- 860Share sekarang!
- Email14
- Facebook846
- Share
Baru-baru ni, kerajaan umumkan Belanjawan sebanyak RM104 juta untuk menaiktaraf dan menyeleranggara Kampung Baru Cina di Semenanjung Malaysia, dan bercadang untuk menjadikan tempat-tempat bersejarah ini sebagai destinasi pelancongan untuk meningkatkan ekonomi tempatan.
Tapi, korang tahu tak sejarah di sebalik Kampung Baru Cina?
Kalau korang pernah nampak kawasan perumahan dengan rumah kayu yang macam tak terancang, dan majoriti penduduk adalah kaum Cina, kemungkinan besar itu adalah salah sebuah Kampung Baru yang wujud di Malaysia.
Kampung-kampung ini ditubuhkan semasa zaman pemerintahan British, dan sejarah disebaliknya amat tragik. Jadi, jom kita terokai kisah di sebalik Kampung Baru Cina.
Kampung Baru Cina diwujudkan sebagai cara memerangi Komunis
Penubuhan Kampung Baru Cina bermula semasa zaman Darurat Malaya. Nak dipendekkan cerita, apabila British kembali menguasai Tanah Melayu pada tahun 1945 selepas Penjajahan Jepun, kedatangan mereka “disambut” oleh Parti Komunis Malaya (PKM).
Dalam tiga tahun berikutnya, berlaku ketegangan antara Komunis dan British dengan bantahan pekerja anjuran PKM. Salah satu protes pada 1946 mencetuskan efek domino, dan mengakibatkan 300 mogok lain berlaku menjelang akhir tahun 1947.
British membalas dengan tindakan menangkap, mengusir dan melakukan kekerasan yang menyebabkan kehilangan nyawa. Komunis pula membalas dengan membunuh peserta mogok dan menyerang ladang-ladang yang tidak sehaluan dengan kesatuan buruh mereka.
Kemuncak ketegangan tiba pada tahun 1948, apabila 3 lelaki Cina yang disyaki Komunis membunuh 3 pengurus ladang Eropah berhampiran bandar Sungai Siput, Perak.
British menggunakan insiden Sungai Siput dan serangan ladang lain sebagai justifikasi untuk mengisytiharkan Darurat. Tetapi, ini sahaja tidak mencukupi. Ramai orang Cina telah berpindah ke pinggir bandar semasa Penjahan Jepun, dan ramai direkrut atau dipaksa untuk membekalkan PKM dengan maklumat serta barang keperluan.
Pada tahun 1950, Pengarah Operasi Kecemasan, Sir Harold Briggs, melancarkan Rancangan Briggs. Secara rasminya, rancangan ini adalah untuk menyatukan penduduk di pinggir bandar ke Kampung Baru di mana mereka diberi kawalan keselamatan 24/7, perumahan baharu, dan terlindung daripada Komunis. Namun hakikatnya, ia umpama sebuah kem tahanan.
Orang Cina dan Orang Asli telah dipindahkan secara paksa ke Kampung Baru
Dalam erti kata lain, kampung-kampung ini ibarat penjara. Cuma penjara ini bukanlah untuk menempatkan penjenayah, tetapi untuk orang awam yang dikhuatiri mempunyai kaitan dengan komunis. Ia juga bukan konsep baharu- Kerajaan Amerika juga pernah menempatkan lebih daripada 120,000 rakyat Jepun Amerika di kem tahanan semasa Perang Dunia 2.
Sejumlah kira-kira 500,000 orang awam telah dipindahkan secara paksa dalam masa yang singkat, dan ramai antara mereka tak sempat mengemas dan membawa semua barang-barang mereka. Apa sahaja yang ditinggalkan telah dibakar supaya ia tidak boleh digunapakai oleh Komunis.
Ramai yang tak tahu, tapi orang Cina bukan satu-satunya sasaran yang dipindahkan. British juga memaksa Orang Asli keluar dari hutan untuk mengurangkan hubungan mereka dengan Komunis.
“…sebilangan besar orang asli Malaya juga telah dipindahkan ke Kampung Baru. Tidak biasa dengan gaya hidup yang tidak aktif dan terkurung di tempat tertutup dan tidak menyegarkan, angka kematian di kalangan mereka adalah lebih tinggi…”
– John D. Leary, Keganasan dan Orang Impian,dipetik dan diterjemah daripada A Miroiu melalui OSF.
