dia berjaya menipu pun, lepas tu nak buat apa?
Apa yang kami tau adalah menyamar sebagai seorang penjawat awam merupakan satu kesalahan. Kalau didapati bersalah, suspek boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda (jumlah tak didedahkan). Yang kelakarnya ini bukannya satu insiden berasingan, malah sudah terdapat beberapa kes telah dilaporkan.
2. Kereta pencuri ni tak muat nak sumbat semua duit
Pada tahun 2008, dua orang perompak cuba merompak RM4.5 juta dari sebuah van keselamatan. Agaknya banyak sangat pengaruh dari movie Hollywood kot, masa mula-mula tu mereka agak hebat jugalah sebab telah mengenal pasti jadual van sasaran dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap pengawal keselamatan.
Bila tiba masa untuk menjalankan operasi, sorang pergi curi kereta manakala sorang lagi pergi rampas van sekutiri. Dorang berdua kemudiannya melarikan diri dengan kereta curi dan van sekuriti tersebut.
Tapi apa yang dorang lupa nak bajet adalah sewaktu mengalihkan hasil rompakan daripada van ke kereta, baru dorang sedar yang kereta curi tu tak muat nak sumbat semua hasil rompakan. Akhirnya dorang hanya ambil sebahagian je dan tinggalkan van sekuriti tu.
Ketua polis daerah, Shakaruddin Che Mood, berkata:
“Beg duit ni boleh tahan besar, saya anggap mereka ni bodoh jugalah, mereka plan tak habis” – interview dengan agensi berita
Dan kalau korang google, bersepah-sepah berita luar negara tulis pasal insiden ini. Tapi seluas mana berita ni pergi pun, kami masih tak jumpa berita atau laporan mengenai perompak tersebut berjaya ditangkap atau pun tidak.
3. Perompak yang kena serang dengan jembalang
Cuba bayangkan korang baru balik dari cuti, masa nak masuk rumah ada sorang pencuri sedang terbaring atas lantai sambil minta maaf kat korang. Itu lah apa yang terjadi kat satu pasangan ni. Menurut pencuri tu, dia telah diikat oleh satu jembalang dan tak boleh bergerak atau menjerit selama 3 hari berturut-turut!
Memandangkan mamat tu kelihatan dalam keadaan penat dan insaf, agaknya betul lah kot dia kena kacau dengan jembalang. Tapi benda-benda macam ni tak asing di kalangan orang Melayu, antara kisah yang kami pernah dengar adalah kalau ada perompak masuk dia akan berhalusinasi dan kononnya akan menghalangnya daripada merompak.
Kami ada tanya kawan kami kat CILISOS, dorang pun ada kepercayaan macam tu jugak ke? UiHua (penulis CILISOS) berkata apa yang dia tau, mengikut kepercayaan tradisional Cina ada satu dewa yang bertanggungjawab menjaga keharmonian sesebuah keluarga, tapi takde la secara spesifik samada daripada perompal ke apa.
Buat orang Islam, kami jumpa satu video dari arwah Haron Din tentang bacaan doa untuk melindungi daripada kecurian.
4. Perompak yang ‘dirompak’ oleh mangsanya
Peribahasa ‘malang tak berbau’ merupakan satu istilah yang terbaik untuk kisah ni, yang kelakarnya bukan mangsa yang malang tapi si pencuri tersebut! Ia bermula apabila seorang wanita telah menjadi mangsa apabila beg tangannya dicuri sewaktu sedang makan kat sebuah cafe. Tapi time kena curi tu, kawan mangsa berjaya ambil beg pencuri tersebut.
Lepas kena curi mangsa telah pergi ke balai polis dan masa tengah buat laporan tu, pencuri tersebut telah menghubungi mangsa dan meminta untuk buat pertukaran beg. Tapi pencuri tu minta pertukaran dilakukan secara ‘senyap-senyap’ (takyah bagitau polis).
Ingat akak tu nak dengar cakap? Dah kat balai polis kot, jadi mangsa tu pun bersetuju bertemankan polis tanpa pengetahuan pencuri. Sewaktu perjumpaan tersebut, pencuri tu telah datang dengan bini dan dua orang anaknya. Mungkin dia nak menggunakan ‘elemen keluarga’ untuk meraih simpati tapi ini tak menghalang pihak polis daripada menahan pencuri tersebut.
Mengikut undang-undang sivil Malaysia, kes kecurian dalam Seksyen 379 Seksaan Bagi Kesalah Mencuri boleh membawa kepada hukuman penjara sampai 7 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Kali ni kesalahan kali kedua atau lebih, berkemungkinan suspek boleh kena hukuman sebat.
5. Gang pencuri yang cuba rembat lembu guna kereta Proton Wira
Ni dah kali kedua kami terjumpa kisah perompak silap pilih kenderaan untuk ‘beroperasi’. Pada tahun 2014, dua orang perompak telah tinggalkan kereta Proton Wira mereka selepas kenderaan tersebut gagal berfungsi. Apa yang lebih mengejutkan, kenderaan tersebut telah di-modify untuk sumbat empat ekor lembu.
Kisah gelap dua orang perompak ini bermula apabila mereka sedang melarikan dari tempat kejadian dengan menggunakan highway Butterworth-Kulim Express. Dan kat situ mereka telah menarik perhatian orang ramai. Yelah kalau nampak lembu dalam kereta Wira dah tentu korang pun akan pandang lama-lama jugak.
