- 205Share sekarang!
- Email3
- Facebook202
- Share
Ada masa dalam hidup ni, kita rasa macam semua benda tak kena. Tempat kerja stres, ada masalah dengan pasangan, kesihatan terganggu…
Bila tengok media sosial pula, kita dibanjiri dengan kebahagiaan orang lain. Tak pelik kalau kita rasa down dan terpikir: “Kenapa aku je yang struggle camni? Orang lain ok je. Hidup aku je ke yang banyak cabaran?”
Untuk fahami mindset rakyat bila ditimpa musibah dan strategi mereka untuk kekal waras sambil menghadapi dugaan hidup, kami bersama dengan Gardenia KL lancarkan “Survey Kalis Koyak 2023”.
Banyak data dan statistik yang kami dapat. Tapi sebelum kita terjah dapatan tersebut, jom tengok dulu siapa yang jawab survey kali ini:
- Jumlah responden: 1,020 orang
- Tempoh survey: 22 Mac – 5 Apr 2023
- Jantina responden: Lelaki (49%), Perempuan (49%), Lain-lain (2%)
- Lokasi responden: Paling ramai tinggal di Selangor/Putrajaya (48.2%) dan KL (19.4%). Selain Pulau Pinang (6.7%), kami menerima respon bawah 5% untuk setiap negeri lain termasuk Singapura.
- Umur responden: 31-35 tahun (23.2%), 26-30 tahun (20.1%) 21-25 tahun (18.7%), 36-40 tahun 14.2%; dan ada responden dari setiap peringkat umur termasuklah 0.3% responden bawah umur 17 tahun.
Jadi tanpa membuang masa lagi, ayuh kita ke dapatan pertama!
1. Zaman sekolah paling mencabar bagi rakyat Malaysia, terutamanya bagi anak orang kaya
Bila diminta untuk pilih zaman yang dirasakan paling mencabar bagi mereka, kebanyakan responden kami memilih:
- Zaman persekolahan (24.8%)
- Zaman pekerjaan (16.3%)
- Zaman universiti/kolej (16.1%)
Wah, apa yang susah sangat pasal sekolah sampai 1 dalam 4 responden pilih ni? Ramai yang menjawab ibu bapa (55.9%) dan kawan-kawan (52.6%) buatkan zaman tu bertambah susah, dan zaman tu diorang takde keyakinan diri (67.3%), rasa bersendirian (63.5%), dan rasa macam orang yang gagal (60.6%).
Jadi mungkin ada kaitannya dengan stress zaman persekolahan: tekanan untuk berjaya dari mak ayah, atau mungkin masalah buli/dipulau kawan-kawan.
Menariknya, responden yang membesar dalam keluarga kaya adalah 1.5x lebih cenderung untuk rasa zaman sekolah ni paling mencabar. Bagi yang membesar dalam keluarga yang miskin pula, diorang lebih cenderung rasakan yang zaman perkahwinan dan zaman menjadi ibu bapa lagi mencabar.
Selain itu, 15.8% rakyat Malaysia juga merasakan yang zaman kanak-kanak mereka tidak bahagia. Nampaknya, tekanan hidup bagi mereka juga bermula lebih awal kerana:
- 39.4% dari mereka tak nak jadi macam mak ayah mereka,
- 25.3% tak sabar nak pindah keluar, dan
- 16.3% kata pilihan mereka terhad dan mereka tak boleh hidup dengan cara sendiri
Jadi siapa yang harus dipersalahkan untuk kehidupan yang mencabar?
2. 46% responden sedar penyebab kesengsaraan diorang adalah… diri sendiri
Apabila kami minta diorang namakan siapa yang buatkan zaman mencabar diorang bertambah perit, nampaknya ramai menyalahkan diri mereka sendiri, dengan 46% memilih pilihan tersebut. Selain diri sendiri, orang lain yang mereka sebut adalah:
- Ibu bapa (36.8%)
- ‘Rakan-rakan’ (28%)
- Adik-beradik dan kaum kerabat (20.6%)
- Majikan (19.9%)
Selain itu, kami juga check stereotaip mertua dari neraka: betul ke mertua banyak menyusahkan pasangan?
Di kalangan responden yang sudah atau pernah berkahwin, cuma 10% memilih mertua sebagai penyusah hidup.
- Bagi yang sudah berkahwin tapi belum ada anak, angka tersebut hanyalah 4%.
