Politik Antarabangsa

Dr Mahathir tak kisah diintip China? Ini sebab kenapa Malaysia pilih Huawei untuk 5G

(This article is a translation. For original, visit our sister site, CILISOS)

Sekarang ni kita dengar banyak berita pasal teknologi 5G yang akan datang ke Malaysia tak lama lagi. Senang cerita, teknologi 5G ni bermaksud kita akan dapat internet yang lebih laju dan stabil dari yang ada sekarang.

Tapi dalam usaha ke arah teknologi baru ni, ia taklah semudah yang disangka. Sebabnya, negara kita nanti kena buat banyak pembaikan infrastruktur yang sedia ada ni. Siapa yang akan buat semua benda tu? Jawapannya adalah… Huawei, syarikat komunikasi China tu.

Sekarang Huawei jadi antara syarikat utama dunia dalam pembangunan rangkaian 5G. Imej dari TBS News.

Sekitar Oktober tahun lepas, dilaporkan yang Huawei Technologies dah buat perjanjian rasmi dengan Maxis, di mana – Huawei bersetuju untuk menyediakan peralatan, perkhidmatan dan maklumat pengetahuan untuk membina rangkaian 5G di Malaysia. Dilaporkan juga yang Huawei bersedia menyusun pasukan pakar untuk membantu Maxis dalam perancangan, operasi dan penyelenggaraan rangkaian 5G tu nanti.

Semua nampak macam mudah dan terus terang je kan? Tapi inilah yang menjadi isu, apabila…

Ada negara yang dah haramkan Huawei atas sebab keselamatan

Cer tengok negara mana yang haramkan. Imej dari statista.

Kalau korang banyak baca berita antarabangsa, korang mesti perasan pasal tindakan negara-negara tertentu yang sama ada mengharamkan atau menghadkan produk Huawei dalam infrastruktur 5G mereka. Antara negara yang dikatakan dah buat tindakan tu adalah Amerika Syarikat (AS), Jepun, New Zealand, Australia dan United Kingdom (UK). Walaupun begitu, UK baru-baru ni buat keputusan membenarkan Huawei untuk teknologi tertentu mereka.

Persoalan yang timbul adalah kenapa negara-negara ni berwaspada sangat dengan Huawei dari masuk dalam sistem 5G mereka? Berdasarkan maklumat yang kitorang dapat, boleh dikatakan ada dua masalah utama yang menimbulkan masalah ini. Pertamanya pasal Huawei tu sendiri dan keduanya politik dunia.

Illuminati buatan China. Imej dari chinhdangvu1.blogspot

Untuk sebab yang pertama, sebenarnya dah ada begitu banyak kritikan terhadap syarikat ni dan korang boleh baca semua tu dalam laman Wikipedia. Tapi disebabkan Wikipedia ni boleh diedit sama ada oleh yang pro atau anti-Huawei, jadinya ia masih lagi boleh dipertikaikan.

Tapi pada dasarya, ada beberapa hal pasal Huawei yang menimbulkan kontroversi:

  1. Tuntutan mahkamah terhadap hak harta intelek – Huawei dah menjadi sasaran beberapa tuntutan mahkamah yang mendakwa mereka menyalin teknologi atau rahsia dagangan pesaingnya. Contohnya, Huawei didakwa mencuri kod Cisco Systems dan menggunakannya dalam produk mereka (diselesaikan di luar mahkamah), dan Huawei didakwa mencuri sebahagian robot ujian telefon pintar T-Mobile (diperintah membayar $4.8juta ganti rugi).
  2. Ada hubungan dengan tentera dan Parti Komunis China – CEO Huawei, Ren Zhengfei dikatakan seorang pesara tentera China yang ada kepakaran khusus dalam penyelidikan telekom. Malah, dilaporkan dalam ibu pejabat Huawei tu, ada pejabat Parti Komunis juga.
  3. Risiko intipan menggunakan produk/perkakasan Huawei – Seperti dikatakan di atas tadi, Huawei didakwa mempunyai hubungan erat dan banyak menolong kerajaan China (termasuk kewangan). Ini menimbulkan kebimbangan sekiranya Huawei juga boleh buat apa yang diminta oleh China. Contohnya macam menggunakan teknologi mereka untuk intipan atau tutup sistem telekomunikasi mereka kalau berlaku perang siber.

