Jenayah & Undang-undang

Benda-benda meragukan di sebalik perniagaan Boy Iman dari dulu lagi

Kalau korang kaki media sosial, mustahil korang tak tahu tentang penangkapan Boy Iman atau nama sebenarnya Norul Iman Abd Rahman berkaitan kes penipuan rumah kos rendah.

Bagi sesiapa yang tak mengenali Boy Iman, dia ni merupakan seorang pelakon popular sekitar awal 2000-an dulu. Antara filem yang paling gempak yang pernah dibintangi oleh Boy Iman adalah  filem Kem 505 dan filem Blok 404. Fuhh, kami rasa dari tajuk filem korang dah boleh agak kedua-dua ni filem seram thriller.

Boy Iman sendiri mengakui kariernya sebagai pelakon semakin merudum. Oleh sebab itu, dia pun mula menceburi dunia bisnes dengan menjual minuman dan produk kesihatan menggunakan label AFS Konsortium. Lepas tu dia juga membuka syarikat penerbitan yang diberi nama AFS Pictures Sdn Bhd. Hahh. Sebab itulah agaknya Boy Iman ni lama menghilang, tengah fokus berniaga!

“Untung rugi itu adalah lumrah dalam melakukan apa jua perniagaan. Itulah risiko yang perlu diambil dan bersedia menghadapinya. Dari situ juga kita boleh menimba pengalaman dan meningkatkan pengetahuan kerana semua itu tidak boleh diperoleh dalam sekelip mata. Saya akui, pernah terbit rasa putus asa untuk meneruskan perniagaan yang dilakukan, tetapi atas dorongan kawan-kawan dan isteri, saya tekad untuk kuatkan semangat dan Alhamdulillah, perniagaan saya semakin maju dan berkembang.” –Dipetik daripada Utusan.

Nama Boy Iman mula disebut semula sekitar tahun 2015 apabila dia dikatakan sedang hangat bercinta dengan kakak Emma Maembong. Hubungan Boy Iman dan Effa Maembong itu mendapat pelbagai reaksi netizen, lebih-lebih lagi ketika itu Boy Iman tu bukan single, dia masih bersama bekas isteri pertamanya.

“Isteri tahu saya sedang berkawan dengan Effa dan mereka pernah bertemu semasa anak kami dimasukkan ke hospital dan isteri menerima kehadiran Effa dengan baik. Paling mengejutkan saya, mereka berdua pula menjadi semakin akrab sejak pertemuan itu dan mereka juga pernah beberapa kali keluar bersama sehingga membuatkan saya keliru kerana isteri sepatutnya berasa marah terhadap saya.” – Dipetik daripada Mstar.

Gambar selfie yang diambil ketika gosip diantara Boy Iman dan Effa Maembong hangat diperkatakan. Foto dari mynewshub.

Dapat anugerah Datuk dan PhD mee segera?

Betul ke Boy Iman dapat gelaran Datuk dan PhD Mee Segera? Foto dari Giphy.

Satu Malaysia gempar bila Boy Iman dapat gelaran Doctor of Philosophy dalam satu majlis. Ramai mendakwa Boy Iman beli PhD palsu, memandangkan sekarang ni ramai orang berniaga PhD palsu. Tapi mengikut Boy Iman:

“Ijazah diterima sebenarnya ijazah doktor kehormat dalam bidang sosial dan kemanusiaan yang sepatutnya diterima oleh penasihat syarikat saya. Namun atas alasan tertentu, saya bagi pihak penasihat syarikat diminta menerima anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan kepada kolej berkenaan yang berbesar hati menganugerahkan ijazah doktor ‘kehormat’.

Justeru, saya tidak mahu mempertikai kolej yang mempunyai jaringan pendidikan dengan sebuah universiti di Chennai, India itu. Tetapi saya hormat dan menghargai pengiktirafan mereka itu.” –Dipetik daripada Utusan.

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Majlis Konvokesyen yang mengundang banyak kritikan. Foto dari suria.my.

Betapa powernya Boy Iman ini, dia bukan sekadar pernah menerima ijazah doktor kehormat, tapi dia juga turut mempunyai gelaran Dato’! Dia siap upload sebijik gambar di pagar istana melalui akaun media sosialnya. Apa lagi, berduyun-duyun orang melakukan kecaman dan bertanya – kenapa bergambar di hadapan pagar istana?