- Bagi yang sudah bercerai pula, angka tersebut meningkat 2 kali ganda – 21.4% rasa mentua menyusahkan
- Wanita juga 3 kali lebih cenderung rasa mentua memberi dugaan dalam hidup mereka berbanding lelaki
3. Di titik rendah mereka, 27% responden pernah terfikir nak bunuh diri
Apabila kami tanyakan apa titik paling rendah mereka semasa mengharungi zaman gelap, kebanyakan responden paling terkesan dengan perasaan negatif yang dialami semasa tempoh tersebut:
- 57.7% hilang keyakinan dan nilai diri mereka
- 56.4% rasa seperti orang yang gagal
- 51.8% rasa seperti mereka kena hadapi semuanya sendiri
- 50.4% rasa seperti hidup mereka tak ada makna dan hala tuju
- 42.7% rasa kesihatan mental mereka terganggu
Paling menyayat hati, 27% responden kami mengakui yang mereka pernah terfikir atau cuba untuk bunuh diri. Jumlah ini meningkat di kalangan kaum wanita (33.7%) dan penutur dialek Cina (31.9%). Golongan ini juga secara purata lebih cenderung untuk mengalami tekanan dari segi lain, contohnya:
- 87% dari mereka juga merasa mereka tiada tujuan hidup
- 77% peratus dari mereka juga berdepan dengan masalah kesihatan mental
- 71% sering merasa sunyi
Selain itu, kaum wanita juga lebih cenderung untuk mengatakan kesihatan mental mereka terganggu berbanding lelaki (51.3% vs 34.1% lelaki), serta lebih cenderung untuk terfikir atau cuba untuk bunuh diri (33.7% vs 20.1% lelaki).
Jatuh ke titik rendah memang menyeramkan, jadi macam mana nak hadap kalau dah jatuh ke tahap tu?
4. Majoriti atasi cabaran mereka dengan sikap “hadap je bro”
Bunyinya macam pelik, tapi tiga pilihan teratas bagi responden kami bila ditanya macam mana mereka bertahan semasa zaman gelap adalah
- Sekadar berharap masalah bakal berlalu suatu hari nanti (49.4%)
- Berserah pada Tuhan (43.5%)
- Mengelak dari berfikir tentang masalah (40.5%)
Begitu santai! Tapi ini hanyalah data secara umum. Bila kami lihat secara lebih teliti, ramai juga responden yang menggunakan taktik yang memudaratkan untuk menangani tekanan hidup, antaranya:
- Makan berlebihah 23.70%
- Merokok / v a p e 13.44%
- Lepaskan amarah dekat orang lain / cepat naik tangan. 10.26%
- Cederakan diri sendiri 8.96%
- Minum arak 8.84%
- Ambil bahan terlarang 2.83%
Selain itu, 11% rakyat Malaysia juga berjumpa pakar terapi & psikologi, dan 10% suka membeli-belah untuk melepaskan stres.
Menurut jantina pula, lelaki lebih cenderung untuk bertahan dengan gunakan alkohol (11.4% vs 6.5% wanita), merokok atau vape (17.1% vs 9.7% wanita), dan mula bersenam (20.7% vs 14.7% wanita). Manakala wanita pula lebih kebarangkalian untuk jumpa pakar terapi (14.4% vs 9.3% lelaki), membeli belah (14.7% vs 4.8% lelaki), dan mengadu nasib pada yang sudi mendengar (30.2% vs 19.5% lelaki).
Bagaimana pula dengan cara mereka keluar dari zaman gelap mereka? Majoriti (51%) mengambil langkah untuk bertahan selagi boleh hadap, dan lain-lain usaha yang popular diambil responden kami termasuklah
- Ubah diri menjadi orang yang lebih baik (45.8%)
- Akui yang mereka perlukan pertolongan (22.1%)
- Jadi lebih tegas (20.2%)
- Mulakan hidup baru di tempat lain (19.4%)
Sungguhpun begitu…
5. Hanya 19% responden kami yang kecapi bahagia sekarang
Berapa ramai yang berjaya lepasi cabaran mereka? Ramai juga sebenarnya: cuma 2.7% responden kami gagal keluar dari zaman mencabar mereka. Kebanyakan (51.1%) masih berusaha ke arah itu, dan 46.2% sudahpun bebas.
Akibat cabaran mereka, responden kami juga mengalami kesan jangka panjang baik dan buruk: paling biasa di kalangan mereka adalah
- Dapat perspektif baru tentang kehidupan (53%)
- Jadi susah nak percaya dengan orang lain (40.7%)
- Jadi lebih bertolak ansur dengan orang lain (33.9%)
Menariknya, responden lelaki kami lebih cenderung untuk jadi lebih kaya selepas cabaran (7.8%, berbanding 3.8% wanita), namun mereka juga lebih cenderung untuk dapat ketagihan (8.7% berbanding 3.2%) wanita.
Selain itu, pengajaran paling bererti yang responden kami dapat dari dugaan hidup mereka adalah:
- Tak ada orang boleh tolong mereka melainkan diri sendiri: 32.3%
- Mereka perlukan Tuhan untuk tunjukkan jalan: 11.2%
- Ada hikmah di sebalik setiap musibah: 8.6%
Yang paling penting sekali, adakah sinar di hujung jalan? Bila ditanya sama ada mereka bahagia sekarang, hanya 19.1% menyatakan yang mereka bahagia. 35% berpuas hati dengan hidup mereka walaupun tak bahagia sangat, dan 40% masih berusaha ke arah bahagia. Cuma 5.7% merasakan yang hidup mereka langsung tak bahagia.
Yang paling bahagia nampaknya kumpulan yang sudah berkahwin dan beranak: 33.1% dari mereka menyatakan yang mereka bahagia, berbanding 19.1% responden lain.
Yang membawa kita ke dapatan terakhir yang agak menarik…
6. Hampir 1 dari 4 orang akan rasa murung bila melihat kebahagiaan orang lain di media sosial
Adakah korang takut nak upload gambar baby, kereta, atau percutian di media sosial sebab takut orang meluat? Sebenarnya, 32.3% responden turut rasa gembira bila tengok bebahagiaan orang lain, tapi 23% pula kadang-kadang rasa murung dan down dengan diri sendiri, manakala 18.2% tidak mengalami apa-apa perasaan.
Jika dilihat dari segi bahasa yang digunakan, penutur dialek India paling cenderung untuk turut bahagia melihat kebahagiaan orang lain (43.4%), manakala penutur dialek Cina dan Bahasa Melayu pula lebih cenderung untuk mengatakan yang hidup ni bukanlah untuk dibanding-bandingkan (31.7% & 44%), jadi diorang okay je la.
Selain dari itu, kami turut tanyakan jika mereka diberi peluang untuk kembali ke zaman gelap dan ubah kehidupan mereka berdasarkan apa yang mereka tahu hari ini, adakah mereka akan ambil peluang tersebut? Kebanyakan (33.7%) akan kembali, manakala 27.4% tidak akan kembali kerana kesilapan dahulu membentuk mereka yang hari ini.
Jadi kesimpulannya…
Hidup tak lepas dari cabaran, yang penting kita boleh mengatasinya
Bak kata pepatah, laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Begitulah juga dengan hidup kita. Setiap orang tidak lepas dari menghadapi kesukaran dan masa-masa gelap dalam hidup, jadi penting untuk kita belajar cara bangkit semula. Hidup mesti diteruskan!
Bagi responden kami, kebanyakan mereka ada strategi untuk kekalkan semangat masing-masing untuk terus hidup, dan yang paling popular adalah:
- Menghadapi setiap hari satu demi satu (48.6%)
- Letakkan matlamat yang lebih mudah dicapai (37.3%)
- Berehat atau ambil cuti untuk tenangkan diri (29.4%)
Namun, setiap orang ada cara mereka sendiri. Ada yang menggunakan kerisauan terhadap apa yang akan berlaku jika mereka tak berusaha (16.8%), ada yang berkawan dengan orang yang lebih berjaya (6.8%), dan ada juga yang mendengar ceramah dan baca buku motivasi (16%).
Walau apa pun cabaran yang menimpa korang, kami harap korang tabah menghadapinya dan berjaya mencari rakan dan keluarga yang akan terus menyokong dan mewarnai kehidupan korang. Lagipun, cabaran itulah yang membentuk jati diri kita.
Rakan kami dari Gardenia KL juga ingin berkongsi sedikit inspirasi melalui perbincangan panel Gardenia “Wellness Begins at Home”. Di sini, mereka berbual bersama pemegang pingat Olimpik, Dato Azizulhasni Awang, seorang rakyat Malaysia yang dibentuk oleh dugaan hidup beliau. Perbincangan ini juga bakal meneroka bagaimana beliau mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa walaupun berdepan dengan pelbagai masalah kesihatan. Korang boleh menonton perbincangan tersebut di sini:
Semoga bermanfaat!
- 205Share sekarang!
- Email3
- Facebook202
- Share