Kami tanya 7 orang pemuda Shah Alam. Apa pendapat mereka tentang UMNO?

Bahang pilihan raya makin lama makin kita rasai. Sebelum ni, video program SPR kantoi tarikh pilihan raya lagilah menambah rasa nak mengundi tu walaupun ianya dah dinafikan. Macam-macam ramalan mengundi yang pakar buat. Ada yang cakap lepas Sukan SEA yang tengah berlangsung sekarang ni.

Ada makna ke ni? Imej dari FMT.

Untuk parti-parti politik pulak, macam-macam program diorang buat untuk kuasai tempat yang belum diorang menang. Contohnya Pemuda Pakatan Harapan, diorang nak buat Sesi Teh Tarik bersama pemuda luar bandar untuk tarik sokongan diorang. Barisan Nasional pulak, diorang nak kuasai semula tempat yang diorang kalah sebelum-sebelum ni. Antara tempat yang diorang nak kuasai semula adalah Shah Alam. Presiden UMNO, Najib Razak mengumumkan RM 3 juta kepada UMNO Shah Alam untuk diorang guna bagi menjalankan program kemasyarakatan kat sana.

Kesungguhan Barisan Nasional ni sebab diorang nak kuasai Selangor semula. Kata Najib Razak,

“Saya hadir ke sini (Shah Alam) bagi menyampaikan mesej politik bahawa jika kita berjaya memenangi kerusi Shah Alam maka kita dapat merampas kembali Selangor.” – Petikan dari Utusan.

Kita pun tahu yang Shah Alam ni adalah ibu negeri Selangor. Sejak dua penggal lepas, parlimen Shah Alam dimenangi oleh pemimpin dari Pakatan Rakyat iaitu Khalid Samad.  Dia mengakui Shah Alam mempunyai penduduk yang dianggap ‘sudah selesa’ dan pendirian politik berkecuali. Jadi, kali ni kami dari SOSCILI bertanya sendiri kepada beberapa penduduk Shah Alam mengenai pendirian politik diorang.

Walaupun keadaan penduduk Shah Alam dianggap ‘sudah selesa’, tapi masih perlu berjimat

Ni bukan kat Eropah ye. Ni kat Shah Alam. Imej dari My Golden Holidays.

Penduduk Shah Alam dianggap ‘sudah selesa’. Dari segi pengangkutan mengikut sebuah kajian, setiap keluarga di bandaraya ni memiliki dua buah kereta secara purata dan tiga orang dari ahli keluarga tu pulak akan ada lesen memandu. Jadinya setiap keluarga akan ada lebih satu kereta. Kira memang heaven jugaklah kan. Tapi, seperti diterangkan seorang penduduk, kos sara hidup sini memerlukan diorang berjimat-cermat.

“Tidak semahal seperti duduk di KL dan perlu berjimat.” – Ahmad (baru setahun menetap) penduduk Seksyen 5 ketika dihubungi SOSCILI.

“Perlu berjimat tapi tak semahal Bangi.” – Atin (23 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

“Kos sara hidup sekarang makin meningkat dan perlu lebih berjimat.” – Wana (24 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

Teropong hand made. Memang jimat.

Bagi Along (bukan nama sebenar) yang sudah 8 tahun tinggal di Seksyen U10, Shah Alam, mengakui yang kos sara hidup kat situ mahal. Namun, penduduk Shah Alam perlu bijak memilih tempat yang sesuai untuk berjimat. Sebagai contoh kawasan perumahan dan tempat makan.

“Masih lagi ada tempat tinggal/tempat makan yang sesuai untuk fresh graduate. Harus bijak memilih.” – Hisyam (17 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

Kalau korang nak tahu, Shah Alam adalah satu kawasan Bandaraya dan bukan senang-senang je dapat status tu.

Shah Alam merupakan kawasan berstatus Bandaraya di Selangor

Pada 1 Februari 1974, satu perjanjian penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani. Jadi, Selangor perlu cari satu tempat baru untuk dijadikan ibu negeri bagi menggantikan Kuala Lumpur. Akhirnya, satu kawasan berdekatan Kuala Lumpur iaitu Sungai Renggam telah dipilih.

Sultan Selangor ketika itu, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menamakannya Shah Alam sempena nama Almarhum ayahanda baginda, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.

Dengan pengisytiharan ini, Shah Alam bukan sahaja menjadi sebuah bandar perindustrian yang lengkap dengan prasarana moden malah menjadi pusat pentadbiran yang unggul bagi negeri Selangor. – Petikan dari Arkib Negara Malaysia.

Majlis menanda tangani penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Imej dari Selangor.gov.my.

Pada tahun 2000, kemajuan Shah Alam telah menyebabkan ianya bertukar status menjadi Bandaraya (Majlis Bandaraya) yang mana sebelum ni hanya perbandaran sahaja. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersetuju dengan permohonan Kerajaan Negeri Selangor untuk menaikkan taraf Shah Alam sebagai sebuah Bandaraya kerana sudah memenuhi kriteria tertentu. Antara kriiteria sebuah Bandaraya adalah:

  1. Mempunyai penduduk tidak kurang daripada 500,000 orang
  2. Pendapatan kewangan tak kurang RM 100 juta setahun
  3. Mempunyai pusat institusi pendidikan yang lengkap dengan universiti, kolej, maktab, muzium dan perpustakaan awam
  4. Mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, utiliti awam yang mencukupi
Stadium terbesar pun ada kat Shah Alam. Imej dari Stadium Love.

Kiranya siapa yang duduk bandaraya dah ada banyak kelebihan. Jadi adakah dengan menukar pemimpin diorang rasa ada perubahan?

Kerana kemajuan mereka mempunyai pendirian politik yang lebih kritikal

Parlimen Shah Alam sebelum ni hanya dikuasai oleh Barisan Nasional. Selepas PRU ke-12 (2008), Shah Alam tak lagi berjaya dikuasai BN termasuk PRU-13 (2013). Ini adalah kesan daripada fenomena ‘Tsunami Politik Bandar’ seperti yang disebut oleh sebuah kajian.

“Seperkara yang menarik dalam PRU ke-13 ini ialah keupayaan Pakatan Rakyat (PR) iaitu gabungan parti-parti pembangkang, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), menguasai 12 daripada 14 kerusi Parlimen yang terletak di kawasan bandar ibu negeri kecuali Johor Bahru dan Kangar.” – Petikan dari jurnal tulisan Junaidi Awang Besar dan lain-lain (UKM).

Tsunami Politik Air di Bandar.

Ketika ahli Parlimen Amanah (dulu PAS) menang di Shah Alam buat pertama kali, dia mengakui yang ianya satu kejutan. Sebab sebelum tu dia bertanding kalah teruk dengan calon BN.

“Pada asalnya, Shah Alam adalah kubu Umno-BN, dan tidak dianggap sebagai salah kerusi yang mempunyai potensi yang tinggi untuk dimenangi…2004 pun bila saya bertanding menentang calon yang sama, Datuk Aziz Shamsudin telah kalah dengan majoriti 13,000 undi.” – Khalid Samad, petikan dari Sinar Harian.

Tengah-tengah berkempen. Bertembung pulak dengan musuh di pasar. Imej dari Shah Alam Rebels.

Jadi pada PRU 2008, dia hanya mengharapkan yang jumlah perbezaan undi berkurang. Tapi akhirnya menang. Pada PRU 2013, Khalid Samad sekali lagi memenangi kerusi tersebut yang menjadikannya berkuasa selama 2 penggal. Jadi ada ke perubahan yang penduduk Shah Alam rasa?

“Banyak sangat berbeza dengan pemerintahan yang dulu dari segi ekonomi. Kemudahan yang diberi lebih memudahkan rakyat berbanding dahulu.” – Wana ketika dihubungi SOSCILI.

“Selain BN much better. Nak kata bagus selain BN tak jugak. At least nampaklah duit cukai tu pergi ke mana dan rezab negeri bertambah.” – Abdullah (24 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

“Tenang sikit. Tak adalah nampak sangat corruption tu walaupun masih ada sebenarnya. Sebab kemudahan untuk orang Shah Alam dia upgrade from time to time.” – Najla ketika dihubungi SOSCILI.

“Yang saya nampak penglibatan penduduk dengan program-program komuniti terutama aktiviti masjid semakin meningkat. Masjid semakin hidup dengan kuliah dan anak muda semakin hadir ke masjid. Dari sudut lain, masalah projek terbengkalai banyak yang dapat diselesaikan.” – Nik (20 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

Macam diterangkan dalam sebuah kajian, politik di bandar ni ada kaitan dengan peranan kerajaan negeri terhadap hal ehwal kawasan bandar. Jadi beberapa manifesto kerajaan negeri yang berjaya dilaksanakan adalah antara sebab penduduk Shah Alam rasa perubahan tu.  Sebab tu bila ditanya perubahan Shah Alam berbanding bawah BN dulu, jawapannya,

“Air percuma untuk beberapa liter.” – Atin ketika dihubungi SOSCILI.

Manifesto Kerajaan Selangor. Imej dari Selangor Kini.

Air percuma berjumlah 20 meter padu adalah antara manifesto kerajaan negeri yag berjaya dilaksanakan yang dirasai semua Parlimen dan DUN di Selangor. Tapi, ada juga yang mengakui tiada beza sangat, cuma perubahan fizikal tu nampak.

“Tak tahu sangat pasal polisi (sama ada) politik BN atau bukan BN, tak rasa sangat berbeza. Mungkin juga kerana aku belajar di luar Shah Alam dan juga belum bekerja. Perbezaan yang aku nampak dari segi fasiliti (fizikal) seperti trail basikal.” – Hisyam ketika dihubungi SOSCILI.

Golongan pertengahan di bandar juga dikatakan banyak terdedah kepada pelbagai jenis komunikasi dan ideologi. Jadinya bila lebih banyak program-program berkaitan keilmuan dilaksanakan, bagi sesetengah penduduk ianya satu perubahan juga.

“Lebih banyak program keilmuan. Macam diskusi atau wacana berkenaan GST, pemikiran luar dan lain-lain boleh dilaksanakan dengan bebas. Kalau dulu susah sikit nak jumpa iklan-iklan program merata. Bandar makin jadi sistematik dan bersih (jalan raya, sistem parking, traffic light, one way road dan lain-lain).” – Ain (22 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

Penduduk Shah Alam memilih calon yang dikatakan bijak dan tak korup

Akses pengundi bandar kepada internet yang meningkat adalah antara punca perubahan tingkah laku politik mereka. Apa yang membelenggu penghuni bandar adalah isu politik sivil, peningkatan kos sara hidup di bandar, kemerosotan ekonomi, peningkatan kes jenayah dan kemerosotan kualiti penghuni bandar.

Penduduk bandar ni mempunyai sumber muklumat politik yang luas yang menjadikan mereka kritikal dengan isu-isu negara walaupun melibatkan Perdana Menteri yang bukan bertanding ditempat diorang. Walaupun ada suntikan dana dari Najib untuk UMNO Shah Alam bagi aktiviti masyarakat, tetap ada respon sebegini.

“Takkan mengubah persepsi orang Shah Alam terhadap Najib.” – Along (8 tahun menetap disana) ketika dihubungi SOSCILI.

Untunglah. Imej dari Sinar Harian.

Respon macam kat atas ni juga timbul bertepatan dengan kajian bahawa penduduk bandar tak perlu meminta-meminta sebab kemudahan sudah lengkap. Jadi mereka ada tanggapan ianya hanya untuk tarik undi.

“No komen. Buat macam ni patut istiqamah. Bukan masa nak tawan hati rakyat je.” – Najla ketika dihubungi SOSCILI.

Selain tu, pengundi bandar juga dikatakan bersikap lebih memilih dalam menilai sesuatu isu. Jadinya mereka agak kritikal dalam pemilihan calon.

“Jadi pemilihan pemerintah adalah sangat penting bagi membela nasib rakyat supaya rakyat tak risau terbeban dengan kos sara hidup sekarang.” – Wana ketika dihubungi SOSCILI

“Kalau orang tu tak bijak dan korup, memang diorang tak nak. Memang orang sini majoriti dah cakap A Big No to kerajaan lepas zaman Khir Toyo turun dan Khalid Ibrahim naik.” – Ain ketika dihubungi SOSCILI.

Seperti kita tahu, kawasan bandar macam Shah Alam sudah ada pelbagai kemudahan. Tapi, pemilihan pemimpin juga tetap menjadi perhatian mereka.

“Seperti mana tempat-tempat lain, Shah Alam terdiri daripada penduduk dengan pelbagai latar belakang sosioekonomi. Dan sepertimana tempat-tempat lain, kami juga kisah siapa yg memerintah kami.” – Hisyam ketika dihubungi SOSCILI.

Kajian di dua kawasan Parlimen bandar oleh UKM juga mendapati yang peratusan tinggi membuktikan penduduk memilih calon yang berjiwa rakyat serta bersih daripada rasuah. Dan ianya berbeza dengan kawasan luar bandar yang lebih kepada mengenang jasa.

PRU-14 akan berlaku lebih banyak pertembungan parti-parti politik

Banyak kajian yang dikeluarkan oleh pakar untuk mengenal pasti trend pengundian mengikut kawasan tertentu. Kajian mengenai pengundi bandar dan luar bandar pun telah menunjukkan tahap perbezaan pemikiran politik masing-masing. Tapi itu semuanya ketika berlaku perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat pada PRU sebelum ni.

Pada PRU-14 akan datang ni, nampaknya pertembungan politik lebih rumit dengan kewujudan Pakatan Harapan, gabungan PAS dan IKATAN (Gagasan Sejahtera) dan 20 kerusi yang Parti Sosialis Malaysia tandingi yang menyebabkan kita tak tahu apakah keputusannya nanti.

Antara parti yang akan bertembung nanti di PRU 14. Imej dari FMT.

Tapi, daripada beberapa orang pengundi bandar di Shah Alam yang kami hubungi, nampaknya mereka masih mengharapkan pemimpin yang lebih bersih dari rasuah dan menjaga kebajikan mereka. Peranan media alternatif di internet juga turut mempengaruhi pengetahuan diorang mengenai isu politik.

Jadi korang pulak nak pemimpin macam mana kat kawasan korang tinggal?

 

 

 

 

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT