- 383Share sekarang!
- Email5
- Facebook378
- Share
Baru-baru ni kita digemparkan dengan berita seorang bapa berusia 37 tahun telah merogol anak kandungnya sendiri yang berusia 15 tahun. Apa yang mengejutkan, dia telah merogol anaknya itu sebanyak 600 kali dalam masa dua tahun kat rumahnya sendiri yang terletak di Sungei Way, Petaling Jaya.
Kes mamat ni bukan je viral kat Malaysia malah siap dapat perhatian media antarabangsa seperti Dailymail UK, Bangkok Post, Asia One, South China Morning Post di China dan portal Filipina ABS-CBN News.
Kalau korang perasan, kes rogol anak kandung sendiri bukanlah perkara baru yang terjadi kat Malaysia. Malah ada jugak kes yang lebih teruk dimana…
Bapa rogol anak kandung sampai mengandung
Kalau korang masih ingat, pada tahun 2014 negara kita pernah dihebohkan dengan berita seorang bapa dari Marang, Terengganu ni telah merogol anak kandungnya sendiri sehingga melahirkan dua orang anak hasil benihnya sendiri!
Mengikut sumber dari Sinar Harian, dia telah merogol anaknya pada tahun 2009 di dalam semak kat belakang sebuah sekolah di Marang. Pada waktu tu mangsa baru je berumur 14 tahun.Tak cukup setakat tu je, malah dia turut mengulangi perbuatannya itu ke atas mangsa di lokasi dan waktu yang sama, pada 2013 yang mana ketika itu mangsa berusia 18 tahun.
Akibat daripada perbuatannya itu anaknya telah mengandung dan melahirkan anak sebanyak dua kali hasil dari benihnya sendiri.
Kejadian yang sama juga telah berlaku pada tahun 2014 di Kota Kinabalu, Sabah dimana seorang bapa berusia 43 tahun ni tergamak merogol anaknya yang berusia 16 tahun sehingga mengandung.
Suspek yang bekerja sendiri ini telah merogol anak kandungnya berulang kali di bilik tidur mangsa sehingga mangsa telah mengandung dan melahirkan zuriatnya sendiri. Mangsa merahsiakan perkara tu sebab berasa takut. Namun perkara tu dapat dihidu oleh guru disekolahnya apabila gurunya itu menyedari terdapat perubahan fizikal terhadap badan mangsa yang ketika itu usia kandungannya dah berusia 32 minggu.
Apa yang lebih teruk lagi, baru-baru ni jugak kita digemparkan lagi dengan berita penahanan empat sekeluarga (bapa, atuk dan dua pakcik) yang merogol dua ahli keluarga sendiri sehingga mengandung.
Kejadian berlaku di Serian, Kuching ini terbongkar apabila salah seorang mangsa yang berusia 19 tahun ni buat pemeriksaan kesihatan dan dia didapati mengandung. Hasil daripada soal siasat pihak hospital, akhirnya dia pun bagitahu yang dia sebenarnya menjadi “santapan seks” bapa, atuk dan dua pakciknya sejak dia berusia 13 tahun lagi.
“Kami dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak Hospital Serian.” -Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar. Dipetik dari Astro Awani.
Apa yang lebih menyedihkan ialah adiknya yang kini berusia 14 tahun turut menerima nasib sama macam dia sejak berusia sembilan tahun lagi. Menurut Berita Harian lagi, kedua-dua mangsa dirogol kat rumah mereka sendiri.
Nampaknya isu rogol darah daging sendiri ni dah macam cendawan tumbuh lepas hujan pulak. Jadi apa tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan terhadap isu ni? Adakah tindakan yang dikenakan tu setimpal dengan apa yang telah dorang lakukan?
Pesalah akan dipenjara lebih dari 10 tahun
Baru-baru ni kecoh mengatakan bahawa seorang lelaki dijangka bakal berdepan dengan hukuman penjara selama 3,000 tahun atas dakwaan lebih 600 tuduhan merogol, meliwat dan melakukan seksual fizikal terhadap anak kandungnya. Jadi kitorang pun ada bertanya kat lawyer adakah wajar penjara sehingga 3,000 tahun dan dia kata;
“Bagi saya, hukuman sebegitu adalah simbolik. Wajar atau tidak itu bergantung kepada fakta kes. Dan pada ingatan saya tak pernah kena macam itu (hukuman penjara selama 3,000 tahun) di Malaysia.” – Fahri Azzat, Peguam. Ketika di interview oleh SOSCILI.
Menurut laporan dari Berita Harian lagi, dia juga berkemungkinan disebat, berdasarkan peruntukan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Kanak-Kanak 2016.
Menurut akhbar Utusan Malaysia, pada tahun 2012 kerajaan telah bercadang untuk memperuntukkan hukuman penjara mandatori kepada sesiapa yang disabitkan dengan kes rogol statutori (bawah usia) dan mencadangkan supaya hakim tak boleh mengguna pakai Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
“Kerajaan akan meminda Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah agar bon jaminan berkelakuan baik tidak boleh digunapakai untuk meringankan hukuman kesalahan merogol kanak-kanak di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.” – Dipetik dari Utusan Malaysia.
Menurut sumber dari Utusan lagi, cadangan tu adalah untuk menjaga kepentingan rakyat supaya pesalah menerima hukuman sejajar dengan kesalahan yang dilakukannya.
“Sebanyak 6,000 kes hubungan jenis melibatkan wanita di bawah umur direkodkan dalam tempoh lima tahun (sehingga 2012) sejak tahun 2007.”- Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dipetik dari MalaysiaKini.
Akhirnya pada tahun 2013, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2013 pun dibentangkan di Parlimen dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap mereka yang melakukan jenayah seksual.
Dalam pindaan tersebut, kerajaan telah menaikkan hukuman bagi sumbang mahram daripada tempoh penjara tidak kurang daripada enam tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun sebelum ini, kepada penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 30 tahun.
Tapi dalam pindaan tersebut hanya dinyatakan mengenai pemanjangan tempoh penjara sahaja dan takde pun nyatakan mengenai hakim tak boleh mengguna pakai kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman.
Jadi untuk lebih jelas kitorang pun bertanyalah dengan sorang lawyer ni mengenai pindaan tersebut dan dia kata;
“Pindaan itu (tak memberikan budi bicara kepada hakim untuk memberikan hukuman yang ringan) belum dibuat lagi. Saya rasa cadangan itu juga mungkin tidak konsisten dengan perlembagaan Persekutuan kami.” – Fahri Azzat, Peguam. Ketika di interview oleh SOSCILI.
Jelas beliau lagi, cadangan itu akan mengingkari budi bicara Hakim untuk menentukan hukuman. Malah Mahkamah Persekutuan pun ada mengesahkan baru-baru ni bahawa kuasa untuk menghukum adalah atas budi bicara Mahkamah dan tak boleh dikeluarkan oleh Parlimen.
Tapi walau bagaimanapun, ada jugak yang berkuasa untuk melepaskan pesalah daripada terus dihukum. Tapi siapa yang mempunyai kuasa tu?
Raja dan Agung berkuasa untuk memberikan pengampunan
Korang pernah dengar tak mengenai pengampunan Sultan atau diraja? Tapi apa tu pengampunan diraja? Pengampunan diraja ialah Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri berkuasa untuk memberi pengampunan atau tunda hukum bagi pesalah yang dilakukan di dalam negerinya. Ya hanya didalam negerinya sahaja.
Manakala Yang di-Pertuan Agong pulak tinggi sikit lah dimana baginda mempunyai kuasa untuk memberi ampun dan tunda hukum kesalahan seseorang pesalah yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tapi walau bagaimanapun, pengampunan yang dibuat ni perlulah tertakluk kepada Fasal (10) dan tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang persekutuan yang berhubungan dengan peremitan hukuman kerana kelakuan baik atau khidmat khas, apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman bagi apa-apa kesalahan.
Tapi kan biasanya kes macam mana yang akan dapat pengampunan daripada sultan atau Yang di-Petuan Agong ni?
“Pengampunan boleh diminta untuk mana-mana jenayah yang telah disabitkan. Biasanya ia diminta di dalam kes hukuman mati ataupun kes yang ada unsur politik.” – Fahri Azzat, Peguam. Ketika di interview oleh SOSCILI.
Ahli keluarga yang melindungi perogol juga boleh dipenjara
Isteri yang didapati menyembunyikan perbuatan sumbang mahram oleh suaminya dengan alasan menjaga aib keluarga boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga empat tahun.
“Isteri terbabit dianggap bersubahat kerana sumbang mahram adalah perbuatan tidak berperikemanusiaan dan menyamai jenayah berat yang lain.”- Dr. Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Jika perbuatan ini disembunyikan daripada pengetahuan pihak berkuasa, ini bermakna pelaku yang melakukan jenayah tu terus bebas dari hukuman dan perkara ni tak patut dibiarkan.
Namun Pengarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pula berpendapat bahawa tindakan isteri menyembunyikan kes perkosaan suami terhadap anak gadisnya sebagai usaha menjaga aib suami selain memastikan anaknya tidak terus dirundung malang.
Walau bagaimanapun, menurut akhbar Utusan Malaysia, kenyataan itu membuatkan mereka yang bukan beragama Islam menganggap Islam itu kolot, agama yang paling menindas kaum hawa, tidak adil dan macam-macam lagi.
Tapi bukan ke Islam memang menyuruh kita menjaga aib pasangan?
Menutup aib jangan sampai gadaikan anak
Macam yang kita semua tahu, seorang isteri wajib menjaga aib suaminya tapi macam mana pulak dengan situasi jika si isteri mendapat tahu yang suaminya telah melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri. Adakah wajib bagi isteri untuk melaporkan kepada pihak berkuasa? Bukan kah ianya umpama membuka aib suami dan keluarga?
Jadi untuk menjawab persoalan tu, kitorang kat SOSCILI pun ada bertanya kat Ustaz Syamsul Debat dan ni jawapannya;
“Ianya bergantung kepada keadaan. Memang benar kita tak boleh membuka aib keluarga mahupun aib diri sendiri tetapi sebagai tindakan, si isteri itu hanya boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa sahaja. Tetapi tidak boleh diberitahu atau menyebarkannya kepada jiran-jiran dan yang lain.” – Ustaz Syamsul Debat ketika di interview oleh SOSCILI.
Malah Dr Maza dalam ceramahnya juga ada menyatakan bahawa aib diri sendiri pun perlu ditututup tetapi jika ianya diceritakan sebagai pengajaran takde masalah.
Tapi macam mana pulak dengan kes yang mangsa itu telah mengandung hasil benih bapa kandungnya sendiri? Adakah dibenarkan dalam Islam untuk mangsa menggugurkan kandungan tersebut memandangkan anak itu adalah anak kepada bapanya sendiri?
“Haram. Ia tetap jatuh hukum haram jika menggugurkan anak dalam kandungan itu. Bila usia kandungan sudah mencapai 3 bulan, ia (janin) telah sempurna sifatnya.” – Ustaz Syamsul Debat ketika di interview oleh SOSCILI.
Tambah Ustaz Syamsul lagi, walau apa pun alasan yang digunakan ianya tetap jatuh hukum haram kerana ia dianggap seperti membunuh. Malah anak yang dikandung itu juga haruslah dibin atau di bintikan kepada 99 nama-nama Allah.
“Biarlah hanya si pesalah (perogol) sahaja yang menanggung dosa tersebut dan mangsa pula jangan sampai membunuh.” -Ustaz Syamsul Debat ketika di interview oleh SOSCILI.
Walau bagaimanapun, menurut kenyataan dari Jabatan Mufti Negeri Sembilan, pengguguran janin mangsa rogol adalah harus sebelum berusia 120 hari (3 bulan) bagi mengelakkan berlakunya fitnah. Tapi fatwa ini masih lagi belum diwartakan.
Tiba masanya untuk menuntut keadilan
Bapa itu pelindung bagi anak-anak namun sejak kebelakangan ini terdapat banyak pulak isu mengenai bapa yang tak bertanggungjawab sanggup menodai anak gadis sendiri tanpa belas kasihan.
Namun jika ada antara korang yang dah jadi mangsa haruan makan anak ni janganlah pernah teragak-agak untuk membuat tindakan dengan segera seperti melaporkannya ke balai polis atau rumah perlindungan. Dah tiba masanya untuk menuntut keadilan ke atas apa yang telah berlaku.
Apa yang patut dilakukan jika korang jadi mangsa ialah:
Selepas je kejadian, korang jangan lakukan apa-apa pada diri seperti mandi, gosok gigi, makan atau merokok. Malah kalau boleh jangan bersihkan juga sebarang kesan yang tertinggal kat tempat rogol bagi mengekalkan segala bahan bukti seperti cairan badan. Selain tu, segeralah dapatkan pemeriksaan doktor bagi mengelak dari kehamilan.
Bagi mangsa yang mengalami trauma tentang kejadian tersebut bolehlah mendapatkan rawatan dan khidmat kaunseling percuma daripada pakar-pakar kaunseling berdaftar di portal MyWanita atau Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).
Ye mungkin ada antara korang berasa malu dan takut untuk mendedahkannya. Tapi korang harus sedar tindakan mendiamkan diri itu sebenarnya telah menafikan hak korang sebagai seorang wanita dan anak yang patut dilindungi.
- 383Share sekarang!
- Email5
- Facebook378
- Share