- 11Share sekarang!
- Email1
- Facebook10
- Share
Kalau nampak gigi orang jenis putih menawan tu, biasanya mesti orang kata pandai jaga gigi. Tapi kalau gigi kuning sikit tu korang jangan judge dia tak jaga kebersihan pulak sebab sebenarnya, gigi yang sihat adalah yang berwarna sedikit kekuningan disebabkan warna semula jadi gigi.
Kalau yang tak berapa nak masuk akal ni adalah gigi yang berwarna lain dari putih dan kuning. Contohnya kuning pekat sebab jenis perokok, atau warna merah sebab selalu makan tembakau.
Tapi percaya atau tak, gigi yang hitam dulunya pernah dianggap sebuah lambang kekayaan di England, semuanya disebabkan…
‘Permata putih’ yang hanya mampu dimiliki bangsawan di England
Macam yang kita belajar dari sejarah, British meluaskan empayarnya dengan menjajah ke seluruh pelusuk dunia. Salah satunya Tanah Melayu la.
Setiap negara yang dijajah juga, mestilah ada hasilnya. Selain dari pelbagai jenis rempah ratus dari India, ada sejenis rempah berbentuk “permata putih” yang agak eksotik pada masa tu, malah boleh dimakan yang diimport dari Hindia Barat dan Timur, Maghribi dan Barbary. Seperti pelbagai rempah yang membanjiri pelabuhan dari serata dunia, permata putih itu merupakan satu rempah yang baru pada masa tu, dan pertama kali direkodkan di England sekitar abad ke-13.
Ia dikatakan lebih mahal daripada madu (yang selalunya digunakan sebagai pemanis semulajadi) sebab ia adalah bahan import, dan menjadi simbol status dalam masyarakat kelas atasan. Malah harganya yang mahal juga membuatkan ramai rakyat England dari golongan bawahan tak pernah rasa langsung permata putih ni, atau apa-apa jenis makanan yang mengandunginya sampai akhir hayat diorang.
Mesti korang terfikir, permata putih apa yang boleh dimakan tu, kan? Rempah tersebut tak lain tak bukan adalah gula. Ia menjadi kegemaran bangsawan British, dan juga keluarga diraja British, termasuklah Ratu Elizabeth yang berasal dari monarki Tudor yang memerintah dari tahun 1558 hingga 1603.
Kisah Ratu England yang gila gula
Walaupun dikatakan seorang ratu yang hebat semasa pemerintahannya dan mampu bertutur sekurang-kurangnya 7 bahasa, Ratu Elizabeth mempunyai satu kelemahan, iaitu seorang yang tak dapat kawal diri dengan gula. Bukan setakat minat biasa-biasa, tapi dikatakan sampai level ‘ketagihan’ di mana dia punya obses terhadap gula tu, setiap hari dia akan makan gula tak kisahlah dari makan pagi, tengahari, makan petang, sampailah makan malam.
Disebabkan Ratu Elizabeth ni sendiri merupakan ratu dan orang terkaya pada masa tu, dah tentulah dia ada bekalan yang takkan terputus. Sampaikan kalau Ratu Elizabeth ni adakan parti pun, gula akan dihidang sama special macam batu permata dia.
Lebih memburukkan keadaan, dia juga memberus gigi menggunakan madu, dan kadang-kadang… pes gula, yang dijadikan ubat gigi yang dinamakan, Tudor Toothpaste.
Gabungan diet dan tabiat kebersihan diri yang buruk juga dah menyebabkan gigi Ratu Elizabeth I mula mereput dari dalam dan bertukar warna hitam.
Tapi disebabkan dia merupakan penguasa dan orang kaya, kat sini la dia jadi trendsetter.
Gigi hitam dianggap lambang kekayaan yang menunjukkan mereka mampu beli gula
Macam yang kita bagitahu tadi, di Eropah, kebanyakan rempah termasuk gula sangat mahal, sampaikan orang bangsawan saja yang ada gula di rumah. Jadi, macam mana nak bagitau orang kat rumah diorang ada gula tanpa bagitau orang rumah dia ada gula?
Jadi ikut resmi Ratu Elizabeth – semakin hitam gigi diorang, menunjukkan semakin kaya la diorang ni sebab dapat makan gula yang banyak macam ratu England. Ini kerana dalam majlis keramaian, Ratu Elizabeth akan selalu tersenyum dan menampakkan giginya yang kehitaman.
Jadi bagi orang kelas bawah dan pertengahan yang mengejar status, diorang sanggup buat apa saja untuk menunjukkan diri diorang berada. Dalam masa yang singkat, kebanyakan elitis British mempunyai gigi hitam dan busuk. Dan nampaknya gigi yang buruk dikaitkan dengan bangsawan dan akhirnya menjadi sebuah fesyen yang kemudian menjadi ikutan orang ramai.
Bagi orang yang kurang mampu untuk beli gula yang banyak, apa yang mereka buat? Mereka buat sejenis makanan yang dinamakan marzipan, yang dibuat menggunakan gula dan badam.
Kerosakan gigi yang sampai ke pengetahuan duta luar negara
Berbalik kepada Ratu Elizabeth, apa yang jadi kepadanya? Semakin hari, gigi Ratu Elizabeth semakin hitam disebabkan pereputan yang berlaku. Malah, dia kehilangan banyak gigi disebabkan diet hariannya yang banyak berunsurkan gula.
Giginya juga dikatakan semakin berkurangan dan tertanggal disebabkan pereputan gigi yang berlaku sampai mengubah cara percakapannya. Tak percaya, cuba korang ajak orang tua takde gigi borak. Haa, boleh faham tak? Masalah ni juga menyebabkan duta dari negara asing tak faham apa yang dia cakap sebab takde gigi.
Dah la gigi rosak, rupa-rupanya, dia juga sebenarnya takut dengan doktor gigi (yang dulunya dipanggil ‘barber-surgeons‘). Dia terpaksa diyakinkan ramai pihak yang prosedur yang bakal dilakukan barber-surgeons ni taklah menakutkan seperti yang disangka. Disebabkan dia agak was-was dengan kata-kata penasihatnya, seorang bishop diarahkan supaya dicabut giginya untuk menunjukkan kesakitan tu tak lah seteruk yang disangkakan.
Korang mesti pelik, kan? Kenapa la dia takde penasihat yang bagitahu dia betapa bahayanya pengambilan gula yang tinggi, nak pula setiap hari?
Jawapannya, pada zaman tu, apa-apa yang mahal dan rare dianggap berkhasiat dan bernutrisi tinggi. Lebih kurang macam kes susu pekat yang pernah diberi kepada bayi di Malaysia sekitar tahun 1920-an dulu. Hanya disebabkan ia diamalkan oleh orang kaya, tak semestinya betul. Lagipun, sains pada zaman tersebut tak maju macam sekarang dan kajian mengenai gula ni cuma wujud sekitar 1970-an.
Dalam kes ni, saintis Britain, John Yudkin berjaya mengkaji bahaya gula dan kajiannya ada dalam buku penulisannya, Pure, White, and Deadly. Kajian tersebut bagaimanapun telah mendapat tentangan pelbagai pihak sampaikan reputasi dan kerjanya musnah dan selepas menyampaikan kertas kajiannya. Tapi selepas 35 tahun lepas tu, saintis Amerika yang mengkaji obesiti dalam kalangan kanak-kanak US mengesahkan kajian tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan tu legit, dan barulah dunia menerima pakai kajian tu.
Kecantikan berubah mengikut zaman, tapi jangan sampai merosakkan diri
Korang mungkin akan tergelak lepas tahu yang orang British zaman pertengahan sanggup rosakkan gigi demi menunjukkan kemewahan, kan?
Sama la juga sebenarnya bila orang zaman sekarang ni obses sangat nak putih sampai sanggup ambik produk yang boleh merosakkan badan. Contohnya kandungan merkuri tinggi yang ada dalam produk kecantikan tak diiktiraf, dan produk timbang kilo yang dah dibuktikan mempunyai bahan kimia yang tinggi dan boleh merosakkan kulit dan organ dalaman kita. Memandangkan zaman kita lebih moden dan banyak kajian yang dilakukan, kita ada lebih akses dan informasi untuk mengubah gaya hidup kita.
Jadi kalau zaman dulu gigi hitam dipandang mewah dan zaman sekarang kulit putih dianggap cantik, agak-agak apa definisi kecantikan dan kemewahan 20 tahun akan datang?
- 11Share sekarang!
- Email1
- Facebook10
- Share