Jadi untuk mengelakkan perasaan awkward, perompak tersebut telah memecut dan menyebabkan kereta tersebut rosak. Mana taknya kalau dah sumbat kereta tu dengan empat ekor lembu, memang jahanam lah.
Tapi kan korang jangan pelik kalau kes macam ni selalu terjadi. Rupa-rupanya, operasi merembat lembu ni merupakan fenomena yang normal kerana habuannya yang besar. Malah kat Port Dickson, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket besar pencurian lembu. Benda ni bukan ada kat negara kita je, kat Amerika pun masalah curi lembu besar gila sampai melibatkan komuniti dan industri ternakan.
6. Curi minyak guna lighter
Yang ni merupakan satu contoh terbaik untuk sesiapa yang ada adik, anak, atau kenalan yang degil tak nak fokus kat dalam kelas. Kisahnya bermula jam 4 pagi pada tahun 2014, ada sekumpulan budak-budak dalam lingkungan umur 14-18 tahun dari Georgetown telah cuba mencuri minyak motor. Tapi apa yang terjadi adalah kehancuran 9 motor lain akibat kebakaran.
Rupa-rupanya time tengah nak curi miyak, budak-budak tu telah menggunakan lighter sebagai ‘lampu suluh’ untuk tengok dalam gelap. Dan seperti yang disangkakan, minyak motor tersebut terbakar dan merebak ke motor lain. Nasib baik salah sorang suspek tu telah ditangkap oleh penduduk setempat yang kemudiannya diberi kepada pihak polis.
Biasanya kes macam ni budak-budak tersebut akan dihantar ke Pusat Juvana dimana mereka mungkin kena jalani kerja kebajikan atau dimasukkan ke penjara/Sekolah Henry Gurney berpandukan tahap kesalahan mereka.
Jadi pengajarannya? Jangan ponteng kelas, ia mungkin boleh menyelamatkan nyawa dan masa depan anda.
7. Pencuri yang tidur kat rumah mangsa
Kami bukannya pencuri tapi kalau kami terjurumus ke arah tu, berkemungkinan besar kami akan cabut lari lepas ambil semua barang… ke tak? Di Johor ada dua orang pencuri telah buat yang sebaliknya. Mereka telah geledah peti ais rumah mangsa dan makan-makanan mangsa, tapi mereka betul-betul mencuba nasib apabila ambil keputusan untuk tidur kat bilik mangsa. Rileks habis pencuri-pencuri ni.
Tapi nasib tak menyebelahi mereka kali ini sebab tuan rumah telah balik sewaktu mereka tengah tidur kat dalam bilik. Memang kena tangkap dengan polislah lepas tu.
8. Cuba nak rompak bank tapi bank meletup
Yang ni bukannya pengganas Daesh atau pun Al-Qaeda, tapi hanya perompak biasa yang salah bajet ketika guna bom buatan sendiri. Pada tahun 2014, sekumpulan perompak cuba nak buka mesin ATM menggunakan bom buatan sendiri tapi entah macam mana telah meletupkan bank tu terus.
Letupan tu kuat gila sampaikan geng perompak tu sendiri terkejut dan ambil keputusan untuk cabut, yang kelakarnya ATM tu rosak sikit je dan tak terbuka pun. Sewaktu melarikan diri, perompak-perompak tersebut telah tinggalkan bom dan handphone dimana pihak polis telah matikan sebelum sempat buat kerosakan lebih atau kematian.
Mungkin korang tertanya-tanya mana datangnya bom kat Malaysia ni? Sebenarnya nak buat bom buatan sendiri ni takde lah susah mana. Salah satu cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan arang dan sulfur dimana bahan-bahan ni boleh didapati kat mana-mana shopping mall. Cuma bahan yang paling susah nak dapat adalah potassium nitrate tapi kalau korang betul dalam bajet boleh je guna pelentur, taik lembu, atau pun taik korang sendiri.
Nak jadi penjenayah ni bukannya senang, baik cari kerja halal
Kami sedar dua benda sewaktu menulis artikel ni, yang pertama adalah buat jahat memang ada balasannya beza cuma lambat cepat je. Yang kedua pulak, walaupun bagi kita yang baca ni rasa kelakar, untuk mangsa pula lain kisahnya kerana mereka mungkin kena harungi kerugian harta dan gangguan emosi.
Di peringkat kebangsaan global, kes jenayah telah melonjak naik sejak 3 tahun lepas. Malah kita berada ditempat yang ke-12 dari 93 buah negara dalam ranking jenayah dunia. Menurut OSAC (badan kerajaan Amerika Syarikat) pula, tahun lepas (2016) Malaysia masih di peringkat ‘tertinggi’ untuk ancaman jenayah.
Jadi untuk korang di luar sana sila lah berhati-hati, tak salah rasanya untuk ambil langkah keselamatan yang ekstra, bak kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ dan untuk bakal-bakal perompak pula, kisah kat dalam artikel ni telah bukti yang nak buat jahat ni pun kena ada usaha, jadi alang-alang tu baik cari kerja halal je.
- 1.8KShare sekarang!
- Email8
- Facebook1.8K
- Share