Sebelum ni, China juga didakwa dah masukkan bug dalam produk Huawei. Hal tu membuatkan adanya negara-negara rasa terancam dan tak benarkan Huawei dekat dengan mana-mana sistem komunikasi mereka. Tapi dalam masa, ia juga disebabkan…

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Kesan dari Perang Dagang AS-China

Bila korang tak ngam, tapi kena berborak juga. Imej dari ABC News.

Korang mungkin sedar pasal perang dagang antara China dan AS yang tengah berlaku sekarang ni, dan hal tu juga nampaknya membuatkan Huawei terbabit sama. Walaupun, tindakan undang-undang dan rasa curiga AS terhadap Huawei ni dah wujud sejak lama, semua tu nampak cukup serius pada Mei tahun lepas – bila US letakkan Huawei dalam senarai hitam perdagangan mereka bersama lebih 140 syarikat China lain.

Dengan isu 5G yang berlaku baru-baru ni, nampaknya banyak juga negara yang ambil tindakan mengharamkan Huawei berdasarkan hubungan mereka dengan AS. Contohnya macam Jepun yang kita dah sedia maklum sebagai sekutu kuat AS. Dalam masa sama, Perikatan Five Eyes, terdiri dari Australia, Britain, Kanada, New Zealand yang berkerjasama dengan AS dalam isu perisikan juga ambil tindakan sama mengharamkan Huawei.

“Anda akan melihat kami bersatu dan menghubungkan rangkaian yang paling sensitif … tidak akan mempunyai teknologi dari negara-negara yang menimbulkan ancaman kepada kami sama ada China dan Huawei atau yang lain.” – Rob Joyce, Agensi Keselamatan Negara AS. Dipetik dari Reuters.

Lima negara yang kongsi maklumat pengawasan dunia. Imej dari Pixel Privacy.

Apa yang menariknya, walaupun negara-negara ni ikut rentak AS, tapi tak semua mengharamkan sepenuhnya Huawei. Hanya Australia dan AS je buat macam tu, dan yang lain masih lagi tak berapa tegas sangat.

Contohnya, Kanada masih lagi kaji, manakala – walaupun New Zealand dah sekat Huawei daripada membekalkan produk 5G kepada pembekal tempatan, ia masih belum sepenuhnya. UK pula baru-baru ni membenarkan Huawei membina bahagian bukan kritikal rangkaian 5G, dan hal ini menerima sambutan juga. Ini dilihat sebagai penentangan kepada tindakan AS terhadap Huawei.

Seperti mana yang Canselor Jerman, Angela Merkel kata:

“Terdapat dua perkara yang saya tidak percaya. Pertama, untuk membincangkan soalan-soalan keselamatan yang sangat sensitif ini secara terbuka, dan kedua, untuk mengecualikan syarikat semata-mata kerana ia dari negara tertentu.” – Katanya dilaporkan South China Morning Post.

Tapi hal ni membuatkan kita tertanya-tanya…

Malaysia tak takut ke kena intip dengan China?

Dr Mahathir siap jumpa CEO Huawei. Imej dari Bernama.

Hakikatnya, negara kita tak takut sangat dengan ancaman-ancaman ni. Walaupun ada tekanan dari pihak antarabangsa pasal teknologi 5G Huawei, Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir tak kisah sangat. Dalam satu persidangan di Tokyo pada tahun lepas, Dr Mahathir kata yang penyelidikan Huawei jauh lebih besar daripada apa yang dapat dilakukan oleh seluruh Malaysia, dan oleh itu kita akan menggunakannya sebaik mungkin.