Tunggu pagar tu buka agaknya. Foto dari beautifulnara.

Boy Iman ada jawapannya yang tersendiri. Kali ini dia menjelaskan bahawa anugerah Datuk yang diterimanya datang daripada Pahang.

“Gelaran Datuk saya sah dan saya terimanya dari negeri Pahang. Sepatutnya saya dapat penganugerahan ini pada waktu yang sama Datuk Nassier Wahab menerimanya di Istana Abu Bakar di Pekan Pahang. Namun atas beberapa sebab, tarikh baru diberikan dan ia dilangsungkan di ibu kota. Cuma saya harap penganugerahan ini dapat menebus balik maruah saya yang diperkotak katikkan selama ini.” – Dipetik daripada BuzzingMalaysia.

Boleh percaya?. Foto dari giphy

Pendedahan penipuan DBI Properties

Syarikat yang paling mencetuskan kontroversi milik Boy Iman adalah DBI Properties, syarikat yang menawarkan rumah dengan harga yang rendah. Korang boleh check out sendiri tawaran yang ada kat sendiri website rasmi syarikat ini. Paling mernarik perhatian rumah mampu milik dengan harga promosi RM50,000! Fuyohh, kami pun nak tiga bijik!

Tapi kalau korang baru bercita-cita nak dapatkan rumah semurah ni, sorry, korang dah terlambat. Syarikat DBI Properties Shd Bhd baru umumkan, mereka dah batalkan promosi RM50,000 ni. Nak buat kajian semula katanya.

Contoh iklan DBI Properties. Apa macam? tertarik? Foto dari blog farizasaidin

Awal-awal dulu, tak ramai orang nak ambil tahu tentang DBI ni, sebab kes ni tak adalah popular mana, tak ramai yang tampil sehingga isu ni jadi viral. Antara pihak yang memainkan peranan besar dalam mengetengahkan isu ni adalah page PW Community.

“DBI bukan yang pertama menawarkan rumah pada harga rumah mampu milik, malah ada syarikat lain turut melakukan perkara yang sama sebelum ini iaitu Alfafa. Syarikat tersebut juga turut melantik Boy Iman sebagai duta dan kini dia telah menukar jenama pembohongan Alfafa kepada DBI Homes.” – Petikan dari Mstar.

Kalau korang nak tahu, lebih mencurigakan SIRIM sendiri telah menafikan adanya kerjasama dengan DBI Propeties memandangkan logo mereka ada pada poster promosi jualan rumah.

Dah macam drama petang-petanglah pulak kan? Nafi sana, nafi sini, kemudian jawab sana, jawab sini. Tak cukup dengan SIRIM, Noh Omar juga pernah dikaitkan dengan syarikat ini. Kemudian beliau menafikan sebarang penglibatan dengan DBI Properties.

Penafian Noh Omar tentang penglibatan beliau dengan DBI Properties. Foto dari Hartabumi.

Penglibatan Persatuan Pengguna Islam Malaysia

Bagi sesiapa yang tak kenal lagi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini kami akan kongsikan bagaimana mereka berjaya viralkan isu ini sehingga korang dapat tahu. Berkat usaha gigih mereka, satu pertemuan di antara Boy Iman dan lebih kurang 100 pengadu telah dilaksanakan pada 19 September lepas. Menurut salah seorang wakil PPIM, mereka bertindak sebagai orang tengah dan pemudah cara.

“Selama dua tahun kononnya projek itu berlangsung namun hanya dua atau tiga rumah saja yang siap. Selebihnya tiada perkembangan, jadi tugas kami di sini adalah ingin memudahkan urusan pengadu membuat tuntutan sivil dan mendapatkan wang mereka semula.”
– Dipetik daripada MalaysiaKini

Kalau nak bercerita tentang PPIM, tak sah kalau kami tak ceritakan korang tentang Yusuf Azmi, ahli Unit Tindakan Khas yang begitu menonjol ingin membantu mangsa-mangsa yang ditipu. Kalau korang tengok video-video beliau membela mangsa-mangsa ni, macam hero hindustan ohhh. Kami yang menonton pun jadi bersemangat.

