6 insiden gelap negara yang menyebabkan wujudnya 6 perkara ni di Malaysia sekarang

Korang mesti pernah dengar pasal beberapa mitos dan ‘dark origins’, sesebuah kisah tu macam watak kartun Shin Chan dan adiknya Himawari yang sebenarnya dah meninggal. Begitu juga lagu ‘London Bridge is Falling Down’ yang sebenarnya pasal serangan Viking dan korban kanak-kanak, dan di Malaysia pula kita ada lagu Ulek Mayang, mengisahkan puteri laut dan penculikan jiwa nelayan.

Manakala di Amerika ada sebuah urban legend di mana berlakunya sebuah kemalangan membabitkan bayi dalam kereta, tapi tak sempat diselamatkan sebab penyelamat tak perasan yang menyebabkan wujudnya papan tanda ‘Baby on Board’ sekarang.

Jadi kali ni kitorang nak ceritakan kewujudan beberapa perkara di Malaysia pula dan kita mulakan dengan apa yang berlaku baru-baru ni…

1. NADMA diwujudkan sebab Banjir Monsun 2014

Imej asal dari Kuantan Loka & NST

Kalau korang perasan, tengah trending orang tengah persoalkan kerajaan sekarang ni sebab bukan saja lambat bagi bantuan pada mangsa banjir di Lembah Klang. Malah, siap buat majlis pelancaran bantuan banjir lagi padahal ramai lagi dah teruk sangat disebabkan bantuan lambat sampai, padahal masih ada yang terkandas atas bumbung tak makan sehingga hari kedua banjir pada waktu tu.

Nak nak pula masalahnya kita ni ada agensi khas untuk musibah macam ni, iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara, atau kita kenali sebagai NADMA, betul-betul di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia. Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara tu juga pernah keluarkan kenyataan mengatakan:

“Kalau hal ehwal yang berkaitan dengan banjir atau bencana, perlu dikongsi oleh pihak ini (kerajaan negeri dan kerajaan tempatan), jangan bulat-bulat serahkan kepada NADMA di peringkat pusat.” – Abd. Latiff

Imej tak diedit dari Harian Metro.

Diwujudkan pada tahun 2015 lagi, NADMA sebenarnya lahir rentetan Banjir Monsun 2014 yang sangat teruk terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur teruk terjejas pada tahun tersebut. Malah, ia merupakan kejadian banjir terburuk pernah kita alami dalam 50 tahun: 25 orang maut, 136,447 keluarga kehilangan tempat tinggal, dan kerugian akibat bencana itu dianggarkan sekitar RM2.9 bilion.

Kalau korang nak tahu, NADMA ni wujud pada dasarnya:

” … pengurusan bencana negara lebih bersifat reaktif dan menumpukan perhatian terhadap usaha-usaha menyelamat dan rehabilitasi mangsa-mangsa bencana. Walau bagaimanapun, adalah didapati bahawa usaha mitigasi untuk mengelakkan ataupun mengurangkan impak bencana adalah lebih baik dan berkesan daripada tindak balas menguruskan sesuatu kejadian bencana.” – Dasar Pengurusan Bencana Negara, dipetik dari website NADMA.

Tapi malangnya, takdela reaktif pun kalau nak dibandingkan dengan rakyat Malaysia sendiri yang lebih pantas membantu.

2. Pasukan HAZMAT Bomba daripada bencana letupan mercun macam bom!

Imej dari BERNAMA and @bombaJBPM

Selain memadamkan api dan memindahkan ular berbahaya, korang tahu tak Bomba sebenarnya boleh mengendalikan tumpahan bahan kimia dan radiasi? Terima kasih kepada pasukan HAZMAT, atau Pasukan Unit Bahan Berbahaya yang agak baru ni (est 1992). Dan kenapa boleh wujud pasukan HAZMAT pada tahun 1992? Ia adalah disebabkan sebuah kemalangan teruk, digelar sebagai ‘Hiroshima Sungai Buloh’.

Korang boleh baca lebih lanjut kat sini – tapi TLDR – ia berlaku pada 1991 di mana terjadinya kemalangan yang telah menyebabkan letupan di sebuah kilang mercun, Bright Sparklers Fireworks Factory di Sungai Buloh. Letupan bertubi-tubi telah berlaku dengan sangat kuat di mana bunyinya boleh dirasai dalam radius 7 kilometer, dan mengakibatkan ramai cedera, dan meninggal dunia.

Tahun depannya, berlakunya sebuah lagi letupan di kilang bunga api. Masa ni la kerajaan sedar kejadian ni bukan hanya menyebabkan kilang meletup – tapi juga ada banyak kebakaran kimia dan sisa terlibat, dan nampaknya kita tak dilatih untuk mengendalikan benda macam ni lagi masa tu. Disebabkan tu juga, kerajaan menubuhkan pasukan HAZMAT untuk menangani situasi seperti ini, dan melampirkannya di bawah Bomba. Antara perkara yang boleh diorang tangani termasuklah tumpahan kimia, kebocoran sinaran, kebakaran kimia dan pendedahan kepada agen kimia, biologi dan nuklear.

3. Rukun Negara lahir daripada rusuhan 13 Mei

Kalau korang nak tahu, Rukun Negara yang selalunya ada kat belakang buku tulisan kita sejak sekolah rendah tu hanyalah wujud 12 tahun selepas kemerdekaan. Punca asal kewujudan Rukun Negara juga adalah dari rusuhan kaum 13 Mei 1969, di mana kerajaan menyedari betapa rapuhnya keseimbangan dan kestabilan kaum di negara baharu ni pada masa tu. Jadi tak lama lepas tu, Majlis Perundingan Negara (NCC) kemudian ditugaskan untuk brainstorm idea supaya rusuhan seperti ni takkan berulang lagi.

Idea tentang satu set prinsip yang harus dipatuhi oleh setiap rakyat Malaysia muncul dan sebuah jawatankuasa Rukun Negara telah dibentuk untuk merangkanya. Bermula dengan sekumpulan prinsip yang dipanggil Rukun Negara, antaranya merangkumi konsep seperti kesetiaan, kesejahteraan, kesopanan, keadilan dan kepercayaan kepada Tuhan, dan ditambah sedikit demi sedikit lepas tu. Korang boleh semak kronologi penuh di sini.

Selepas draf akhir disiapkan, MKN memutuskan yang sebuah pengisytiharan diraja perlu dibuat untuk menekankan kepentingannya. Jadi pada sambutan Hari Merdeka pada tahun 1970, hampir setahun selepas kejadian itu, DYMM Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin mengisytiharkan kewujudannya. Fakta menarik: Korang tahu tak dalam versi penuh Rukun Negara, ada satu baris awal yang wujud sebelum “Kepercayaan kepada Tuhan”?

Cakap pasal rusuhan 13 Mei, ia juga menyebabkan…

4. Kewujudan Wilayah Persekutuan pertama juga kemungkinannya berlaku selepas 13 Mei

Imej dari AP (via SCMP) and Wikipedia.

Wilayah persekutuan adalah sebahagian negeri yang diletakkan secara langsung di bawah kerajaan persekutuan (berbanding di bawah kerajaan negeri), dan kita ada tiga: Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya, masing-masingnya ditubuhkan pada 1974, 1984 dan 2001.

Asal-usul Labuan sebagai Wilayah Persekutuan adalah apabila kerajaan mencuba untuk meningkatkan Sabah dari segi ekonomi, dan Putrajaya pula dibina sebab kerajaan tak pernah merancang yang Kuala Lumpur dijadikan pusat pentadbiran: nak pula dengan semua bangunan kerajaan berselerak di bandar dan terlalu banyak kesesakan lalu lintas untuk dikendalikan, walaupun dengan polis pengiring. Jadi diorang pun bina Putrajaya di lokasi baharu – kurang sesak sebagai pangkalan operasi yang lebih teratur.

Macam mana dengan Kuala Lumpur? Walaupun kebanyakan laporan berita mencadangkan yang ia adalah untuk memajukan Kuala Lumpur, kemungkinan besarnya ia ada kaitan dengan kerajaan persekutuan ingin mengekalkan pegangan diorang di ibu negara selepas kejadian 13 Mei. Selepas pilihan raya 1969, kerajaan Perikatan yang memerintah dah pun kehilangan hampir separuh daripada kerusi diorang kepada DAP dan Gerakan, yang pertama di negeri itu. Dalam erti kata lain, kerajaan pusat hilang cengkaman terhadap Selangor. Untuk mengekalkan pegangan di Kuala Lumpur, diorang kemudiannya meyakinkan kerajaan negeri untuk menyerahkan kawasan tu sebagai Wilayah Persekutuan.

Ini bermakna walaupun pembangkang mempunyai kerusi di kawasan tu, kawasan tu akan tetap ditadbir oleh Dewan Bandaraya KL, dan secara proksi, tak kisahlah mana-mana parti pun pegang kerajaan persekutuan. Jadi tak kira betapa teruknya parti yang membentuk kerajaan persekutuan akan kalah di Selangor, secara teknikalnya Kuala Lumpur tetap menjadi milik diorang.

5. Lebuhraya Pantai Timur dibina untuk memerangi komunis

Imej dari Wikipedia and Berita Harian.

