Isu penyelenggaraan di pangsapuri? Apa yang anda boleh lakukan?

Kalau korang pernah tinggal rumah flat, apartmen, PPR, kondo atau yang seangkatan dengannya, mesti korang pernah rasa azab bila lif rosak kan?

“Pegi gym ke?” “Aku tinggal PPR bro,” Gif daripada Giphy.

Nasib tak baik, bukan setakat lif je yang hauk: lampu koridor terbakar, dinding bangunan berlumut, pagar terkopak… banyak masalah yang menghalang korang daripada healing selepas penat balik kerja.

Kalau dah berbulan-bulan dibiarkan rosak, siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang korang akan cari? Dan macam mana korang boleh selesaikan masalah ni?

Jom kita bedah soalan-soalan tersebut.

Sepatutnya, badan pengurusan akan baiki… menggunakan duit korang

Ingat tak iklan hak milik strata dekat TV dulu?

Haa… kalau korang tinggal di kawasan perumahan dengan kemudahan yang dikongsi bersama jiran-jiran macam lif, tempat letak kereta pelawat, pondok pak guard atau sebagainya, korang dikira tinggal di rumah strata.

Kemudahan yang dikongsi ni digelar harta bersama, dan kebajikan harta bersama ni menjadi tanggungjawab pihak pengurusan strata korang, yang dipanggil Badan Pengurusan Bersama (JMB) ataupun Perbadanan Pengurusan (MC).

Ahli JMB dan MC ni terdiri daripada pemilik-pemilik unit lain dalam perumahan korang, jadi kira macam AJK kelas jugaklah.

Penerangan lebih lanjut. Imej daripada Twitter @kpkt_gov

Pemilik rumah strata pula perlu membayar dua benda kepada JMB atau MC secara bulanan atau tahunan:

  • yuran penyelenggaraan – digunakan untuk membayar gaji tukang cuci, pak guard dll., membaiki harta bersama yang rosak, bil elektrik untuk lampu koridor, dan lain-lain perbelanjaan yang boleh dijangka
  • kumpulan wang penjelas (sinking fund) – digunakan untuk perkara tak dijangka atau jarang dibuat seperti baiki kawasan letak kereta yang ditimpa pokok dan kerja-kerja mengecat semula bangunan

Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab JMB dan MC ni cuma untuk harta bersama, jadi kalau lampu dapur korang terbakar, itu tanggungjawab korang sendiri. Dan kalau siling korang masuk air, itu pula jadi tanggungjawab jiran tingkat atas korang.

Jika korang pemilik rumah strata, pembayaran yuran penyelenggaraan dan sinking fund ni wajib menurut undang-undang. Jadi mungkin korang tertanya-tanya…

“Eh, dah bayar kot! Kenapa lif masih tak repair?!”

Sama seperti pemilik rumah strata yang tak bayar yuran penyelenggaraan dan sinking fund, JMB dan MC juga boleh dikenakan tindakan kalau tak selenggara harta bersama mengikut tanggungjawab diorang, seperti yang termaktub dalam Akta Pengurusan Strata (APS) 2013.

48. (1) Pemaju hendaklah, semasa tempoh pengurusan permulaan dan tertakluk kepada peruntukan Akta ini, bertanggungjawab untuk menyenggarakan dan menguruskan dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dipecah bahagi, dan harta bersama.

Akta Pengurusan Strata 2013.

Jadi kalau korang dah buat aduan pada JMB dan MC tapi masih tak ada tindakan, korang boleh bawa perkara ni kepada Tribunal Pengurusan Strata di bawah KPKT. Tribunal ni ditubuhkan khas untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak milik strata dan dalam kes-kes tuntutan bernilai bawah daripada RM250,000 sahaja. Korang juga tak boleh bawa peguam ke tribunal ni, jadi kena berbahas sendiri ya.

Gif daripada Giphy.

Masih tak jalan juga? Korang boleh bawa JMB atau MC korang ke mahkamah sebab melanggar tanggungjawab diorang di bawah APS, sebab di bawah akta yang sama ada dinyatakan yang mereka boleh menyaman dan disaman. Tapi sebelum korang berkeluh-kesah dengan semua benda ni, pastikan yang memang JMB dan MC bersalah dulu ya.

Kadang-kadang, memang diorang repair lif contohnya, tapi selalu rosak semula sebab vandalisme atau penggunaan yang tak bertanggungjawab. Untuk sesetengah kawasan strata pula, ada kes di mana penghuni memang culas nak bayar yuran penyelenggaraan.

Ulp!

Macam yang dilaporkan di sebuah PPR tahun lepas, ramai pemilik rumah tak bayar yuran penyelenggaraan bertahun-tahun lamanya, dan menurut DBKL, susah nak selenggara kemudahan kalau tak ada bajet.

“Banyak PPR tak mempunyai JMB yang betul, jadi kutipan yuran penyelenggaraan juga kurang baik, dan kemudahan di sana seperti lif selalu rosak,”

Jurucakap DBKL, diterjemah daripada The Star.

Memang tak ada ubat untuk vandalisme, tapi untuk masalah tak ada duit nak repair…

Boleh cuba mohon dana daripada Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM)

Kalau korang ada dengar ucapan Belanjawan 2023 tempoh hari, ada diumumkan yang kerajaan memperuntukkan RM44.4 juta untuk Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM). Amende tu?

TPPM ni suatu program yang disasarkan kepada penghuni rumah strata kos rendah dan sederhana rendah seluruh Malaysia, dan mereka boleh mohon dana daripada tabung ni untuk baik pulih dan selenggara harta bersama diorang. Dalam kata mudahnya, kalau rumah berstrata korang berharga bawah RM80,000 di Semenanjung atau bawah RM100,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan, korang boleh mohon dana ni bagi perkara-perkara di bawah:

Malangnya tak ada untuk lampu warna warni. Daripada KPKT.

Jadi kalau korang cukup syarat dan nak pohon dana, boleh dapatkan borang permohonan secara online di laman web KPKT (klik sini!) atau pergi sendiri ke pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Semenanjung Malaysia dan cari Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Untuk maklumat lanjut tentang proses permohonan, boleh baca panduan di pautan ni atau telefon nombor yang tertera kat hujung dokumen untuk penjelasan lanjut.

Sebenarnya, selain TPPM, banyak lagi inisiatif dan projek kerajaan yang dah diumumkan untuk membantu rakyat menaiktaraf perumahan mereka, macam…

  • Penyelenggaraan Perumahan Awam Kos Rendah WPKL
  • penyediaan internet percuma di 56 PPR terpilih
  • pengecualian atau diskaun untuk duti setem bagi pemilikan rumah pertama
  • projek naik taraf dan penyelenggaraan Kampung Baru Cina
  • baik pulih rumah di luar bandar
  • Projek Perumahan Awam Malaysia

…dan banyak lagi! Wow!

Asik! Asik! Gif daripada Giphy.

Jadi kalau korang mungkin tak layak untuk mohon TPPM, boleh cuba-cuba semak jika ada bantuan lain yang korang boleh mohon di laman web Belanjawan 2023. Mana tahu, ada yang sangkut?

Semoga bermanfaat!