Pernah sekali Yusuf Azmi mengamuk akibat mendapat jawapan yang tak masuk akal daripada wakil DBI. Dah lah pertemuan itu disiarkan secara live di Facebook, sah-sah video itu menjadi viral dalam sekelip mata.

Apabila kami tengok komen-komen kat video tu, ramai je sokong tindakan Yusuf Azmi, sebab katanya mereka memang suka putar belit. Pada malam yang sama  Yusuf Azmi mohon maaf.

Untuk makluman korang juga, PPIM telah dihalang untuk masuk ke sidang media DBI. Sidang media yang bertajuk “atas nama kebenaran” katanya nak jemput pelanggan-pelanggan DBI je. Apabila dapat jawapan macam tu, Yusuf Azmi pun katalah yang mereka wakil lebih 400 pelanggan yang ditipu.

Apabila gagal untuk masuk ke sidang media tersebut, Yusuf Azmi sempat pula bertanya kepada isteri Boy Iman memandangkan Boy Iman tidak hadir ke sidang media tersebut. Apa lagi, gaduh mulutlah jawabnya. Isteri Boy Iman menafikan sebarang penglibatannya dengan perniagaan suami.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=11&v=nU8ric_Ux5E

DBI nak buat teater Kontena 404 di Istana Budaya

Kalau korang nak tahu, DBI akan buat teater dekat Istana Budaya. Teater komedi seram ini ditulis oleh Raja Azrey dan akan menampilkan beberapa artis tanah air seperti Tauke Jambu, Miera Liyana, Adam AF dan Lokman Harmin. Teater ini mendapat kecaman daripada ramai orang kerana didakwa menggunakan wang hasil daripada penipuan projek rumah kos rendah.

Poster teater kontena 404, siap ada gambar Rani Kulop tu! Foto dari MalaysiaKini

Apabila mendapat kecaman ramai, wakil Istana Budaya iaitu Abang Joe memberikan respon mengatakan teater tetap akan diteruskan memandangkan Boy Iman belum didapati bersalah oleh pihak mahkamah.

“Pihak IB sebagai penyedia lokasi tidak mahu campur tangan dalam kes penipuan jualan rumah yang dikaitkan dengan Boy Iman. Syarikat berkenaan (DBI Entertainment) telah membayar sewa dan membuat tempahan, justeru kami tidak mahu mengambil risiko berdepan tindakan undang-undang hanya disebabkan kontroversi mengaitkan namanya. Setakat ini Boy Iman pun belum diputuskan oleh mahkamah sebagai bersalah.”– Dipetik daripada MalaysiaKini.

Kalau didapati bersalah pun boleh je belakon teater lagi. Foto dari Giphy.

Kalau korang nak tahu, syarikat DBI pun ada lakukan aktiviti tanggungjawab koperat tau! DBI pernah taja atlet negara iaitu Nik Fariezal Erman Nik Abd Hadi yang bertanding dalam acara lompat kijang pada edisi Sukan SEA yang lepas. Syarikat DBI berikan tajaan dalam bentuk barangan sukan dan wang tunai. Kata Boy Iman,

“Kami sangat berbesar hati dan berbangga kerana dapat menaja atlet muda yang menjadi sumber inspirasi rakyat Malaysia untuk bertanding pada kejohanan berprestij di rantau Asia Tenggara ini. Nik Fariezal juga membuktikan impian kita mampu menjadi kenyataan jika berusaha bersungguh-sungguh biarpun berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan.” – Dipetik daripada Berita Harian.

Kami doakan kejayaan Nik Fariezal dalam kerjaya sebagai atlet lompat kijang! Foto dari Giphy

Akhirnya Boy Iman ditangkap polis

Isu yang viral dekat Malaysia ni, selalunya akan mendapat respon yang segera daripada pihak berkuasa. Itulah namanya kuasa dunia maya kan? Akhirnya setelah sekian lamanya isu DBI ini viral di media sosial, Boy Iman dan dua orang lagi suspek telah direman oleh pihak polis untuk membantu siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acyrl Sani berkata pihak mereka menerima sebanyak 188 laporan polis. Pergh, 188 laporan tu, bukan alang-alang. Ini antara laporan polis terbanyak yang kami pernah dengar. Datuk Acyrl juga sempat memberi beberapa maklumat tentang penangkapan tersebut.