Untuk mengekang perjuangan komunis, pelbagai langkah telah diambil, seperti:
- Mewajibkan semua warganegara mendaftar dengan kerajaan
- Membina pagar dawai berduri
- Catuan ketat makanan ruji, ubat-ubatan dan bahan-bahan
- Penguatkuasaan ketat dan pemeriksaan mengejut
- Perintah berkurung sehingga 22 jam
Langkah-langkah ini telah memberi kesan kepada penduduk Kampung Baru dan juga Komunis. Tindakan tergesa-gesa Pelan Briggs bermakna kemudahan seperti elektrik, air paip dan perkhidmatan perubatan tidak tersedia di kebanyakan penempatan, dengan ahli sejarah tempatan Gary Lit mengatakan bahawa ramai penduduk dikira cukup bernasib baik kalau mereka dibekalkan lampu minyak tanah.
Penguatkuasaan juga keras, dengan laporan mengatakan ada penduduk kampung yang ditembak gara-gara keluar ke jamban semasa waktu berkurung. Seperti yang diceritakan oleh seorang warga emas:
“…Saya fikir kami boleh dilindungi oleh kerajaan dan dijauhkan daripada Komunis… Saya tidak pernah terfikir kehidupan di sebalik kawat berduri boleh jadi seperti itu… Macam kem tahanan, lah!”
–dipetik dan diterjemah daripada Life Behind Barbed Wire: New Villages, Malaysia; melalui Medium
Sama ada Pelan Briggs berjaya atau tidak adalah satu perkara yang diperdebatkan. Tetapi, saban tahun, kemudahan di Kampung Baru Cina telah ditambahbaik, kawalan keselamatan dilonggarkan, dan pagar wayar berduri diruntuh. Walaupun cabaran hidup memaksa mereka ke sana, ramai penduduk di situ akhirnya menganggap Kampung Cina Baru sebagai kampung halaman mereka.
Kini, Kampung Baru Cina dah jadi tempat tumpah darah bagi ramai rakyat Malaysia
Menurut salah seorang penulis kami yang membesar di sebuah Kampung Baru (Kampung Baru Ampang), ia adalah tempat yang aman, dengan semangat kejiranan yang kuat. Lazimnya, semua penduduk saling kenal mengenali, dan jiran-jiran sedia membantu antara satu sama lain. Suasana di Kampung Baru juga selalunya senyap kerana terpisah dari kesesakan lalu lintas disebabkan jalannya yang sempit.
Pada masa yang sama, jalan-jalan sempit tersebut juga menyusahkan pemanduan apabila berdepan dengan kenderaan dari arah lawan. Dan walaupun terdapat kedai runcit berdekatan untuk keperluan harian asas, penduduk perlu memandu jauh untuk mendapatkan akses kepada kemudahan awam seperti klinik atau pasar raya.
Oleh itu, Belanjawan sebanyak RM104 juta yang diumumkan bakal menaik taraf kemudahan di kampung-kampung ini, dan menyediakan persekitaran yang lebih selesa untuk penduduk di sana. Ini termasuk lebih RM67 juta untuk menaik taraf infrastruktur, dan RM5 juta untuk pembaikan rumah.
Selain itu, reka bentuk Kampung Baru Cina yang klasik juga sering menjadi latar belakang untuk penggambaran filem-filem tempatan, dan mempunyai potensi lebih besar untuk menjadi kawasan tarikan.
Oleh itu, kerajaan sedang mempertimbang cara untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai tempat pelancongan dan dalam masa yang sama meningkatkan ekonomi tempatan.
Bukan itu sahaja, kerajaan turut memperuntukkan RM10.5 juta bagi pinjaman perniagaan sehingga RM50,000 buat penduduk Kampung Baru Cina yang merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Belanjawan ini bakal memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat, baik individu atau komuniti. Kemungkinan besar ada juga inisiatif yang boleh memberi manfaat kepada korang. Kalau korang berminat untuk ketahui lebih lanjut, korang boleh layari laman web Manfaat Belanjawan 2023.
- 860Share sekarang!
- Email14
- Facebook846
- Share