Syarahan diterjemah ke Bahasa Rusia. Ini kisah Profesor Melayu di bumi Rusia

Kalau korang pernah baca artikel-artikel SOSCILI dua tahun lepas, korang mesti ada terbaca kisah seorang pensyarah Malaysia yang dilantik sebagai Profesor Pelawat di sebuah universiti terkemuka Rusia. Kisahnya, beliau dah dilantik 5 kali berturut-turut sebagai Profesor Pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University (FEFU), Vladivostok, Rusia dari tahun 2014 sampailah 2018.

Orang tu tak lain dan tak bukan adalah Prof Madya Dr Mohd Hazmi Rusli, pensyarah kanan dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kitorang sebenarnya masa tu tumpang banggalah juga, sebab Dr Hazmi ni antara pakar rujuk SOSCILI tentang hal undang-undang khususnya bidang undang-undang laut dan antarabangsa.

Kepada belum kenal, yang kacak bergaya inilah Dr Hazmi Rusli. Imej dari Jabatan Peguam Negara.

Tapi rupa-rupanya, kejayaan Dr Hazmi tak terhenti setakat tu je, sebab baru-baru ni….

Beliau sekali lagi jadi Prof Pelawat di sebuah universiti Rusia

Dr Hazmi di Jambatan Zolotoy, Vladivostok. Imej dari Dr Hazmi.

Kalau sebelum ni Dr Hazmi dilantik 5 kali berturut-turut di FEFU, pengiktirafan tu tak terhenti di situ saja sebab baru-baru ni beliau sekali lagi dilantik sebagai Profesor Pelawat di sebuah universiti Rusia iaitu di Vladivostok State University of Economics and Services (VSUES). Selain menjadi Profesor Pelawat, beliau juga menjadi pembentang plenari di sana.

Profesor Pelawat ni selalunya dilantik untuk mengajar di universiti lain (di dalam atau luar negara) dalam tempoh masa tertentu. Manakala, pembentang plenari pula adalah orang yang menyampaikan ucapan dalam program tertentu dan orang itu selalunya adalah seorang yang dihormati dan diundang.

Lebih menarik, Dr Hazmi adalah satu-satunya ahli akademik dari Asia Tenggara yang dijemput sebagai pembentang plenari di sana. Pembentang-pembentang kertas kerja lain majoritinya datang dari institusi pengajian Rusia sendiri, diikuti oleh China, Korea Selatan, Hong Kong, Jerman dan Brazil.

Dr Hazmi di forum anjuran VSUES. Imej dari Dr Hazmi.

Dan pada 15 November lalu, beliau dah membentangkan kertas kerjanya bertajuk – “The Rise of Unmanned Shipping and its Potential Implications on East Asian Seas” di VSUESDalam masa sama, beliau juga sampaikan kuliah di tiga kelas berbeza berkenaan dengan topik undang-undang laut antarabangsa.

Ni maknanya, Dr Hazmi dah enam (6) kali berkunjung ke Vladivostok sebagai Profesor Pelawat di FEFU dan pembentang plenari serta Profesor Pelawat di VSUES. Perkara ni membuktikan yang Rusia mengiktiraf kepakaran pensyarah Malaysia dalam bidang undang-undang laut.

“Jaringan kerjasama penyelidikan dan penerbitan yang berjaya di antara USIM dan FEFU (dan kini VSUES) telah membolehkan kerjasama ini berlangsung tanpa gagal selama 6 tahun berturut-turut, sekaligus menaikkan nama negara di peringkat dunia.” – Dr Hazmi, katanya kepada SOSCILI.

Ketika membuat pembentangan plenari di VSUES. Imej dari Dr Hazmi.

Kalau korang dah rasa kagum dengan kejayaan Dr Hazmi ni, jangan rasa puas hati dulu sebab banyak lagi kejayaan beliau yang dah mengharumkan nama negara. Korang boleh baca selanjutnya di artikel SOSCILI sebelum ni di sini.

Tapi sekarang ni, kitorang nak cerita pula pasal pengalaman Dr Hazmi sepanjang berada di sana. Banyak perkara yang menarik sebenarnya, sebab…

Kuliah Dr Hazmi diterjemah ke dalam Bahasa Rusia

Suasana bilik kuliah di VSUES. Imej dari Dr Hazmi.

Kalau dulu sampaikan kuliah di FEFU, kali ni di VSUES pula. Bagi Dr Hazmi, pengalaman di VSUES agak berbeza sikit dengan FEFU, sebab kebanyakan pelajar di sana tak berapa fasih berbahasa Inggeris (walaupun mereka faham). Jadinya, kuliah Dr Hazmi di sana dibantu oleh seorang penterjemah yang disediakan oleh pihak universiti.

“Kuliah disampaikan dalam Bahasa Inggeris tetapi diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia oleh penterjemah yang disediakan…

Kuliah yang disampaikan ini adalah khas untuk mahasiswa sarjana muda VSUES yang rata-ratanya kuat berinteraksi kerana soalan-soalan boleh dikemukakan dalam bahasa Rusia sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.” – Katanya kepada SOSCILI.

Dr Hazmi bersama Mr Peter, penterjemah di kuliah. Imej dari Dr Hazmi.

Apa yang mengkagumkan, setiap sesi kuliahnya ‘full house’ sampaikan tak cukup tempat duduk. Beliau juga terima soalan bertalu-talu daripada pelajar-pelajar di kelas berkenaan. Kebanyakan dari mereka juga kenal Malaysia dan tu membuktikan yang negara kita ni terkenal sebenarnya.

“Mungkin kerana mereka boleh bertanya (soalan) dalam bahasa Rusia, jadi mereka kurang segan.

Mereka rata-ratanya tahu Malaysia di mana dan ternyata kita masih popular di bahagian dunia sebelum Timur Jauh ini. Cara kuliah tidak terlalu jauh seperti apa yang kita ada di negara ini.” – Katanya kepada SOSCILI.

Bendera Malaysia di bumi Vladivostok. Imej dari USIM.

Tapi, apa yang mencabar di sana mungkin cuaca, bila suhu di sana boleh mencapai sampai -5°C atau lebih rendah. Sebab itulah, Dr Hazmi pesan kepada sesiapa yang ke sana –  supaya bawa baju sejuk yang sesuai dan jangan terdedah lama sangat dalam cuaca sejuk.

Selain tu, Dr Hazmi juga beritahu yang…

Orang Rusia ni peramah sebenarnya (walaupun jarang senyum)

Dan juga aktif bersukan. Imej dari Giphy.

Biasanya, negara atau masyarakat Rusia ni selalu je digambarkan dengan negatif oleh Barat. Tak kisahlah di media massa, drama TV, ataupun filem-filem. Orangnya digambarkan sebagai tak peramah, rasis, kaki mabuk dan kalau lebih sikit mesti jadi spy.

Tapi menurut Dr Hazmi, selama pengalamannya di sana – ia taklah seteruk yang digambarkan. Orang Rusia ni baik je dan peramah, walaupun jarang tersenyum. Masyarakat Rusia juga dah tak macam dulu dan banyak berubah dari zaman propaganda Kesatuan Soviet.

“Mereka sangat membantu bila kita memerlukannya… Walaupun majoriti penduduk Vladivostok tidak boleh berbahasa Inggeris, tapi mereka masih membantu sekiranya kita bertanyakan arah ataupun meminta bantuan.” – Katanya kepada SOSCILI.

Dr Hazmi di depan Gereja Utama Vladivostok. Imej dari Dr Hazmi.

Dari segi makanan pulak, Dr Hazmi kata, memang agak payah nak cari makanan halal di sana. Tapi, korang masih boleh cari kedai makan milik orang Uzbek yang bergama Islam. Tambahnya lagi, di Vladivostok tak ada McDonalds, yang ada cuma KFC, Burger King dan kedai-kedai berjenama Rusia je.

“… memandangkan ada di kalangan masyarakat Uzbek yang membuka gerai menjual kebab syawarma tidak jauh dari hotel tempat saya menginap, jadi saya makan di situ sahaja.” – Katanya kepada SOSCILI.

Walaupun begitu, korang mesti ada terfikir – kenapa Rusia ni nak tahu pasal undang-undang laut, siap jemput ramai pakar termasuk Dr Hazmi dari Malaysia kan? Bagi Dr Hazmi…

Rusia nak dapatkan pandangan tentang undang-undang laut dari sarjana Asia

Alang-alang dekat Rusia tu, apa salahnya promosi Malaysia kan? Imej dari Dr Hazmi.

Menurut Dr Hazmi, sebenarnya orang Melayu ni tak asing dengan ilmu laut, sebab sejarah membuktikan yang orang Melayu itu sendiri adalah pelayar yang hebat. Malah, Kesultanan Melaka dah ada Undang-undang Laut Melaka yang digubal sendiri oleh Sultan Mansur Shah pada kurun ke 15 Masihi.

Dalam keadaan dunia sekarang ni, undang-undang laut betambah penting lagi apabila ia bersangkutan dengan kedaulatan sesebuah negara. Kalau kita tak ada pengetahuan dalam bidang ni, kemungkinan hasil-hasil laut kita boleh ditipu oleh negara-negara besar yang lebih berpengetahuan. Dan bagi Dr Hazmi, mungkin sebab itu jugalah kita kehilangan Pulau Batu Puteh dulu.

“Undang-undang Laut Antarabangsa sangat penting kerana Malaysia sebuah negara yang dikelilingi oleh laut. Kita mempunyai dua pelabuhan antara yang tersibuk di dunia (Klang dan Tanjung Pelepas), serta terletak di laluan perkapalan yang penting di dunia iaitu Selat Melaka.” – Katanya kepada SOSCILI.

Kesibukan Selat Melaka, yang kita boleh nampak dari atas kapal terbang. Imej dari Asia Society.

Dan bila beliau dijemput untuk membentangkan kertas kerja dan jadi Profesor Pelawat di sana, Dr Hazmi dapat rasakan yang Rusia juga bagi perhatian besar tentang undang-undang laut ni. Sebabnya, Rusia adalah negara maritim yang terbentang luas dari Eropah sampailah ke Asia Timur.

Selain itu, mereka ni nak tahu macam mana perkapalan terutamanya di Asia Timur dan di Laut Artik di persisir utara Rusia boleh mempengaruhi ekonomi dan kekuasaan Rusia sebagai kuasa maritim.

“Seringkali yang berucap mengenai undang-undang laut adalah pensyarah dari Barat. Kemungkinan mereka menjemput saya kerana ingin tahu perspektif Asia mengenai perkara ini.” – Dr Hazmi, katanya kepada SOSCILI.

Dr Hazmi (duduk dua dari kiri) bersama delegasi forum yang hadir. Imej dari Dr Hazmi.

Dari apa yang kita dapat tahu ni, maklumlah kita yang kemampuan ahli akademik Malaysia sebenarnya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dan sebab itu jugalah Dr Hazmi pesan, supaya kita…

Jangan pandang rendah dengan bangsa dan negara sendiri

Dr Hazmi masa jadi Pensyarah Pelawat di Timor Leste. Imej dari USIM.

Sebenarnya, selain dari dilantik sebagai Profesor Pelawat di dua buah universiti di Rusia, Dr Hazmi juga pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL), Timor Leste pada 2015.

Dalam masa sama, beliau juga banyak membentang kertas kerja di serata dunia, dan yang terbaru pada minggu hadapan di Xiamen University, China. Bagi Dr Hazmi, antara tempat paling aneh yang beliau pernah bentangkan kertas kerja adalah di University of Greenland pada 2015 yang terletak di kutub utara dunia. Malah, beliau juga adalah satu-satunya ahli akademik dari Asia yang diundang ke Persidangan Mairitim di Amerika Syarikat (AS) pada 2016.

Pada Mei lalu, Dr Hazmi juga dah dilantik sebagai Leftanan Komander Terhormat Pasukan Sukarela TLDM. Dengan penganugerahan itu, beliau kini dibenarkan untuk memakai semua jenis pakaian seragam TLDM di majlis-majlis rasmi seperti mana garis panduan yang ditetapkan.

Ketika menerima tauliah sebagai Leftenan Komander Kehormat TLDM. Imej dari Dr Hazmi.

Bagaimanapun, baginya segala kejayaan ini tak akan tercapai tanpa sekongan ibu, keluarga, rakan-rakan karib dan pihak USIM sendiri yang sentiasa memudahkan urusannya. Dr Hazmi juga kata yang kita tak sepatutnya pandang rendah dengan bangsa dan negara sendiri, sebab semua bangsa boleh berjaya jika mereka berusaha.

Akhirnya, lebih penting lagi – jangan kita pedulikan kata-kata negatif di sekeliling kita.

“Kalau kita tidak tunjukkan kemampuan kita, siapa lagi yang akan tahu apa yang kita boleh lakukan… Sentiasa merendah diri, tapi bukan merendahkan diri kita, sebab kita semua ada keupayaan tersendiri.” – Katanya kepada SOSCILI.

 

[Maklumat, pengalaman dan imej-imej ini dikongsikan sendiri oleh Dr Hazmi Rusli dan terdapat juga yang diambil dari laman web USIM. Klik sini untuk baca bahagian satu artikel]

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.