- 699Share sekarang!
- Email4
- Facebook695
- Share
Baru-baru ni tular di media, pasal sindiket penipuan sebuah syarikat yang kononnya menjalankan aktiviti pajak kereta. Dikatakan kira-kira 500 pemilik kereta telah ditipu oleh sindiket berkenaan.
Kontroversi mula timbul bila pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan mereka yang teraniaya ni serbu syarikat tu untuk ambil balik kereta diorang. Maka berlakulah kekecohan di antara pihak PPIM dan pihak syarikat berkenaan. Polis juga nampaknya dah buka kertas siasatan tentang perkara ni.
Sebenarnya, di Malaysia ni kita ada akta yang dikenali sebagai Akta Sewa Beli 1967 (klik PDF). Akta inilah yang digunakan ketika adanya perjanjian sewa beli (hire purchase). Jadinya, kalau ikut perjanjian sewa beli, ia bermakna…
Kereta bukan milik kita selagi kita belum habis bayar
Dalam sistem sewa beli ni, kita akan membeli sesuatu barang dengan cara kredit atau berhutang dengan pihak syarikat kewangan (bank). Kita boleh beli apa je dengan cara sewa beli termasuklah kenderaan macam kereta, motorsikal dan mana-mana kenderaan yang berat beban maksimumnya tak melebihi 2,540kg.
Istilah ‘sewa beli’ jugak selalunya dikenali sebagai ‘pinjaman kereta’. Dalam sistem ni pembeli adalah penyewa dan bank pulak adalah pemilik kenderaan. Maksudnya, kita membuat pinjaman dengan bank untuk beli sesebuah kenderaan dan perjanjian yang kita tandatangan tu adalah perjanjian sewa beli dengan bank.
Kita akan bayar deposit dan bakinya pulak kita akan bayar dengan cara ansuran bulanan. Oleh itu, selagi mana ansuran bulanan tu tak habis dibayar (mengikut berapa tahun yang ditetapkan), selagi itulah kenderaan tu bukan milik kita tapi milik bank. Kita hanya akan dapat pemilikan kenderaan tu bila kita dah habis bayar dengan pihak bank.
“Ini bermaksud, bila ada perjanjian akta sewa beli ini, pembeli tidak boleh menjual kepada pihak ketiga. Sekiranya mereka jual, sama ada diperdaya sehingga wujudnya perjanjian sewa beli atau pajakan ia adalah tidak sah.” – Datuk Hishamuddin Hashim, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM. Dipetik dari Sinar Harian.
Dengan kata lain, selagi mana kita masih terikat dengan perjanjian sewa beli, kenderaan kita tu tak boleh dijual atau dipajakkan dengan mana-mana orang atau syarikat. Sebabnya, perjanjian asal hanya membabitkan dua pihak iaitu di antara kita dan pihak bank je. Jadi, macam mana pulak dengan kaedah sambung bayar?
Kaedah sambung bayar pun penuh dengan risiko
Mungkin ada di antara kita yang mungkin pernah buat benda ni untuk tolong kawan atau sedara mara yang berada dalam kesusahan. Jadinya, kita pun buatlah sambung bayar kenderaan tanpa bagitahu kat pihak berkuasa dan bank.
Sebenarnya perkara ni sangat bahaya dan berisiko. Ini kerana, sambung bayar kenderaan tanpa menukar hak milik boleh mendatangkan banyak masalah. Walaupun mungkin ada perjanjian di antara pemilik dan si penyambung bayar, tapi dari segi undang-undang, pemilik tadi masih ada kuasa mutlak ke atas kenderaan berkenaan.
“Keadaan akan menjadi lebih rumit jika tuan punya asal kenderaan meninggal dunia. Waris yang layak boleh mengabaikan apa juga perjanjian yang termeterai dengan tuan punya asal kenderaan sebelum itu dan berhak menuntut kenderaan pada bila-bila masa. Ternyata orang yang menyambung bayar kenderaan tidak boleh berbuat apa-apa selain menyerahkan kenderaan tersebut apabila dituntut oleh waris, padahal anda yang membayar ansuran bulanan. Tidak adil bukan?” – Dipetik dari Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).