“Syarikat ini menawarkan rumah kepada pembeli dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk sebuah rumah banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi. Bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan, pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan.” – Dipetik daripada Ismaweb.

“Dalam tangkapan pertama, JSJK merampas sebuah kereta Nissan Fairlady, sebuah kereta BMW E92, 3 unit telefon bimbit, sijil doktor falsafah dari Samaritan Mission International University dan pelbagai dokumen syarikat DBI Properties. Manakala, dalam tangkapan kedua, kita merampas dua unit telefon bimbit dan pelbagai dokumen Syarikat Juta Kelulut Global Resources.” – Dipetik daripada Mstar.

Hahh… Laporan penangkapan Boy Iman. Foto dari PPIM

Ketiga-tiga suspek akan direman selama dua hari dan akan didakwa mengikut seksyen 420 kanun keseksaan. Kebanyakan mangsa dan orang awam gembira dengan penangkapan itu dan berharap mendapat pembelaan yang sepatutnya. Namun, lain pula ceritanya dengan Duta DBI Propeties iaitu Datuk Nassier Wahab yang sedih dengan penangkapan Boy Iman.

“Saya masih belum berkesempatan untuk bertemu Datuk Boy kerana baru pulang dari Mekah dua hari lepas. Keadaan kesihatan saya juga tidak mengizinkan untuk berjumpa dengannya. Isu dibangkitkan adalah mengenai syarikat diberi nama DBI Property dan saya pula dilantik menjadi duta untuk syarikat DBI Technology.

“Saya juga dimaklumkan penahanan dia adalah bagi membantu siasatan tentang syarikat lamannya iaitu DBI Property. Insya-Allah bila kes ini sudah reda saya akan bertemu Boy Iman untuk membincangkan jalan penyelesaiannya. Saya sendiri berasa sedih dengan apa yang berlaku kerana adalah di luar jangkaan.” – Dipetik daripada Mstar.

Jangan tergopoh-gapah kalau nampak jualan yang ‘menarik’!

Kami harap bila korang dah baca artikel kami kali ni, korang akan semakin berhati-hatilah dalam urusan jual beli rumah. Kalau korang ada terbaca iklan yang tak masuk akal, janganlah terus nak bagi duit kepada pemaju. Ye la, sekarang ni rumah makin mahal, bila ada orang offer kita dengan harga yang rendah, mestilah kita gembirakan?

Kena hati-hati kebanyakan penipu ni mulut mereka manis. Foto dari Giphy.

Kat sini kami kongsi sikit tips kalau korang nak lakukan urus niaga hartanah. Jadi, korang boleh ambil pen dan kertas untuk catat. Eh, kuno sangat tu, korang boleh screenshot:

  1. Sebelum korang beli rumah, korang kena semak dahulu status pemaju dekat website Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
  2. Jangan sesekali korang bayar deposit guna cash, nanti tak ada bukti. Kami sarankan korang guna cek atau online transfer. Kurang-kurang adalah bukti pembayaran korang.
  3. Kalau tiba-tiba korang dapat promo, dan ejen rumah tu kata kena terus book, korang kena chill. Lakukan kajian dahulu tentang rumah yang korang nak beli tu, tak pasal-pasal menyesal pulak nanti.
  4. Korang wajib pergi tengok kawasan rumah yang dijanjikan tu. Jangan nanti jadi macam kes DBI ni, deposit dah bayar tapi rumah tak naik-naik lagi.
  5. Apa-apa pun yang korang buat, pastikan ada hitam puith, dan pastikan korang faham dengan jelas syarat yang ada dalam perjanjian.
  6. Kalau korang malas sangat, tanyalah otai-otai yang dipercayai kerana mereka telah melakukan banyak urusan jual beli rumah.

Selain itu, sebelum ni pun kami SOSCILI pernah tulis dua artikel berkenaan dengan hartanah untuk korang timba ilmu dulu sebelum buat pembelian/pelaburan:

Popular

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend