One Piece akan tamat sepenggal lagi? Tapi, ini pula 5 manga yang tak sempat disiapkan

Kalau korang lahir pada tahun 1990-an, selain dari komik Hong Kong, dah tentu komik Jepun juga jadi bacaan wajib korang. Komik Jepun atau lebih dikenali sebagai manga ni cukup popular di Malaysia, sampaikan ada jugalah yang terpangaruh nak jadi mangaka (kartunis) bagai.

Walaupun sekarang kita dah besar panjang atau dah ada anak sekalipun, masih ada yang tetap setia baca manga dan tengok animasi (anime) Jepun ni. Antara manga/anime yang sampai sekarang jadi bualan dan tetap legend mestilah macam – Mutiara Naga (Dragon Ball),Budak Getah (One Piece), Dik Cerdas (Crayon Shin Chan), Detective Conan dan korang namakanlah sendiri.

Siapa masih ada koleksi manga ni? Imej dari Carousell (iem_yahaya).

Apa yang menariknya, pencipta One Piece, Eiichiro Oda baru-baru ni ada kata yang dia rancang nak tamatkan siri manganya tu dalam masa 5 tahun lagi. Maknanya, kalau rancangan Oda ni berjalan lancar, siri One Piece akan berjalan selama 27 tahun! Jadinya, kepada peminat One Piece tu, korang kena tunggulah satu penggal lagi atau lebih tepat 5 tahun.

Itulah dia orang disebalik kejayaan One Piece. Imej dari Tribun Madura.

Akan tetapi dalam masa sama, sebenarnya banyak juga kes manga-manga yang tak dapat ditamatkan disebabkan kematian penciptanya. Dan antara manga terkenal yang alami nasib macam tu adalah…

1. Doraemon – Ada pengakhiran, tapi bukanlah yang sebenar

Kisah Doraemon ni dah menemani kita selama setengah abad. Imej dari Pinterest (zanilia zhao).

Inilah dia manga dan anime yang kita boleh kata sebagai paling popular di Malaysia ni. Korang mesti ada kenangan tengok anime Doraemon ni kat TV, pukul 7.30pm setiap hari Sabtu. Boleh kata, inilah rancangan wajib untuk budak-budak zaman dulu. Selain tu, Doraemon ni juga adalah antara manga dan anime terawal yang dihasilkan di Jepun.

Pada tahun 1969, Hiroshi Fujimoto dan kawannya, Motoo Abiko dah mencipta manga ni dan masa tu ia disiarkan di banyak majalah kanak-kanak. Seperti mana yang kita tahu, ia mengisahkan tentang seekor robot kucing bernama Doraemon yang datang dari masa depan untuk membantu seorang budak malang bernama – Nobita. Kisah manga ni selalunya berakhir dengan pengajaran.

Apa yang pasti, manga ni dapat sambutan menggalakkan dari masyarakat, sampaikan pada tahun 1973 – ia dah diterbitkan juga dalam bentuk anime. Tapi, beberapa tahun lepas tu – Fujimoto dah tamatkan kerjasamanya dengan Abiko dan mula bergerak sendiri dengan nama pena Fujiko F Fujio.

Fujimoto bersama dua watak ciptaannya. Imej dari Fandom.

Fujimoto kemudiannya terus menghasilkan karya Doraemonnya, sampailah ia terhenti pada tahun 1996 akibat kematiannya. Fujimoto yang ketika itu berusia 62 tahun meninggal dunia ketika masih dalam proses menulis skrip untuk filem Doraemon: Nobita and the Spiral City (1997).

Malangnya, kematian Fujimoto dah membuatkan cerita Doraemon tergantung tanpa pengakhiran. Disebabkan Fujimoto tak cerita dengan sesiapa pun macam mana dia nak akhirkan manganya ni, makanya wujudlah banyak tanda tanya dan teori.

Ada pihak yang cuba menamatkan siri ni dengan terbitkan doujin (cerita fan-made) seperti karya dari Nobuo Sato. Dalam karyanya ini, Nobita jumpa Doraemon dalam keadaan tak sedarkan diri dan rupa-rupanya Doraemon kehabisan bateri. Berbeza dengan robot lain, kalau bateri Doraemon diganti, ia akan membuatkannya hilang ingatan.

Doujin ni juga diterjemahkan dalam Bahasa Indonesia, klik imej kalau teringin nak baca. Imej dari Titiw.

Jadinya, Nobita pun mula belajar bersungguh-sungguh, sampai jadi Professor dan akhirnya berjaya menghidupkan semula Doraemon. Inilah pengakhiran Doraemon yang paling popular. Tapi, seperti mana yang dikatakan tadi, pengakhiran ni bukanlah yang sebenarnya datang dari Fujimoto.

2. Shin Chan – Kisah si budak nakal yang tiada pengakhiran

Watak-watak familiar yang selalu kita nampak pukul 7pm, hari Sabtu. Imej dari justwatch.com

Kalau pukul 7.30 pm kita tengok Doraemon, setengah jam sebelum tu kita mesti akan tengok anime si budak nakal ni. Mula diterbitkan pada tahun 1990, siri ni adalah karya seorang mangaka (kartunis) terkenal Jepun, Yoshito Usui. 

Ia mengisahkan tentang seorang budak berusia 5 tahun, Shinnosuke Nohara (Shin-chan) yang sangat nakal dan dalam masa sama agak matang dari kawan-kawannya yang lain. Boleh dikatakan, siri ini memaparkan kisah seharian Sin Chan bersama keluarga dan rakan-rakannya. Siri ini cukup popular, sampaikan ia dah diterjemah dan dialih ke dalam 30 bahasa. Malah, animenya turut disiarkan di 42 buah negara.

Tapi, pada 11 September 2009, peminat Shin Chan dah dikejutkan dengan kematian penciptanya, Usui yang menemui ajal ketika mendaki gunung. Polis percaya kematian Usui disebabkan dia terjatuh ke dalam gaung. Kehilangan Usui sangat dirasai oleh rakyat Jepun, sampaikan hampir 3,000 orang datang ke majlis pengebumiannya.

Yoshito Usui (tengah) terus dikenang atas usahanya membawa ketawa kepada orang ramai. Imej dari nihon.tistory

Bagaimanapun, siri manga ni tak dihentikan macam tu sahaja, apabila pasukan Usui meneruskannya dengan nama –  New Crayon Shin-chan! Tapi, kematian Usui juga menimbulkan pelbagai konspirasi tentang kisah sebenar Shin Chan ni. Ada yang kata Shin Chan dan adiknya dah mati dan apa yang dipaparkan itu cuma khayalan ibu bapanya.

Tapi teori macam ni kita tak boleh percaya sangat, malah hal tu dinafikan sendiri oleh penerbit siri ini, Katsuyuki Hayashi (boleh baca lanjut di sini). Apa yang pasti, kematian Usui sedikit sebanyak dah menimbulkan persoalan tentang bagaimana siri ini patut berakhir dan kenapa beliau memulakannya.

Imej dari Tenor.

3. Phoenix – Karya tergantung “bapa manga” dunia

Sebenarnya, ramai orang Malaysia yang tak tahu pasal manga ni. Imej dari Honey Anime.

Phoenix pula adalah karya agung ‘godfather manga’, Osamu Tezuka yang berjaya menghasilkan 12 volume manga ini. Setiap episod manga ini mengisahkan tentang pencarian kehidupan abadi yang melibatkan seekor burung mistik Phoenix.

Tezuka mula mencipta siri awal Phoenix ni sejak tahun 1954, tapi mula disiarkan pada tahun 1967. Tapi malangnya, pada tahun 1989, Tezuka telah meninggal dunia kerana kanser sebelum sempat menamatkan siri manga ini. Akhirnya, Phoenix hanya tinggal sebagai sebuah manga yang tergantung pengakhirannya, kerana tak ada seorang pun yang tahu niat sebenar macam mana Tezuka mahu menamatkannya.

Tezuka meninggalkan legasi Phoenix-nya yang terbengkalai setelah lebih 20 tahun berkarya. Walaupun demikian, Tezuka tetap dianggap sebagai “bapa manga” atas sumbangannya dalam menghasilkan banyak karya hebat lain seperti – Astro Boy, Black Jack dan Jungle Emperor Leo.

Tezuke bersama watak Astro Boy ciptaannya. Imej dari BFI.

Hebatnya Tezuka ni sampaikan, pengarah legenda Stanley Kubrick pernah menjemputnya supaya jadi pengarah seni filemnya – 2001: A Space Odyssey. Kubrick jemput Tezuka sebab dia kagum bila tengok – Astro Boy. Tapi, Tezuka terpaksa menolak pelawaan Kubrick itu, kerana tak dapat meninggalkan studionya selama setahun dan tinggal di England.

Kini legasi Tezuka diteruskan oleh anaknya – Makoto Tezuka yang juga merupakan pengarah filem dan anime.

4. Itazura na Kiss – penciptanya pergi ketika berada di puncak karier

Gaya lukisan tahun 1990-an. Imej dari Shojo Corner.

Itazura na Kiss adalah siri manga komedi romantik yang ditulis dan dilukis oleh Kaoru Tada. Mula disiarkan secara bersiri pada tahun 1990, manga romantik komedi ini mengisahkan tentang kehidupan seorang pelajar wanita Kotoko Aihara yang jatuh cinta dengan seniornya – Naoki Irie.

Tapi, masa tu jugalah Kotoko ditimpa nasib malang bila rumahnya runtuh disebabkan gempa bumi. Sementara tunggu rumahnya dibina semula, Katoko tinggal di rumah kawan bapanya yang rupa-rupanya bapa Naoki! Masa ni, bermula kisah cintan-cintun antara diorang berdua.

Apa yang pasti, karya Tada ni jadi cukup berjaya di Jepun, sampaikan boleh kata setiap remaja (terutamanya perempuan) baca manga ni. Nama Tada pun meningkat naik, dek kerana populariti manga ini. Bagaimanapun, sama seperti yang lain, malang tak berbau bila Tada meninggal dunia sebelum sempat menamatkan karyanya ini pada tahun 1999.

“Kaoru Tada meninggal dunia pada tahun 1999 akibat ‘ cerebral hemorrhage’. Semasa berpindah ke kediaman baru, dia terjatuh sebelum terhentak kepalanya ke meja marmar dan akhirnya koma. Tiga minggu kemudian, beliau meninggal dunia pada usia 38 tahun.” – Dipetik dari Fandom.

Kaoru Tada (tengah) pergi ketika puncak kariernya. Imej dari Pinterest.

Selepas kematiannya, siri manga ini tetap diteruskan dengan izin suaminya. Menurut penerbit siri ini, Shigeru Nishikawa – Tada ada memberitahunya tentang plot untuk pengakhiran manga dan konsep itu jugalah yang menjadi asas skrip animenya. Sehingga ke hari ini, manga ini telah diadaptasi ke TV drama dan filem. Untuk TV drama je, dah ada 4 versi iaitu Jepun, Taiwan, Korea dan Thailand.

5. The Familiar of Zero – diakhiri dengan rujukan nota mendiang penciptanya

Beza dengan manga-manga sebelum ni, manga ni terbit lepas tahun 2000. Imej dari Anime Motivation.

The Famliar of Zero adalah antara karya novel yang dihasilkan oleh Noboru Yamaguchi dan telah mula berada di pasaran sejak tahun 2004 hingga 2011. Ia mengisahkan tentang watak bernama Louise iaitu seorang yang teruk dalam magik dan selalu je magiknya tu gagal. Disebabkan itu jugalah, kawan-kawannya menggelarkannya sebagai – “Louise the Zero”.

Walaupun ia dalam bentuk novel, karya ini juga diterbitkan sebagai manga yang diilustrasikan oleh Nana Mochizuki. Pada tahun 2011, Yamaguchi dah disahkan menghidapi kanser, tapi dia tetap meneruskan usahanya untuk menamatkan karyanya ini. Bagaimanapun, pada April 2013 – Yamaguchi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan meninggalkan The Familiar of Zero tergantung tanpa penamat.

Ni je gambar Yamaguchi yang kitorang jumpa. Imej dari My Anime List.

Atas permintaan peminat dan keluarga Yamaguchi, dua volume telah dikeluarkan pada Februari 2016 dan Februari 2017 oleh penulis lain bagi menamatkan siri novel ini. Karya ini ditulis berdasarkan nota-nota yang ditinggalkan oleh Yamaguchi.

Dari apa yang kita dapat tahu ini, bukanlah mudah sebenarnya untuk sesuatu karya itu ditamatkan. Lebih-lebih lagi apabila si penciptanya telah tiada, tanpa memberikan sebarang petunjuk bagaimana karya harus ditamatkan. Tapi apa yang pasti…

Sebenarnya, industri manga Jepun pun tercabar sekarang ni

Kakashi sekarang lepak kat kedai manga je, lepas letak jawatan dari jadi Hokage ke-6. Imej dari The Japan Times.

Sebenarnya masih banyak lagi manga/anime yang masih berjalan sampai ke hari ni walaupun ada di antaranya yang dah berusia lebih 10 ke 30 tahun. Antaranya seperti  Captain Tsubasa (sejak 1981), JoJo’s Bizarre Adventure (sejak 1987), Detective Conan (sejak 1994),  Pokémon Adventures (sejak 1997) dan The Prince of Tennis (sejak 1999).

Jadi tak hairanlah kalau siri One Piece ini juga ambil masa yang lama untuk ditamatkan. Akan tetapi, apa yang dibangkitkan di Jepun sekarang ni, ada pihak di sana yang melahirkan kebimbangan mereka tentang masa depan industri manga/anime.

Ini kerana, bagi mereka – manga/anime Jepun sekarang dah tak macam dulu dan masalah timbul lagi bila tak adanya watak yang mewakili mereka seperti Dragon Ball dan Captain Tsubasa yang pernah menjadi fenomena dunia suatu ketika dahulu.

Kehahadiran webtoon Korea Selatan juga dilihat sebagai pesaing baru industri manga Jepun. Ini kerana, webtoon mula diterima di negara matahari terbit itu sampai menyebabkan ada pihak yang fikir – Jepun patut mengikut gaya webtoon pula.

“Malah di Jepun, terdapat beberapa perbincangan tentang manga Jepun yang mungkin berubah ke gaya webtoon… Tapi, manga Jepun mempunyai kekuatan sendiri yang dibina lebih dari 100 tahun – ia akan menjadi sia-sia untuk meninggalkannya.” – Jay Kim,  Kakao Japan Corp. Dipetik dari Japan Times.

Gaya webtoon Korea yang sekarang ni popularitinya mula meningkat. Imej dari SBS.

Tapi bagi sesetengah pihak, untuk industri manga digugat – ia masih lagi agak mustahil. Buktinya, pada tahun 2017 – jualan e-book manga mencecah 171.1 billion yen (US$1.57 billion). Jadi apa yang kita nak sekarang ni, diharapkan dapatlah Oda tamatkan karya One Piece-nya ini dalam masa 5 tahun. Sebabnya, berjuta peminat One Piece tak boleh dikecewakan begitu saja!

 

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.