Ikan bandaraya ni dah ‘bersihkan’ semua sekitar kawasan perairan dekat Johor?

(This article is a translation. For the original, visit our sister site, CILISOS)

Korang pernah tak pergi kat kedai akuarium ke, kedai ikan ke, korang akan perasan ada ikan yang melekat kat dinding? Apa korang panggil ikan tu ye? Ikut saintifiknya, ikan tu diberi nama Pterygoplichthys pardalis dan adik beradik dia namanya Hypostomus plecotomus dan juga dipanggil sebagai Amazon sailfin catfish. Berbelit lidah nak sebut! Tapi yang paling senang nak sebut, nama Melayu dia, iaitu ikan bandaraya. Haa baru dapat bayang rupa ikan ni macam mana kan?

Ikan ni berasal dari perairan air tawar tropika dekat Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Jauhnya dia berenang sampai ke Malaysia! Dia dipanggil sebagai ikan bandaraya sebabnya dia ni sinonim dengan cara dia yang suka ‘membersihkan’ kawasan sekeliling dia. Kalau korang perasan, ikan bandaraya ni mesti ada dalam setiap akuarium sebab tugas dia bersihkan dan sedut alga dan lumut-lumut yang ada kat akuarium tu.

Kan best kalau ikan pun boleh tolong bersihkan rumah. Imej dari Gfycat

Tapi baru-baru ni Jabatan Perikanan Johor ada bagitahu yang spesis ikan ni dah makin bertambah dekat perairan Sungai Skudai dan ianya bahaya sebab dia bagi kesan negatif dekat habitat perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti ikan air tawar untuk tempoh jangka panjang. Nak tahu kenapa? Jom baca sampai habis!

Ikan ni makan lumut je tapi dia tetap bahaya

Kalau ada siapa-siapa nak beli ikan bandaraya ni untuk sedut lumut-lumut kat akuarium korang, harganya taklah mahal sangat, jual mur-mur je. Ikan ni selalu dijual dengan harga RM3-RM5 je. Ada peminat ikan eksotik yang pernah bela ikan bandaraya ni (Effendi J.) kata, kebanyakan orang beli ikan ni sebab harga dia murah dan ikan ni mampu sesuaikan diri dalam pelbagai jenis dan keadaan air. Kiranya antibodi ikan ni kuat jugalah!

Hai selamat berkenalan. Imej dari fpsbutest

Tapi bila ikan ni dah besar, dia akan serang ikan-ikan yang lain. Dan bila kes macam ni jadi, kebiasaannya orang yang bela ikan tu akan buang atau dengan perkataan manisnya lepaskan ikan tu kat mana-mana sungai atau tasik. Ramai orang anggap aktiviti lepaskan ikan bandaraya ni kat sungai tak berbahaya, yelah lepaskan kat sungai je… tapi sebenarnya kalau ikut laporan rasmi berkenaan ikan ni, ikan ni sangat merbahaya dan boleh ganggu ekosistem hidupan lain kat sungai tu!

Walaupun kita tahu ikan ni bukan jenis ikan yang pemangsa dan makanan dia cuma alga dan lumut-lumut je, tapi sebenarnya dia adalah pemangsa bagi ikan-ikan kecil yang lain yang baru nak tengok dunia tu! Ada laporan yang mengatakan bahawa, ikan ni akan makan telur ikan spesis Fountain Darter yang sekarang ni spesis tu dianggap terancam.

Ikan bandaraya vs ikan fountain darter. Agak-agak sapa menang? Imej dari Cilisos

Selain ikan bandaraya ni bahaya kat ikan-ikan kecil yang lain, dia juga dianggap pesaing kat ikan lain sebabnya dia mengganggu rantaian makanan yang sedia ada kat dalam sungai tu.

“Aliran nutrien dalam sungai akan menggalakkan pertumbuhan alga dan mikrob lain yang merupakan asas dalam membentuk rantaian makanan.” – Krista Capps, Jabatan Ekologi dan Biologi Evolusi dari Cornell University, sumber dari Mongabay. 

Jadi, bila ikan bandaraya ni ada dekat sungai, dia akan kacau bekalan makanan dalam rantai makanan yang dah sedia ada dan akan menjejaskan haiwan lain yang bergantung pada makanan tersebut. Sebenarnya ikan-ikan lain dapat sumber makanan dari alga, mikrob dan ikan yang dah mati tapi disebabkan ikan bandaraya ni jalankan tugas dia bersihkan sisa-sisa yang macam tu, jadi rantaian makanan ikan lain pun terganggu. Ikan ni juga sanggup bersaing dengan ikan yang lagi kecil untuk dapatkan makanan! Kesian baby fish.

Ikan bandaraya ni juga akan korek dasar atau tebing sungai untuk dapatkan makanan dengan untuk bagi ikan bandaraya betina bertelur kat kawasan tu. Bila dah jadi macam tu, air sungai pun akan jadi keruh dan kotorlah.

Ikan bandaraya pun akan buat sungai jadi macam ni tau. Imej dari worldatlas

Salah satu sebab ikan bandaraya ni makin banyak kat perairan Sungai Skudai adalah sebab kawasan perairan yang kotor, sebabnya ikan bandaraya ni akan senang membiak dekat kawasan yang kotor! Ada nelayan bagitahu yang ikan ni akan naik bila lepas hujan. Mereka tak dapat nak tangkap ikan lain selain ikan bandaraya ni. Ada kajian juga kata, sepanjang tahun 2018, sebanyak 61% ikan yang ditangkap dekat sungai tu adalah ikan bandaraya! Lebih dari separuh tu!

“Lebih malang apabila selepas hujan, ikan ini akan naik dan melekat di jaring menyebabkan nelayan terpaksa menghabiskan masa membuangnya dari jaring dan tidak boleh mencari ikan lain.”- Osman Kasim, Ketua Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama, sumber dari MyMetro.

Badan ikan bandaraya. Imej dari Cilisos

Kita pun tahu kan bila ikan membesar, sirip dia akan jadi tajam. Jadi bila dah tertangkap ikan ni, jaring nelayan pun akan jadi rosak disebabkan sirip ikan ni yang tajam. Pada masa yang sama, bila nelayan nak buang ikan tu, ianya akan ambil masa yang lama. Sebab kes macam ni lah nelayan kat kawasan tu rugi sebab dia tak dapat tangkap ikan lain dan jaring dia dah rosak  dengan dia terpaksa ambil masa yang lama untuk buang ikan tu semula. 

Cara nak kawal pembiakan ikan bandaraya ni dengan … bagi ikan keli makan dia?

Hmm diaorang dah buat kerja yang bagus apa. Imej dari Meme

Sebenarnya, situasi gangguan ekosistem habitat dekat kawasan perairan disebabkan ikan bandaraya ni dah berlaku kat seluruh dunia. Bukan kat Malaysia je ye! Bila orang Thailand alami situasi macam ni, dia pun buatlah research untuk cari jalan nak kawal pembiakan ikan bandaraya ni. Dan diaorang pun jumpa satu cara yang sangat mudah dan senang. Nak tahu tak apa? *drum roll* Dengan bagi ikan keli makan dia! Dan… cara tu berkesan! Yayyy.

Ikan bandaraya ni rupa-rupanya kaya dengan nutrisi sebab dia mempunyai protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan garam mineral yang tinggi. Sebab tu penyelidik Thailand percaya yang ikan ni boleh bekalkan nutrisi yang mencukupi dekat ikan-ikan komersial lain termasuklah ikan keli gergasi Mekong yang makan dia tu.  

Ni lah ikan keli gergasi Mekong tu. Imej dari NTD India

Malaysia sebenarnya hampir nak import ikan keli gergasi ni kat Tasik Kenyir sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah perairan yang dah banyak wujudnya ikan bandaraya tu. Tapi, orang Terengganu dan ahli alam sekitar kat sana tak setuju sebab takut ikan keli gergasi ini akan mengancam kehidupan spesies habitat yang lain kat dalam tasik tu. 

Korang rasa la kan kita boleh tak makan ikan bandaraya ni sebab kita tak ada ikan keli gergasi tu untuk kurangkan ikan ni? Korang nak tahu tak, sebenarnya orang Amerika Selatan dah makan ikan bandaraya ni, dia buat sup tak pun jadi ikan panggang! Bunyi macam sedap.

Alamak, dia nak makan ikan kecik lah!!! Imej dari Giphy

Kalau ikut satu laporan tu, sebenarnya ikan ni boleh dijadikan produk sampingan contohnya macam makanan ikan, kolagen dengan pes ikan. Tapi, naib presiden Persatuan Alam Sekitar Malaysia, Vincent Chow ni cakap kita tak boleh makan ikan ni, hmm tapi tak tahu kenapa…. Habis tu ikan banyak-banyak tu nak buat apa?

Sejak 10 tahun lepas, Vincent dah pernah suarakan pasal situasi ni dia pun ada cadangkan supaya majlis-majlis perbandaran anjurkan satu pertandingan untuk tangkap ikan ni sebagai salah satu usaha untuk baik pulih ekosistem perairan memandangkan ikan ni tak ada pemangsa yang boleh kurangkan habitat dia. 

Ada juga yang bagitahu dengan penangkapan ikan bandaraya ni secara intensif sebenarnya boleh bantu kawal populasi ikan ni. Tapi masalah yang timbul sekarang ni, ianya susah nak dipasarkan dan tak ada pasaran sebab kurangnya permintaan daripada pengguna. Betul jugak tu! Kalau boleh makan mesti ramai yang nak.

Haa bagus jugak kalau buat pertandingan macam ni. Imej dari Utusan Online

Ikan ni boleh naturalkan semula air kumbahan. Biar betul?

Mesti korang tertanya-tanya kan sebenarnya ikan ni boleh bersihkan benda lain tak selain akuarium? Haa ni nak bagitahu, ada satu pasukan penyelidik dari American College, Madurai, India bagitahu yang ikan bandaraya ni sebenarnya boleh bersihkan najis kita! Euwww! Sebab tu tak boleh makan kot?

Korang tahu tak air kumbahan sebenarnya perlu dirawat untuk jadikan dia natural semula? Tapi mestilah kena ada air yang banyak kan. Tapi bila satu dunia kekurangan air, macam mana nak naturalkan semula air tu?

Tapi dia bukan bersihkan guna mop la ye. Imej dari Gfycat

Haa cara dia adalah dengan membiakkan ikan yang boleh tukar paras air kumbahan tu supaya jadi normal semula. Kalau ikut satu laporan ni, dia bagitahu jenis ikan macam tilapia dan ikan keli telah digunakan untuk tujuan tukar paras air tu. Dan dia bagitahu ikan bandaraya ni pun sebenarnya boleh digunakan untuk tukar paras air kumbahan tu disebabkan antibodi dia yang kuat yang boleh hidup dalam apa-apa jenis air pun dengan hanya makan alga dan mikrob lain. Wow!

Sebenarnya, ikan bandaraya ni ada manfaat juga untuk ekosistem negara kita sebab dia boleh bersihkan bendasing yang dibuang dari tapak pembangunan. Dia bukan 100% ikan perosak ye. Walaupun kita boleh dapat manfaat daripada ikan bandaraya ni, Vincent dan Jabatan Perikanan Johor ada bagitahu tentang pentingnya pendidikan dan bagi amaran dekat penggemar ikan untuk tak buang ikan mereka ke dalam saluran air yang boleh jejaskan habitat lain. Mereka juga bercadang untuk pinda Peraturan Perikanan 1951 bagi nak pastikan sumber semula jadi dan ikan dapat dilindungi.

Tapi ni bukan kes pertama yang ganggu sistem perairan kat Malaysia ni, sebelum ni ada juga artikel yang ditulis oleh CILISOS berkenaan kerajaan negeri Sabah terpaksa pelihara sejenis serangga untuk buang tumbuhan asing yang dah meliputi satu sungai tu. Pokok tu dibuang kat sungai lepas dia dah tak boleh nak digunakan lagi.

Tasik yang dah ditutup dengan tumbuhan asing. Imej dari Wildlife Management Pro

Selain tu, kalau korang nak tahu ikan emas dengan kura-kura pun sebenarnya sama bahaya macam ikan bandaraya ni bila diaorang dah terlalu banyak kat kawasan perairan tu. Nak tahu lebih banyak lagi, boleh baca kat sini. 

PERINGATAN bagi penggemar ikan!

AWAS!!!! Imej dari Giphy

“Peningkatan populasi ikan ini juga memberi impak negatif kepada perikanan darat antaranya menjejaskan pendapatan nelayan sungai dengan penurunan stok ikan disebabkan oleh gangguan habibat dan pemangsaan,” – Wakil dari Jabatan Perikanan Malaysia, sumber dari Utusan Online.

Bila kita semak semula, ikan bandaraya ni mungkin tak akan timbulkan ancaman yang bahaya sangat kat ekosistem kawasan kita. Tapi bagi penggemar-penggemar ikan ni kenalah sentiasa beringat bila korang rasa nak buang ikan tu kat sungai ke tasik ke sebab kesian kat nelayan nak cari makan tapi asyik tertangkap ikan tu je. Kalau tak ada cara lain, mungkin korang boleh sembang dan minta pendapat dengan mana-mana jabatan perikanan sebelum nak buang ikan tu?

About Nadiya Othman 84 Articles
Hai! Saya suka baca buku tapi saya lagi suka kalau awak baca artikel ni sampai habis :)