Hassan Azhari: Orang yang diamanah melaungkan azan pada detik 31 Ogos 1957

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan 26 Ogos 2020*

Perasaan dan semangat patriotik kita di Malaysia semestinya membuak-buak apabila tiba bulan Ogos. Pada bulan ini jugalah, media sosial, TV dan radio akan mengisi mata dan telinga kita dengan hal-hal berkaitan kemerdekaan. Nama-nama tokoh akan diangkat semula serta kisah-kisah pahit getir perjuangan kemerdekaan disajikan kembalikan.

Hinggalah kemuncaknya, apabila orang ramai akan turun menyaksikan perbarisan sempena hari kemerdekaan di dataran Merdeka atau pun Putrajaya. Begitulah kitaran masa yang berlaku bagi kita rakyat tanah air ini. Pada tahun ini, suasana itu mungkin berbeza tanpa ada perbarisan kerana kita sedang berdepan wabak COVID-19.

Namun, usaha untuk mengetengahkan nama-nama penting semasa kemerdekaan tidak boleh berhenti. Jika nama Tunku Abdul Rahman diangkat dan diingati kerana laungan MERDEKA. Kita juga perlu mengangkat nama orang yang diamanahkan melaungkan azan selepas negara diisytiharkan merdeka pada majlis yang sama.

“Air mata pagi itu adalah air mata gembira. Perasaan ketika itu sukar untuk dikatakan.”

Sebelum negara kita merdeka, Hassan Azhari memang sudah terkenal dengan laungan azannya, nasyid dan bacaan tilawah Al-Quran. Sewaktu muda, beliau sangat aktif dan sering dipanggil untuk memperdengarkan azan pada majlis pembukaan masjid-masjid di negeri Selangor.

Buakn setakat itu sahaja, beliau sering muncul di RTM yang dah wujud sejak tahun 1946 lagi. Sewaktu iu, beliau sering menjadi penyanyi nasyid bagi untuk program lagu nasyid di radio RTM yang diterbitkan oleh seorang veteran wanita UMNO iaitu Tan Sri Aishah Ghani.

Seminggu sebelum tarikh 31 Ogos 1957, Menteri Pelajaran ketika itu iaitu Rahman Talib telah datang menemuinya dan bertanya sama ada beliau boleh azan pada majlis pengisytiharan merdeka nanti. Beliau bersetuju dan terus mengarang lagu sikah (rentak azan) yang mempunyai unsur gembira. Beliau telah berlatih pada malam sebelum tibanya majlis itu. Ini kerana baginya, hari itu nanti semua yang hadir di stadium merdeka berkongsi perasaan gembira.

Pada pagi itu, kenderaan yang dihantar Menteri Pelajaran telah tiba di rumahnya pada pukul 6.30 pagi di Klang. Lantas, beliau dihantar ke Stadium Merdeka dan ditempatkan di satu bilik khas bersama pembesar suara. Di situ, beliau menunggu isyarat di antara jam 8.30 hingga 9 pagi untuk melaungkan azan.

Imej dari Library Perdana

Akhirnya, isyarat telah tiba, maka laungan azan telah dikumandangkan olehnya sebagai tanda mengagungkan Allah di atas kemerdekaan negara  ini. Stadium yang pada mulanya gegak-gempita menjadi sunyi apabila orang ramai bertukar senyap kerana menghormati laungan azan dari pemuda berusia 29 tahun ketika itu.

“Air mata keluar (ketika melaungkan azan). Ini bang lain punya kerana seronok punya hati kita merdeka … Betul betul apabila tiba masanya, lepas tu Tunku kata ‘merdeka, merdeka, merdekaaa’.” – Hassan Bin Azhari, petikan dari UMNO Malaysia

Laungan azan bagi menyambut kemerdekaan ini telah dilaungkan selepas Tunku Abdul Rahman al-Haj melaungkan ungkapan merdeka sebanyak tujuh kali.

“Masya-Allah! Air mata pagi itu adalah air mata gembira. Perasaan ketika itu sukar untuk dikatakan. Kita sebak, sayu dan menitiskan air mata. Kita menangis kerana gembira.” – Hassan Bin Azhari, petikan dari Berita Harian

Lahir di Mekah, dan menyumbang jasa dalam pengajian Al-Quran di Malaysia

Bagi yang tak kenal keturunan Hassan Azhari secara mendalam, nama penuh ayahnya ialah Haji Azhari Bin Haji Abdul Khalid yang merupakan seorang agamawan yang menetap di Mekah untuk beberapa tempoh yang lama. Ayahnya berketurunan Melayu Banjarmasin, Indonesia yang sempat mendalami beberapa ilmu antaranya bidang fiqh, hadith, tafsir dan sebagainya.

“Ayah beliau merupakan rakan baik kepada Ahmad Badawi iaitu ayah Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi (Abdul Halim El-Muhammady, 2006). Ayahnya seorang ulama dalam bidang tafsir, tafsir, Syariah dan ilmu al-Quran.” – Petikan dari jurnal kajian KUIS

Tengok gaya, tahu azannya sedap. Imej dari Twitter Gmabar Klasik

Kehebatan ayah diwarisi anaknya, iaitu Hassan Azhari yang dilahirkan pada 18 Ogos 1928 di sebuah perkampungan Syu’ib Amir yang terletak berdekatan dengan Masjid al-Haram. Maka, beliau dibesarkan di tengah masyarakat Arab yang dikenali lasak dan ganas. Ketika menetap di Mekah, beliau sempat menghafaz al-Quran sebanyak 10 juzuk dengan Sheikh Ismail Tamim dan belajar secara formal di Madrasah Dar Ulum, Mekah.

Sehinggalah usianya 10 tahun (ada yang berpendapat 8 tahun), beliau kemudian pulang ke Malaya kerana mengikuti bapanya yang menerima tawaran dari Yang Amat Mulia Sultan Selangor untuk mengajar di Sekolah Marta’ al-Ulum ad-Diniyyah yang terletak di Kuala Langat pada tahun 1938.

Hakim terawal pertandingan Tilawah Al-Quran antarabangsa serta mempunyai pengaruh dunia

Di Malaya, beliau menyambung pelajarannya di Marta’ al-Ulum ad-Diniyyah (tempat ayahnya mengajar) selama beberapa tahun, Kemudiannya, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Arab al-Hayat al-Mardiyyah yang terletak di Kampung Jawa Klang, Selangor.

Pembelajaran beliau diteruskan ke negeri seberang ketika itu Singapura dengan menyambung pengajian di Madrasah al-Junaid selama 2 tahun. Antara gurunya ketika itu ialah Sayyid Abu Bakar al-Saqqaf dan Sheikh Abdullah al-Faqih. Beliau kembali ke Malaya dengan pengajian sehingga ke peringkat Rabi’ Thanawi di Sekolah Hishamuddin, Klang. Pembelajarannya sangat bermanfaat apabila berguru dengan beberapa orang guru terkenal seperti Syeikh Mahmud al-Bukhari, Sheikh Sulaiman al-Sawahi, dan Kiyai Khalil. Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di sekolah Melayu Kuala Langat dan Jubli school Klang.

Gabungan ilmu yang beliau pelajari di Mekah dan Malaya telah menjadikannya seorang pakar dalam pendidikan Al-Quran di Malaysia. Banyak jasanya yang mungkin ramai tak tahu sehingga namanya menjadi terkenal pada zaman awal kemerdekaan hingga tahun 90-an.

Hassan Azhari sewaktu mengajar bacaan al-Quran sama ada di usia tua atau muda. Imej dari Keluarga.my

Pada tahun 1950, beliau dijemput menjadi hakim dalam pertandingan Tilawah Al-Quran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur sama ada di peringkat daerah, jajahan, negeri, negara dan antarabangsa. Pada tahun 1961, kerajaan Malaysia memperkenalkan pertandingan Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa. Beliau merupakan salah seorang hakim terawal untuk pertandingan berprestij ini.

Oleh kerana kepakarannya diakui peringkat antarabangsa, maka beliau turut diundang untuk menjadi hakim bagi pertandingan peringkat antarabangsa di Mekah dari tahun 1979 hingga 1993, Mesir pada 1993 dan 1994, dan beberapa negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Di Malaysia, beliau juga adalah pelopor dalam pengajian Al-Quran. Kelebihannya adalah pandai menarik minat kanak-kanak untuk belajar Al-Quran melalui pendekatan Muqaddam selama 8 tahun yang disiarkan di RTM bermula 1979. Teknik pengajarannya bermula dengan pengenalan huruf, diikuti dengan perkataan al-Quran, dan diikuti dengan bacaan oleh murid-murid yang mengikuti pengajian tersebut. Rakaman pembelajarannya telah menjadi rujukan masyarakat ketika itu. Antara rakamannya:

  • Rakaman sebanyak 400 siri Pembelajaran al-Quran di Radio RTM dari tahun
    1960 hingga 1998
  • Rakaman sebanyak 442 Siri Pembelajaran al-Quran di Televisyen RTM dari
    tahun 1979 hingga1984
  • Rakaman cakra padat (CD) Berzanji
  • Rakaman cakra padat (CD) Tarunnaum al-Quran
  • Rakaman 45 siri Video Cakra Padat (VCD) Pelajaran al-Quran 1990
  • Rakaman kaset Pembelajaran al-Quran terbitan Singapura

Selain program dan hakim, beliau juga adalah ahli aktif dalam Persatuan Qurra’ Malaysia sama ada di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa. Beliau telah menjalinkan hubungan baik antara ahli qurra’ di negara seperti Indonesia, Singapura, Pakistan, Mesir, Saudi dan Iraq.

Pernah menerima Anugerah Tokoh Maal Hirah. Imej dari Youtube

Usaha yang dilakukan beliau mendapat pengiktirafan hingga diamanahkan jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Qurra’ Antarabangsa yang berpusat di Bagdad, Iraq ketika itu. Ini membuktikan bahawa Tan Sri Dato’ Haji Hassan bin Azhari amat dikenali di seluruh dunia dan menjadi salah seorang pakar rujuk dalam bidang al-Quran.

Tokoh ini mempunyai sumbangan tersendiri dalam mengisi kemerdekaan yang dicapai

Untuk pengetahuan semua, Hassan Azhari adalah bapa kepada pelakon terkenal Dato’ Jalaluddin Hassan dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Anak pun hebat-hebat, apatah lagi jasa ayahnya dari zaman sebelum merdeka hingga selepas merdeka.

Anak dan bapa dalam ketokohan yang tersendiri. Imej dari Berita Mediacorp

Walaupun tokoh seperti Hassan Azhari tidaklah disebut-sebut seperti yang lain, namun beliau telah berjasa kepada negara ini cengan caranya tersendiri. Beliau telah mengajar nenek moyang kita mengenai ilmu Al-Quran tanpa mengira penat dan lelah. Begitulah cara beliau mengisi kemerdekaan yang telah dicapai negara selepas berlinangnya air mata beliau melaungkan azan di hari pertama negara kita merdeka.

“Kerna kita telah terjajah begitu lama. Ini hari kita telah keluar dari ini. Hubbul watan minal Iman. Kasihkan tanah air adalah salah satu daripada iman. Jadi apabila sebut merdeka, maka datang satu kegembiraan daripada hati kita.” – Hassan Azhari, petikan dari UMNO Malaysia

Beliau telah pun meninggalkan kita semua pada 6 Oktober 2018 yang lalu. Namun, semangatnya mengisi kemerdekaan dengan cara tersendiri mestilah sama-sama kita hayati dan renungkan. Jadi, apa pula peranan korang semua dalam mengisi kemederkaan negara?

About A. Zahid Amran 207 Articles
Selamat datang semua. Ini masa kita. Tunduk berhemah. Bukannya lemah - FT