Proton? Perodua? Sebenarnya kita ada banyak lagi jenama kereta tempatan

Kalau sebut pasal kereta tempatan ataupun kereta nasional, mesti semua orang akan teringat jenama PROTON dan PERODUA kan? Ini disebabkan kedua-dua jenama ni merupakan pemangkin kepada pengeluaran kereta-kereta tempatan dan mampu milik. Mana taknya, kereta-kereta jenama import semua mahal kot.

Tapi tahu tak korang yang kita ada jenama kereta tempatan yang lain selain PROTON dan PERODUA? Kalau dimasukkan dua jenama awal tu, negara kita ada total 5 jenama kereta tau! Mungkin ada yang dah tahu, tapi kitorang pasti ramai masih lagi belum tahu pasal ni. Jom kitorang kenalkan korang dengan semua jenama kereta tempatan yang ada…

1. PROTON, jenama paling senior dalam industri automotif tempatan

Pelancaran Saga pertama! Imej dari Astro Awani

Siapa je tak kenal PROTON ni, kereta nasional pertama Malaysia kot. Pada 1985, PROTON Saga yang pertama telah dilancarkan di mana ia memegang status sebagai kereta keluaran tempatan pertama di negara kita. Ia tidaklah sepenuhnya dicipta di Malaysia, ini disebabkan Saga diilhamkan daripada kereta Mitsubishi Lancer Fiore dari Jepun.

Nak dijadikan cerita, PROTON banyak berguru dengan Mitsubishi pada awal kelahiran mereka. Kira asas kepada kereta PROTON pada masa itu adalah berdasarkan teknologi daripada negara Jepun, memang bukan biasa-biasa ni guys! Sekarang pula kebanyakan kereta mereka mengambil teknologi daripada China iaitu Geely.

Hmmm. Imej dari imgflip

Tapi kalau dari China tu pun tak bermakna tak bagus kan? Mana taknya, semua kereta baru yang dikeluarkan PROTON seperti Saga (2019), X70 dan X50 mendapat sambutan yang padu kot! Belum masuk teknologi dorang lagi.

2. PERODUA, adik yang lebih disayangi?

Kereta kompak sejati! Imej dari Mekanika

Kewujudan PERODUA sebagai kereta nasional kedua memberi pilihan yang berbeza kepada rakyat Malaysia. Kira pasaran kereta tempatan tidaklah hanya dimonopoli oleh PROTON sahaja, jadi kepada yang kurang sikit dengan PROTON tu boleh lah try tengok-tengok produk PERODUA pula kan.

Jenama PERODUA ni boleh dikira antara paling diminati rakyat Malaysia, sampaikan kereta Myvi keluaran mereka pun telah digelar sebagai King of the Road! Teknologi yang digunakan oleh PERODUA pun berasal dari Jepun juga tau guys, mereka menggunakan teknologi daripada syarikat Daihatsu dan juga Toyota.

So, korang tak perlu risau pun pasal bahagian dalam kereta ni, sebab ia pasti mempunyai teknologi yang terbaik dan tahan lasak!

3. NAZA, lahir dulu sebelum PROTON?

Antara kereta yang ustazah ustaz pakai. Imej dari Trapo Asia

Kalau korang nak tahu, sebenarnya ada jenama automotif tempatan yang dah muncul dulu sebelum PROTON, ia adalah NAZA. Tapi pada awal kemunculan dorang ni, NAZA bukanlah pengeluar kereta, dorang hanya wujud sebagai car dealer je pada 1975. Di mana mereka menjual kereta-kereta recond dari luar negara dalam Malaysia.

Pada tahun 2006, baru lah mereka mula mengeluarkan kereta sendiri yang di rebadge bermula dengan kereta Naza Bestari dari jenama Perancis iaitu Peugeot. Namun, mereka lebih popular dengan kereta rebadge daripada syarikat kereta Korea Selatan iaitu KIA Motors. Antara kereta mereka yang masih berdiri di atas jalan adalah NAZA Citra dan NAZA Ria. Selalunya ustaz dan ustazah lah yang pakai.

Confirm terjual punya. Imej dari imgflip

Cuma tu lah, dorang dah tak keluarkan kereta jenama sendiri dah. Sekarang NAZA memang fokus kepada dealership untuk kereta dan motorsikal import. Mungkin dengan apa yang dorang buat tu lebih menguntungkan lah kot daripada rebadge kereta sendiri.

4. Bufori, jenama Australia yang berkelana di Malaysia

Kereta kayangan. Imej dari Bufori

Mesti ada antara korang yang tak tahu langsung pun kewujudan Bufori ni kan? Bufori merupakan syarikat pembuat kereta mewah yang menggabungkan elemen klasik dan moden dalam kereta dorang. Katanya production kereta dorang ni sikit je, setakat dalam 300 biji kereta je setahun. Kalau nak bandingkan dengan jenama lain yang biasa tu, memang jauh beza.

Syarikat ni dikatakan berasal dari Australia, akan tetapi kewujudan pertama syarikat Bufori ni secara fizikal adalah di Kepong, Malaysia. Yang pasti, kereta ni bukanlah untuk semua orang. Ini disebabkan harganya yang mencapai jutaan ringgit, kira untuk orang biasa-biasa memang takkan dapat lah merasa kereta klasik moden macam ni.

Antara model kereta mereka yang kita boleh nampak kat atas jalan adalah Bufori Geneva, semua specs yang ada kat kereta ni memang memfokuskan klasik dan juga mewah. Kadang-kadang macam tak percaya juga kereta ni buatan tempatan, memang padu.

5. Inokom, macam nama Jepun tapi sebenarnya jenama tempatan

Gergasi tempatan? Imej dari Carlist

Bila dengar nama Inokom ni, mesti ramai yang fikir ia merupakan jenama kereta dari Jepun, tapi sebenarnya tidak! Syarikat ini merupakan joint venture Malaysia, Korea Selatan dan Perancis. Namun, Malaysia merupakan pemegang saham utama dengan 51% saham Inokom adalah milik Sime Darby. So, memang boleh kata yang Inokom ni jenama Malaysia!

Disebabkan syarikat ni merupakan perkongsian dengan Korea tu, kebanyakan kereta yang telah di rebadge oleh Inokom berasal dari Hyundai (syarikat kereta Korea). Kalau rebadge dari Perancis pula ada satu je, ia dikenali sebagai Inokom Permas. Walaupun dorang banyak rebadge kereta, itu bukanlah satu-satunya perkara yang mereka buat.

Inokom ni juga popular dengan pemasangan kereta luar negara di Malaysia, seperti pemasangan BMW, Mazda, Mini Cooper dan juga Hyundai, semua pemasangannya dilakukan dibawah Inokom. Nak buka kilang pemasangan ni kan mahal, jadi tak salah pun dorang ambil orang tengah untuk pasangkan produk dorang kat Malaysia ni.

Sentiasa sokong jenama tempatan!

Tak kisah jenama apa, asalkan tempatan. Imej dari Berita Harian

Sehingga hari ni, kita boleh nampak keharmonian dalam negara senang sangat dimomokkan dengan naratif yang mengasingkan kita semua. Sebagai contoh adalah kempen-kempen yang menggalakkan orang hanya membeli dengan satu kaum sahaja, ataupun membeli barang dengan satu agama sahaja.

Rasanya, lebih baik kalau kita fokuskan sokongan kita kepada semua produk tempatan! Lebih baik kalau kita semua membuat kempen membeli barangan tempatan tak kira produk itu dimiliki oleh kaum apa mahupun agama apa sekalipun. Sebab di akhir cerita, kita semua adalah warganegara Malaysia.

Seperti kereta-kereta tempatan yang kita ada, teknologi yang kita ada tidak kurang hebatnya kalau dan dibandingkan jenama luar negara. Murah pun murah, ingat, barang baik barang kita!