- 339Share sekarang!
- Email7
- Facebook332
- Share
Tersebar video baru-baru ni pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang dikatakan akan berlangsung pada bulan Oktober ni. Dalam video siap sebut secara spesifik lagi macam di bawah yang:
- Hari Mengundi Awal: 11 Oktober 2017
- Hari Mengundi: 13 Oktober 2017
Kalau nak tahu, hari mengundi awal maksudnya adalah tarikh untuk pengundi awal. Siapa pengundi awal tu? Mereka adalah…
- Anggota Tentera
- Isteri atau suami Anggota Tentera
- Anggota Polis
- Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)
- Isteri atau suami Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)
Diorang yang ada dalam senarai ni WAJIB mengundi awal kalau ikut perundangan.
Untuk hari mengundi pada 13 Oktober tu pulak untuk orang-orang awam macam korang. Seriuslah Oktober ni? Lagi dua bulan je kot. Tapi nampaknya perkara ni dah dinafikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan klip video pengumuman tarikh bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di media sosial ketika ini yang kononnya akan diadakan pada 13 Oktober 2017 adalah tidak benar.” – Petikan dari Berita Harian.
Rupanya pengumuman dalam video tu hanya digunakan untuk latihan dan simulasi untuk bakal petugas PRU-14. Program taklimat tu diadakan untuk petugas di peringkat negeri Kelantan pada 31 Julai lepas.
Agak-agaknya bila tarikh PRU ke-14 ni?
Bila sebut agak-agak ni, memang ramai dah buat ramalan. Biasalah. Masing-masing tak sabar nak mengundikan. Dikatakan tahun 2017 adalah tarikh Pilihan Raya Umum ke-14. Sebelum-sebelum ni ramai yang jangkakan pada Mac atau April 2017. Kelam-kabut orang daftar mengundi. Rupanya tak ada lagi. Jangkaan lain adalah pada September atau Oktober 2017. Kemungkinan juga dikatakan pada bulan tersebut sebab perhimpunan agong UMNO biasanya diadakan pada Disember. Jadi bulan tu sangat sesuai.
Dikatakan ramai juga yang kaitkan tarikh PRU dengan Sukan SEA 2017 yang diadakan pada Ogos ni. Sebab sukan ni boleh menyatupadukan rakyat. Kalau Malaysia jadi juara lagilah bertambah semangat rakyat. Maka itu peluang terbaik kerajaan untuk mengadakan pilihanraya.
Tapi, apa yang pasti adalah setiap kerajaan mesti ada tarikh luputnya. Bila sampai tarikh tu, parlimen automatik dibubarkan.
Bila tarikh luput kerajaan sekarang?
Jadi setiap kerajaan mesti berkuasa maksimum 5 tahun dari tarikh pertama persidangan Dewan Rakyat yang lepas. Waktu BN menang PRU 13, Persidangan Dewan Rakyat yang pertama diadakan pada 24 Jun 2013. Jadi kalau nak kira lima tahun, tarikh luput kerajaan sekarang adalah pada 24 Jun 2018. Pada tarikh tu automatik kerajaan terbubar. Tapi…
Kalau ikut perlembagaan, lepas tarikh luput tu ada 60 hari lagi untuk buat pilihan raya. Maka tarikh akhir Pilihan Raya Umum mesti jatuh pada Ogos 2018.
“Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu” – Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen (Perlembagaan Persekutuan)
Tapi dalam sejarah politik Malaysia, tak pernah lagi Parlimen tak dibubarkan. Juga tak pernah tarikh PRU terlalu dekat dengan tarikh luput kerajaan. Jadi kalaulah dah terbubar Parlimen tu, sepatutnya siapa yang berkuasa?
Siapa yang berkuasa jika parlimen dibubarkan?
Mesti ramai mula terfikir, siapa yang jaga negara waktu kerajaan bubar? Ramai yang akan jawab kerajaan sementara (caretaker government). Tapi jawapan tu salah. Dalam Perlembagaan Persekutuan kita tiada istilah Kerajaan Sementara.
Kalau bubar sahaja Parlimen, orang yang berkuasa adalah kerajaan sebelum ni tapi dengan kuasa yang terhad. Kerajaan ni hanya mentadbir negara menurut perlembagaan. Amalan-amalan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tiada. Contohnya peruntukan undang-undang menerusi Parlimen baru tidak boleh dibuat.
Tapi bagi memperbaiki kualiti pilihan raya sepanjang Parlimen dibubarkan, ada juga yang mencadangkan supaya sistem kerajaan sementara dimaktubkan dalam undang-undang. Sebabnya,
“Dengan adanya undang-undang kerajaan sementara, kita boleh memastikan bahawa jentera dan sumber kerajaan, tidak kiralah sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, tidak disalahgunakan untuk memancing undi semasa pilihan raya umum berlangsung. “- Syahredzan Johan (Pakar Undang-Undang), petikan dari Sinar Harian.
Walau apa pun yang berlaku ketika pembubaran parlimen. Kerajaan baru akan terbentuk juga bila keputusan pilihan raya keluar. Keputusan pilihan raya hanya akan keluar pada tarikh pilihan raya berlangsung. Di Malaysia, pasti ada orang yang tahu bila PRU ke-14 akan terjadi.
Jadi siapa yang tahu tarikh PRU ke-14 ni sebenarnya?
Hanya orang tertinggi dalam negara ni je yang tahu. Orang itu adalah…
“Hanya Datuk Seri Najib Razak sendiri tahu bila PRU-14 hendak diadakan dan Perdana Menteri pernah mengakui yang beliau suka melihat orang berteka-teki mengenai tarikh berkenaan.” Petikan dari Berita Harian.
Tak kisahlah bila tarikh PRU, kalau tak daftar mengundi pun tak guna kita sembang pasal tarikh PRU ni. Jadi harapnya yang tak daftar lagi tu bolehlah pergi ke pejabat pos terdekat pergi daftar sambil bayar bil elektrik tu. Untuk yang dah daftar, jangan seronok sangat. Elok korang cek selalu status mengundi korang. Manalah tahu status pendaftaran korang tu dibantah oleh jiran korang sendiri macam kes-kes sebelum ni. Kalau dibantah korang kena pergi selesaikan di pejabat SPR. Boleh check status korang kat sini.
Selamat mengundi!
- 339Share sekarang!
- Email7
- Facebook332
- Share