Tambah Dr Mahathir lagi:

“Ya, mungkin ada yang mengintip. Tapi apa yang ada untuk mengintip di Malaysia? Kami terbuka … Semua orang tahu, jika mana-mana negara mahu menjajah Malaysia, mereka boleh berjalan, dan kami tidak akan menentang kerana ia membuang masa…

AS mesti bersaing dengan China. Kadang-kadang China akan menang, lain kali AS akan menang.” – Katanya, dipetik dari NST.

Apa yang Dr Mahathir kata tu ada logiknya juga sebab kalau memang betul apa yang didakwa terhadap Huawei tu, China nampaknya dah tahu banyak pasal Malaysia. Sebabnya, Huawei dah ada dalam sistem kita lebih dari dua dekad. Huawei mula masuk ke Malaysia pada tahun 2001, apabila mereka menyediakan teknologi kepada pengendali telekom utama negara. Sejak itu, mereka dah terlibat dalam beberapa projek teknologi besar di Malaysia, seperti:

  • menubuhkan pusat khidmat besama untuk Kewangan dan Perakaunan Asia di sini pada tahun 2006,
  • membuka Pusat Latihan ICT global yang pertama di luar China di Cyberjaya pada tahun 2012,
  • menubuhkan Asia Pacific Digital Cloud Exchange di hab Pembangunan Iskandar Malaysia pada tahun 2015,
  • bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk projek R&D dan latihan teknologi,
  • serta semestinya banyak lagi!

 

Tengok gambar ni pun korang boleh fahamkan betapa pentingnya Huawei ni. Imej dari Digital News Asia.

Selain tu, Huawei juga terima sesuatu yang Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) panggil sebagai ‘Anugerah Industri ICT dan Pembangunan Bakat di Malaysia’ pada 2013. Mereka juga membantu Malaysia dalam membangunkan rangkaian 3G ke 4G beberapa tahun lalu, selepas bekerjasama dengan Altel Communications dan beberapa syarikat telko lain.

“Huawei adalah rakan kongsi jangka panjang untuk Maxis. Rangkaian 4G kami adalah [didayakan] oleh teknologi Huawei, jadi saya tidak melihat sebarang isu bergerak ke hadapan.” – Gokhan Ogut, CEO Maxis. Dipetik dari Nikkei Asian Review.

Jadinya, apa yang kita boleh kata adalah Huawei dah ada hubungan panjang dengan Malaysia sebelum isu keselamatan ni timbul lagi. Malah…

Malaysia tak patut rasa cerewet sangat

Dr Mahathir kata kita akan dapat 5G tak lama lagi. Imej dari The Star.

Kalau ada syarikat tempatan yang mempunyai teknologi dan pengetahuan untuk memperkenal 5G ni, kita tak payahlah minta bantuan dari syarikat luar. Tapi malangnya, kita tak ada dan mahu atau tak – kita kena dapatkan kepakaran luar untuk menjayakannya. Buat masa sekarang, terdapat beberapa syarikat yang bersaing dengan Huawei dalam teknolgi 5G ni, seperti – Ericsson (Sweden), ZTE (China) dan Nokia (Finland).

Huawei nampaknya dekat dengan situasi tempatan dan mereka juga memudahkan kerajaan dalam isu kewangan. Kita juga mahu ke arah 5G ni dengan secepat mungkin dan bekerjasama dengan Huawei adalah pilihan yang paling jelas buat masa ni. Seperti mana yang dikatakan oleh Ketua Pengarah GSM Association, Mats Granryd: 

“Tidak perlu menjadi yang pertama (dalam melaksanakan 5G) … Tetapi Malaysia tidak perlu mengambil pendekatan tunggu-dan-lihat sama ada dalam mengejar 5G, walaupun teknologi ini tidak tersedia secara meluas, memandangkan proses memperkenalkannya itu boleh membawa selama bertahun-tahun…” – Katanya dipetik dari Borneo Post.

Apa yang pasti, dalam tahun-tahun mendatang – kita akan menerima teknologi 5G. Dan korang juga kena ingat… kerajaan memang dah restukan Huawei dalam projek ni.

 

 

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend