Filipina tuntut Sabah? Ini sejarah Sabah dari Brunei, Sulu, British dan Malaysia

*Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 26 Julai 2018

Baru-baru ni, Filipina sekali lagi menimbulkan kontroversi dengan negara kita apabila Setiausaha Luar Negeri-nya, Teodoro Locsin Jr menyatakan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia. Kenyataan Locsin tu mendapat kecaman ramai sehinggakan Wisma Putra diarahkan untuk memanggil duta besar Filipina di Kuala Lumpur bagi memberikan penjelasan.

Kalau korang masih ingat, lebih kurang dua tahun lepas – bekas Presiden Senat Filipina, Aquilino Pimentel Jr juga ada kata yang Sabah akan jadi negeri ke-13 Filipina. Sebenarnya, Pimentel adalah antara 22 Anggota Jawatankuasa Perundingan Filipina yang dilantik oleh Presiden Rodrigo Duterte untuk mengkaji semula Perlembagaan 1987 negara tu.

Aquilino Pimentel Jr atau dikenali juga sebagai Nene Pimentel. Imej dari ABS-CBN News.

Sama macam kenyataan terbaru, Malaysia masa tu bertindak cepat dengan kata tuntutan tu tak berasas sama sekali. Walaupun macam tu, ini sebenarnya bukan kali pertama didengar, sebab isu tuntutan ke atas Sabah dah ada sejak berpuluh tahun lagi.

Sejak Filipina merdeka, isu pemilikan Sabah dah mula diperkatakan

Sebenarnya, ramai yang ingat tuntutan Filipina terhadap Sabah bermula pada tahun 1961 bila Tunku Abdul Rahman mengemukakan cadangan pembentukan Malaysia (hasil gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei). Tapi sebenarnya, isu ni dah mula kedengaran sejak Filipina merdeka lagi pada tahun 1946. Bagaimanapun, tuntutan tu masih lagi tak berapa jelas dan tak dipandang penting. Makanya, tak ada sebarang tindakan serius dari Filipina untuk menuntut Sabah masa tu.

Akan tetapi, bila Tunku cadang nak bentuk Malaysia, isu tuntutan terhadap Sabah mula rancak diperkatakan. Apa yang lagi menarik, isu ni bukan dibangkitkan oleh ahli-ahli politik – tapi akhbar-akhbar Filipina masa tu.

Pembentukan Malaysia juga dapat bantahan kuat dari Soekarno, sampai munculnya slogan ‘Ganyang Malaysia”. Klik sini kalau nak baca cerita pasal Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

“…dalam tempoh enam bulan pertama tahun 1962, isu Borneo Utara (Sabah) kemudiannya bertukar menjadi isu nasional yang semakin sukar untuk diketepikan apabila terdapat lebih ramai wartawan dan kolumnis dalam akhbar tempatan lain yang cuba menambahkan provokasi dengan menyuburkan isu Borneo Utara dengan pelbagai kepentingan.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Salah seorang penulis terkenal yang ketengahkan isu ni adalah Napoleon G. Rama yang terbitkan artikel ‘North Borneo is Ours‘ dalam akhbar Philippines Free Press. Kesan dari artikel ni, ia dah buatkan hubungan Filipina dengan Tanah Melayu dan British masa tu tegang.

Presiden Macapagal bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada tahun 1963. Imej dari University of Southern California.

Antara isu-isu yang dimainkan oleh akhbar-akhbar Filipina masa tu adalah pasal tuntutan waris-waris Sultan Sulu terhadap Sabah. Mereka ni rasa tak puas hati dengan perjanjian penyerahan Borneo Utara (Sabah) oleh Sultan Jamalul Alam kepada Baron Von Overbeck pada 22 Januari 1878.

Waris-waris Sultan Sulu ni kata perjanjian penyerahan tersebut hanyalah bersifat pajakan dan kedaulatan Borneo Utara masih kekal menjadi milik Kesultanan Sulu.

Tapi betul ke dakwaan waris-waris Kesultanan Sulu ni?

Sabah: Dari Brunei ke Sulu ke British dan Malaysia

Kalau ikut sorotan sejarah, Kesultanan Sulu mula berkuasa di Sabah pada sekitar tahun 1662 bila terjadinya perebutan kuasa antara Sultan Mohammad Ali dengan Bendahara Abdul Mu’min di Brunei. Disebabkan hal ni, Sultan Mohammad Ali terpaksa minta pertolongan daripada Sultan Sulu untuk hapuskan pemberontak. Sebagai balasan, separuh dari negeri Sabah (khususnya kawasan pantai timur Sabah) diserahkan kepada Sultan Sulu.

Kawasan yang didakwa milik Sulu. Imej dari historyofsulu.wordpress

Tapi sekitar tahun 1769-an, British mula bertapak di Sabah bila diorang buat perjanjian dengan Sulu untuk buka pangkalan Syarikat Hindia-Timur British di Pulau Balambangan. Tapi British di sana tak lama bila mereka tinggalkan Sabah pada tahun 1805.

Tapi masa tu ada dua orang ahli perniagaan bernama Claude Lee Moses dan Johannes yang dah buat aktiviti perlombongan di Kimanis, Papar dan Bongawan. Pada tahun 1865, diorang ada mohon konsesi 10 tahun dari Sultan Brunei tapi diorang takde modal. Jadinya, diorang jual pajakan sungai kepada peniaga Amerika Syarikat – Joseph W. Torrey, Thomas B. Harris dan Wo Hang dari Hong Kong.

Tapi perniagaan diorang ni tak buat untung dan diorang terpaksa jual perniagaan ni kepada Baron von Overbeck yang berketurunan Austria. Tapi Overbeck pun ada masalah kewangan nak barukan pajakan dan dia terpaksa minta bantuan daripada Alfred Dent dari London Trading Firm of Dent Brothers.

Imej dari Giphy.

Bila Overbeck dan Dent tahu yang kawasan Sabah ni bukan milik Brunei semata-mata, diorang pun berjumpa dengan Sultan Sulu. Maka jadilah Perjanjian Sulu-Overbeck 22 Januari 1878, yang menyaksikan penyerahan kawasan kekuasaan Sulu di Sabah kepada pihak asing.

“…perjanjian yang telah menyerahkan atau ‘menyewakan selama-lamanya’ Borneo Utara kepada British, dengan pulangan pembayaran sebanyak 5,000 dolar Malaya setahun kepada Sultan Sulu.

____

Pembayaran ini telah ditingkatkan kepada 5,300 dolar Malaya apabila wilayah yang diserahkan meliputi pulau-pulau persisiran Borneo Utara dari Pulau Banggi ke Teluk Sibuku.” – Dr Hazmi Rusli, Pakar Undang-Undang. Dipetik dari Astro Awani.

Sultan Sulu, Sultan Moh. Jamalul Kiram II. Imej dari rightways.wordpress

Pada tahun 1880, Overbeck bertindak menjual semua haknya kepada Alfred dan Edward Dent bila dia rasa dah tak ada kekuatan modal. Akhirnya pada tahun 1882, satu syarikat ditubuhkan dengan nama Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB). Melalui syarikat ni, SBBUB mula berkuasa mentadbir Sabah.

Tapi SBBUB cuma mentadbir Sabah sampai 1941, sebab lepas tu Sabah jadi sebahagian dari Empayar Jepun masa Perang Dunia Kedua (WW2). Bila Jepun menyerah kalah pada 1945, Sabah dijadikan tanah jajahan British sampailah Sabah membentuk Malaysia pada tahun 1963.

Poskad memaparkan imej masyarakat Bajau di Sabah masa penaklukan British. Imej dari northborneostamps.blogspot

Kesultanan Sulu dah bagi wilayah dan kedaulatannya kepada Filipina

Dalam hal ni, ada dua pihak yang menuntut Sabah. Pertamanya adalah waris-waris Kesultanan Sulu yang menyaksikan serangan di Lahad Datu pada 2013 dan lagi satu – kerajaan Filipina seperti mana yang kita dengar baru-baru ni.

Sebenarnya, pihak yang menuntut Sabah patut datang dari sebuah kerajaan yang diiktiraf dan Kesultanan Sulu terkeluar dari kriteria ni. Sebabnya, waris Kesultanan Sulu tak ada hak untuk tuntut Sabah sebab kesultanan tu sendiri dah tak diiktiraf.

“Pada 24 April 1962 juga, waris-waris Sultan Sulu daripada Keluarga Kiram yang diketuai oleh Sultan Muhammad Esmail Kiram menandatangani perjanjian penyerahan wilayah dan kedaulatan Borneo Utara yang dimiliki oleh Kesultanan Sulu kepada Republik Filipina.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

Pertemuan antara pihak Sulu dengan Marcos. Imej dari islam-kareem.blogspot

Selain tu, melalui perjanjian ni waris-waris Sultan Sulu menyerahkan seluruh hak, kekuasaan dan kedaulatan yang diorang miliki kepada Republik Filipina. Maka secara rasminya, kedaulatan Kesultanan Sulu ke atas Borneo Utara yang dipertahankan sebelumnya ni turut terhapus.

Jadi, yang sepatutnya tuntut Sabah adalah Kerajaan Filipina dan bukannya waris-waris Kesultanan Sulu. Walaupun macam tu, masih ada faktor-faktor tertentu yang menafikan hak Filipina ke atas Sabah!

Sulu bagi Sabah kepada SBBUB bukan dengan pajakan sementara, tapi untuk selama-lamanya

Salah satu sebab dan hujah yang Filipina selalu guna bila nak tuntut Sabah adalah negeri tu pernah jadi milik Kesultanan Sulu. Seperti mana diceritakan kat awal tadi, akhbar-akhbar Filipina mengatakan Perjanjian 1878 cuma bersifat pajakan dan bukannya penyerahan kekal. Nak lebih kuatkan lagi hujah, diorang kata SBBUB dulu bagi $5,300 kepada Sultan Sulu dan itu dah cukup bukti nak kata yang Sabah dipajakkan.

Tapi kita juga kena tahu bila British ambil alih Sabah dari SBBUB lepas WW2, setiap tahun British akan buat pembentangan Belanjawan Tahunan. Melalui belanjawan ni, British gunakan terma cession money yang bermaksud wang serahan buat selama-lamanya (secured in perpetuity) untuk dibayar kepada Kesultanan Sulu.

Surat menunjukkan Malaysia masih bayar $5,300 kepada waris Sulu. Tapi perkara ni dibantah pakar sebab perjanjian pembayaran tu cuma jadi antara SBBUB dengan Kesultanan Sulu je bukan Malaysia. Imej dari Wikimedia Commons.

Malah masa Mat Salleh berperang menentang SBBUB (1894-1900), tak ada sebarang usaha dibuat Kesultanan Sulu untuk membebaskan Sabah. Sebaliknya, Sulu cuma diamkan diri dan ia dah menjadi bukti yang Sulu mengiktiraf serahan Sabah kepada SBBUB.

Selain tu, masa Suruhanjaya Cobbold buat kutipan suara terhadap rakyat Sabah, sama ada diorang nak sertai Malaysia atau tidak – kita tak nampak penentangan yang kuat dari rakyat Sabah. Penentangan tu tak kiralah sama ada nak bersama-sama dengan Kesultanan Sulu atau Filipina.

“Tun Datu Mustapha Datu Harun, Bapa Kemerdekaan Sabah yang berbangsa Suluk, tentunya lebih mengetahui kehendak dan aspirasi rakyat Sabah. Oleh sebab itu, Tun Mustapha tetap memberikan komitmen untuk membawa Sabah menyertai Malaysia.

___

Tun Mustapha lebih rela memilih komuniti daripada ras rumpun yang sama, iaitu Melayu-Islam di Semenanjung Tanah Melayu.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaysia Terengganu.

Tun Datu Mustapha (baju putih) dan Tunku Abdul Rahman. Imej dari merboktimes.blogspot

Kalau kes ni dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Malaysia boleh menang mudah!

Sebenarnya, isu tuntutan Sulu atau kerajaan Filipina terhadap Sabah masih lagi tak sampai ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Tapi bagi Sejarawan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, Malaysia tetap boleh menang mudah kalau isu ni masuk ke ICJ sekalipun.

“Jika kerajaan Filipina membawa isu tuntutan ke ICJ, mereka akan kalah, sama seperti mereka kalah dalam isu tuntutan Sipadan. Mereka telah tidak ‘mengendali’ pulau ini sejak 1873.

____

Lebih penting, rakyat Sabah telah bersetuju menjadi sebahagian daripada Malaysia. Ini keputusan dicapai Suruhanjya Cobbold sebelum pembentukan Malaysia.” – Katanya kepada Sinar Harian.

Seperti yang dikatakan Prof Khoo, Malaysia sebelum ni dah menang dalam perebutan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan dengan Indonesia. Keputusan ICJ ni dah jadi bukti jelas yang Sabah adalah sebahagian dari Malaysia.

Imej dari imgflip.com

Menurut Pakar Undang-Undang, Dr Hazmi Rusli pula, Undang-undang antarabangsa dah tetapkan beberapa cara untuk sesebuah negara mendapatkan wilayah secara sah, antaranya melalui – penjajahan, preskripsi dan serahan.

Walaupun begitu, penjajahan dah tak diiktiraf lagi sekarang bila Piagam PBB diperkenalkan pada tahun 1945. Oleh itu, kaedah pemilikan wilayah yang berkaitan secara langsung dengan Sabah adalah menerusi kaedah serahan dan preskripsi.

“Di bawah undang-undang antarabangsa, preskripsi merujuk kepada pemerolehan kedaulatan menerusi pengamalan kedaulatan yang sebenar dan ianya dikekalkan untuk jangka masa yang munasabah. Malaysia telah, sejak 1963, mentadbir Sabah tanpa sebarang bantahan berterusan oleh negara-negara anggota PBB.” – Dr Hazmi Rusli, dipetik dari Astro Awani.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Pengiran Haji Ahmad Raffae dan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada 1971. Rokok dulu. Imej dari my1foto.penerangan.gov

Dalam hal Filipina, negara tu menuntut Sabah melalui warisan dan pertalian tradisi Kesultanan Sulu. Bagi Hazmi, tuntutan macam ni kurang berasas, sebabnya, kalau kita nak guna cara ni, Malaysia boleh je tuntut Singapura dan Kepulauan Riau yang ada kaitan dengan Kesultanan Johor. Tapi kita tak buat, sebab ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan keadaan semasa sekarang.

Disebalik tuntutan Filipina ke atas Sabah, ada pula gerakan nak Sabah keluar dari Malaysia

Pada tahun 2013, kita dikejutkan dengan serangan kumpulan militan Sulu di Lahad Datu dan disebabkan serangan ni jugalah Lahad Datu sampai sekarang diletakkan dalam Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Tapi disebalik tuntutan ke atas Sabah ini, muncul pulak gerakan yang nak Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia. Gerakan tu adalah Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang ditubuhkan pada tahun 2011. Antara sebab kenapa diorang ni nak Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia adalah kerana tak puas hati dengan cara pemerintahan kerajaan dari tahun 1963.

Angkatan tentera ketika mempertahankan Lahad Datu dari serangan Sulu. Imej dari Astro Awani.

Walaupun macam tu, lepas PRU-14 – kita dah tak berapa dengar khabar berita pasal gerakan ni. Apa yang pasti, isu ni satu perkara yang besar dan patut dipandang serius oleh kerajaan. Disebalik tuntutan luar, tuntutan dalam negara lebih patut diberikan perhatian.

Tentang tuntutan Filipina terhadap Sabah pula, ia sebenarnya bukan perkara baru dan Malaysia-Filipina pernah putus hubungan diplomatik kerananya. Walaupun begitu, Malaysia sampai sekarang tetap tegas dengan pendiriannya dan tak nak isu macam ni bangkitkan suhu antara dua negara.

Biarlah Pacquiao bertumbuk di atas gelanggang, dan bukannya Malaysia-Filipina bergaduh di atas ASEAN. Imej dari philstar.com

“Isu tuntutan Filipina ke atas Borneo Utara bolehlah diumpamakan seperti sarang tebuan yang sekiranya dijolok, pastinya ia akan menyengat dengan sengatan paling berbisa.

____

Isu ini kadangkala dipandang sepi namun akan kembali mewarnai perkembangan geo-politik semasa jika ia sengaja dihidupkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan.” – Dipetik dari jurnal terbitan Universiti Malaya.

About Azar Ishak 276 Articles
Hari-hari Teh O ais, besok kopi plak lah.