Kalau kenderaan tadi dicuri atau terlibat dalam kemalangan pulak, segala tuntutan insuran hanya boleh dibuat oleh pemilik dan bukannya si penyambung bayar. Jadinya dalam hal ni, lebih baik untuk kita tak ambil risiko dan jalan yang terbaik adalah kita kena tukar dulu hak milik kenderaan dan berunding dengan pihak bank.
“Pilihlah langkah yang selamat dan tidak merugikan anda. Janganlah mengambil risiko menyambung membayar kenderaan tanpa menukar hak milik kerana tiada sesiapa pun boleh meramal apa yang bakal berlaku di kemudian hari.” – Dipetik dari Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).
Diperdaya untuk pajak kereta dan akhirnya ditipu
Jadinya, apa yang menimpa kira-kira 500 pemilik kereta baru-baru ni adalah apabila diorang diperdaya untuk memajakkan kereta diorang kepada sebuah syarikat yang dikenali sebagai AGR Auto Trade Sdn Berhad (AGR). Modus operandi syarikat ni adalah
- Syarikat tu akan jalankan perniagaan sewa kereta dengan kereta yang kita pajakan itu.
- Keuntungan dari sewa berkenaan kemudiannya akan dibayar (dalam jumlah tertentu) kepada si pemajak kereta.
- Melalui keuntungan tu jugak, syarikat berkenaan akan bayar sekali ansuran bulanan kereta yang dipajak.
“Mereka (syarikat berkenaan) menjadikan pajak ini sebagai perniagaan. Jadinya akan ada imbuhan untuk kami selain daripada mereka selesaikan ansuran kereta kami secara bulanan…saya pajak dari tahun 2004, pada tahun 2007 bayarannya dah tak cantik. Bayaran terakhirnya pada bulan dua (lepas) dan bayaran itu pun tak penuh. Info terakhir yang saya dapat kereta saya itu kemalangan dan tak tahu berada di bengkel mana. Sampai sekarang pekara itu tergantung.” – Estino Rosli, mangsa syarikat pajakan kereta. Dipetik dari Sinar TV.
Tapi seperti yang dikatakan di awal tadi, harapan diorang tu musnah bila syarikat tadi tak bayar ansuran bulanan kenderaan kepada bank seperti mana yang dijanjikan. Malah, ada di antara diorang yang berkemungkinan akan muflis disebabkan perkara ni. Diorang jugak dikatakan tak terima bayaran dari syarikat tersebut sejak Disember tahun lalu.
“Hampir 500 pemilik kenderaan membabitkan kira-kira 1,500 kereta menjadi mangsa penipuan ini….Mangsa dijanjikan dengan pelbagai imbuhan menarik seperti syarikat menanggung bayaran bulanan kepada bank dan kemudiannya memberi bayaran tambahan kepada mereka.” – Yusof Azmi, Ketua Unit Tindakan Khas PPIM. Dipetik dari BH Online.
Oleh itu, nasihat yang terbaik dalam hal ini adalah, bila kita ada masalah pembayaran dengan pihak bank, kita tak sepatutnya cari jalan mudah dengan cara yang macam ni. Ini kerana, setiap pinjaman ada kontrak dan dalam kontrak memang tak boleh dipajak, disewakan atau diniagakan. Kalau kita langgar kontrak, lagi macam-macam masalah akan jadi.
“Tidak ada konsep penyewa atas penyewa dari segi undang-undang dan tidak ada surat kontrak yang boleh ‘over ride’ kontrak asal dengan pihak bank. Pihak bank memberi pinjaman kepada kita atas dasar kapasiti kewangan kita, bukan atas dasar kapasiti syarikat pemajak. Risiko pihak bank ialah kepada diri kita, dan kita tidak ada hak untuk memindahkan risiko itu kepada syarikat pemajak.” – Dipetik dari Careta.my.
Disebabkan banyak aduan dilaporkan kepada pihak PPIM. Makanya, PPIM bertindak menyerbu syarikat berkenaan. Tapi masalah sekali lagi timbul bila tindakan PPIM tu dianggap sebagai menceroboh dan berkelakukan seperti gangster.
Boleh ke PPIM buat macam tu?
Disebabkan serbuan tu, pihak polis nampaknya telah menerima laporan dari syarikat tersebut yang mendakwa pihak PPIM menceroboh syarikat diorang. Polis juga telah membuka satu kertas siasatan mengenai perkara ini.
Bagaimanapun, dakwaan tu disangkal oleh PPIM. Ini kerana, PPIM melakukan serbuan tu untuk membantu pihak pengadu mendapatkan hak mereka. Menurut Yusuf Azmi, pihak PPIM dah terima aduan tentang perkara ni sejak bulan April yang lepas. Pihak PPIM jugak dah bagi tempoh pada syarikat berkenaan untuk melunaskan segala hutang yang tertangguh. Walaupun pada asalnya pihak PPIM tak ada pun kuasa untuk buat macam tu.
Apa yang jadi persoalan, menurut Yusuf, laporan ke atas syarikat itu dah dibuat oleh lebih dari 500 orang mangsa. Laporan tu pulak dilakukan lebih dari tiga kali. Tapi tindakan masih belum diambil. Kerana itulah, pihak PPIM mengambil langkah menyerbu syarikat berkenaan. Persoalan juga muncul macam mana syarikat tu boleh simpan kereta-kereta ni walaupun ia sebenarnya menyalahi undang-undang dan Akta Sewa Beli.
“Jika diselesaikan dari peringkat awal, tak wujud lah cerita PPIM ni. Tapi masalahnya perkara ini tak selesai. Report polis telah dibuat, dibuat dan dibuat, tapi kereta tetap ada di situ (syarikat berkenaan), pengadu sudah tak ada jalan penyelesaian. Jadinya pengadu telah datang ke PPIM dan kita pergi (ke syarikat itu) pun bukan pergi sebagai kita, kita pergi sebagai pemudah cara, untuk membawa pengadu mengambil kereta mereka sendiri, bukan kita ambil kereta diorang.” – Datuk Hishamuddin Hashim, Pengerusi Biro Undang-Undang PPIM. Dipetik dari Sinar TV.
https://www.youtube.com/watch?v=-m9WQooagxA
Untuk berlaku lebih adil, kitorang cuba bertanya soalan ini kepada peguam Fahri Azzat. Menurut Fahri, apa yang dilakukan oleh PPIM itu walaupun berniat baik untuk menolong mangsa, tapi ia sebenarnya masih lagi salah di sisi undang-undang.
“Bagi premis peribadi/private, pemilik tanah ada hak tentukan siapa boleh masuk. Kalau PPIM tidak diberi kebenaran masuk, maka mereka menceroboh…Kegagalan polis mengambil tindakan tidak mengakibatkan mereka ada hak mengambil penguatkuasaan undang-undang dalam tangan mereka. Tak ada peruntukan begitu….Ada juga caranya untuk memaksa polis mengambil tindakan – secara semakan kehakiman.” – Fahri Azzat, Peguam. Katanya kepada SOSCILI.
Walaupun begitu, pihak polis sebelum ni ada mengatakan yang syarikat tu beroperasi di atas lot tanah yang dimiliki oleh beberapa individu. Tapi polis masih lagi lakukan siasatan sama ada tanah tu disewakan kepada syarikat berkenaan. Tapi apa yang pasti, pihak polis tetap akan jalankan siasatan ke atas PPIM yang ambil tindakan sendiri tanpa merujuk kepada pihak polis dahulu.
Tindakan pihak bank yang tak tarik kereta juga jadi persoalan
Selain dari penipuan yang dilakukan oleh syarikat pajak kereta ni, ada juga persoalan yang ditimbulkan oleh PPIM. Ia termasuklah tindakan pihak bank tidak tarik kereta yang terbabit dengan skim pajakan kereta ini, walaupun bayaran ansuran bulanan kereta tu dah tertunggak sampai tujuh bulan. Jika ikut kelaziman, kenderaan akan ditarik kalau kita gagal bayar dua ansuran bulanan secara berturut-turut.
“Saya tidak faham mengapa bank yang mempunyai kuasa mengarahkan ejen penarik kereta gagal mengambil kereta daripada syarikat ini sedangkan mengikut perjanjian sewa beli, kenderaan ini masih di bawah bank. Sepatutnya ini tidak harus berlaku.” – Yusof Azmi, Ketua Unit Tindakan Khas PPIM. Dipetik dari Utusan Online.
Yusuf juga mendakwa yang syarikat pajakan kereta tu dapat perlindungan dari ajen penarik kereta. Dalam waktu sama, Yusuf juga mendakwa yang syarikat tu masih lagi menyimpan dan sembunyikan 1,444 buah kereta yang masih belum dapat dipastikan lokasinya.
PPIM juga mendesak pemilik syarikat itu yang dikenali sebagai ‘Datuk Kabi’ disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini kerana, tak ada tindakan yang diambil terhadapnya walaupun terlibat dalam kes penipuan syarikat pajakan kenderaan.
PPIM jugak pelik kerana 1,000 laporan polis dah dibuat, tapi masih tak ada sebarang tindakan dari pihak polis. Bagaimanapun, dakwaan yang kata polis tak ambil tindakan dan tak siasat laporan dinafikan oleh Ketua Polis Negara. Pihak polis juga menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes ini.
“Bila ada laporan, kita cari saksi, rakam percakapan… kita kena jalankan siasatan, kumpul keterangan sebelum memajukannya siasatan itu kepada pejabat Peguam Negara untuk mereka buat keputusan seterusnya sama ada nak tuduh (di mahkamah) atau tidak.” – Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara. Dipetik dari Harian Metro.
Melalui tinjauan kami, banyak juga syarikat yang menawarkan khidmat pajak kereta ni kat internet. Tawaran yang dibagi pun boleh tahan:
Jadinya, kemungkinan kenapa diorang ni sanggup nak pajak kereta adalah sebab tawaran yang lumayan, selain nak cari duit tambahan. Apa taknya, dah la tak payah bayar ansuran kereta bulan-bulan, dapat lagi duit pulak tu.
Pengguna kena jadi lebih bijak sebelum buat keputusan
Apa yang terjadi dalam kes pajak kereta ni adalah satu dari banyak kes-kes penipuan yang wujud di negara ni. Macam-macam penipuan yang ada sekarang macam gores & menang, love scam, penipuan jualan online, penipuan harga barang dan banyak lagi. Menurut laporan, pada tahun lepas je, kerugian akibat love scam mencecah RM98.98 juta, dan kerugian akibat penipuan melalui telekomunikasi (SMS, telefon, email dan sebagainya) juga mencecah sebanyak RM52.98 juta.
Oleh itu, kita sebagai pengguna sepatutnya menjadi lebih bijak dalam berhadapan dengan kes-kes yang macam ni. Janganlah hanya nak mendapat keuntungan tak seberapa, kita sanggup berhadapan dengan risiko yang lebih besar.
Selain tu, para pengguna juga boleh membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna (NCCC). Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan nasihat dari pihak-pihak NGO pengguna seperti Persatuan Pengguna Negeri, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), malah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sendiri.
- 699Share sekarang!
- Email4
- Facebook695
- Share