Kalau korang pernah memandu antara Kelantan atau Terengganu ke negeri-negeri belah utara, kemungkinan besar korang pernah menggunakan Lebuhraya Gerik-Jeli, sebuah laluan dari Gerik di Perak ke Jeli di Kelantan. Ia disiapkan pada Julai 1982, iaitu masa pemberontakan komunis di Tanah Melayu. Jadi, kenapa kerajaan bersusah payah membina lebuh raya baru pada masa yang agak membimbangkan tu?

Sebab pada masa tu komunis sangat menyakitkan hati kerajaan dengan peperangan gerila diorang, dan kerajaan menyedari yang berperang saja tak cukup. Kalau kerajaan nak kalahkan komunis buat selama-lamanya, diorang perlu memenangi hati rakyat.

Jadi lepas diorang belajar daripada pengalaman orang Amerika di Vietnam, diorang menghasilkan Program Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN). Pelan KESBAN ni secara ringkasnya melibatkan pembasmian kemiskinan melalui pembangunan infrastruktur dan dasar lebih baik, memandangkan komunisme berkembang pesat dalam kemiskinan. Salah satu program di bawah KESBAN ialah pembinaan lebuh raya dari Pulau Pinang ke Kelantan, yang mempunyai matlamat berganda:

  • Membolehkan orang awam dan angkatan tentera bergerak di sekitar kawasan itu dengan lebih mudah, kerana sebelum ini tiada apa-apa selain hutan di sana.
  • Bertindak sebagai penghalang yang memisahkan komunis di dalam hutan dari pangkalan diorang di Thailand.

Disebabkan muka bentuk bumi, cuaca, hidupan liar serta percubaan kerap oleh komunis untuk mensabotaj projek ni, lebuh raya tu mengambil masa hampir dua dekad untuk disiapkan. Ia terpaksa dipendekkan dengan memulakan pembinaan di Gerik, di mana kos sebenar menjadi empat kali ganda bajet asal, dan sekurang-kurangnya 3 pekerja JKR terkorban semasa serangan komunis.

Tapi melalui semua kesukaran ni, lebuh raya itu akhirnya siap, dan masih wujud sehingga hari ini sebagai jalan utama yang menghubungkan negeri-negeri utara ke pantai timur.

6. Label ‘tidak sesuai untuk bayi’ pada susu pekat berasal dari… sebuah trend membawa maut

Imej dari Pinterest and Daily Makan.

Ambil satu tin susu pekat, tak kisahlah mana-mana jenama pun dan korang akan jumpa disclaimer kecil pada label yang akan bagitau, produk tu ‘tidak sesuai untuk bayi’. Walaupun kitorang sendiri tak pasti peristiwa tepat yang menyebabkan wujudnya disclaimer tu, tapi ia mungkin ada kaitan dengan kes kematian bayi yang serius di Tanah Melayu sebelum Merdeka: dilaporkan bahawa pada tahun 1921 di KL, setiap 7 daripada 10 bayi yang dilahirkan akan mati dalam masa setahun.

Walaupun ada banyak benda yang boleh menjadi faktor kematian bayi, tapi nampaknya pada masa tu, memberi susu pekat kepada bayi adalah satu trend pada masa tu. Korang boleh baca pasal kes tu lebih terperinci kat sini, tapi nak dipendekkan cerita, zaman tu ada masalah kekurangan susu segar, jadinya susu dalam tin adalah satu benda biasa. Jadi orang dari kelas atasan yang takde masa untuk duduk dan menyusukan anak akan bagi bayi diorang minum susu pekat tu sebagai pengganti. Tapi masalah tak bermula disitu.

Ibu dari kelas bawahan (B40 masa tu) akan meniru amalan bagi susu dalam tin ni kepada bayi diorang, dan dengan kemunculan susu pekat manis dan pemasaran agresif oleh syarikat susu, ibu bapa yang lebih miskin kemudiannya mengikuti trend tu. Macam kita tahu sekarang, susu pekat takde nutrien sangat selain gula, jadi bayi yang dibesarkan dengan susu pekat menjadi semakin lemah dan lebih terdedah kepada masalah kesihatan. Inilah masalah yang lebih besar bagi keluarga lebih miskin, sebab golongan ibu bapa masa tu tak mampu bagi rawatan sepatutnya pada bayi diorang yang dah sakit, membawa kepada pelbagai komplikasi dan akhirnya, kematian.

Kes yang banyak berlaku di Tanah Melayu ni disedari oleh seorang wanita bernama Cicely Williams. Dia kemudiannya menyuarakan perkara ni terhadap syarikat-syarikat susu pekat yang ada. Walaupun trend bagi susu pekat kat bayi ni masih wujud lagi dalam segelintir masyarakat kita sampai sekarang, tapi kita patut berterima kasih juga pada Cicely sebab dia dikatakan berjaya meningkatkan kesedaran pasal isu tu dan disebabkan dia juga, wujudnya label ‘tidak sesuai untuk bayi’ pada beberapa jenis makanan macam kita lihat pada hari ni.