Sejarah & Politik

Hari tu kena naik kereta kebal, baru-baru ni pemain bola sepak kita dibaling batu?

Setelah hampir sebulan orang tidur dengan bola, makan kek bola dan mandi sambil timbang bola, akhirnya kejohanan Piala Dunia kat Russia berakhir. Perancis berjaya menjulang piala yang diperbuat daripada emas tu. Trofi piala dunia tu kalau kita gadai kat kedai pajak mesti boleh dapat duit yang banyakkan?

Piala Dunia kali ni juga dah menyaksikan pertembungan musuh tradisi yang bukan sekadar atas padang, ianya juga berkaitan politik dan pemerintahan. Kemenangan Portugal ke atas Morocco diraikan oleh media Portugal sebagai balas dendam mereka ke atas kematian Raja Sebastian yang kalah dalam pertempuran Alcácer Quibir tahun 1578.

Jenis-jenis askar waktu Alcacer Quibir. Imej dari Pinterest.co.uk.

Begitulah mendalamnya isitlah musuh tradisi. Tanpa pergi jauh, ada juga pasukan bola sepak di Asia Tenggara yang bertemu dalam bola sepak sebagai musuh tradisi. Negara itu adalah MALAYSIA dan INDONESIA!

Penyokong bola sepak Indonesia hidupkan bunga api supaya pemain Malaysia tak cukup rehat

Orang Indonesia tak kisah kalah kat pasukan bola sepak yang lain, jangan kalah dengan Malaysia je. Kat Malaysia pun sama jugak, kalau pasukan bola sepak kita kalah dengan Indonesia – macam lagu sakitnya tu di sini! Di hati!

Kalau korang nak tahu, kali pertama pasukan bola sepak Malaysia dan Indonesia bertemu adalah pada tahun 1957. Masa tu kita baru lepas merdeka. Perlawanan pertama tu menyaksikan pasukan Indonesia menang 4 -2 ke atas pasukan kita. Pasukan Indonesia ni kira gempaklah jugak, diorang pernah layak ke Piala Dunia pada tahun 1937.

Bermusuh di padang, berkawan di luar. Tak gitu? Imej dari FourFourTwo

“Perlawanan yang melibatkan Indonesia dan Malaysia bukan hanya mengenai bola sepak. Perlawanan itu juga tentang maruah, prestij dan politik.” – Dipetik dari FourFourTwo

Setiap kali ada perlawanan yang melibatkan dua negara yang sama-sama kata nasi lemak milik negara diorang, mesti kawalan pihak keselamatan akan ketat gila. Bagi sesiapa yang selalu habiskan masa kat media sosial – korang mesti perasan kalau dua penyokong negara ni dah mula bergaduh, macam-macam perkataan keluar. Penyokong bola sepak ni kreatif bila memaki.

Ada satu cerita dari Ong Kim Swee – dia kata waktu pasukan diorang main kat Indonesia, bunga api dinyalakan berkali-kali supaya pasukan Malaysia tak boleh dapatkan rehat yang cukup. Macam kitorang dah kata, penyokong bola sepak ni kreatif kalau nak kenakan orang.

Ni bukan kali pertama pasukan bola sepak kita kena serang kat Indonesia

Bagi yang dah lama ikuti perkembangan bola sepak Malaysia, pasukan kita pernah siap naik kereta kebal sebab bimbang akan diserang oleh penyokong Indonesia! Kejadian ni berlaku bila pasukan bola kita bertemu dengan Indonesia kat perlawanan akhir AFF 2010. Cuba korang bayangkan kena naik kereta kebal sebab nak pergi main bola sepak!

Mengikut cerita K.Rajagopal yang menjadi jurulatih pasukan Malaysia pada tahun 2010 – masa tu diorang tak boleh jalani latihan sebab sentiasa diperhatikan oleh penyokong bola sepak Indonesia. Sepanjang berada kat Indonesia, keselamatan diorang dijaga rapi. Cuba bayangkan korang jadi pemain bola sepak Malaysia masa tu, nak keluar beli bakso Indonesia pun tak berani weh!

Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Walaupun keselamatan diorang meragukan, pasukan kita berjaya jadi juara Asia Tenggara buat kali pertama. Imej dari HMetro

Kalau korang fikir cuma sekali tu je pasukan kita kena serang oleh penyokong Indonesia, korang dah silap. Setahun selepas negara kita berjaya jadi raja bola Asia Tenggara, pasukan kita sekali lagi bertemu Indonesia kat perlawanan akhir Sukan SEA. Kali ni main kat Indonesia jugak. Macam biasalah – pasukan kebangsaan kita kena hadap serangan penyokong fanatik bola sepak Indonesia.

“Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mempersoalkan standard keselamatan stadium di Indonesia selepas insiden rempuhan di Stadium Utama Gelora Bung Karno mengakibatkan dua terbunuh dan seorang kanak-kanak koma pada perlawanan akhir Sukan SEA, kelmarin.” – Dipetik dari UTUSAN

Sampai ada orang mati beb! Imej dari Giphy

Pada perlawanan ni, sekali lagi pasukan kebangsaan kita berjaya kalahkan Indonesia. Oleh sebab ada penyokong Indonesia yang tak dapat terima kekalahan tu, diorang pun mulalah buat kelakuan yang tak wajar. Korang nanti masa tengok bola, jangan fanatik sangat okay? Chill je, biar kalah, asal bermaruah!

Pasukan bawah 19 tahun kita diserang penyokong Indonesia pada separuh akhir Piala AFF

Bagi sesiapa yang tak tahu, masa korang tengah bersorak menyokong pasukan Piala Dunia, pasukan bola sepak bawah 19 tahun Malaysia bermati-matian bermain dalam Kejohanan Piala AFF kat Indonesia. Kitorang pun tak tahu kenapa kejohanan ni berlangsung masa Piala Dunia, tapi ramai jugak yang datang stadium – terutamanya penyokong tuan rumah.

Kejohanan AFF ni untuk pasukan bola sepak kat Asia Tenggara je – jadi selalunya Malaysia memang akan masuk separuh akhir. Masa separuh akhir tu, boleh pulak negara kita lawan dengan tuan rumah – Indonesia. Macam biasalah, bila Indonesia lawan Malaysia ni stadium akan penuh gila-gila. Perlawanan ni sengit gila sampai membawa ke penentuan sepakan penalti.

Punyalah hebat pasukan bawah 19 tahun kita bila diorang berjaya kalahkan tuan rumah di hadapan ribuan penyokong Indonesia. Tapi kemenangan Malaysia ni buat penyokong Indonesia marah dan ada yang cuba melempar objek berbahaya kat pemain kita. Kalau korang tengok video kat atas, pemain kita macam tengah buat latihan pecut untuk selamatkan diri.

“Mereka (penyokong Indonesia) membaling botol minuman dan batu ke arah kami, mujur kami sempat lari keluar meninggalkan padang dengan segera. Kami bernasib baik tiada yang cedera.” – Bojan Hodak, dipetik dari BHarian

Perancis menang World Cup!? Pasukan bola remaja kita jadi raja Asia Tenggara!

Kalau korang nak tahu – pasukan bola sepak bawah 19 tahun kita tak pernah jadi juara untuk kejohanan AFF. Diorang cuma jadi naib johan sebanyak 5 kali. Cuba bayangkan kalau korang ikut pertandingan tapi tak pernah jadi juara, asyik dapat nombor dua je. Kemenangan kali ni pecahkan badi tak pernah menang.

Malaysia berjaya kalahkan Myanmar 4-3 dalam perlawanan akhir yang tak berapa nak ada penyokong sebab Indonesia tak masuk final. Paling epik – kejayaan pasukan kita ni disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan yang baru, Syed Saddiq dan Presiden FAM yang baru. Mesti diorang bangga.

Bravo. Bravo. Imej dari Giphy

Nak dijadikan cerita, memang pasukan kita dah julang dulu piala kejohanan AFF bawah 19 tahun sebelum ketua pasukan bola sepak Perancis julang Piala Dunia tu. Tapi mesti korang nak nampak Malaysia julang piala yang lebih besarkan? Piala Asia ke, tak pun piala AFF yang kita cuma berjaya menang sekali tu je. Kita jugak harap pasukan remaja kita ni terus berusaha dan ikut nasihat Tun Mahathir.

“Tahniah saya ucapkan kepada pasukan Harimau Muda yang memenangi pertandingan #AFFU19CHAMPIONSHIP2018 semalam. Tingkatkan lagi usaha, kejayaan yang lebih tinggi pasti tercapai. Malaysia Boleh!” – Tun Mahathir, dipetik dari BHarian

Kerajaan baru kita buat apa untuk selesaikan isu ni?

Baru-baru ini Menteri Belia dan Sukan kita ada keluarkan kenyataan tentang pelepasan pemain untuk Sukan Asia bulan depan. Ramai orang kecam dia sebab keluarkan kenyataan apa-apa entah. Susah orang nak faham. Seorang penulis buku siap kritik kecelaruan fakta yang dia keluarkan. Kalau buat kenyataan pun semput, bolehkah dia selesaikan isu ni?

Faham tak? Imej dari KBS Malaysia

Okay…kita balik pada isu penyokong Indonesia ni. Bukan setakat Malaysia je dapat kerajaan baru, sebenarnya pasukan bola sepak kita pun dapat Presiden FAM yang baru! Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dilantik menggantikan TMJ yang meletak jawatan tempoh hari. Okay, jadi apa diorang nak buat dengan masalah perseteruan pasukan Malaysia dan Indonesia ni?

Hahh…kita mula dengan kerajaan baru dulu. Kalau dulu isu-isu macam ni, mestilah Menteri Belia dan Sukan (KBS) – Khairy Jamaluddin yang dikatakan tall, dark dan handsome tu akan bising. Sekarang giliran Syed Saddiq yang mahu dipanggil bro. Jadi bro kita ni siap jumpa Menteri Sukan Indonesia untuk bincang isu hangat ni.

“Siapa pun, sesama atlet harus saling bersikap profesional. Saya harap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) harus bertindak tegas, profesional, dan harus memberikan jaminan keamanan, keselamatan, kepada siapa pun.” – Bro Syed Saddiq, dipetik dari SINAR

Dah alang-alang pergi Indonesia, bro kita pun siap selfie dengan Jokowi. Imej dari Kaki Tular

Untuk FAM pulak, macam biasalah diorang akan adakan sidang media berhubung insiden-insiden popular yang menimpa pasukan kebangsaan, isu penyokong Indonesia ni tak terkecuali. Berhubung isu separuh akhir AFF bawah 19 tahun tu, FAM kata diorang ada hubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk dapatkan penjelasan.

Buat masa ni, diorang masih lagi menunggu laporan penuh tentang insiden tu. Ada pihak harap FAM akan kemukan bantahan kepada Persatuan Bola Sepak Asia (AFC) supaya kes ni tak berulang. Yalah, dah berkali-kali kes macam ni terjadi, takkan nak duduk diam je kan? Lebih-lebih lagi bulan depan Indonesia akan jadi tuan rumah Sukan Asia.

Malaysia dan Indonesia kan negara serumpun, gaduh-gaduh buat apa?

Bagi penyokong bola sepak Malaysia dan Indonesia pulak, harap korang lepas ni bawak-bawaklah bertenang. Nasib baik tak pernah ada pasukan bola sepak dari mana-mana negara naik kereta kebal untuk lawan pasukan kita. Penyokong kita chill je, gaduh-gaduh manja tu biasalah.

Ultras Malaya yang sentiasa konsisten sokong pasukan negara. Imej dari Instagram

Kedua-dua negara dah ada hubungan yang baik sejak dulu, mestilah kita tak nak ada masalah sebab segelintir penyokong bola sepak yang tak reti nak kawal perasaan. Bak kata orang yang kitorang pun tak tahu siapa – sukan adalah medium untuk melahirkan perpaduan, bukan perpecahan. Kalau nak pasukan bola yang korang sokong sentiasa menang je, bolehlah korang mula sokong pasukan bola sepak Shaolin Soccer.

To Top
Dapatkan artikel SOSCILI terus kat email!

Send this to a friend