Ahmad Idham pernah buka akademi filem sendiri. Apakah hasilnya?

Siapa tak kenal nama Ahmad Idham dalam industri hiburan tanah air ni. Sama ada dari sisi positif mahupun negatif, kalau sebut nama dia mesti akan teringat lakonan dan filem yang pernah diarahkan. Sekurang-kurangnya, mesti korang ada tertengok walaupun sekali.

Nama Ahmad Idham terus disebut lagi apabila dia dilantik menjadi CEO Finas untuk tempoh dua tahun. Pelantikannya menjadi perdebatan ramai seperti juga filem yang diarahkan. Sepanjang menjadi CEO ni, sekali lagi dia menjadi bualan ramai apabila bercakap pasal isu penapisan Netflix. Maka, ramai yang mula mempertikaikan mengenai filem yang pernah diarahkannya yang juga pernah ada nilai-nilai tak elok.

Mana satu Ahmad Idham pilih tu? Imej dari Malay Mail

Dah alang-alang nak cerita pasal Ahmad idham, korang tahu tak macam mana dia boleh menceburi industri hiburan padahal dia belajar perakaunan di ITM dulu? Ini ceritanya…

Belajar perakaunan sebelum membintangi filem Cinderella yang meletup

Ahmad Idham bersama Cinderella-nya. Imej dari Berita Harian

Ahmad Idham ni bukanlah terus masuk bidang hiburan ni. Dia yang berasal dari Alor Setar, Kedah ni merupakan pelajar pengajian perakaunan di Institut Teknologi Mara (ITM). Waktu di ITM jugalah, dia dah bertemu dengan Azhar Sulaiman yang belajar jurusan seni bina. Azhar ni juga akhirnya menjadi pelakon yang terkenal.

Untuk Ahmad Idham, dia mula terjun ke bidang lakonan selepas tamat pengajian. Dia hanya menjadi pelakon tambahan dalam filem KL yang dibintangi oleh Azhar Sulaiman dan Amy Mastura pada tahun 1994 sewaktu berusia 22 tahun.

Kemudianya, dia bernaung di bawah Kuasatek Pictures dan membuat penampilan sulung di TV3 sebagai watak kecil dalam drama Identiti. Kariernya semakin meningkat dengan memegang watak utama dalam drama Cinta Antara Benua bergandingan dengan Arni Nazira. Segalanya membuahkan hasil apabila lakonannya sebagai watak utama bersama Haliza Misbun dalam drama Cinderella menerima pengiktirafan luar biasa sewaktu tahun 1998 ditayangkan.

Ahmad Idham dan si pencuri hatinya. Imej dari mStar

Wataknya yang turut berkesan adalah apabila menjadi bintang utama dalam Spanar Jaya sebagai watak Iskandar. Daripada pelbagai lakonannya, dia menerima beberapa anugerah termasuk Artis Baru Popular ABPBH 1997/98 dan Pelakon TV Lelaki Popular ABPBH 1999.

Mengarah hampir 50 filem, banyak yang pecah panggung

Antara filem Box Office Ahmad Idham. Imej dari Carousell

Menjelang tahun 2000, Ahmad Idham mula terjun dalam dunia sebagai pengarah filem. Nak diringkaskan, dia dah mengarahkan hampir 50 buah filem. Dia bersama beberapa rakan perniagaannya yang lain juga membuka sebuah syarikat produksi, Excellent Pictures pada tahun 2002.

Sekalipun ada filemnya yang mencetus kontroversi seperti menggalakkan budaya rempit, namun dia juga berjaya menghasilkan filem yang pecah panggung pada zamannya. Antara filem genre permotoran arahannya yang mengutip kutipan tertinggi pada tahun tayangan adalah:

1) Remp-It (2006): RM4 juta

2) Adnan Sempit (2010): RM7.66 juta

3) Hantu Bonceng (2011): RM8.5 juta

4) Adnan Sempit 2 & Mael Lambung (2012): RM7 juta & RM5 juta

Selain tu, filem genre seramnya juga ada yang berjaya mencatat sejarah dengan kutipan filem Melayu tertinggi ketika itu (tahun 2007) melalui Jangan Pandang Belakang. Kutipan ketika tu mencecah RM7.4 juta di tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.

Siap dapat anugerah dari bomba lagi ni. Imej dari Harian Metro

Sepanjang menjadi pengarah, dia juga menerima beberapa anugerah besar termasuk Pengarah Terbaik Anugerah Skrin 2004. Pada tahun sama, turut menerima Anugerah Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-16 melalui filem Mr. Cinderella.

Tubuhkan akademi filem, namun teraniaya dengan janji manis

AIFA nama diberi. Imej dari Berita Harian

Selepas beberapa tahun tidak kedengaran namanya, pada tahun 2014, Ahmad Idham dah mengorak langkah dengan menubuhkan Akademi Filem Ahmad Idham (AIFA) di Nusajaya, Johor. Dia bercita-cita nak bantu industri seni setelah sekian lama dia berkecimpung. Akademinya juga melakukan kerjasama dengan Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Akademi ni menawarkan kursus Produksi Filem/Video (Pengambaran) bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia. Akademinya mendapat sambutan dengan menerima 100 pelajar tak sampai setahun. Malangnya, baru dua setengah tahun beroperasi, akademinya terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur.

Tujuan berpindah adalah untuk menyelamatkan anak muridnya yang akan menjalani latihan tak lama lagi. Menurutnya lagi, dia juga berpindah kerana teraniaya dengan janji-janji manis yang ditawarkan oleh sesetengah pihak kepadanya.

Contoh tertipu dengan janji manis. Imej dari Giphy

Akademi yang ditubuhkannya ni melibatkan pelaburan RM1.5 juta, demi mempertahankannya, dia juga sanggup menjual rumah. Selain tu, dia menubuhkan syarikat produksi AIFA Motion Pictures sebagai platform agar pelajarnya dapat menjalani latihan praktikal.

Kalau semua kat atas ni cerita pasal dia dan dunia filem, sebenarnya mungkin ramai tak tahu yang dia ada membuka sebuah sekolah khas yang menyediakan sistem pendidikan dan terapi bertaraf antarabangsa untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Apa puncanya?

Buka sekolah pendidikan khas kerana mengenang anak sulungnya

Anak sulung Ahamd Idham yang kelainan upaya. Imej dari Ternyata Viral

Untuk pengetahuan korang, dia membuka sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 20 tahun di Encorp Strand Mall, Kota Damansara. Bagaimana idea ni boleh tercetus?

Ahmad Idham dan isterinya, Amy dikurniakan empat orang anak. Sewaktu kelahiran anak sulungnya bernama Firdaus, dia dilahirkan dalam keadaan normal. Namun, segalanya berubah apabila anaknya itu diserang sawan sewaktu sedang tidur. Ketika menerima rawatan, pakar yang merawat anaknya mengatakan sawan yang menyerang ni sesuatu yang tak normal kerana tak disertai dengan demam.

Selepas beberapa lama, dia diserang sawan dengan teruk sekali lagi hingga dipindahkan ke hospital dengan ambulans. Setelah didiagnosis, anaknya rupanya terkena virus focal encephalitis yang memberi kesan kepada bahagian otak kanan. Untuk beberapa tahun, anaknya menjalani rawatan fisioterapi.

Apabila di bangku sekolah, mereka mula sedar yang anaknya tidak mampu mengikuti sistem pendidikan di sekolah biasa. Maka, Ahmad Idham menghantar anaknya belajar di Sekolah Khas St. Claire Singapura yang menelan belanja RM100 ribu setahun. Sedar dengan ketiadaan sekolah seperti tu di Malaysia, maka dia dan isterinya tercetus idea untuk mewujudkan satu di Malaysia.

Bersenam dengan anak sulungnya. Imej dari mStar

Sekolah tu masih beroperasi dengan nama Eden Firdaus Special Need Centre. Sekolah ni juga pernah menerima sumbangan dari kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Azmin Ali dengan nilai RM100,000.

Pelantikannya dipertikaikan, tapi dia mahu orang yang tak bersetuju membantunya

Hal-hal yang kami ceritkan kat tadi (kecuali bab sekolah khas) sebenarnya serba sedikit dah beri kesan kepada pelantikannya sebagai CEO Finas.

Lepas PRU-14, pihak Kementerian Komunikasi & Multimedia dah ambil masa 10 bulan untuk memilih CEO Finas yang baru. Akhirnya, Gobind Singh Deo mengumumkan Ahmad Idham sebagai CEO yang baru dengan memegang jawatan selama 2 tahun. Pelantikannya dah pun mendapat kritikan oleh ramai pihak termasuk Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit).

“Maksudnya dari segi karya apa dia dah hasilkan. Namun, kita sedia maklum karya dia sebelum ini macam mana. Nak kata anugerah antarabangsa pun tak ada.

Mungkin satu ketika dulu filem dia box office, tapi sekarang hasilnya tak seberapa. Sebagai ahli perniagaan juga kita tak tahu macam mana keadaan dia sekarang,”- Al-Jafree Md Yusop, Pengasas Komfit, petikan dari Malaysia Kini

Bertenang semua…layan vroom vrooommm. Imej dari Juiceonline

Sebenarnya, Ahmad Idham tahu akan ada pihak yang tak bersetuju dengan pelantikannya. Jadi, dia nak pihak yang tak bersetuju ni datang berjumpa dengannya dan buat diskusi secara bersemuka. Dia juga mengharapkan mereka bagi cadangan untuk penambahbaikan Finas bukan sekadar hentam di media sosial sebab tak bantu industri pun. Buat masa sekarang ni, dia juga dalam perancangan untuk melakukan pembersihan dan penstrukturan perbadanan tu.

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT